Tuesday, April 28, 2009

Motivasi Hikmah

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Latar belakang Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

- Umur - 53 tahun

- Pendidikan - SPM

- Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)

- Kekayaan -RM1,425 juta

- Ke 7 terkaya di Malaysia

- Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)

- Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat

- Kereta - Proton Perdana

- Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary,institus i pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.

- Bagaimana sumbangan sosialnya bermula - Bilamana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun ( RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

50 Perkara Dari Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarkatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan



2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.



3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.



4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.



5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.



6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.



7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.



8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.



9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.



10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?



11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.



12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.



13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah



14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.



15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !



16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .



17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.



18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.



19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.



20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.



21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.



22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang



23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.



24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.



25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.



26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.



27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.



29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .



30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.



31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.



32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.



33. Kalau pun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.



34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.



35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.



36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.



37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.



38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.



39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.



40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.



41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.



42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.



43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.



44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.



45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.



46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.



47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.



48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.



49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.



50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.


Gambar

-hasil nukilan-
afifzahrah

Untuk lanjutan mengenali latar belakang beliau, anda bolehlah melayari laman iluvislam.com

Sunday, April 26, 2009

Islam penyelesai masalah perkauman dunia

Gambar Hiasan

Ulul Albab: Islam penyelesai masalah perkauman dunia
Bersama Abdurrahman Haqqi

Barat takut berhadapan kenyataan Israel sebenarnya suku bangsa sangat kejam

JIKA minggu lalu ruangan ini mentakrif bangsa mengikut Kamus Dewan, kali ini satu lagi perkataan yang mempunyai kedekatan makna dengannya iaitu 'kaum'.

Dalam kamus sama, kaum mempunyai lima makna iaitu puak, suku bangsa; jenis bangsa; keluarga, sanak saudara; golongan (orang yang sekerja, sefahaman, setingkat dan lain-lain); serta istilah sains ia bermakna bahagian daripada jenis (tumbuh-tumbuhan dan haiwan).

Jika kaum diberi imbuhan kemudian menjadi 'perkauman', maknanya menjadi tiga saja iaitu (yang berkaitan dengan) kaum kerabat (keluarga), (pertalian) sanak saudara; (yang berkaitan dengan) golongan, puak; dan (yang berkaitan dengan sesuatu) suku bangsa dan kesukuan (bangsa dan lain-lain).

Minggu lalu masyarakat antarabangsa melangsungkan persidangan pertama isu perkauman yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland. Malangnya, persidangan yang salah satu tujuannya mencari jalan penyelesaian isu perkauman di dunia diboikot Amerika Syarikat dan lapan negara lain kerana bimbang negara Islam akan menuntut supaya Israel dikutuk dan kritikan terhadap agama Islam diharamkan. Kelapan-lapan negara itu ialah Belanda, Jerman, Australia, Kanada, Israel, Itali, Poland dan New Zealand.

Dari sudut pandangan Islam, pemulauan mereka pada persidangan itu dengan sebab sedemikian menunjukkan kepada kita kebenaran sabda Rasulullah SAW yang menyatakan, musuh Islam akan takut berdepan dengan umat Islam sebelum terjadinya pertempuran selama sebulan. Mereka takut berdepan dengan kenyataan bahawa Israel yang disokong Barat sebenarnya negara perkauman sangat kejam.

Apabila kita merujuk kepada kitab suci al-Quran yang menjadi buku panduan umat manusia sejagat yang diturunkan oleh Pencipta mereka kepada Nabi akhir zaman, kita dapati satu kenyataan menarik yang sepatutnya masyarakat antarabangsa tidak takut atau bimbang membicarakannya. . Malah, ia akan menjadi jalan yang lurus dan senjata tepat untuk menyelesaikan masalah perkauman. Kaum berasal daripada bahasa Arab dengan kata dasar 'qa-wa-ma' dengan pengertian berdiri. Al-Quran menyebut perkataan 'qaum' sangat banyak dalam ayatnya sehingga kitab Fath al-Rahman li Talib Ayat al-Quran, satu kitab indeks pencarian perkataan dalam al-Quran tidak menyenaraikannya. Jika anda merujuk kitab itu tanpa membaca mukadimahnya, anda akan menyatakan bahawa kitab yang berharga itu tidak lengkap. Pada hal dalam mukadimah itu disebut oleh penyusunnya, Ilmi Zadah Faidullah al-Maqdisi bahawa dia tidak memasukkan 23 perkataan di dalamnya termasuk kata 'qaum' kerana terlalu banyak disebut al-Quran. (hal. Ha')

