Thursday, November 29, 2007

Survival Azhari dan PMRAM

MEMORANDUM
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR (PMRAM)
KEPADA
YANG AMAT BERHORMAT
DATO' SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI,
PERDANA MENTERI MALAYSIA.
Pengenalan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir atau nama singkatannya (PMRAM) merupakan sebuah pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Mesir yang telah berdaftar di bawah Kementerian Hal Ehwal Kemasyarakatan Mesir. PMRAM yang telah wujud sejak 1930 lalu telah banyak membantu anak-anak Melayu yang berada di bumi Mesir ini buat sekian lama. Sehingga kini, PMRAM dapat bergerak bebas di Mesir berdasarkan undang-undang pihak berkuasa tempatan dalam usaha untuk meneruskan kesinambungan perjuangannya untuk memastikan masyarakat Melayu di Mesir mendapat kemudahan dan kebajikan semasa mereka berada di sini.
Sesungguhnya PMRAM telah dapat membuktikan jasanya kepada seluruh anak-anak Melayu yang mana bukan sekadar hanya persatuan yang menyatukan anak-anak Melayu Nusantara di Perlembahan Nil ini, bahkan sebagai persatuan yang menjadikan kebajikan sebagai agenda utama kepada ahli-ahlinya. Ini terbukti dengan penubuhan tabung-tabung derma dan kecemasan, bantuan kewangan bagi yang memerlukan dan lain-lain sejak dahulu sehinggalah sekarang.
Matlamat PMRAM sebagaimana yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh PMRAM adalah seperti berikut:
Menyatukan suara anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir.
Mengambil berat tentang urusan anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir, dan menolong mengatasi kesulitan-kesulitan mereka khususnya yang berkaitan dengan pelajaran. 
Memajukan lapangan pelajaran, sukan dan sosial, dan bekerja untuk bertukar-tukar kepentingan dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang ada di Republik Arab Mesir yang dihubungi oleh ketiga-tiga lapangan tersebut. 
Menguruskan bantuan atau pertolongan kepada pelajar-pelajar yang berhak menerimanya di kalangan anggota.
PMRAM tidak boleh mencampuri masalah-masalah politik ataupun kepercayaan agama. 
Di dalam memorandum ini, kami sertakan beberapa masalah-masalah berkaitan dunia kemahasiswaan Mesir dan cadangan serta permintaan daripada PMRAM buat Kerajaan Malaysia di bawah era Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meningkatkan kredebiliti mahasiswa, meringankan bebanan serta masalah yang dihadapi oleh semua pihak dan pelontaran idea kemahasiswaan dalam meningkatkan pembangunan insani untuk rakyat Malaysia. Semoga memorandum ini dapat memberikan manfaat buat mahasiswa Malaysia di Mesir dan masyarakat di Malaysia.

1. Isu Pengajian Mahasiswa Malaysia di Universiti Al-Azhar
Antara masalah-masalah yang dihadapi oleh para mahasiswa dalam proses kemasukan ke Universiti Al-Azhar adalah:
Kenaikan Nama Di Peringkat Universiti Al-Azhar Yang Lambat.

a. Kebanyakan nama mahasiswa Malaysia lambat untuk diterima sebagai mahasiswa Al-Azhar yang sah (lambat muqayyad) berbanding mahasiswa luar negara yang lain.

b. Kesan daripada masalah di atas adalah urusan dan proses pembelajaran terbantut sedangkan peperiksaan semester pertama kebiasaannya adalah bermula awal. Ini menyebabkan mahasiswa tergesa-gesa dalam membuat urusan kuliah.

Cadangan penyelesaian:

Oleh kerana sistem pendaftaran pengajian ke Al-Azhar serta sijil untuk kemasukan ke Universiti Al-Azhar telah diseragamkan di Malaysia, masalah utama harus dikesan dan perlu untuk diatasi dengan lebih segera sama ada di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah ataupun Universiti Al-Azhar sendiri.

Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan Untuk Kemasukan Bagi Mahasiswa Yang Datang Dari Kolej Yang Mempunyai Sistem Pengajian Berkembar Dengan Al-Azhar (Pelajar Mu`Adalah)

c. Peperiksaaan ini hanya dikenakan kepada mahasiswa Malaysia sahaja selepas mereka tiba di Mesir dan tidak dikenakan kepada mahasiswa daripada institusi luar negara yang lain yang turut membuat sistem berkembar dengan Al-Azhar.

d. Mahasiswa yang gagal di dalam ujian penilaian ini tidak layak untuk menduduki tahun yang diminta sedangkan mereka telah menduduki peperiksaan di Malaysia dan mendapat kelulusan dan kelayakan yang sepatutnya.

e. Peperiksaan ini menyebabkan urusan pendaftaran ke Universiti Al-Azhar menjadi lebih lewat daripada yang sepatutnya dan proses pembelajaran menjadi terbantut.

Cadangan Penyelesaian:

Meminta pihak pentadbiran Universiti Al-Azhar untuk menghapuskan sistem penilaian ini.

atau menjalankan peperiksaan penilaian tahap kecekapan ini sejak di Malaysia lagi bagi mengelakkan kerugian dari sudut kos dan masa.

Masalah Urusan Visa Yang Rumit

f. Mahasiswa Malaysia terpaksa berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan visa yang rumit terutamanya mahasiswa yang berada di cawangan Al-Azhar luar Kaherah.

g. Mahasiswa terpaksa berjumpa dengan Pegawai Polis Mesir (setiap seorang) untuk setiap urusan mendapatkan visa. Peraturan ini hanya dikenakan kepada mahasiswa dari Malaysia sahaja sedangkan mahasiswa luar negara yang lain termasuk dari negara Asia Tenggara tidak dikenakan peraturan tersebut.

Cadangan Penyelesaian:

Pihak Kerajaan Malaysia mengadakan perjumpaan khusus dengan Kementerian Luar Mesir yang bermatlamat untuk memudahkan urusan mendapatkan visa kerana rakyat Malaysia di Mesir adalah golongan masyarakat yang aman serta tidak mengganggu-gugat kedaulatan dan keselamatan kerajaan Mesir.

Mahasiswa Tidak Mendapat Tempat Dan Kuliah Yang Dipohon.

h. Banyak kes mahasiswa tidak mendapat fakulti dan cawangan Universiti Al-Azhar yang dipohon bahkan ada kalanya, tempat yang diperolehi tidak termasuk langsung dalam pilihan yang dipohon oleh mahasiswa sedangkan pihak Al-Azhar tidak menetapkan kuota yang khusus untuk sesuatu fakulti dan cawangan Al-Azhar.

i. Masalah di atas telah menyebabkan segelintir mahasiswa kecewa dan tidak dapat meneruskan pengajian dengan baik disebabkan mereka tidak mendapat pilihan yang diinginkan.


Cadangan Penyelesaian:

Mengadakan perbincangan dengan pihak pentadbir Universiti Al-Azhar untuk memberikan peluang kepada mahasiswa bagi mendapatkan cawangan Universiti Al-Azhar dan fakulti berdasarkan pilihan yang dibuat.

Masalah untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan kuliah.

Antara masalah yang dihadapi oleh para mahasiswa Malaysia di Mesir ialah tenaga pengajar di kuliah menggunakan bahasa Arab tempatan dan tidak menggunakan bahasa Arab standard seperti yang dipelajari di Malaysia. Ini membawa masalah dari sudut memahami kuliah yang disampaikan di dewan kuliah.

Cadangan penyelesaian:

Perjumpaan khusus dengan pentadbir Al-Azhar untuk memberikan pengkhususan kelas kepada mahasiswa bukan Arab terutamanya Malaysia, sepertimana yang dibuat antara pihak MARA dengan Universiti Kaherah untuk mahasiswa di bawah tajaan MARA.



