Sunday, June 29, 2014

PETUA MENGURANGKAN TIDUR BERDENGKUR


Petua Untuk Mengurangkan Tidur Berdengkur 13 June 2012 at 00:07 1. Kurangkan berat badan jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan. 2. Kurangkan pengambilan arak atau ubatan yang mempunyai kesan mengantuk pada waktu tidur. 3. Cegah pengambilan 'tranquilizer', pil tidur dan 'antihistamine' sebelum tidur. 4. Elak memakan makanan berat atau ringan dalam tempoh 3 jam sebelum berehat. 5. Amalkan tidur pada waktu yang tetap, setiap hari. 6. Utamakan posisi tidur mengiring daripada posisi terlentang. 7. Tinggikan kepala katil anda lebih kurang 4 inci ke atas supaya posisi kepala lebih tinggi dan lidah tidak tertolak ke belakang.

Thursday, June 26, 2014

SOALAN NOVEL SPM


SOALAN NOVEL SPM 1 - Tema yang menarik merupakan pendorong kepada pembaca untuk membaca sesebuah novel. Nyatakan tema novel yang telah anda baca. 2 - Pengarang menyelitkan beberapa persoalan dalam novel yang telah anda baca. Huraikan tiga persoalan utama dalam novel tersebut. 3 - Banyak peristiwa yang dipaparkan dalam novel mengandungi nilai murni. Berdasarkan novel yang telah anda baca, bincangkan tiga peristiwa yang membawa nilai murni yang berbeza. 4 - Cerita dalam novel sememangnya memaparkan latar masyarakat sezaman. Nyatakan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda baca. 5 - Latar tempat yang terdapat dalan sesebuah novel menjadikan cerita lebih realistik. Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan tiga latar tempat utama. 6 - Pengakhiran sesebuah cerita dalam novel akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Huraikan pendapat tersebut berdasarkan novel yang telah anda kaji. 7 - Klimaks merupakan unsur utama dalam plot sesebuah cerita. Daripada novel yang telah anda baca, jelaskan persitiwa yang menjadi klimaks dalam novel tersebut. 8 - Novel yang telah anda kaji mengandungi beberapa persoalan utama. Huraikan tiga peristiwa yang mendokong persoalan kegigihan dalam novel tersebut. 9 - Watak adalah unsur penting yang menghidupkan dan menggerakkan cerita. Huraikan tiga perwatakan watak utama dalam novel yang anda baca. 10 - Watak utama dalam sesebuah novel banyak menghadapai cabaran. Nyatakan cabaran watak utama dalam novel yang anda baca. 11 - Pembaca novel akan mendapat banyak pengajaran berguna yang boleh dijadikan panduan hidup. Jelaskan tiga pengajaran utama yang dapat anda petik daripada novel yang telah anda kaji. 12 - Nilai kasih sayang terdapat dalam kebanyakan novel yang bercorak kemasyarakatan. Huraikan tiga nilai tersebut berdasarkan novel kajian anda. 13 - Konflik yang timbul dalam cerita membuatkan cerita semakin berkembang. Berdasarkan novel kajian anda, nyatakan peranan watak utama dalam menyelesaikan konflik. 14 - Watak sampingan dalam sesebuah novel juga penting dalam menggerakkan cerita. Nyatakan peranan satu watak sampingan berdasarkan novel yang telah anda baca. 15 - Sesebuah novel banyak memaparkan peristiwa yang dapat dijadikan teladan. Berdasarkan novel kajian anda, jelaskan peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca. 16 - Novel yang telah anda baca mengandungi banyak peristiwa menarik. Nyatakan tiga peristiwa menarik dalam novel tersebut. 17 - Watak-watak dalam sesebuah novel akan bertentangan dengan sebahagian watak yang lain. Berdasarkan novel yang telah anda baca, nyatakan tiga peristiwa menunjukkan penentangan watak. 18 - Latar masyarakat yang dipaparkan dalam sesebuah novel mempunyai nilai tersendiri. Huraikan tiga nilai kemasyarakatan dalam novel yang anda kaji. 19 - Cerita dalam novel menyelitkan banyak nilai murni. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan tiga contoh yang menunjukkan nilai ketekunan. 20 - Banyak peristiwa yang digambarkan dalam sesebuah cerita mencerminkan persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang. Berpandukan novel yang anda kaji, jelaskan tiga peristiwa yang mencerminkan persoalan maruah. 21 - Kebanyakan konflik dalam cerita sesebuah novel melibatkan watak utama. Jelaskan cara watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi berdasarkan novel yang telah anda baca. 22 - Tajuk sesebuah novel amat berkaitan dengan cerita dalam novel tersebut. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan kesesuaian tajuk novel dengan isinya. 23 - Permulaan yang menarik dalam sesebuah novel akan mempengaruhi pembaca untuk meneruskan pembacaan hingga akhir. Huraikan pernyataan tersebut berdasarkan novel kajian anda. 24 - Cerita yang menarik dalam sesebuah novel akan meninggalkan kesan perasaan kepada pembaca. Nyatakan tiga peristiwa yang meninggalkan kesan kepada anda berpandukan novel yang anda baca. 25 - Setiap peristiwa dalam novel berlaku dalam latar masa tertentu. Berdasarkan novel kajian anda, jelaskan tiga latar masa yang penting. 26 - Watak utama mencerminkan banyak nilai murni. Huraikan tiga contoh nilai ketabahan watak utama dalam novel yang anda kaji. 27 - Cerita dalam novel memaparkan kisah yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga peristiwa yang menggambarkan kepincangan dalam masyarakat. 28 - Plot dalam sesebuah cerita berkembang mengikut peringkat. Huraikan plot novel yang telah anda baca. 29 - Pengarang telah menggunakan beberapa teknik plot agar penyampaian cerita menjadi lebih menarik. Nyatakan tiga teknik plot yang terdapat dalam novel kajian anda. 30 - Novel yang telah anda baca adalah sebuah novel yang menarik. Tuliskan sinopsis cerita novel tersebut.

