Bagaimana menjadi Seorang Muslimah Berfikrah Islamiyah ?
Islam merupakan ajaran Allah yang lengkap, sempurna, syumul dan merangkumi seluruh aspek kehidupan mukmin. Inilah Addeen yang diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan telah dilaksanakan sejak zaman awal diutuskan Rasulullah S.A.W ke bumi ini.
Allah S.W.T telah menjelaskan dan menegaskan tentang kesempurnaan Islam dalam firmanNya:
اليوم أكملت لكم دينكم و أتممت عليكم نعمتي و رضيت لكم الإسلام دينا
Yang bermaksud, “ Pada hari ini telahku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah aku cukupkan padamu nikmatku dan telah kuredhai Islam itu jadi agama bagimu” (Al-Maidah:3)
Oleh kerana Deenul Islam telah sempurna, maka kita tidak boleh menambah atau mengurangkannya, begitu juga kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita hendaklah menyedari bahawa, kita adalah pengikut dan penganut Deenul Islam dan mengakui sebagai hamba Allah dan bukannya pencipta Deen.
Oleh yang demikian, maka kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam itu yang harus bersesuaian dengan selera kita, kehendak kita, dan kemahuan masyarakat seperti firman Allah :
“ Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang dimuka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikut prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah” (Al-anam:116)
Nilai yang ada pada diri kita juga ialah nilai Islam, iaitu nilai yanag telah ditetapkan oleh Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. Oleh yang demikian, tidak dapat tidak, sebagai hamba Allah kita wajib redha pada syariat Islam.
Tasawwur Islami(gambaran Islam) hendaklah difahami dengan betul, dan kita hendaklah bersifat jiddiah (serius) dalam memahami Islam dan tidak mencampur adukkan dengan isme-isme lain.
Untuk itu, kita hendaklah mengenali Islam dan mengenali jahiliyyah. Mengenal Islam untuk dihayati dan mengenal jahiliyyah untuk dijauhi. Kita hendaklah mengenal setiap rupa bentuk dan tektik jahiliyyah untuk dijauhi, dengan itu barulah kita dapat membezakan antara pembawakan jahiliyyah atau Islam.
Sabda rasulullah S.A.W : “ Barangsiapa mengenal atau mempelajari bahasa sesebuah kaum, maka mereka terselamat dari tipu daya mereka”
Selain itu, Kita juga mesti mengenali atau menguasai realiti agar kita tidak salah faham, seperti mengatakan loteri kebajikan itu halal. Untuk memahami Islam dan realitinya, kita sememangnya kekurangan ilmu, oleh itu berhajat atau perlu kepada berjama’ah (berkumpulan). Kita sememangnya tidak mempunyai ilmu yang sama atau setaraf, tetapi dengan berjema’ah(berkumpulan) kita mampu mengatasinya.
Disamping itu, antara sikap yang mesti ada ialah, kita jangan mudah menerima sesuatu yang bukan berasaskan Islam, jangan mudah terpengaruh dengan istilah dan teknik atau slogan yang menarik seperti “demi pembangunan”, “demi kemajuan” atau “malam amal” . Dalam hal ini kita hendaklah mengenengahkan fikrah Islam dengan Jelas dan pendirian Islam yang tegas kepada masyarakat.
Setiap individu muslim juga mesti mempunyai al-Wa’yu al-Islami (kesedaran Islam), Ianya tidak sama dengan ilmu Islam kerana dalam usaha untuk memperolehi “kesedaran Islam” perlu kepada kesabaran, ketekunan dan kegigihan dalam berusaha.
Seseorang yang mempunyai “kesedaran Islam” akan mudah terasa dan sensitif terhadap apa jua yang bercanggah dengan Islam. Untuk itu, kita perlukan kepada didikan atau tarbiyyah. Tarbiyyah yang boleh melahirkan syakhsiah atau keperibadian muslim sejati.