2. Isu Kelemahan Penguasaan Bahasa Arab
Universiti Al-Azhar adalah satu institusi keilmuan Islam yang telah banyak memberikan sumbangan kepada dunia ilmu Islam dan peradaban sejarah manusia. Para mahasiswa Malaysia yang menuntut di universiti terulung ini adalah aset penting kepada negara Malaysia khususnya dalam memberikan sumbangan ilmu dan pendidikan kepada masyarakat.
Antara masalah utama yang dihadapi oleh para mahasiswa Al-Azhar khususnya mahasiswa baru adalah masalah penguasaan bahasa Arab yang memberikan impak besar kepada para mahasiswa dalam bidang akademik.
PMRAM pernah mengadakan satu pertemuan rasmi bersama Tuan Yang Terutama Dato' Zainal Abidin Abdul Kadir, Duta Besar Malaysia Ke Kaherah untuk mengemukakan Draf Cadangan Peningkatan Penguasaan Bahasa Arab dan Kebajikan Mahasiswa Al-Azhar Malaysia di Mesir sebagai beberapa cadangan dari pihak PMRAM kepada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah bagi meningkatkan kebajikan mahasiswa Malaysia di Mesir khususnya dalam isu kelemahan bahasa Arab.

Antara Punca Kelemahan Bahasa Arab Di Kalangan Mahasiswa Malaysia Di Mesir
Sistem pengajaran bahasa Arab di Malaysia yang masih belum kukuh dan kuat berbeza dengan pengajaran bahasa Inggeris yang jauh lebih mantap dan kukuh daripada bahasa Arab.

Sebahagian para guru yang merupakan tenaga pengajar bahasa Arab di Malaysia yang masih tidak mampu untuk bertutur bahasa Arab dengan baik di samping gaya penyampaian yang kurang berkesan telah mengakibatkan para pelajar yang datang ke Timur Tengah tidak mampu untuk menguasai bahasa Arab dengan baik yang semestinya akan menatijahkan impak negatif dalam akademik mereka.

Cadangan Penyelesaian:
Berikut adalah cadangan PMRAM bagi mengatasi masalah kelemahan bahasa Arab di kalangan mahasiswa:
Meningkatkan standart piawaian Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi kepada sistem yang telah sedia ada dalam memperkasakan lagi tahap penguasaan bahasa Arab di kalangan para pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan IPT di Malaysia.

Menjalankan penapisan yang lebih sistematik kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (B.A.) di Universiti Al-Azhar.

Para guru bahasa Arab hendaklah di kalangan para guru yang mampu untuk bertutur secara fasih dalam bahasa Arab Standart bagi memastikan para pelajar juga mampu untuk bertutur dengan bahasa Arab Stardart dengan baik semenjak mereka berada di Malaysia lagi.

Memperbanyakkan kemasukan guru-guru bahasa Arab daripada warga Arab sendiri di sekolah-sekolah agama di Malaysia.


3. Mempelbagaikan Sumber Bantuan Kewangan Kepada Mahasiswa Al-Azhar
Berikut adalah beberapa permasalahan yang dihadapi oleh sebahagian mahasiswa berhubung dengan masalah kewangan:
Majoriti mahasiswa yang menyambung pelajaran ke Al-Azhar adalah terdiri daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana. Justeru mereka tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membiayai kos sepanjang tempoh pengajian di Mesir.

Tidak semua mahasiswa Al-Azhar mendapat bantuan zakat daripada negeri-negeri. Hal ini kerana jumlah penerima-penerima zakat di kebanyakan negeri adalah terhad.

Kebanyakan mahasiswa yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana (MA) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di Mesir tidak mendapat mana-mana tajaan. Di samping itu kos pengajian peringkat Ijazah Sarjana (MA) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di Mesir adalah lebih tinggi berbanding dengan kos pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (BA).

Masalah kenaikan kos sara hidup di Mesir yang semakin meningkat terutama kos sewaan rumah berikutan tidak semua mahasiswa menetap di rumah-rumah negeri.

Cadangan Penyelesaian:
Memberikan peruntukan biasiswa kepada pelajar cemerlang lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang ingin melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar. Hal ini akan menggalakkan daya persaingan yang sihat dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan STAM.