Saturday, June 21, 2014

Petua Untuk Mengatasi Sembelit


Petua Untuk Mengatasi Sembelit Ambil 2 biji nenas masak. Nenas yang telah dibasuh, diparut dan perahkan airnya. Simpan dalam bekas di dalam peti ais. Airnya diminum sebanyak satu cawan 2 kali sehari.

Wednesday, June 18, 2014

aQaL & wAhyu


Nama Buku : Akal dan Wahyu : Tentang Rasionalitas Dalam Ilmu, Agama dan Filsafat. Tajuk asal : ‘Aql va Vahy Penulis : Hasan Yusufian dan Ahmad Husain Sharifi Terjemahan : Ammar Fauzi Heryadi Terbitan : Sadra Press, Jakarta, November 2011. AKAL DAN WAHYU Akal didefinisikan sebagai kemampuan khas manusia dalam membedakan baik dan buruk; mana jalan dan mana jurang. Akal dan wahyu, kedua-duanya adalah sumber ilmu, cuma akal itu umum, sedangkan wahyu itu sifatnya lebih khusus berbanding akal. (10) CARA PEROLEH PENGETAHUAN untuk peroleh pengetahuan, ia perlu kepada beberapa perkara penting; 1. Jalan umum 2. Jalan khusus. JALAN UMUM Dalam menggunakan jalan umum, antaranya adalah indera luaran. Ia tercapai dengan cara empirikal. Tetapi ia sahaja tidak memadai, sebaliknya perlu kepada cara yang lain sama, iaitu pemikiran dan pembuktian menerusi mutawatir dan penyaksian batin (bahasa arab : Shuhud Batini | Bahasa mantik : wujdani) (12 - 13) yang dimaksudkan dengan mutawatir adalah pemberitaan yang tidak dapat diragui ekoran ramai pencerita, yang amat mustahil mereka sepakat berbohong. Teks wahyu yang sampai kepada manusia merupakan salah satu perkara mutawatir. (P) Adapun maksud dengan shuhud batini pula adalah kemampuan mengetahui dan bersentuhan langsung dengan sesuatu hakikat atau realiti. Dalam bahasa sufisme disebut sebagai hudhuri dan dalam bahasa mantik disebut sebagai wujdani. (P) Jika dilihat dalam perbincangan mantik, cara empirikal, teks (mutawatir) dan shuhud batini ini selaras dengan penghujahan secara burhaniyyah. (P) JALAN KHUSUS Antaranya adalah wahyu. Di sisi ahli kalam, wahyu dimaksudkan sebagai pengajaran ilmu secara khusus dari Allah kepada hambaNya yang terpilih yang ditugasi untuk memberi petunjuk kepada umat manusia. (15) hakikat wahyu itu amat rumit dan sulit difahami kecuali bagi mereka yang mencapai kedudukan wahyu itu sendiri. Sifatnya amat melampaui atau beyond dari kehendak manusia biasa. Tidak sekadar itu, antara jalan khusus adalah mencapai dengan hudhuri, iaitu perasaan kerohanian yang dicapai oleh orang-orang terpilih sahaja, sepertimana orang awam merasai lapar, ngantuk dan sebagainya. (P) 25 mei 2014 | 6:41 petang | Saujana Utama. #akalwahyu Sebelum membincangkan tentang akal dan wahyu, antara perkara utama perlu dijelaskan adalah; 1. Apakah akal bertembung dengan wahyu, atau sebenarnya akal bertembung dengan tafsiran agamawan terhadap wahyu? (19) Dahulu, pernah mufti saudi menfatwakan kafir dan murtad terhadap mereka yang menyatakan bahawa bumi itu bulat. Ini kerana, beliau berpegang dengan firman Allah yang menyatakan bahawa tuhan menciptakan bumi itu terhampar. Ekoran kemampuan teknologi dan sebagainya, menjadikan terbukti bahawa bumi bulat, malahan tafsiran mufti saudi terhadap ayat al-Quran itu ternyata salah, kerana ayat tersebut adalah kalam majaz, tetapi ditafsirkan oleh mufti terbabit dengan maksud kalam hakikat. (P) 2. Apakah akal bertembung dengan agama atau akal yang