Ia bermakna jika kita merujuk kepada al-Quran sebagai kitab hidayah, kita akan dapat mencari banyak cara penyelesaian bagi isu perkauman bermula daripada konsep kaum; perbezaannya dengan konsep bangsa; adab dan sopan-santun hubungan kaum; hak dan kewajipan; kriteria kaum baik dan kaum jahat; sifat kaum yang berjaya dan kaum yang gagal; panduan cara menyelesaikan masalah perkauman dan lain-lain. Betapa indahnya kitab suci umat Islam ini, malangnya manusia mengetepikannya sehingga mereka selalu menerima kehampaan hidup.

Mengenai asal kejadian kaum dan tujuannya, al-Quran menjelaskan maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa) , dan juga yang membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas kamu)." (Surah al-Nisa': 1)

Secara tersurat dan tersirat, ayat di atas menyentuh secara global pengertian kaum pada awal tulisan ini. Semua kaum yang wujud di dunia selama ini berasal daripada satu susuk tubuh Adam as. Proses pembiakan manusia sehingga menjadi kumpulan manusia menjadi bangsa dan kaum adalah dengan kebenaran Allah. Oleh itu manusia disuruh untuk bertakwa kepada-Nya. Malah suruhan ini diulang dua kali dalam satu ayat ini. Ketakwaan manusia secara individu mahupun kolektif, secara persendirian mahupun berkelompok akan menghasilkan pengukuhan tali silaturahim antara mereka agar saling hormat menghormati, saling faham memahami, saling tolong-menolong dan saling bertimbang rasa. Ketakwaan ini hasil daripada satu hakikat pengertian manusia bahawa Allah SWT sentiasa memerhati dan mengawasi mereka.

Dalam Surah Nuh, surah ke-71 daripada urutan al-Quran kita akan dapati konsep kaum dan pelaksanaannya secara amnya. Surah yang terdiri daripada 28 ayat ini mengisahkan perjalanan dakwah Nabi Nuh as sebagai bapa manusia kedua selepas Nabi Adam as bersama kaumnya.

Dalam konsep kaum pada surah ini dijelaskan beberapa kenyataan, termasuk dalam setiap kaum mesti ada golongan agama yang tugasnya sebagai pemberi peringatan dan amaran yang nyata (ayat 2); bahawa tujuan utama keberadaan satu-satu kaum ialah menyembah Allah, bertakwa kepada-Nya dan mentaati utusan-Nya (ayat 3); bahawa jika ini dilakukan, mereka akan diampunkan sebahagian dosa mereka dan mendapat keselamatan hidup sepanjang masa (ayat 4); bahawa kaum yang banyak beristighfar akan memperoleh ketenteraman hidup yang penuh keberkatan dalam rezeki, harta dan keturunan (ayat 10-12); bahawa dalam satu-satu kaum akan ada penentangan terhadap ajaran Allah (ayat 5-9); bahawa pada akhir setiap pertarungan yang hak dan yang batil doa nabi maksudnya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua-dua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahkan orang zalim melainkan kebinasaan." (Ayat 28).

Al-Quran dengan jelas menyediakan garis panduan hubungan kaum yang diwakili orang beriman dengan satu ayatnya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran buruk.. (Larangan berkenaan menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik) amat buruk sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujarat: 11)

Sopan- santun antara kaum di atas adalah deklarasi global yang wajib dipatuhi semua kaum agar mereka hidup dalam keharmonian yang berkekalan.

Seandainya dalam persidangan isu perkauman yang dilangsungkan di Barat itu tidak digunakan untuk menghentam sesetengah pihak yang sudah sememangnya diketahui dunia kebiadabannya dan sebaliknya kita menjelaskan konsep kaum dan perkauman menurut al-Quran secara jelas dan jitu, sudah pasti kita boleh membuktikan ketakutan Barat untuk menghadirinya adalah tidak benar dan kita juga membuktikan bahawa Islam adalah agama yang menyeru kepada perdamaian sejagat, bukan sebaliknya.

nukilan:-
afifzahrah

Saturday, April 18, 2009

BERSIKAP TEGAS TERHADAP SUAMIKU…

Sekadar Gambar Hiasan

BERSIKAP TEGAS TERHADAP SUAMIKU…

Kegiatanku ini tidak menghalangku daripada menyempurnakan tugas di Markaz Am Jamaah Muslimat dan tidak pula menyebabkan aku cuai terhadap tugas kekeluargaan. Suamiku yang mulia al Marhum Muhamammad Salim dapat menghidu sifat berwaspada saudara Abdul Fattah Ismail dan beberapa kader-kader bijak dari angkatan muda yang dating ke rumah kami..

“Adakah ikhwan Muslimin masih bergiat cergas?” Tanya suamiku.

“Ya, “ jawabku.

“ Bagaimanakah penyusunannya dan sampai ke tahap mana kegiatannya sekarang?” tanyanya lagi.

“ Menyusun kembali jemaah Ikhwan.” Jawabku.

“ Wahai suamiku yang mulia, ingatkah engkau, tatkala kita bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan, apakah yang aku ucapkan kepadamu pada hari itu?”. Tanyaku apabila beliau mula menyelidiki secara mendalam.

“ Ya, kamu mensyaratkan beberapa syarat. Tetapi pada hari ini aku bimbangkan gangguan daripada pihak taghut terhadapmu,: jelasnya.

Kemudian beliau diam dan menundukkan kepalanya.

********************************************************************************
“ Aku masih ingat lagi apa yang telah aku perkatakan kepadamu. Sesungguhnya ada satu perkara dalam hidup ini yang wajib kau ketahui, kerana kamu akan menjadi suamiku. Selagi kamu bersetuju untuk berkahwin denganku, aku perlu memberitahumu syarat tersebut, supaya kamu tidak tertanya-tanya di kemudian hari. Syaratku ialah aku tidak akan berhenti dalam perjuangan ini. Aku adalah pemimpin Jamaat Muslimat dan ini adalah benar. Tetapi kebanyakan orang menganggap aku mengikuti prinsip politik Parti Wafd. Itu tidak benar.

“ Perkara yang aku percayai dan yakini ialah risalah Ikhwan Muslimin. Tidak ada kaitan antara aku dengan Mustafa an Nahhas, Cuma persahabatan secara peribadi saja. Aku telah memberi bai’ah kepada Hasan al Banna untuk mati berjihad di jalan Allah.

“ Sungguhpun aku belum melangkah dalam kemuliaan rabbani ini walaupun selangkah, namun aku yakin akan melangkah ke dalam jihad ini pada suatu ketika nanti. Itulah cita-cita dan tekadku yang sangat kuharapkan. Apabila berlaku pertembungan antara kepentingan peribadi dan urusan ekonomimu dengan amal Islamku dan aku dapati kehidupan rumahtangga menjadi halangan kepada dakwah dan pembangunan dakwah Islam, maka kita berdua berada di persimpangan jalan.

“ Pada hari itu kamu tundukkan kepala kemudian mengangkat kembali dengan linangan air mata, lalu kamu berkata: ‘ Apa yang kamu mahu untuk mas kahwin? Kamu tidak minta apa-apa, Cuma syaratnya aku tidak menghalangmu berjihad di jalan Allah. Aku tidak tahu kamu mempunyai hubungan dengan Imam Hasan Al Banna. Yang aku tahu hanyalah engkau telah berselisih faham dengannya berkenaan dengan tuntutannya untuk menggabungkan Jamaah Muslimat kedalam jemaah Ikhwan Muslimin.’

***********************************************************************************
“ Alhamdulillah. Akhirnya kita bersetuju untuk bernikah di tengah-tengah tribulasi Ikhwan Muslimin pada tahun 1948 sebelum syahidnya al Imam Hasan Al Banna. Sedangkan sebelum ini, aku memutuskan untuk membujang sepanjang hayat bagi mewakafkan seluruh hidupku hanya kepada dakwah. Aku tidak meminta kamu menyertaiku dalam jihad ini, tetapi aku hanya mensyaratkan supaya kamu tidak menghalangiku daripada berjihad di jalan Allah. Pada hari-hari aku dibebankan dengan tanggungjawab dalam barisan mujahididn, janganlah kamu bertanya apa yang aku buat. Tetapi hendaklah kita berdua percaya mempercayai sepenuhnya.
Terimalah hakikat ini seperti seorang lelaki yang bernikah dengan seorang wanita yang berumur 18 tahun yang menyerahkan dirinya untuk berjihad pada jalan Allah dan pembangunan daulah Islam. Sekiranya kepentingan rumahtangga bertembung dengan dakwah kepada Allah, pernikahan itu akan tamat dan dakwah kekal bersemarak di segenap diriku,” kataku dengan panjang lebar untuk mengingatkannya kepada syarat yang pernah kami persetujui.

“ Kamu ingat lagikah?” kataku lagi sambil memandang kepadanya setelah diam sejenak.

“ Ya, “ jawabnya.

“ Pada hari ini aku pinta supaya kamu menyempurnakan janjimu. Janganlah kamu bertanya siapakah yang akan ku temui dan aku mohon pada Allah supaya Dia menjadikan pahala jihadku dibahagi dua antara kita sebagai kurnia daripada Allah s.w.t apabila Dia menerima amal dan usahaku,” kataku.

*****************************************************************************
“ Aku tahu bahawa adalah menjadi hak kamu memerintah aku dan menjadi kewajipan aku untuk memberikan taat setia kepadamu. Tetapi di dalam jiwa kita, Allah lebih besar daripada kita. Dakwah Allah lebih mahal daripada diri kita. Kita sekarang sedang berada pada satu marhalah yang penting dan genting, di dalam marhalah dakwah,” kataku lagi.

“ Maafkan aku. Bekerjalah, semoga Allah memberkatimu. Mudah-mudahan aku hidup lagi sehingga tercapainya tujuan Ikhwan Muslimin dan terbuktinya cita-cita Islam dengan tertegaknya daulah Islam. Alangkah bahagianya hidupku pada zaman muda ini kalau aku dapat bekerjasama dengan kamu,” kata suamiku.

Oleh kerana banyaknya kegiatan dan aktiviti, para pemuda sentiasa datang tanpa henti ke rumahku siang dan malam. Apabila suamiku yang mukmin mendengar ketukan-ketukan pintu di tengah malam, beliau terus bangun membuka pintu dan mempersilakan mereka masuk ke bilik pejabat. Kemudian beliau pergi ke bilik pembantu rumah yang menguruskan urusan rumahtangga, membangunkannya dan menyuruhnya menghidangkan makanan dan minuman kepada para pelawat.

“ Anak-anak yang nampaknya datang dari jauh dan kelihatan penat sedang menunggumu di dalam pejabat,” kata suamiku sambil mengejutku dengan lemah lembut.

Lantas aku segera mengenakan pakaian dan pergi menemui mereka.

“ Sekiranya kamu hendak sembahyang subuh berjemaah, kejutkan aku supaya dapat sembahyang berjemaah bersama kamu, sekiranya itu tidak menyusahkan ,” kata suamiku sambil kembali semula ke tempat tidurnya.

“ InsyaAllah,” jawabku.

Tatkala kami hendak sembahyang subuh, aku kejutkan suamiku untuk bersembahyang bersama kami. Kemudian beliau beredar dan memberi hormat dengan penuh kasih sayang kepada para tetamu seperti penghormatan seorang bapa kepada anak-anaknya.

YA ALLAH
Kurniakanlah kami suami mukmin,
Bergerak seiring dalam medan dakwah,
Saling kuat memperkuatkan antara kami
Demi masa depan Islam yang cerah

YA RABB
Kami tidak lah sekental Zainab Al Ghazali
Tetapi bercita-cita mempunyai roh perjuangan sepertinya
Walau tidak standing dia
tetapi tetap berkorban demi agama..

YA TUHAN
Kami mohon kekuatan
Untuk terus thabat dalam perjuangan ini..
Sumber daripada buku bertajuk Hari-hari Dalam Hidupku( Zainab Al Ghazali)

hasil dipetik:-
http://mataairsyurgaku.blogspot.com

disediakan:-
http://www.imamazhari.blogspot.com/

Wednesday, April 08, 2009

Dunia Melayu menurut Sheikh Ahmad al-Fathani

TEUKU Umar Johan Pahlawan (kiri) yang memimpin perang jihad fisabillah menentang penjajahan Belanda

HINGGA penghujung tahun 1880-an Masihi, belum dijumpai takrif tentang istilah Melayu dalam pelbagai aspek oleh putera dunia Melayu sendiri, kecuali hanya dibicarakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam banyak tempat yang secara terpisah.

Sebelum membicarakan pelbagai aspek peradaban dunia Melayu, penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1. Petikan itu ialah:

"Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah kelompok atawa segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.

"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.

"Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.

"Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu.

"Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.

"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."

Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.

Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai menulis kitab Tashil Nail al-Amani itu.

Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya", takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah "me" (Me-layu).

Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.

Dunia Melayu

dari aspek geografi dan kesuburannya

Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, "Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.

Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah."

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah" kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa.

Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan kepulauan Melayu.

Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah", dalam Hadiqat al-Azhar. Ia adalah petikan Jaridah Al-Ma'lumat terbitan Betawi.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi".

Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.

Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita".

Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu

Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu."

Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]".

Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah ...", maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu".

Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, "Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali pun".

Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya, "Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau "kemanusiaan", iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala adatnya.

Dan terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu, betul lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.

Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.

Maka iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang membawa kepada kepujian dirinya".

Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.

Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini lain daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna "wajahah" itu "al-hazhu wal ratbah".

Dan iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa] "kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab.

Ada pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan", ertinya "keadaan seseorang itu manusia yang sempurna".

Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna "muru'ah" itu. Wallahu a'lam."

Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki kehormatan yang sopan ..."

Aspek perkembangan ilmu pengetahuan

Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu pengetahuan.

Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya".

Mengenai perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).

Aspek kedaulatan pemerintahan

Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin".

Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.

Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.

Dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin memberi contoh peperangan yang panjang antara Aceh dengan penjajah Belanda, sampai tahun 1316 H/1898 M, iaitu zaman Sheikh Ahmad al-Fathani, telah terjadi perang selama 29 tahun.

Tahun yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu ada hubungan dengan perjuangan terakhir Teuku Umar.

Pada 1 April 1898 M, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, Teuku Tjoet Tungkob dan hulubalang-hulubalang mengucapkan sumpah setia kepada sultan untuk meneruskan perang sabilillah.

Selanjutnya pada 23 Julai 1898 M, di Keude Meulu, Pidie, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, dilantik pemimpin perang sabilillah dalam satu mesyuarat pemimpin adat dan ulama-ulama Islam.

Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) hidup sezaman dengan Teuku Umar (1854 M - 1899 M), beliau lebih muda sekitar dua tahun daripada Teuku Umar.

Memerhatikan tulisan-tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Aceh dan pada zaman yang sama beliau mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Turki-Uthmaniyah minta bantuan melepaskan seluruh dunia Melayu dari semua penjajah bererti Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan dengan semua perjuangan Islam di dunia Melayu termasuk Aceh.

Mengenai yang penulis tulis di atas di antaranya dapat dirujuk dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1, halaman 142-147.

Penutup

Pengenalan peradaban dunia Melayu ini tidak lengkap tanpa membicarakan para pelopor yang terlibat dalam ketamadunan Melayu sehingga melahirkan ramai generasi penerus hari ini.

Kesinambungan dari itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pelopor-pelopor Melayu Islam, yang meliputi dalam pelbagai aspek kepentingan dunia Melayu.


dipetik daripada UTUSAN (ARKIB : 06/04/2009)

Blog Archive