Tuesday, August 25, 2009

Menyingkap Puasa

Disebalik ketenangan seindah dalam bulan Ramadhan

Definisi Puasa

Dari sudut bahasa > Menahan diri daripada sesuatu samada kata-kata atau makanan.

Dari sudut syarak > Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat

Dalil Wajib Puasa

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa” (al-Baqarah ; 183)
“ Islam dibina atas 5 perkara-mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, puasa bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Difardhukan pada bulan Sya’ban tahun kedua Hijrah.

Hukum Meninggalkan Puasa

Jika ingkar kefarduan puasa > maka batal imannya dan termasuk golongan yang murtad

Jika tidak berpuasa tanpa ingkar kefarduannya, misalnya tinggal puasa kerana malas dan tanpa keuzuran > hukumnya fasiq. Jika dia menggantikan puasa yang ditinggalkan dengan sengaja, tidak dapat menyamai yang ditinggalkan.

Hikmah Berpuasa

Merasai muraqabatullah(pengawasan Allah).
Meningkatkan amal ibadah kita.
Menyihatkan badan.
Menumbuhkan rasa ukhuwwah sesama Muslim. Yang kaya membantu yang miskin, yang biasa kenyang merasai kelaparan orang yang biasa berlapar.

Penetapan Bulan Ramadhan

Melihat anak bulan Ramadhan(Rukyah al-Hilal) pada malam 30 Sya’ban.
Mencukupkan 30 hari bulan Sya’ban. (Hisab)

“Hendaklah kamu berpuasa kerana melihatnya, dan berbuka kerana melihatnya, sekiranya kamu terhalang dari melihatnya, maka sempurnakanlah bilangan Sya’ban selama 30 hari”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Syarat Wajib Puasa

Islam
Taklif (Beraqal dan baligh)
Tiada keuzuran yang menghalangnya berpuasa atau mengharuskannya berbuka
Halangan-seperti haid dan nifas pada waktu siang atau gila atau pengsan.
Uzur-sakit yang mendatangkan mudarat, bermusafir, tidak mampu berpuasa seperti terlalu tua dan sakit yang tiada harapan sembuh.


Rukun Puasa

1) Niat > pada waktu malam, sebelum terbit fajar, penentuan jenis puasa dan berulang-ulang (setiap malam)
2) Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti :
a) Makan dan minum
b) Sampai ‘ain (sesuatu) ke dalam al-Jauf (rongga) melalui liang yang terbuka
* al-Jauf ialah otak, atau yang berada antara bawah halkum hingga ke perut.
Liang terbuka seperti mulut, telinga, qubul, dubur.
Setitik air yang masuk telinga membatalkan puasa sebab liang terbuka.
Setitik air masuk ke mata tidak membatalkan puasa kerana liang tidak terbuka.
Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa.
Suntikan pada urat tidak membatalkan puasa.
Jika telan air liur, puasa tidak batal sebab susah menghalangnya.
Jika telan air liur yang bernajis seperti gusi luka dan mulutnya tidak dibersihkan, walaupun air liur jernih, puasanya batal.
Jika berkumur atau masuk air ke hidung dan air masuk ke al-Jauf, puasa tidak batal jika tidak melampau ketika wuduk. Jika melampau, batal puasanya.
Jika ada sisa makanan di celah gigi, lalu digerak air liurnya tanpa sengaja, lalu masuk ke perut, puasanya tidak batal. Jika sengaja batal.
Jika dipaksa makan atau minum, puasanya tidak batal kerana ikhitiarnya(mempunyai pilihan) sudah gugur.
c) Muntah dengan sengaja
d) Bersetubuh dengan sengaja walaupun tanpa keluar air mani
e) al-Istimna’ > mengeluarkan air mani dengan sengaja samada melalui percumbuan atau menggunakan tangan. Makruh yang hampir kepada haram bercium pada siang Ramadhan
f) Haid dan nifas > Jika keluar pada siang Ramadhan, batal puasa dan wajib qadha
g) Gila dan murtad


Adab adab Berpuasa

Segerakan berbuka
Lewatkan sahur
Elakkan mengumpat dan kata-kata yang tercela
Mandi junub sebelum fajar
Tidak berbekam(Makruh)
Berdoa sewaktu berbuka
Sedia makanan untuk orang berbuka
Banyak bersedekah, membaca al-Qur’an, bertadarus, dan beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir.


Qadha Puasa

Siapa yang tinggal puasa Ramadhan(sebab sakit dan musafir), wajib qadha sebelum datang Ramadhan akan datang. Jika ambil ringan, dengan tidak qadha puasa hingga masuk tahun berikutnya, berdosa dan wajib qadha dan fidyah.
Fidyah > beri makan orang fakir miskin dengan 1 cupak makanan asasi untuk setiap hari ditinggalkan. (bersamaan 600 gram).
Jika sakit berterusan sampai Ramadhan berikut, tidak wajib kecuali qadha dan tidak perlu keluar fidyah kerana melewatkan qadha ini.