Seorang mujahid Islam, Ustaz Fathi Yakan menyatakan bahawa, pembentukan syakhsiyyah itu hanyalah dapat dibentuk dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Antara contohnya, dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima’ dan sebagainya.
Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah islam pun dari pemikirannya. Sesiapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam adalah dikira menyeleweng.
Ketahuilah bahawa, fikrah yang kita bawa adalah ad-deen yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Ad-Deen yang dimaksudkan di sini bukanlah ad-deen yang diterjemahkan kepada agama sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang. Keaslian Islam hanyalah boleh dilihat dari sumber asalnya iaitu al-Quran dan Hadith dan juga dari ulama’ dan mujahid Islam yang muktabar.
Allah S.W.T telah memberi kata putus dan memberi pilihan kepada hamba-hambNya samaada beriman atau tidak, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
“ Dan katakanlah (wahai Muhammad): kebenaran itu ialah yang datang dari tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah” (al-Kahfi:29)
Oleh itu, sebagai hamba kita hendaklah berfikiran jauh, iaitu memikirkan tentang kedudukan dan nasib kita pada hari akhirat kerana kita tidak tahu dimanakah tempat yang bakal diduduki samaada syurga atau neraka. Dek kerana ceteknya pengetahuan akal seorang hamba dan ketidaktahuan ini, maka hendaklah kita mempunyai sifat takut dan berharap. Takut ialah bagi yang mengenaliNya, dan harap bagi yang melaksanakan suruhanNya.
Iltizam kita kepada Islam hendaklah pada setiap masa dan tidak pada majlis rasmi sahaja. Untuk ini juga, kita perlu kepada “kesedaran Islam yang jelas” dan bukannya ilmu semata-mata. Ilmu sahaja tanpa kesedaran tidak dapat membawa kepada Islam yang sebenarnya. Sekiranya diperingkat individu muslim sudah tidak berjaya untuk menguasai pemahaman Islam secara tulus, maka bagaimana untuk membawa penghayatan Islam secara sepenuhnya dalam konteks masyarakat.
Ilmu-ilmu Islam hendaklah diproses dan diolah melalui acuan iman atau tarbiyyah iman sehingga lahir kesedaran dan keinginan untuk melaksanakan Islam denagn patuh. Kesedaran fikiran sahaja tidak mencukupi, tetapi haruslah dilazimi dengan Islam dan juga diiringi dengan Iradah(kehendak atau keinginan). Maksudnya, di mana sahaja kita berada kita membawa Islam. Ini juga bererti, peribadi kita menterjemahkan Islam..(Islam menjadi darah daging).
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa, dalam melalui proses tersebut masih terdapat saki baki jahiliyyah. Oleh itu, penting bagi seseorang muslim untuk mengetahui apakah ciri-ciri jahiliyyah dan apa sahaja yang berkaitan dengannya supaya ianya menjadi panduan kepada kita untuk menjauhkan diri dari aspek-aspek jahiliyyah tersebut.
Apabila melihat kepada konteks muslimah, yang mana muslimah juga merupakan individu-individu muslim yang perlu berfikrah dengan fikrah Islamiyyah yang jelas, maka selayaknya bagi seseorang muslimah itu untuk memakaikan dirinya dengan pakaian Islam yang indah yang menterjemahkan keindahan dan kesempurnaan Islam. Muslimah juga harus menampilkan idea pemikiran dan pengetahuan yang berlandaskan fikrah Islamiyyah dalam membentuk masyarakat dan madu’u disekelilingnya.
Muslimah adalah diantara penyumbang terbesar ke arah jatuh bangunnya sesuatu bangsa atau Negara. Oleh itu, wahai muslimah yang dianugerahkan oleh Allah dengan sifat-sifat dan kelebihannya yang tersendiri, laksanakanlah setiap amanah yang dipundakkan dengan sebaiknya dan jauhilah daripada menjadi pendorong kepada perkara-perkara yang dimurkai oleh pencipta agung kita Allah S.W.T.
Risalah أيتها الفتيات (Bil : 6)
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir