Adat dan Tatatertib Makan
Di Rumah Orang Melayu
Orang Melayu zaman dahulu amat mementingkan adat dan sopan santun semasa makan samaada di rumah mahupun di majlis-majlis keramaian.Ia bukan sahaja bertujuan untuk pengajaran tetapi juga untuk menjaga sopan santun orang Melayu. Pantang larang ini diadakan bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bertujuan untuk menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang kurang sopan. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun mereka sejak zaman dahulu lagi. Maka itu diadakan beberapa pantang larang supaya ia dapat dikekalkan hingga ke generasi yang akan datang.
1. Ketika berkunjung ke rumah orang, apabila tuan rumah menghidangkan makanan atau minuman, jangan sekali menolaknya. Jika kenyang sekalipun kita hendaklah setidak-tidaknya menjamah sedikit hidangan yang disajikan itu.
2. Setelah makanan dihidangkan, pastikan orang yang lebih tua duduk dahulu. Kemudian baharu diikuti oleh orang muda pula mengambil tempat masing-masing. Anak gadis pula dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua. Biarkan orang yang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian
baharulah diikuti oleh orang muda. Adalah tidak sopan jika membiarkan orang yang lebih tua makan sisa orang muda. Maka itu sesetengah orang membuat peraturan supaya orang muda makan berasingan daripada orang yang lebih tua atau orang tua makan dahulu daripada orang muda. Bagaimanapun, amalan ini
tidak begitu sesuai jika kita ingin menanamkan kemesraan dan semangat kekeluargaan di kalangan anak-anak.
3. Ketika makan seelok-eloknya ambillah makanan yang berhampiran dengan kita. Jangan menjangkau makanan yang sukar dicapai. Mintalah bantuan orang lain yang berdekatan jika kita mahukan makanan itu.
4. Ketika menghulur atau menyambut makanan, sebaik-baiknya gunakan tangan kanan, tetapi jika tangan kanan kotor, bolehlah kita menggunakan tangan kiri.
5. Semasa menghulur dan menyambut makanan, seelok-eloknya siku atau pergelangan tangan ditampung sedikit dengan tangan yang sebelah lagi.
6. Semasa mengambil kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor.
7. Pastikan sudu, piring atau mangkuk tidak berlaga dan berbunyi ketika menyenduk. Ini dianggap kurang sopan dan kasar jika berlaku pergeseran antara sudu, piring atau mangkuk sehingga berbunyi.
8. Ketika makan pula janganlah bercakap-cakap. Lebih-lebih lagi jika mulut penuh dengan makanan. Jika bercakap pun pastikan tidak menimbulkan perkara yang kurang menyenangkan sehingga boleh mengganggu selera makan orang lain.
9. Jangan makan berbunyi, umpamanya menghirup minuman atau mengunyah makanan.
10. Ketika orang lain sedang makan janganlah menghembus hingus, berkehak atau berludah.
11. Jangan makan terlalu kenyang. Makanlah setakat mengenyangkan atau mengalas perut sahaja.
12. Jika selesai makan terlebih dahulu jangan sekali-kali mengangkat pinggan dan meninggalkan orang yang sedang makan. Seelok-eloknya tunggu dan pastikan semua orang sudah selesai makan baharulah bangun.
13. Jika mahu mengemaskan tempat makan atau meja makan, pastikan semua orang sudah selesai makan. Tidak sopan jika mengemas ketika orang lain masih menikmati hidangan Jika dilakukan kita seolah-olah menyindirya supaya menghentikan makan atau melarangnya menghabis makanannya.
14. Jangan pergi ke rumah orang pada waktu makan dan waktu maghrib. Ini mengganggu tuan rumah kerana mungkin dia telah memasak makanan cukup untuk keluarganya sahaja. Waktu maghrib pula adalah waktu sembahyang yang paling singkat dan kedatangan tetamu menyebabkan tuan rumah serba salah untuk meninggalkan tetamu keseorangan. Oleh itu seelok-eloknya datanglah selepas waktu sembahyang Isyak.