bertembung teks agama? (17) teks Wahyu itu, ia tidak semata-mata difahami dengan akal, tetapi perlu diiringi sama faktor lain, seperti zaoq dan banyak faktor lain. Ekoran itu, elemen teks dan akal seharusnya diselarikan dalam memahami agama, disamping tidak diabaikan faktor-faktor yang lain. 3. Dalam perbincangan akal dan rasio, sering sahaja dilihat dari sudut empirisme sahaja, sedangkan rasio itu boleh sahaja dilihat dari sudut intuitivme. (27) intuitivme ini boleh difahami dalam perbincangan sufisme. (P) Di kalangan ulama Islam, ada pihak yang kelihatan menolak faktor falsafah dalam agama, seperti al-Ghazali sehingga menulis kitab bertajuk tahafut al-Falsafah, tetapi di sana terdapat yang mendokong falsafah seperti ibn Rushd yang menulis tahafut al-Tahafut sebagai menjawab al-Ghazali disamping beliau menulis tentang keseragaman antara falsafah dan agama pada sebuah kitab bertajuk fasl al-maqal. Ada pihak menyatakan bahawa al-Ghazali yang menulis tahafut al-Falasifah itu sendiri adalah tokoh falsafah. Ini terbukti dengan beberapa buah kitab beliau yang mengupas kaitan falsafah dengan agama, seperti maqasid al-Falasifah, al-munqiz min al-Dhalal, iljam al-awam dan sebagainya. Namun didakwa bahawa al-Ghazali tidak mencapai kemampuan tahanan falsafah tinggi setahap ibn sina dan al-Farabi. Pun begitu, ada pihak pula menyatakan al-Ghazali bukan ahli falsafah, tetapi beliau sekadar ahli kalam sahaja. 25 mei 20 14 | 7:03 malam | Saujana Utama #akalwahyu Di kalangan agamawan, ada yang menolak falsafah. Dalam kristian, ada orang bernama murtin luther yang menyerang Aristotle. Penolakan beliau adalah penyalahgunaan akal yang berakibat hingga falsafah membuang hakikat iman. (33) Namun di sana, ada juga aliran kristian yang menyatakan keselarasan agama (kristian) dengan akal, seperti Thomas Aquinas (1225 - 1247 M). Namun, dia sendiri ditolak sekumpulan agamawan sehingga dituduh sesat. (21) Dalam tradisi muslim juga, terdapat yang menolak peranan akal dengan agama, seperti Ibn Taimiyyah dalam tradisi sunni. Dalam tradisi syiah, terdapat kalangan akhbari yang bertindak menolak peranan akal dengan agama. (34) al-Ghazali juga dianggap tokoh yang secara terang-terangan menolak itu sehingga menulis kitab bertajuk tahafut al-Tahafut. Dalam keadaan begitu, dijawab oleh sebilangan sarjana muslim bahawa ketika mereka menolak itu, mereka tidak lepas dari menggunakan akal juga. Bermaksud, secara tidak sengaja mereka juga telah akui peranan akal dengan agama. Di kalangan ilmuan muslim, terdapat yang memadukan antara akal dan agama ini, seperti Ibn Rushd menerusi penulisan beliau bertajuk Fasl al-Maqal dan Tahafut al-Falasifah. #akalwahyu. Sebilangan pengkaji muslim menganggap bahawa akal sebagai alat, sedangkan wahyu adalah sumber ilmu. Seorang pengkaji iran bernama Hasan Yusufian menyatakan bahawa orang yang menyamakan akal dan wahyu seperti orang yang mengatakan sumber makanan manusia terdiri dari daging, buah-buahan dan organ pencernaan, lalu disimpulkan bahawa kewujudan organ pencernaan sudah memenuhi seluruh keperluan makanan manusia. (37) walau bagaimana pun, disana terdapat sebilangan pengkaji yang mengklasifikasikan faktor akal itu sendiri. Mereka klasifikasi akal itu kepada seperti berikut; 1. Akal sebagai alat 