Ingat Akkbar Danial?
Anak kelahiran Kelantan yang dulu pernah merempat di Jepun dan kini menjadi Naib Presiden Honda Malaysia. Careta pernah menulis cerita bagaimana Akkbar sebagai budak kampung bekerja keras untuk menjadi antara tonggak utama syarikat kenderaan bukan nasional nombor satu di Malaysia (baca laporan kami di pautan ini)
Careta bersama dengan Akkbar sekali lagi di Kota Kinabalu untuk pandu uji media bagi model Civic generasi kesepuluh dan seperti biasa, baharulah kami mendapat peluang untuk duduk berbual. Jika di Kuala Lumpur, kedua pihak sering sibuk dengan urusan.
Kali ini, Careta meminta Akkbar untuk memberi tips dan nasihat bagaimana cara untuk memenangi hati majikan yang berasal dari Jepun.
Akkbar mula bekerja dengan syarikat Jepun sejak 18 tahun lalu dan fasih dengan bahasa dan budaya dari negara matahari terbit itu. Siapa lagi yang lebih baik selain beliau untuk memberi sedikit tips dan panduan kepada anak-anak muda yang bekerja dengan syarikat dari Jepun.
- Bangsa Jepun sangat pentingkan ketepatan masa. Jangan sekali-kali terlambat semasa temuduga pekerjaan dengan syarikat Jepun. Dan bila sudah bekerja dengan syarikat Jepun, jangan lambat jika mahu naik pangkat segera.
- Jangan lupa berpakaian kemas. Tidak semestinya berpakaian jenama mahal, atau memakai fesyen terkini tetapi pakaian yang kemas dan bersih. Jika berjambang, pastikan teratur kemas. Jika anda punk atau rock atau ska atau gothic, buang semua itu di luar bilik temuduga. First impression lasts – nasihat Akkbar.
- Gunakan nama keluarga bila kita memanggil mereka. Contohnya, jika namanya Hiroshi Tanaka, panggil beliau dengan nama keluarganya, dan tambah -san di belakang. Contohnya, Tanaka-san.
Anda hanya boleh menggunakan nama Hiroshi atau nama pertama bila tuan punya nama sudah melihat anda sebagai rakan rapat atau jika di dalam pejabat, anda sudah sama pangkat dengannya. - Tepati janji. Jika kita berkata tugasan itu boleh siap dalam masa tiga jam, pastikan ia siap. Tiada alasan patut dibagi.
- Bangsa Jepun tidak suka mendabik dada bercerita tentang kejayaan peribadi. Jika anda bekerja dengan syarikat Jepun, pastikan sentiasa bercakap kejayaan itu datang dari seluruh ahli pasukan anda.
- Bangsa Jepun sangat menghargai team work atau kerjasama antara pekerja. Tidak ada sifat menuding jari kepada individu sekiranya tragedi berlaku.
- Prinsip Ho-Ren-So ialah satu lagi cara pemikiran atau thought process-flow yang diikuit oleh bangsa Jepun. Horenso bermaksud bayam, tetapi juga adalah singkat kepada tiga perkataan Jepun.
- Hokoku – Laporan akan isu tersebut
- Renraku – Hubungi mereka yang berkenaan
- Sodan – Berbincang akan masalah tersebut dan jalan penyelesaian
- Pastinya cara begini ialah sesuatu yang universal dan logik tetapi yang membezakan bangsa Jepun dengan orang lain, mereka benar-benar mengamalkan falsafah ini.
- Jangan marah atau rasa tertekan jika ketua Jepun anda memberikan anda banyak tugasan. Pepatah Jepun mengatakan, kerja hanya akan diberikan kepada mereka yang bekerja. Ini bermakna sekiranya beliau memberikan anda banyak tugasan, anda sudah mendapat kepercayaan darinya. JANGAN bazirkan kepercayaan beliau itu! Buktikan diri anda sebagus apa yang dia harapkan.
- Teori orang Jepun suka bekerja lebih masa adalah tidak tepat. Ramai yang akan pastikan kerja sudah selesai pada masa dan balik tepat pada masa. Cuma satu amalan Jepun ialah mereka suka mengetahui proses-proses di luar tugasan kita. Ini bermakna anda perlu ambil tahu kerja-kerja lain samada di bawah peringkat anda, atau melepasi peringkat anda. Dan sekiranya salah seorang dari rakan anda masih belum menyiapkan kerjanya, bantu. Ingat, Jepun pentingkan kerjasama dalam kumpulan!
- Jika anda diminta untuk membuat penyampaian laporan, hindari dari menggunakan terlalu banyak perkataan. Di dalam presentation slides atau slide laporan anda, gunakan gambarajah dan pergi terus kepada fakta dan nombor. Dalam bahasa pasar, bangsa Jepun tidak suka anda “menggoreng”.
- Akkbar turut berkongsi satu lagi rahsia pengurusan yang sering digunakan oleh Honda – teori tiga G.
- Genba – secara lisan, ia bermaksud “di tempat kejadian”
- Genbutsu – perkara sebenar, benda sebenar
- Genjitsu – situasi sebenar
- Menurut Akkbar, konsep 3 G ini bermaksud anda patut pergi ke lokasi masalah itu dan lihat keadaan sekeliling. Kemudian dapatkan semua fakta-fakta yang ada di situ dari yang memang mengalami masalah itu sendiri dan fahamkan situasi masalah tersebut. Kemudian, anda akan dapat menyelesaikan masalah itu dengan lebih cepat, ringkas dan tepat.
Terima kasih Akkbar dan semoga informasi dan nasihat beliau ini berguna untuk anak-anak muda yang baharu memulakan karier mereka bersama syarikat Jepun.