Ramai orang yang suka menyebut-nyebut nama Nabi Yusuf a.s. sebagai ikon handsome dan ikon cinta.
Bila sebut Yusuf, orang akan ingat Zulaikha.
Dalam lagu atau nasyid jiwang pun, biasanya nama Nabi Yusuf a.s. akan disebut sekali dengan nama Zulaikha. Kononnya, sebagai ikon cinta bagi orang-orang yang bercinta.
Hakikatnya, dari awal kisah Nabi Yusuf a.s. sehinggalah baginda memerintah Mesir, ada lebih banyak teladan yang kita perlu lihat dan ambil sebagai iktibar perjalanan hidup kita, tetapi fokus kita selalunya pada menjadikan Yusuf dan isteri Al-Aziz (mengikut Al-Quran) sebagai ikon cinta semata-mata.
Saya sendiri tidak pasti, dari riwayat manakah datangnya kisah cinta Yusuf dan isteri Al-Aziz ini selepas Yusuf dibebaskan dari penjara dan sejauh mana kebenaran kisah ini.
Maka, saya tidak akan sentuh berkaitan itu. Saya lebih suka untuk bawa kita melihat perjalanan hidup Yusuf a.s. dalam bentuk teladan yang lebih luas untuk kehidupan kita.
Teladan 1 : Hidup Tidak Akan Pernah Lepas Dari Ujian, Maka Janganlah Tinggalkan Tuhan
Kalau kita perasan, penceritaan kisah Yusuf a.s. dalam Al-Quran tidak sama seperti kisah-kisah Nabi lain. Kisah-kisah Nabi lain biasanya diceritakan secara terpecah-pecah. Ada sebahagiannya di surah ini, ada sebahagiannya di surah itu. Tetapi, berbeza dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Hampir-hampir saja surah Yusuf itu keseluruhannya menukilkan tentang catatan perjalanan hidup baginda.
Apa yang uniknya melalui teknik penceritaan sebegitu?
Allah memperlihatkan perjalanan kehidupan Nabi Yusuf yang sarat dengan ujian. Ujian itu tidak bermula ketika baginda besar, bahkan sejak kecil lagi baginda sudah diuji. Tetapi, sepanjang perjalanan hidup baginda yang sarat dengan ujian itu, baginda tidak pernah sekali-kali meninggalkan Allah di belakang.
Ketika baginda bermimpi melihat matahari, bulan dan bintang sujud kepadanya, maka sejak itu Nabi Yaakub telah mengingatkan dan memberi pesanan supaya baginda berhati-hati kerana selepas mimpi itu, pasti baginda akan menanggung pelbagai ujian terutama dari saudara-saudaranya.
“Dia (ayahnya) berkata, “Wahai anakku, janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, mereka akan membuat tipu daya (untuk membinasakan) mu. Sungguh syaitan itu musuh yang jelas bagi manusia.” [Yusuf : 5]
Dan memang benar, selepas itu ujian datang bertimpa-timpa ke atas Yusuf.
Dibuang ke dalam perigi oleh adik-beradiknya, terpisah dari ayahnya, dibawa ke negeri orang, kemudian dijadikan pula sebagai hamba. Tak cukup dengan itu, fitnah jatuh pula ke atas dirinya apabila isteri Al-Aziz tertarik kepadanya, menyebabkan baginda dipenjarakan. Sehinggalah baginda memerintah Mesir, baginda diuji lagi dengan cabaran kemarau dan cabaran untuk memaafkan semua saudaranya yang pernah menzaliminya.
Namun, sepanjang perjalanan yang sarat dengan ujian itu, ada satu pengajaran yang tidak sepatutnya kita tinggalkan. Apakah itu?
Baginda tidak pernah meninggalkan Tuhannya di belakang. Sentiasalah dalam hidupnya, Allah menjadi keutamaan yang diletakkan di depan.
Kita selalu fokus pada bahagian Nabi Yusuf dan isteri Al-Aziz itu sahaja sehingga diangkat-angkat Yusuf dan isteri Al-Aziz itu sebagai ikon cinta. Tetapi, kita terlupa, bagaimana sebelum itu, Yusuf harus terpaksa menghadapi karenah isteri Al-Aziz yang ingin menggodanya itu. Daripada peristiwa itu, kita lihat bagaimana kuatnya hubungan baginda dengan Allah.
“Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu lalu berkata, “Marilah mendekat kepadaku.” Yusuf berkata, “Aku berlindung kepda Allah, sungguh, tuanku telah memperlakukan aku dengan baik.” Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak beruntung.” [Yusuf : 23]
Bukan mudah bila di depan kita telah berdiri seorang wanita, yang ingin menyerahkan dirinya dengan penuh kerelaan, tiba-tiba dengan penuh ketegasan dan keberanian, kita menolak tawarannya itu sambil mengatakan, “Sesungguhnya aku takut kepada Allah.”
Bukan suatu yang mudah. Apalagi jika kita ini orang muda yang handsome dan digilai ramai pula. Ia akan menjadi suatu ujian yang lebih sukar. Tetapi, tidak bagi Yusuf. Baginda walaupun digilai ramai wanita, tetapi itu tidak pernah sekali-kali dapat menggugah dan menggangu hubungannya dengan Allah.