2. Akal sebagai sumber ilmu. Akal yang dianggap sebagai sumber ilmu ini dikenali sebagai akal fitri atau akal badihi. (38) #akalwahyu Ibn Sina amat dikenali sebagai tokoh logik. Namun, didakwa bahawa karya beliau bertajuk al-Isyarat wa al-Tanbihat tidak mengabaikan faktor zaouq. (38) Suhrawardi juga seorang tokoh hebat menulis hikmah isyraqiyyah dalam usaha memadukan filsafat dan irfan; akal dan zouq. Dianggap lebih ketara seperti yang dilakukan oleh Mulla Sadra dalam hikmah muta'aliyyah. (39) Kehebatan Mulla sadra itu, sehinggakan Murtadha Mutahhari menyatakan bahawa Mulla sadra berjaya memadukan empat perkara penting; 1. Masyaiyyah Aristotle 2. Masyaiyyah ibn Sina 3. Irfan Ibn Arabi 4. Ilmu Kalam. (40) Mutahhari menyatakan, hikmah muta'aliyyah mulla sadra itu umpama empat sungai yang bertemu dan berubah menjadi satu galur sungai besar yang berombak kencang. (40) #akalwahyu Ada pihak anggap hati melebihi akal. Namun begitu, kelihatan mulla sadra amat gigih membela akal disamping dia akui bahwa kelebihan dan peningkatan berlaku pada irfan. (44) Walaubagaimanapun, Ibn Turkah menyatakan dalam Tamhid al-Qawaed bahawa irfan tidak boleh menyendiri dalam mencapai pengetahuan, sebaliknya perlu kepada akal juga. Namun, sifat irfan itu melebihi dari akal. (45) ia diumpamakan seseorang yang hebat dalam lumba motor. Sebelum ia pandai memandu, dia perlu kepada juru latih. Lalu, apabila ia sudah pandai, kadangkala kepandaiannya melebihi juru letihnya. Juru latih itu diumpamakan sebagai akal, sedangkan capaian irfan melebihi akal seperti kepandaian berlumba motor melebihi juru latihnya. (P) Ini dapat dilihat perbedaan antara ibn sina dengan Abu Said Abul Khair yang berdialog selama 3 hari. Selepas dialog, apabila ditanya kepada Ibn Sina tentang pandangannya terhadap Abu Said, dijawab Ibn Sina; "dia menyaksikan semua yang aku tahu" lalu, apabila ditanya pandangan abu said tentang ibn sina, dijawab abu said, "dia tahu yang aku saksikan". (41) kelihatan dalam kes ini, terdapat perbedaan antara konsep pembuktian akal (tahu) dengan pembuktian hati atau zouq (musyahadah). Menariknya, Maulana Rumi ada mengungkapkan satu lagi istilah dalam salah satu syairnya, iaitu akal imani. Didakwa ramai pengkaji, akal imani itu adalah merujuk kepada konsep zouq. (46) #akalwahyu Apabila berbicara tentang akal dengan agama, pasti ia akan lahir tiga bentuk; 1. Rasional - kesesuaian dengan akal. 2. Supra rasional - melampaui akal. 3. I rasional - bertentangan dengan akal. Ekoran itu, apabila dilihat sesuatu perkara agama, mereka akan melihat dari sudut rasional. Jika berlaku supra rasional atau i rasional, mereka akan menggunakan kaedah takwil sebagai membela diri (opologetisme). Jika tidak mampu juga, maka ia akan membuang perkara tersebut. Ini berlaku pada John Locke dalam agama kristian. Ekoran dia anggap sebagai tidak rasional, makanya dia telah membuang beberapa elemen yang dianggap penting dalam agama kristian, seperti konsep triniti dan dosa warisan. (82) Dalam tradisi umat Islam, bentuk ini juga berlaku. Mereka dikenali sebagai muktazilah. Dari kalangan ilmuan syiah, mereka melihat bahawa muktazilah dianggap sebagai rasionalis, disamping banyak tokoh-tokoh sunni yang terpengaruh dengan muktazilah, seperti asyairah. (84) #akalwahyu

