Ikon demokrasi mana-mana negara lazimnya akan menjadi ikon barat dan dunia. Uniknya kepincangan dan kelumpuhan tubuh badan demokrasi Mesir tidak pula menjadi isu yang disinggung oleh dunia Barat.
Bila rakyat Mesir dan Ikhwanul Muslimin (IM) memilih laluan demokrasi setelah hampir lima dekad mengambil jalan dakwah semata, lantas keputusan memihak kepada Dr Morsi dan IM ; tiba-tiba dunia menjadi bungkam dan statik.
Lulusan cendikiawan dari Universiti Amerika; lengkap pakej profesional, pembicara dan hafiz ini langsung tiada nilai dalam darjah bacaan demokrasi ala barat.
Dr Morsi mengambil risiko dalam sedar. Memimpin negara penuh hemah, akhirnya dikasihi rakyat sekalipun dia dimusuhi oleh junta tentera.
Ironisnya, dunia menyaksikan bagaimana Presiden pilihan demokrasi digulingkan depan mata rakyat. Dipenjara, dibicara dan kini menunggu ketika dan saatnya untuk menjalani hukuman bunuh. Semuanya ibarat satu episod cereka dunia yang sememangnya sudah diskripkan. Oleh siapa?
Justeru, seiring dengan prinsip demokrasi yang diterima seantero dunia, politik beretika dan hak rakyat jelata ; Dewan Muslimat menggesa seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dengan rakyat seluruh dunia tegakkan hak Morsi dan rakyat mesir ini!
Kita punya pengalaman perit FIS di persada antarabangsa dan kini Dr Morsi menunggu masa sebelum mereka melebar langkah menuju kita di seluruh dunia.
Islam adalah agama dakwah, amanah dan ukhuwwah.
Sebagai wanita, isteri, ibu, kakak, adik dan anak kepada pejuang, para wanita harus bangkit dan gerakkan seluruh keluarga kita untuk mara bersama perjuangan ini.
Apalagi yang mereka tuntut dari kita? Demokrasi pujaan mereka kita kuasai sekarang walau akhirnya hak ini dinafikan oleh beberapa kerat konglomerat kuasa.
Nyawa Muhammad Morsi adalah lambang nyawa dan suara jutaan manusia yang telah memilihnya sebagai Presiden Mesir. Tiada kesalahan jenayah dan tiada skandal yang dilakukannya. Yang ada hanyalah semata-mata tuduhan pengkhianat politik ke atasnya oleh seterunya.
Morsi - Wira Dunia ... dan kini bakal melangkah menjadi Wira Akhirat tanpa sempat memberikan lebih manfaat untuk kita. Kecaman daripada semua peringkat, bangkangan dan bantahan keras daripada seluruh dunia diharapkan akan memberi tekanan politik dan antarabangsa untuk Mesir dan sekutunya.
Sejujurnya, Morsi adalah nilai sebuah demokrasi!
MUMTAZ MD NAWI
Naib Ketua/
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Dewan Muslimat PAS Malaysia
21 Mei 2015