Jika dia meninggal dunia dan tidak sempat qadha, dalam keadaan belum mampu qadha, tidak berdosa dan tidak perlu minta orang lain qadha bagi pihaknya, kerana dia tidak melalaikannya. Jika sebaliknya, berdosa dan wali disunat qadha hari yang ditinggalkan, kerana lalai dari qadha puasa.
“ Barangsiapa yang mati, dan dia masih ada puasa yang tidak diqadha, maka walinyalah yang berpuasa bagi pihaknya”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

“Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW, katanya: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah mati dan dia meninggalkan satu bulan puasa, apakah aku perlu mengqadha’kannya bagi pihaknya?”. Jawab Baginda “ Ya, hutang Allah lebih berhak untuk dijelaskan”.
Jika tiada yang berpuasa bagi pihak arwah, maka perlu dikeluarkan 1 cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkan. Wajib dikeluarkan dari harta pusaka yang ditinggalkan, sama seperti hutang. Jika tiada harta, orang lain boleh keluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

Orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh > wajib membayar fidyah bagi setiap hari ditinggalkan.
Perempuan hamil dan menyusukan anak. Jika berbuka kerana bimbang mudharat kepada dirinya, wajib qadha sebelum datang Ramadhan berikutnya.
Jika berbuka kerana bimbangkan anaknya seperti keguguran atau kekurangan susu untuk menyusu, wajib qadha dan bayar fidyah.


Kaffarah Puasa

Penyebab kaffarah > rosakkan puasa di siang Ramadhan dengan jimak, dengan syarat pelakunya tahu dia berpuasa, tahu perkara itu haram, dan tiada rukhsah(kemudahan) disebabkan musafir.
Siapa yang wajib kaffarah? Wajib pada suami kerana jenayah orang menjimak lebih berat.
Kaffarah > bebaskan hamba yang beriman;lelaki atau wanita, jika tidak mampu, berpuasa 2 bulan berturut-turut, jika tidak mampu, beri makan 60 fakir miskin dengan 1 cupak makanan asasi setiap orang.

Jika tidak mampu buat semua, kaffarah tetap kekal wajib ke atasnya sehingga dia mampu melakukan salah satu darinya.
Kaffarah itu berulang dengan berulangnya hari yang dibatalkan. Jika jimak 2 hari bulan Ramadhan, wajib 2 kaffarah, jika 3 hari, 3 kaffarah, begitulah seterusnya.


Puasa Sunat

1) Puasa pada hari Arafah ( 9 Zulhijjah). Disunatkan kepada yang tidak menunaikan haji.
2) Puasa Hari Asyura dan Tasu’a(10 Muharram dan 9 Muharram). Disunatkan 9 Muharram untuk elak sama dengan Yahudi. Jika tak puasa 9 Muharram, maka perlu puasa 11 Muharram.
3) Puasa hari Isnin dan Khamis
4) Puasa 3 hari setiap bulan(13, 14 dan 15 daripada bulan kalendar Hijrah)
5) Puasa 6 hari bulan Syawal

Diharus batalkan puasa sunat, dan tidak wajib mengqadhakannya, namun hukumnya adalah makruh.

Puasa Makruh dan Haram

Puasa Makruh-khusus pada hari Jumaat/Sabtu sahaja. Puasa seumur hidup.
Puasa Yang Diharamkan – Puasa pada Aidilfitri dan Aidil Adha, puasa 3 hari Tasyriq (3 hari selepas Aidil Adha-11,12 dan 13 Zulhijjah), dan puasa hari syak iaitu 30 Sya’ban.


(Sumber dari Kitab Fiqh al-Manhaji-Dr Mustafa al-Bugho)

diambil drpd:-
http://disertasi.blogspot.com/
*afif*

Saturday, August 22, 2009

Hikmah Air Sembahyang

sisipan

1. Ketika berkumur, berniatlah kamu dengan, 'Ya
Allah,ampunilah dosa mulut dan lidahku ini'.
Penjelasan nombor 1 : Kita hari-hari bercakap
benda-benda yang tak berfaedah.


2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu
dengan, 'Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat
kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini'.
Penjelasan nombor 2 : Ahli syurga mukanya putih
berseri-seri.

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah
kamu dengan, 'Ya Allah, berikanlah hisab-hisab
ku ditangan kanan ku ini'.
Penjelasan nombor 3 : Ahli syurga diberikanhisab-
hisabnya di tangan kanan .

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu
dengan, 'Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-
hisab ku di tangan kiri ku ini'.
Penjelasan nombor 4 : Ahli neraka diberikan hisab-
hisabnya di tangan kiri .

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu
dengan,'Ya Allah, lindunganlah daku dari terik
matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu'.
Penjelasan nombor 5 : Panas di Padang Masyar
macam matahari sejengkal di atas kepala.

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kamu
dengan,'Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini'
Penjelasan nombor 6 : Hari-hari mendengar orang
mengumpat, memfitnah dll.

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kamu
dengan.'Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi
titian Siratul Mustaqqim'.
Penjelasan nombor 7 : Ahli syurga melintasi titian
dengan pantas sekali..

8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kamu
dengan,'Ya, Allah, bawakanlah daku pergi ke
masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-
tempat maksiat'
Penjelasan nombor 8 : Qada' dan Qadar kita di
tangan Allah.

Ramai di antara kita yang tidak sedar akan hakikat
bahawa setiap yang dituntut dalam Islam
mempunyai hikmah nya yang tersendiri.