Sunday, June 15, 2014

PERSEDIAAN AMBANG RAMADAN


Segala puji bagi Allah SWT, yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini dengan kehendak-Nya, menjadikan Al-Quran sumber rujukan utama. Setelah itu, mendatangkan seorang Rasul yang mulia, menerangkan Al-Quran, menjelaskan apa yang ada di dalam Al-Quran dari perkara yang kurang jelas oleh akal manusia, menjelaskan yang ringkas, mentaqyidkan yang mutlak, dan menghuraikan apa yang ada di dalam Al-Quran. Ramadan bulan mulia, sebaik-baik bulan, dari 12 bulan yang diciptakan. Bagaimana kita ingin menghadapi ambang Ramadan ini? Hari ini merupakan 15 Syaaban 1435H, masih berbaki 15 hari lagi untuk kita meraikan bulan mulia penuh keberkatan. Cukuplah kiranya kita menghayati hadis panjang yang menyebut mengenai khutbah Rasulullah SAW kepada para sahabat sebelum masuk ke bulan Ramadan sebagai bekalan kita untuk menghadapi bulan ini. Ini kerana sebenar-benar kisah adalah apa yang ada di dalam Al-Quran dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad SAW. Daripada Ahmad bin Muhammad bin Said, dari Ali bin Hasan bin Faddhal, daripada ayahnya, daripada Redha, daripada ayahnya, daripada Ali 'alaihissalam, berkata : Suatu hari sebelum masuknya bulan Ramadan, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbah kepada kami mengenai Ramadan : “Wahai manusia, sesungguhnya telah muncul kepada kamu bulan Allah yang penuh keberkatan, rahmat dan keampunan. Inilah bulan yang terbaik di sisi Allah SWT. Hari terbaik merupakan hari-hari yang ada padanya, malam terbaik, ada dalam malam-malamnya, waktu yang terbaik ialah dari waktu-waktunya. Bulan yang kamu diseru menjadi tetamu Allah, dan kamu dijadikan ahli-ahli yang dimuliakan Allah SWT. Setiap hela nafas kamu tasbih, tidur kamu ibadah, setiap amal kamu diterima, doa kamu akan dimakbulkan. Oleh itu, pohon kepada Allah SWT dengan niat yang benar, hati yang bersih semoga Allah memberi petunjuk kepada kamu untuk menyempurnakan ibadah puasamu, dan membaca kitab-Nya. Sesiapa yang sakit, maka Allah SWT akan mengampunkannya di bulan agung ini. Lapar dan dahaga kamu ini akan menghilangkan lapar dan dahagamu di hari kiamat. Bersedekahlah kepada para faqir dan miskin, hormatilah orang yang tua dari kalangan kamu, kasihilah mereka yang muda, hubungkanlah tali persaudaraan, peliharalah lidahmu, peliharalah pandanganmu dari apa yang dilarang oleh Allah SWT, peliharalah pendengaranmu dari mendengar perkara-perkara yang melalaikan, dan berbuat baiklah kepada anak-anak yatim. Bertaubatlah kepada Allah SWT dari dosa yang telah kamu lakukan, angkatlah tanganmu untuk berdoa sewaktu solatmu, kerana itulah sebaik-baik waktu, sesungguhnya waktu itu, Allah SWT sedang melihat dengan pandangan rahmat kepada hamba-Nya, Dia akan memakbulkan doa kamu yang meminta perlepasan, Dia akan melambai kamu saat kamu menyeru-Nya, Dia akan memberikan apa yang kamu inginkan jika kamu memohon dari-Nya, dan akan menunaikan segala doa yang diminta dari hamba-hamba-Nya. Diri kamu digadaikan dengan amalan yang kamu