Contohi Rasulullah (s.a.w.) dalam Dasar Afirmatif
Contohi Rasulullah (s.a.w.) dalam Dasar Afirmatif Dasar afirmatif atau diskriminasi positif pada hakikatnya adalah selaras dengan tuntutan Islam dan Sunnah Rasulullah (s.a.w.). Adalah mustahil untuk menyatukan semua manusia, semua budaya, semua bahasa dengan satu jenis yang sama. Perbezaan adalah realiti kehidupan yang tetap dan tidak pernah berubah dalam fitrah kemanusiaan dan sejarah peradaban. Akan tetapi apa yang bukan sahaja ideal bahkan juga realistik yang boleh dilakukan ialah menyatukan manusia dengan mengekalkan perbezaan-perbezaan yang wujud melalui elemen-elemen kebersamaan yang dikongsi bersama. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.) dalam menyatukan kaum ‘Aws dan Khazraj menjadi Ansar dengan tidak membuang terus identiti kaum masing-masing. Begitu juga antara Ansar dan Muhajirin serta umat Islam dengan Yahudi dan rakyat bukan Islam. Ibn Khaldun yang turut mengembangkan diskriminasi positif melalui gagasan ‘asabiyahnya menjelaskan di dalam magnum opusnya, Muqaddimah bahawa perpaduan antara kelompok agama dan kaum berbeza perlu bermula dengan perpaduan dalam komuniti agama dan kaum yang sama yang akhirnya dapat menghasilkan solidariti ampuh yang tidak mudah goyah dan luntur walaupun konflik dan perselisihan sentiasa berlaku dan tidak dapat dielakkan.Dasar afirmatif atau diskriminasi positif dalam pentadbiran negara perlu dilaksanakan kerana ia adalah dapat mengekang diskriminasi negatif seperti rasisme, chauvinisme, genderism, dan sebagainya sekaligus mengelak dari berlakunya konflik perkauman atau keagamaan. Antara aspek afirmatif yang perlu diberi penekanan ialah kebumiputeraan atau iaitu sikap saling menghormati terhadap hak-hak antara golongan yang yang menghuni lebih awal dengan golongan yang baru datang ke suatu wilayah atau negara tersebut atau dalam istilah yang lebih popular iaitu antara pribumi dan imigran. Konsep kebumiputeraan dalam Islam tidak mendiskriminasi secara negatif kepada mana-mana pihak sebaliknya menjaga hak, tradisi, dan budaya masing-masing serta bersikap adil kepada semua melalui sikap kebersamaan dan persaudaraan sebagaimana yang terjalin antara Muhajirin dan Ansar pada zaman Nabi (s.a.w.) yang saling hormat menghormati antara satu sama lain. Golongan Muhajirin yang walaupun memeluk Islam lebih awal tetap menghormati golongan Ansar yang telah memberikan tanah dan harta mereka kepada Muhajirin yang berhijrah ke Madinah. Bumi ini merupakan milik Allah dan Allah sendiri menggesa agar manusia berhijrah untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Menafikan hijrah bermakna menafikan tuntutan Allah dan kebenaran al-Quran. Namun mereka yang berhijrah seharusnya menghormati penduduk setempat dan nilai-nilai tradisi yang baik yang diamalkan. Walau bagaimanapun, nilai agama yang lebih universal sewajarnya diletakkan lebih tinggi dari elemen kebumiputeraan. Agama Islam adalah inklusif untuk semua bangsa, kaum, kelompok, dan keluarga. Sedangkan nilai-nilai strata yang lain adalah ekslusif berasaskan faktor-faktor tertentu.