Pernah kita terfikir mengapa kita mengambil
wuduk sedemikian rupa?
Pernah kita terfikir segala hikmah yang kita
perolehi dalam menghayati Islam?

Pernah kita terfikir mengapa Allah lahirkan kita
sebagai umat Islam?

Bersyukurlah dan bertaubat selalu.



Dalil utk kita berwudhu':

"Wahai orang-orang yg beriman, apabila kamu akan mendirikan solat, maka basuhlah muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga siku-siku kamu dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah)kaki- kaki kamu sehingga ke dua mata kaki"
(Al Maaidah, ayat 6)


Daripada Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a : Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW ( di atas binatang tunggangannya ), lalu sabda baginda : ‘Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan. Peliharalah ( perintah ) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah ( kehormatan ) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan.’

(Riwayat Tirmizi)

Thursday, August 20, 2009

Nikmatnya Ramadhan


Hiasan


TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki- Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".

Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba- Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya" .

Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".

Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".

Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.


Dapatkan


Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!


Moga Ramadhan kali ini memberikan satu natijah yang terbaik dalam kehidupan kita ini, insyaAllah dan digolongkan dalam orang-orang yang bertaqwa.

*afifzahrah*

Sunday, August 16, 2009

Apa kata Zaid Ibrahim

Pilihan raya kecil di kawasan “pengkhianat”

Muhyiddin Yassin sekali imbas nampak seperti serorang yang tenang dan tidak gopoh-gapah. Dia berusaha keras untuk menaikkan imejnya sebagai bakal Perdana Menteri. Pakaiannya sekarang pun nampak lebih bergaya dan ada stail berbanding dahulu. Sayangnya, usaha beliau untuk memperbaiki imej itu sia-sia sahaja bila dia akhirnya menampakan sikap ekstremnya yang lama terpendam. Entah apa tujuannya, dengan tak semena-mena dia menuduh Anwar Ibrahim sebagai seorang pengkhianat kepada bangsa Melayu. Itu satu tuduhan liar dan tidak sepatutnya dibuat oleh seorang ahli politik yang bercita-cita nak jadi Perdana Menteri. Lagi pun dulu Anwar itu pemimpin pujaan Muhyiddin sewaktu dalam Team Wawasan. Siapa agaknya pengkhianat? Alangkah baik Muhyiddin bentang tindakan kerajaan mengatasi wabak selsema A(H1N1) yang lebih berkesan dari melaung kosong.

Anwar Ibrahim kini adalah Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia. Ketua Pembangkang ada peranan yang sah dalam sistem demokrasi berparlimen. Secara langsung, beliau mewakili separuh daripada jumlah pengundi Malaysia (4 juta) yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu. Sepatutnya Anwar diberi penghormatan yang sewajarnya kerana kedudukan beliau yang sah dalam Parlimen negara kita. Di negara-negara yang lebih faham tentang selok-belok demokrasi, yang tahu tata susila politik moden, yang tahu erti peranan yang berbeza di antara kerajaan dan pembangkang, Ketua Pembangkang amat dihormati. Malah Perdana Menteri di negara-negara yang matang demokrasi sentiasa menjemput Ketua Pembangkang untuk membincangkan hal-hal negara demi kepentingan umum. Mereka ketepikan politik kepartian demi rakyat dan negara. Ketua Pembangkang tidak dianggap sebagai musuh yang mesti dimaki dan cerca setiap masa. Cuma di Malaysia dan Myanmar, pemerintah ghairah nak tangkap pemimpin pembangkang.

Sejak dulu sampai sekarang, UMNO menganggap rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, adalah kurang cerdik. Sebab itu macam-macam tuduhan dan fitnah dibuat terhadap Pakatan Rakyat, dengan harapan rakyat akan percaya bulat-bulat. Saya ingin bertanya, bagaimana Anwar mengkhianati orang Melayu? Yang saya tahu Anwar telah berusaha keras untuk membuka mata Melayu tentang kepincangan dalam dasar UMNO atau lebih tepat lagi, dasar UMNO Baru. Hari demi hari makin ramai orang Melayu memahami apa yang Anwar sampaikan. Kerana inilah Muhyiddin dan pemimpin UMNO lain mula takut.

Nasihat saya kepada Muhyiddin dan pengikut-pengikutnya ialah kalau pun huraian Anwar mengenai UMNO tidak disetujui, sila jawab hujah-hujah Anwar. Tak payah nak jadi hero Melayu dengan menuduh Anwar pengkhianat bangsa. Takkanlah kerana takut atau malu nak jawab hujah, terus tuduh orang secara liar. Kita tahu memang susah untuk Muhyiddin menjawab hujah-hujah Anwar kerana kelemahan orang Melayu timbul daripada berbagai sebab dan punca. UMNO yang memerintah sekian lama tidak boleh lari dari bertanggung jawab dalam hal ini. Ada baiknya Muhyiddin baca tulisan Suflan Shamsuddin di Malaysia Today mengenai siapa yang menjadi “pengkhianat” kepada Melayu.

