Petua Untuk Mengelak Perasaan Cemburu Membuak
1. Terima hakikat sifat cemburu masalah kita sendiri dan kita bertanggungjawab mengatasinya sendiri. Fikirkan tiada siapa yang boleh membuat kita cemburu. Kita boleh mengawal fikiran dalam apa bentuk situasi pun. Pilihan terletak pada diri sendiri, bukannya orang lain.
2. Hormati perasaan pasangan kita. Seperti kita, dia juga mempunyai hak untuk menilai kecantikan wanita/lelaki lain. Jika kita dapat melakukannya, kita sudah dapat mengatasi sifat cemburu.
3. Tiada siapa suka memikirkan pasangan mereka curang. Kalau pun ini terjadi, teruk sangatkah kesannya kepada kita? Kita mungkin sedih, kecewa dan marah untuk sementara waktu sahaja tetapi tidaklah sampai mati. Lambat laun kita akan dapat mengatasinya.
4. Beri masa untuk diri kita mengatasinya. Jika kita memang seorang yang cemburu, usah berharap kita boleh berubah dalam masa singkat.
5. Tuliskan apa perasaan kita bila kita berasa cemburu. Marah, tidak tentu arah, menangis, geram, rasa malu, rasa bersalah atau bertindak kasar. Adakah kita ingin meneruskan hidup kita dengan cara ini? Jika jawapannya tidak, maka cepat-cepatlah berubah.
6. Cuba fikirkan bagaimana cemburu kita meledak. Adakah adil kita menyisihkan pasangan kita daripada orang lain? Teruk sangatkah dia apabila dia senyum kepada seorang wanita/lelaki lain? Tidakkah kita sendiri pun pernah tersenyum kepada wanita/lelaki lain?
7. Ramai mempunyai perasaan dan masalah cemburu suka menyalahkan orang lain. Mereka kerap mencari kesalahan orang lain dan mahu pihak satu lagi mengubah sikap tetapi dalam masa sama tidak melihat kesalahan sendiri. Terima hakikat kita manusia sebenarnya tidak sempurna.