Kita sering mendengar kisah tentang Muhammad bin Wasi' seorang ahli zuhud di masanya, tatkala dia berada dalam barisan askar yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan kalimah "La ilaha illallah" pada bahagian timur negara Islam saat itu.
Maka pada suatu kesempatan, Qutaibah hendak menguji Muhammad bin Wasi' ini di hadapan panglima dan para menteri, maka Qutaibah berkata kepada para panglima dan para menteri ini, sementara di tangannya terdapat segenggam emas yang diperolehi daripada hasil ghanimah perang daripada musuh-musuh Islam, sebagai langkah awal, dia berkata kepada mereka: "Adakah tuan-tuan percaya bahawa kalau saya menyerahkan segenggam emas ini kepada seseorang, lalu dia akan menolaknya?"
Mereka menjawab: "Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang menolak (zuhud) terhadap segenggam emas ini."
Maka dia berkata: "Baik, saya akan memperlihatkan seseorang daripada umat Nabi Muhammad s.a.w. yang menyamakan emas dengan tanah kepada tuan-tuan. Maka dia pun berkata kepada para perajuritnya: "Panggillah Muhammad bin Wasi' untuk segera menghadapku."
Maka dengan serta merta para perajurit itu menghampiri Muhammad untuk mereka hadapkan kepada pemimpin mereka, maka seketika mereka melihatnya bertasbih dan beristighfar (memohon ampun) serta memuji Allah SWT seraya memohon kepadaNya untuk kemenangan kaum Muslimin.
Maka tatkala dia menghadap Qutaibah, beliau pun memberikan segenggam emas itu kepadanya. Maka dia pun mengambil emas tersebut daripada Qutaibah.
Dengan serta-merta Qutaibah tercengang! kerana sebelumnya dia beranggapan bahawa, Muhammad bin Wasi' akan menolak pemberiannya. Seketika itu juga, wajah Qutaibah berubah di hadapan para panglima dan para menteri itu.
Lalu Muhammad bin Wasi' keluar daripada majlis tersebut dengan membawa emas, maka Qutaibah memerintahkan perajuritnya untuk mengawasinya ke mana dia akan membawa emas tersebut? Lalu Qutaibah berkata: "Ya Allah, janganlah kamu sia-siakan hasratku kepadanya."
Muhammad bin Wasi' terus membawanya, sampai ia bertemu dengan seorang miskin yang meminta-minta kepada perajurit tersebut, maka dia pun memberikan semua pemberian Qutaibah itu kepadanya.
Tatkala mereka memberitahukan peristiwa tersebut kepada Qutaibah, maka diapun berkata kepada orang yang berada di sekelilingnya: "Bukankah aku sudah mengatakan kepada kalian bahawa masih ada hamba Allah daripada umat Nabi Muhammad s.a.w. yang menyamakan emas dengan tanah?!
Dan beginilah zuhud yang diinginkan itu. Saya selalu mengulang-ulangi kisah ini, kerana kisah ini sangat berkesan dan berpengaruh.
Kita sangat perlu untuk mengulangi kisah-kisah seperti ini, sama ada ketika berceramah, memberi nasihat, mengajar, mendidik atau membina dan mengarahkan umat ini, supaya manusia kembali kepada Allah SWT dengan sebaik-baiknya.
Kerana di zaman kita sekarang ini, sangat banyak manusia yang sudah menjadi hamba dunia, sehingga ia tidak boleh untuk menghadiri majlis-majlis ilmu dan dakwah Islamiyyah dan tidak sempat lagi untuk berzikir dan membaca Al-Quran kerana kecintaannya kepada dunia.
Kita sangat perlu untuk mengulangi pelajaran-pelajaran berharga seperti ini kepada segenap manusia, supaya hati mereka sedar dan bangun kembali daripada kekhilafan dan kelalaian mereka.