Nasib kita di Malaysia malang sekali. Pemimpin kerajaan BN takut benar hilang kuasa. Takut kalau rakyat akan memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang. Mereka takut kepada Anwar Ibrahim sehinggakan menuduhnya pengkhianat dan “sodomist”. Mereka hanya tahu buat tuduhan liar. Ini kerana mereka tak mampu nak lawan dasar dan politik mesra rakyat yang dibawakan oleh Ketua Pembangkang secara hujah dan fakta dengan sopan dan tertib. Muhyiddin dan para pemimpin UMNO tidak faham yang orang lain juga ada pandangan dan pendirian politik yang tersendiri. Mereka hanya mahu orang Melayu ikut telunjuk UMNO sahaja. Ketakutan itulah yang membuat Muhyiddin dan hulubalang-hulubalangnya berteriak “pengkhianat” apabila berdepan dengan Anwar. Mereka sangka rakyat akan percaya fitnah ini untuk membolehkan mereka mengguna apa cara sekali pun termasuk kekerasan untuk menahan kemaraan Anwar yang membawa politik telus dan mesra rakyat.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir akan menjadi kayu pengukur sejauh mana “kejayaan” taktik kotor UMNO dan BN yang selalu digunakan terhadap lawannya. Selepas pilihan raya kecil Manik Urai, UMNO kini kembali sombong seperti dahulu; mereka yakin ada peluang yang baik. Mereka ada “formula Manik Urai” yang akan digunakan di Permatang Pasir. Kita semua tahu “formula” ini dan saya harap pengundi Permatang Pasir cukup matang untuk menerima atau menolak “formula” UMNO dan BN nanti. Tetapi jangan sekali-kali tukar pilihan hati sanubari kita.

Jika kita mahu kepada kebenaran, keadilan dan ketelusan, ingatlah bahawa PAS adalah rakan Pakatan Rakyat. Pilihlah calon PAS untuk pilihan raya kecil ini. Saya yakin segala masalah remeh antara parti-parti dalam Pakatan akan diselesaikan dengan baik. Semua ahli parti harus bekerjasama demi kepentingan rakyat. Semoga PAS dan Pakatan Rakyat akan berjaya. Ini adalah antara langkah awal kita untuk menolak UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang, demi demokrasi dan negara yang lebih bermaruah, aman dan makmur tidak lama lagi.

dipetik daripada:-
http://myzaidibrahim.wordpress.com

Thursday, August 13, 2009

Usia Lewat dalam percintaan...


Hiasan sahaja

Benarkah usia mempengaruhi hasrat cinta seseorang?

DALAM urusan percintaan, ada beberapa persamaan yang pastinya dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia.

Misalnya, bangkit perasaan berbunga-bunga saat sedang jatuh cinta, sehingga ada di antara anda mengalami tekanan perasaan, rasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya, ia jelas berbeza.

Usia 30-an

Ini merupakan saat di mana anda mula memikirkan alam perkahwinan dan mencari seseorang untuk dijadikan teman hidup. Tetapi malangnya, anda seringkali diketemu dengan orang yang tidak tepat, di saat atau di tempat yang tidak sepatutnya anda menjalinkan hubungan dengannya.

Anda juga akan berfikir, kenapa begitu sulit untuk bertemu dengan seseorang seperti yang diidam-idamkan selama ini.

Selain itu, anda akan memikirkan impaknya apabila anda mula jatuh cinta dengan seseorang yang tidak secocok, seperti yang didambakan selama ini. Akhirnya, masalah besar akan timbul. Agar tidak terlepas daripada segala kebimbangan, langkah yang disenaraikan minggu ini seharusnya diterapkan.

* Tentukan batas waktu

Saat anda merencanakan untuk mendirikan rumah tangga, tetapi pasangan tidak sependapat dengan anda dengan memberi pelbagai alasan serta pertimbangan, langkah pertama adalah dengan menentukan batasan waktu.

Beri kekuatan kepada diri sendiri, bilakah masa terbaik bagi menamatkan zaman bujang. Misalnya, anda menetapkan satu tarikh lain untuk memulakan bicara pernikahan dengan pasangan.

Tiba sahaja waktu yang telah anda tentukan, katakan kepadanya hasrat atau tujuan dan keinginan anda yang terpendam.

Sekiranya, tiada sebarang perubahan atau si dia masih terpinga-pinga untuk menjawab lamaran anda, kenapa harus membuang masa. Jadi, lakukan perkara yang difikirkan terbaik untuk anda.

* Fleksibel

Setiap orang mempunyai minat dan hobi yang berbeza-beza. Oleh itu, walaupun anda saling menyintai, masih timbul hal-hal kecil yang harus dihadapi. Dalam hal ini, bincang sebab dan cara penyelesaiannya.

Apabila pasangan memilih untuk menonton televisyen di rumah dan anda pula mengajaknya keluar, cari jalan penyelesaian. Misalnya, ajak dia minum kopi di sebuah kafe, kemudian barulah membawanya menonton pertandingan bola sepak kegemarannya di rumah. Ingat, tiada siapa yang dapat mengubah seseorang, selain insan yang benar-benar dia sayangi.

Dalam urusan percintaan, terdapat beberapa persamaan yang pastinya akan dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia. Misalnya, perasaan berbunga-bunga saat sedang dilamun cinta, sehingga membuatkan seseorang berasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya jelas berbeza.