lakukan, maka tebuslah dengan beristighfar kepada Allah SWT, belakang kamu berat dengan bebanan dosa, maka ringankanlah dengan memanjangkan waktu sujudmu kepada-Nya. Ketahuilah, demi Allah, aku bersumpah dengan keagungan-Nya, Dia tidak akan mengazab mereka yang solat, sujud, dan memelihara kamu dari api neraka di saat semua manusia dibangkitkan menuju Tuhan sekalian alam. Wahai Manusia : Barangsiapa yang berbuka puasa dalam keadaan beriman kepada Allah SWT pada bulan ini, Allah SWT pasti akan bebaskan-Nya, dan mengampunkan dosa kamu yang lalu”. Lalu seorang sahabat berkata: “Wahai Rasulullah SAW, kami tidak mampu melakukannya”. Rasulullah SAW menjawab: “takutlah kepada api neraka meskipun api neraka itu sebesar biji tamar sekalipun." “Sesiapa yang berakhlak dengan akhlak yang mulia pada bulan ini, maka Allah SWT akan memudahkan baginya melalui hari di saat tapak kaki bergegar. Barangsiapa yang ringan menyumbangkan apa yang dimilikinya pada bulan ini, maka Allah SWT akan meringankan perhitungan amalannya di hari kiamat. Sesiapa yang menahan dari perkara yang jahat nescaya Allah SWT akan memeliharanya dari kemurkaan-Nya pada hari kiamat. Sesiapa yang memuliakan anak yatim, nescaya Allah SWT akan memuliakannya di waktu dia menghadap Allah SWT. Sesiapa yang memutuskan silaturrahim, Allah SWT akan memutuskan rahmat kepadanya pada hari kiamat. Sesiapa yang melakukan solat sunat, Allah SWT akan melepaskannya dari api neraka. Sesiapa yang melakukan amal ibadah wajib, maka Allah SWT akan gandakan pahala baginya 70 kali ganda lebih dari bulan yang selainnya. Sesiapa yang banyak berselawat kepada aku, nescaya Allah SWT akan beratkan timbangan mizannya saat timbangannya ringan. Sesiapa yang membaca Al-Quran, nescaya Allah SWT akan memberi pahala seolah-olah dia mengkhatam Al-Quran. Wahai manusia, sesungguhnya pintu-pintu syurga telah dibuka, pohonlah kepada Allah SWT agar tidak menutupnya dari kamu. Sesungguhnya pintu neraka telah ditutup, maka pohonlah kepada Allah SWT agar tidak membukanya untukmu. Syaitan telah dibelenggu, maka pohonlah dari Allah SWT agar syaitan tidak membelenggu kamu." Amirul Mukminin (Ali) berkata : lalu aku berdiri, dan bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling baik diamalkan pada bulan ini? Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Wahai Aba Hassan, sesungguhnya sebaik-baik amalan pada bulan ini ialah kamu memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah SWT”. (Hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal) Ayuhlah kita sahut seruan Rasulullah SAW dari khutbah baginda ini. Sesungguhnya kalam baginda SAW terkumpul sejuta rahsia, kerana ia jawami’ kalam, dapat difahami oleh segenap lapis manusia, dari sehitam-hitam manusia, sehinggalah seputih-putih manusia. Wallahua’lam. “Keunggulan Syakhsiah Tunjang Wahdah” “Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan” Wan Nur Amirah binti Wan Yusoff Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI), Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2014.