Sebab itulah, Nabi s.a.w. pernah bersada yang bermaksud :
“Tujuh golongan manusia yang akan diberikan naungan pada hari di mana tidak ada naungan selain naungan Allah : …. Seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk berzina, lalu ia menjawab, “Sesungguhnya aku takut kepada Allah.”….” [HR Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah]
Maka, belajarlah daripada Yusuf a.s. Bersabar dan kuatnya baginda menempuh ujian di sepanjang kehidupannya adalah kerana baginda sentiasa ada Allah bersama.
Teladan 2 : Pemuda Yang Bercita-cita, Kerja Berstrategi dan Berperancangan, Tidak Dilembikkan Oleh Cinta
Nabi Yusuf a.s. telah diberi kelebihan untuk menta’wil mimpi-mimpi manusia. Setelah dua orang tawanan dalam penjara yang menemuinya meminta ta’wilan daripadanya terhadap mimpi-mimpi mereka, baginda dipanggil untuk menta’wil pula mimpi raja.
Apa yang kita boleh belajar daripada kisah ta’wilan mimpi ini?
Yusuf mempunyai kuasa ajaib?
Mimpi boleh jadi dalil hidup?
Tak. Tak. Bukan itu yang sepatutnya kita belajar dari kisah ini.
Yang sepatutnya kita belajar dari kisah ini adalah bagaimana Yusuf memiliki cita-cita yang begitu tinggi untuk membaiki dan memelihara kebajikan rakyat Mesir dalam tempoh kemarau yang begitu lama itu. Baginda sudah tahu apa yang akan berlaku, maka baginda berusaha merawat dan membantu sekadar kemampuan yang ada, bukan sekadar memberikan tafsiran semata-mata.
Kalaulah kita di tempat Yusuf, mungkin kita sudah biarkan saja agaknya, tak begitu?
Kenapa saya cakap begitu?
Ya, sebab kita dah tahu akan jadi begitu, maka bagi kita, apa gunanya lagi berusaha, ye tak? Sama sajalah macam orang yang buat jahat. Bila ditanya, ‘Kau tak mahu berubah ke?’
‘Aku bukan tak mau berubah, bro. Tapi Tuhan dah takdirkan aku macam ni. Nak buat macam mana lagi?’
Kita ini, begitulah. Bila kita malas berusaha, kita akan meletakkan segala kesalahan kepada Tuhan. Mudah. Senang berlepas tangan. Kita sendiri tidak lihat kesilapan diri kita yang tidak merancang dan menyusun strategi usaha kita. Bila kita tidak boleh berubah, maka habislah Tuhan yang jadi ‘mangsa’.
Tetapi, tidak bagi Yusuf. Kerana baginda sudah jelas-jelas tahu keadaan Mesir beberapa tahun yang akan datang, maka baginda tidak membiarkan saja. Baginda berfikir dan merancang. Kalau nak ikutkan takdir, memang itu takdir. Tapi, Allah hendak tengok, kita ini berusaha ke tidak? Kalau berusaha, pastilah Allah akan beri.
“Dia (Yusuf) berkata, “Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir) kerana sesungguhnya aku adalah orang pandai menjaga dan berpengetahuan.” [Yusuf : 55]
Inilah yang selalu dilupakan oleh para pemuda kita. Kita terlalu fokus pada Yusuf dan isteri Al-Aziz itu sebagai ikon cinta sampai kita kemaruk cinta, sehingga kita terlupa bahawa usia seorang pemuda itu, adalah usia untuk membina cita-cita dan masa depannya. Lihatlah bagaimana Yusuf telah melakukannya.
Baginda walaupun handsome, tetapi baginda tidak disibukkan dan dilembikkan oleh cinta berbeza jantina. Baginda merancang kehidupannya, menyusun strategi mentadbir rakyat di bawah kepimpinannya dan membina sebuah Mesir yang lebih baik keadaannya ketika musim kemarau.
Itulah yang sepatutnya kitaa lakukan. Jangan kita dilalaikan oleh cinta sehingga kita buta untuk membina cita-cita dan masa depan kita.
Binalah masa depan kita. Bentuklah peribadi kita. Jangan buang masa hanya pada cinta berbeza jantina. Kita ada masa depan yang lebih besar untuk kita bina dan capai.
Penutup : Ini Hanyalah Pengajaran Bagi Mereka Yang Menggunakan Akalnya
Kisah Yusuf, kalau kita ambil bahagian-bahagian tertentu seperti yang ramai selalu sebar-sebarkan itu, memang itu sahajalah yang kita akan dapat.
Alangkah ruginya ibrah daripada kehidupan Nabi Yusuf itu hanya difokuskan pada bahagian situ saja. Kita meninggalkan pengajaran terpenting pada kisah hidup baginda yang memberi penumpuan kepada pembinaan iman kepada Allah serta perlunya bercita-cita dan berperancangan dalam kehidupan.
Akhirnya, kita akan sibuk dengan cinta sahajalah, tapi terlupa membina peribadi dan diri kita. Kesannya, lahirlah jiwa-jiwa yang lembik dan cepat terasa. Kita tidak tahan diuji dan cepat goyah.
Belajarlah membina diri dan masa depan daripada kehidupan Nabi Yusuf a.s. Kisah hidup baginda yang panjang ini hanya akan menjadi pelajaran dan pengajaran bagi mereka yang menggunakan akal sahaja. Yang nampak sebatas melayan perasaan dan nafsu saja, kisah Yusuf ini tidak lebih sekadar kisah untuk menghiburkan hati saja.
“Sungguh pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal.” [Yusuf : 111]
Inilah teladan Yusuf yang ditinggalkan. Teguklah teladan ini dan bumikanlah dalam kehidupan !