Usia 40-an

Biasanya pada usia ini, mereka yang gagal dalam perkahwinan akhirnya akan memilih jalan singkat iaitu penceraian. Mereka yang gagal dalam perkahwinan pertama dulu, sekiranya kembali bercinta, biasanya mereka sudah lupa cara-cara menjalin hubungan atau berasa ragu untuk melakukan sesuatu walaupun telah menemui pasangan yang secocok.

* Perbaiki keterampilan bercinta

Apabila anda ingin bercinta buat kali kedua selepas putus ikatan perkahwinan, anda seharusnya menenangkan diri dahulu. Lakukan introspeksi dengan meminta seorang rakan menjadi teman kamu. Tanyakan kepadanya, apa kekurangan yang ada pada diri anda atau adakah anda perlu memperbaiki penampilan. Mungkin anda tidak menyedarinya secara langsung.

Satu perkara yang perlu diingatkan, perubahan yang anda lakukan tidak bererti anda harus berubah secara drastik. Anda tidak perlu melakukan pembedahan plastik untuk memperbaiki hidung atau anggota lain yang dianggap boleh memberi tuah kepada anda.

* Elak bercinta selepas cerai

Bagi sesetengah pasangan, mereka dilihat begitu terdesak untuk bercinta lagi sebaik sahaja baru bercerai. Apabila bercerai, anda memerlukan waktu untuk menyembuhkan luka lama dan bermuhasabah diri, misalnya mengapa terjadi perceraian. Ini penting agar kegagalan tersebut tidak berulang kembali.

Untuk mengetahui bahawa anda benar-benar ingin bercinta lagi, tanyakan kepada diri sendiri:

Adakah anda menganggap semua lelaki tidak guna?

Atau adakah semua wanita materialistik?

Adakah anda terikat dengan pelbagai kegiatan, selain anak-anak dan pekerjaan?

Adakah anda dapat mengendalikan diri dan dapat membentuk kehidupan percintaan baru?

Sekiranya jawapan anda 'ya' untuk semua pertanyaan di atas, bererti anda memiliki sikap dan pendirian yang sebenar.

* Hati-hati dengan buah hati

Tiada masa untuk bercinta? Luangkan waktu untuk bercinta dengan membawa anak-anak ke rumah sanak keluarga mahupun ibu bapa atau pengasuh yang boleh dipercayai. Anda tidak perlu memperkenalkan teman baru kepada anak-anak, tetapi cukup hanya mengatakan kepada mereka bahawa jika mereka memiliki kawan, maka anda juga memerlukan teman baik.

Perlu diiingatkan, anda seharusnya berterus-terang kepada anak-anak tentang apa juga yang anda rasakan ketika itu. Jangan sesekali menyimpan rahsia, takut nanti perkara tersebut terlepas ke telinga mereka tanpa diduga daripada pihak lain. Jika ini berlaku, masalah lain pula akan muncul.

*Begitulah usia lewat bukan bererti gagal dalam percintaan.Ini juga adalah sunnah org yang dalam berkasih-kasihan dalam menjamah sifat Rahim Allah. Tidak dilupakan bagi mengikuti sunnah Nabi Allah Adam dalam melengkapkan hati nuraninya dalam memenuhi jiwa dalam memenuhkan kasih dan sayang dengan bertemankan Hawa. Cinta itu adalah fitrah. Fitrah itu adalah Sunnah. Sunnah itu adalah Syariat. Syariat itu adalah ajaran Nabi dan ajaran Nabi adalah datangnya dari Allah.
Ya Allah ...."kiranya tiada cinta insani utkmu,cukupla cinta ALLAH penyuluh hidupmu, kelak akan ada cinta utkmu dr insan y menyintai ALLAH sbgaimana cintamu kpadaNYA..insyaallah.."

*afifzahrah

Sunday, August 09, 2009

Dari Kamar Suami Isteri

Wasiat Rasulullah

HIASAN


Ahmad telah menceritakan :

"Telah menceritakan kepada kami oleh 'Amru bin Hafsah dan Abu Naar dari
Muhammad bin Al-Haitham dari Ishak bin Hanjih, dari Husaif dari Mujahid
daripada Al-Khudri yang berkata : "Rasulullah s.a.w. telah berwasiat
kepada Saidina Ali bin Abi Talib r.a di mana baginda telah bersabda :

1. "Wahai Ali, bila pengantin perempuan masuk ke dalam rumahmu, maka
(suruh ia) tanggalkan kasutnya ketika ia duduk dan (suruh ia) membasuh
kedua-dua kakinya. Maka sesungguhnya apabila kamu berbuat demikian Allah
mengeluarkan tujuh puluh ( 70 ) jenis kefaqiran dari rumah kamu, dan
Allah s.w.t. menurunkan tujuh puluh ( 70 ) rahmat yang sentiasa menaungi
di atas kepala pengantin sehingga sentiasa keberkatan itu meratai setiap
penjuru rumahmu dan pengantin itu sejahtera dari penyakit gila, sawan
(gila babi) dan sopak selama mana ia berada di dalam rumah tersebut.
Laranglah pengantin itu daripada memakan dan meminum empat ( 4 ) jenis
makanan ini pada minggu pertama perkahwinan iaitu :

1. Susu 2. Cuka 3.Ketumbar 4. Epal Masam

Saidina Ali r.a bertanya :
"Wahai Rasulullah, mengapakah empat jenis makanan ini dilarang..?"

Baginda menjawab :
"Kerana rahim perempuan itu kering dan sejuk, dengan sebab dari empat
perkara (makanan) ini untuk menghalang dari dapat anak. Sesungguhnya
tikar di penjuru rumah adalah lebih baik daripada perempuan yang tidak
dapat anak."

Saidina Ali r.a bertanya :
"Wahai rasulullah, mengapakah cuka itu di larang..? (semasa haid dan
semasa minggu pertama perkahwinan) ."

Baginda menjawab :
"Apabila ia minum cuka semasa haid, sesungguhnya haidnya itu tidak akan
bersih selama-lamanya secara sempurna.

Mengenai ketumbar ia mengganggu haid di dalam perutnya dan menyukarkan
kepadanya kelahiran.

Tentang epal masam, ia memotong haid sebelum masanya maka menjadikan
haid itu berlalu begitu saja dengan sebabnya."

2. "Wahai Ali..! janganlah engkau berjima' dengan isterimu pada awal
(hari pertama) bulan, pada pertengahannya (sehari) dan pada akhir (dua
hari) di hujung bulan. Maka sesungguhnya penyakit gila, gila babi dan
sopak mudah mengenainya dan anaknya."

3. "Wahai Ali..! janganlah berjima' dengan isterimu selepas zohor,
sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak
kerana jima' pada waktu itu, maka ia akan bermata juling dan syaitan
sangat suka kepada manusia yang bermata juling."

4. "Wahai Ali..! janganlah bercakap-cakap semasa jima', sesungguhnya
jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak dengan jima' yang
demikian, maka anak itu tidak selamat daripada bisu."

5. "Wahai Ali..! janganlah lihat kepada faraj perempuanmu dan jagalah
pandanganmu sewaktu berjima', (jika tidak) sesungguhnya mewarisi buta
iaitu anak."

6. "Wahai Ali..! janganlah berjima' dengan perempuanmu dengan syahwat
terhadap perempuan lain, maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah
s.w.t. mengurniakan kepadamu berdua anak, anak itu akan menjadi pondan
yang bersifat benci dan hina."

7. "Wahai Ali..! jika kamu berjunub di tempat tidur, janganlah membaca
Al-Quran, maka sesungguhnya aku bimbang akan turun kepada kamu berdua
api
(bala) dari langit yang membakar kamu berdua."

8. "Wahai Ali..! janganlah berjima' dengan isterimu kecuali ada padamu
satu tuala dan pada isterimu satu tuala."

9. "Wahai Ali..! janganlah kamu berdua menyapu dengan menggunakan satu
tuala, nanti akan jatuh syahwat keatas syahwat (salah seorang akan kuat
syahwatnya daripada yang lagi satu), maka sesungguhnya yang demikian itu
akan mengakibatkan permusuhan kemudian membawa kamu berdua kepada
berpecah dan talak."

10. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu secara
berdiri, maka sesungguhnya yang demikian itu daripada perbuatan keldai,
jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, maka anak itu
sentiasa kencing di tempat tidur seperti keldai yang suka kencing di
merata-rata tempat."

11. "Wahai Ali..! janganlah berjima' dengan isterimu pada malam 'Aidil
Fitri (Raya Puasa), maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan
kepada kamu berdua anak anak itu seorang yang cacat dan tidak mendapat
anak baginya kecuali sudah tua."

12. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada malam
'Aidil Adha, maka sesungguhnya jika kamu berdua berjima' pada malam
tersebut, apabila Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, aku
bimbang ia akan menjadi seorang yang berjari enam atau empat."

13. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu di bawah
cahaya matahari (secara langsung) dan terkena warna (cahayanya), kecuali
kamu mengenakan tutupan (bumbung), jika tidak maka sesungguhnya kalau
Allah mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi
seorang sentiasa hidup dalam meminta-minta dan faqir sehingga mati."

14. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu di bawah pohon
kayu yang berbuah, maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kamu
berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang tukang gojo ( algojo),
tukang sebat atau seorang ketua yang bengis,"

15. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu sewaktu antara
azan dan iqamah, jika berjima' pada waktu demikian,sesungguhn ya jika
Allah mengurniakan anak pada kamu berdua, nanti ia menjadi seorang yang
menumpahkan darah."

16. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu semasa ia
hamil kecuali kamu berdua berwudhu', jika tidak maka sesungguhnya jika
Allah s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak, nanti ia akan menjadi
seorang yang buta hati dan bakhil tangan."

17. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada
pertengahan (Nisfu) Sya'ban, maka sesungguhnya yang demikian itu jika
Allah s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak,nanti anak itu akan mempunyai
tanda yang jelek pada muka dan rambutnya."

18. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada akhir
bulan (yakni tinggal dua hari) maka sesungguhnya yang demikian itu jika
Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak tersebut
menjadi seorang yang sentiasa perlu meminta-minta. "

19. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu dengan syahwat
terhadap saudara perempuannya (ipar kamu) kerana yang demikian itu
sesungguhnya kalau Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak,
nanti anak itu akan menjadi penolong dan pembantu kepada orang yang
zalim dan pada tangannya membuat kebinasaan kepada manusia."

20. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu di atas loteng
maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah s.w.t. mengurniakan anak
kepada kamu berdua nanti anak itu menjadi seorang munafiq, pelampau yang
melewati batas."

21. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada malam
kamu hendak keluar musafir kerana yang demikian itu sesungguhnya kalau
Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, ia akan membelanjakan
harta kepada yang tidak Haq," dan Rasulullah s.a.w. membaca ayat
Al-Quran : "Innal Mubazziriina kaanu ,ikhwan Nas, Syayathin."

22. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu bila kamu
keluar bermusafir dalam tempoh tiga hari tiga malam, maka yang demikian
itu sesungguhnya bila Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak,
nanti ia menjadi seorang pembantu kepada setiap orang yang zalim."

23. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada awal
malam, maka sesungguhnya jika dikurniakan anak kepada kamu berdua, ia
menjadi seorang tukang sihir, songlap, dan menghendaki dunia daripada
akhirat."


ANJURAN BERJIMA'

24. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu bacalah :
"Allahumma Jannibnis Syaitan Wajanibis Syaitan Mimma Rozaktani." Maka
yang demikian itu kalau Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu anak,
tidak dimudaratkan oleh syaitan terhadapnya selama-lamanya. "

25. "Wahai Ali..! hendaklah kamu berjima' dengan isterimu pada malam
Isnin maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu
berdua anak, ia akan menjadi seorang yang berpegang teguh kepada kitab
Allah(Al-Quran) dan redha terhadap segala pemberian Allah s.w.t. (baik
dan buruk Qada' dan Qadar Allah)."

26. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu pada malam
Selasa,Allah s.w.t. akan memberi kepada kamu berdua anak yang mendapat
nikmat Mati Syahid sesudah syahadah : 'Anla ilahaillallah wa anna
Muhammada ar-Rasulullah' dan Allah s.w.t. tidak azabkannya (turun bala
kepadanya)bersama- sama orang musyrikin, mulutnya berbau harum yang akan
melembutkan hati orang, bersih lidahnya daripada mengumpat, berdusta dan
mengadu-domba.

27. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu malam Khamis, maka
Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada kamu berdua anak yang bijaksana,
atau seorang yang alim,di kalangan orang-orang yang alim."

28. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu sewaktu matahari di
tengah langit, Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua seorang anak
yang tidak di hampiri syaitan sehingga ia beruban (tua) dan menjadi
seorang yang faqih serta Allah s.w.t. rezekikan kepadanya keselamatan
agama dan dunia."

29. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu pada malam Jumaat
dan nanti anak kamu berdua adalah seorang pemidato yang berwibawa dan
petah berkata-kata.

30. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu pada hari
Jumaat,selepas Asar, Allah s.w.t. akan kurniakan seorang anak yang
terkenal,masyhur dan alim."

31. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu pada malam Jumaat
selepas Isyak yang akhir, maka sesungguhnya di harapkan anakmu nanti
menjadi seorang yang abdal (terkemuka), "


"WAHAI ALI PELIHARALAH WASIATKU INI SEBAGAIMANA AKU TELAH MEMELIHARANYA
DARI JIBRIL A.S."


* Petikan dari Al-Ikhtisyaah (ms.132-135) , As-Saduq, Al-Faqih
(ms.456) dan Al- Ilal (ms

Wednesday, August 05, 2009

ISTIMEWANYA PEREMPUAN ISLAM..

Gambar Hiasan
DI MANA....ISTIMEWANYA PEREMPUAN ISLAM

Kaum hawa berkata, susah menjadi perempuan Islam, lihat saja peratuan dibawah ini :-
Perempuan auratnya lebih susah dijaga dibanding lelaki,
Perempuan perlu meminta izin suaminya apabila mau keluar rumah, tetapi tidak sebaliknya,
Perempuan saksinya kurang dibanding lelaki,
Perempuan menerima warisan setengah dari lelaki,
Perempuan perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak,
Perempuan wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat kepada isterinya,
Talak terletak ditangan suami dan bukan ditangan istri,
Perempuan kurang dalam beribadah karena masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Hakikatnya..
Benda yang mahal harganya akan dijaga dan disayangi serta disimpan ditempat yang selamat dan terbaik.
Tentunya intan permata tidak akan dibiarkan terserak bukan? Demikian halnya dengan perempuan dan auratnya.
Perempuan perlu taat kepada suaminya, tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapaknya.
Bukankah ibu adalah seorang perempuan? Perempuan menerima warisan setengah dari lelaki, tetapi harta itu
menjadi milik pribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya. Manakala lelaki menerima warisan, perlu
menggunakan hartanya untuk isteri dan anak-anaknya. Perempuan perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak,
tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala mahluk, malaikat dan seluruh mahluk Allah di muka bumi ini,
dan jika meninggal karena melahirkan adalah syahid. Di akhirat kelak, seorang lelaki akan diminta
pertanggung jawabnya terhadap 4 perempuan, iaitu isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya.
Sedangkan seorang perempuan, tanggung jawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki yaitu suaminya,ayahnya,anak lelakinya
dan saudara lelakinya. Seorang perempuan boleh memasuki pintu syurga melalui pintu syurga manapun yang disukainya
cukup dengan 4 syarat iaitu sholat 5 waktu, puasa di bulan ramadhan, taat kepada suaminya dan menjaga kehormatannya.
Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah, tetapi perempuan jika taat kepada suaminya serta menunaikan
tanggung jawabnya kepada Allah, akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berjihad tanpa perlu mengangkat senjata.
Masya Allah.begitu sayangnya Allah kepada perempuan.

* Kucoretkan catitan ini sekadar untuk ku hiasi dalam diari hidup ini, bahawa wanita diciptakan untuk lelaki ini sebagai pelengkap kehidupan sebagaimana nabi Adam seolah-olah merindui akan sesuatu dan jiwanya perlu dilengkapi..Moga catatan ini memberikan inspirasi untuk semua wanita yang bergelar Muslimah..
Ayuh serlahkan kesolahan mu!!!

*afifzahrah*

Monday, August 03, 2009

Month of Prophet

Syaaban

Kelebihan sya'ban

Daripada Usama bin Zaid ra, beliau berkata:

ولم يكن يصوم من الشهور ما يصوم من شعبان قلت ولم أرك تصوم من الشهور ما تصوم من شعبان؟
ذاك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين عز وجل فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم

"Rasulullah saw tidak pernah berpuasa sebanyak yang baginda puasa dibulan sya'ban." Aku bertanya kepada baginda " Kenapa aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dibulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa dibulan sya'ban." Baginda saw menjawab: Itulah bulan yang ramai manusia lalai iaitu diantara bulan rejab dan bulan ramadan. Ia juga bulan yang diangkatkan amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa." (Hadis Ahmad dan Nasaie - sanad yang hasan)

Disini Nabi menyebut dua kelebihan bulan rejab:-

1. Bulan yang disunatkan beramal terutamanya puasa kerana bulan yang mana manusia biasa lalai dalam bulan ini.

2. Bulan yang diangkat amalan kepada Allah swt.

Adakah Nabi saw berpuasa penuh pada bulan sya'ban?

Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa penuh dalam bulan sya'ban sperti hadis:

كان يصوم شعبان كله

"Nabi saw berpuasa penuh didalam bulan sya'ban." (Hr Bukhari - sahih)

Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa sebahagian besar pada bulan sya'ban dan tidak penuh seperti hadis:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم شعبان إلا قليلا

" Rasulullah saw telah berpuasa sebahgian besar dari bulan sya'ban." (Hr Nasaie)

Sekelompok ulama telah mentarjih pendapat yang mengatakan Nabi saw tidak berpuasa penuh dalam bulan sya'ban. Ini dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan dari 'Aisyah ra:

ما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان

"Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa selama sebulan penuh melainkan pada bulan ramadan." (Hr Bukhari dan Muslim - sanad sahih)

oleh itu Ibnu Abbas menganggap makruh orang yang berpuasa penuh selama sebulan melainkan ramadan.

Hukum berpuasa selepas 15 sya'ban

Haram berpuasa sunat selepas 15 sya'ban. Ini jelas dari hadis dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw:

إذا انتصف شعبان فلا تصوموا

"Apabila telah berlalu 15 sya'ban tidak boleh puasa." (Hr Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah - sahih)

Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya adatnya pada hari tertentu dia berpuasa sebelum 16 sya'ban atau menyambung dari puasa yang seseorang puasa sebelum 16 sya'ban. Ini berdasarkan hadis berikut:

لا تقدموا رمضان بصوم يوم أو يومين إلا إذا كان يصوم صوما فليصمه

"Janganlah kamu mendahului berpuasa sebelum ramadan sehari atau dua hari melainkan sekiranya puasa yang biasa dilakukan maka dia boleh teruskan puasa." (Hr Bukhari dan Muslim)

Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya puasa wajib seperti puasa ganti dan puasa nazar.

Kelebihan hari dan malam nisfu (15) sya'ban

Nabi saw bersabda:

إن الله ليطلع ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن

"Sesungguhnya Allah taala akan meninjau pada malam nisfu sya'ban, lalu mengampunkan dosa-dosa semua makhluknya melainkan orang yang musyrik atau orang yang berbalah." (Hr Ibnu Majah - hasan)

Ulama Syam telah berselisih pendapat terhadap cara menghidupkan malam nisfu sya'ban kepada dua pendapat:

1. Sunat menghidupkan malamnya dengan cara berhimpun beramai-ramai di masjid. Pendapat ini disokong oleh Ishak bin Rahawiyah.

2. Sunat menghidupkan malamnya dengan ibadah bersendirian. Ini pendapat imam Auzaie seorang tokoh besar ulama syam. Ini juga pendapat yg lebih tepat menurut Ibnu Rajab al-Hambali.

Imam Ibnu Taymiah juga berkata:

"Apabila seseorang solat seorang diri dimalam nisfu sya'ban atau berjemaah seperti mana yang dilakukan oleh kelompok2 salafus soleh adalah perkara yang baik." (Majmu'ul Fatawa 131/23)

kesimpulan: oleh itu digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa.

Rujukan: Lataiful Maarif oleh Ibnu Rajab, Mu'tamad oleh Dr Muhammad Zuhaily dan Lailatun Nisfis Sya'ban oleh Syeikh Zaki Ibrahim.

*afif*

Blog Archive