Membuka peluang kepada mahasiswa Al-Azhar yang cemerlang dalam pelajaran untuk turut menerima bantuan biasiswa sama ada daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu pun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagaimana yang diberikan kepada mahasiswa yang menuntut di IPTA.

Menawarkan skim pinjaman kewangan pendidikan kepada mahasiwa Al-Azhar yang memerlukan melalui pinjaman PTPTN.

Memperuntukan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang ingin menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (MA) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di Mesir sebagaimana terdapat peruntukan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi bantuan kewangan untuk pelajar program bertaraf matrikulasi.

Menubuhkan satu jawatankuasa yang berfungsi untuk menyeragamkan kadar agihan wang zakat seterusnya menyalurkan kepada seluruh mahasiswa Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar kerana pengagihan sebelum ini adalah tidak seragam.

Semoga dengan bantuan yang diberikan ini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mahasiswa seterusnya dapat memberikan keselesaan kepada mahasiswa untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam akademik untuk terus cemerlang, gemilang dan terbilang.


4. Memohon Kebenaran Untuk Kembali Beroperasi Di Pejabat Asal PMRAM
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) meletakkan satu keyakinan penuh terhadap Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang begitu dikenali sebagai seorang pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan mahasiswa agar dapat menimbangkan permohonan PMRAM untuk kembali beroperasi di pejabat asal PMRAM di anjung Asrama Rumah Melayu Abasiah ataupun yang lebih dikenali pada hari ini dengan nama Dewan Malaysia Abasiah Kaherah (DMAK). Permohonan ini dibuat setelah mana PMRAM tidak beroperasi di pejabat asal PMRAM semenjak tahun 1993 hingga kini.



Sejarah Asrama Rumah Melayu Abasiah (ARMA)
PMRAM pada tahun 1956 telah mengharumkan nama seluruh anak-anak Melayu di Tanah Melayu apabila seramai 65 orang para mahasiswa Al-Azhar ketika itu telah bersedia untuk berkorban nyawa demi mempertahankan negara Mesir daripada serangan tiga penjuru; Perancis, British dan Israel apabila mereka telah menyertai secara sukarela anggota Pertahanan Awam bagi Mesir yang bersedia untuk terjun ke medan perang sekiranya bilangan askar kerajaan Mesir tidak mencukupi. Sebahagian mahasiswa yang tidak berkeupayaan untuk berperang telah menderma darah manakala para mahasiswi pula tidak ketinggalan dalam perjuangan dengan menjahit pakaian tentera yang digunakan dalam peperangan.

Atas keberanian ini, Presiden Mesir ketika itu, Presiden Jamal Abdul Nasir telah menganugerahkan sebidang tanah kepada PMRAM ataupun yang dikenali ketika itu sebagai Persekutuan Melayu Mesir (PMM). Hasil hadiah tanah yang seluas 2,212 meter persegi di Abbasiah dengan sah menjadi milik PMM melalui majlis penyerahan geran pada tahun 1959 yang dihadiri oleh Yang Di Pertua Persekutuan Melayu Mesir ketika itu, Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad (mantan Menteri Besar Terengganu).

PMRAM mengiktiraf bahawa tanah tersebut pada hari ini adalah milik Kerajaan Malaysia hasil daripada penukaran hak milik tanah daripada nama PMRAM ke nama Kerajaan Malaysia pada tahun 1960 sebagai satu proses untuk Kerajaan Malaysia meluluskan kewangan untuk membina asrama di atas tapak tanah tersebut.

Hak PMRAM berdasarkan dokumen "Peraturan-peraturan Asrama Rumah Melayu"

Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telah menandatangani Peraturan-Peraturan Asrama Rumah Melayu bagi tahun 1971 dan 1986 yang turut ditandatangani bersama oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah dan Yang Di Pertua PMRAM.

Berikut adalah beberapa klausa yang termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Asrama Rumah Melayu bagi tahun 1971 dan 1986 yang menunjukkan hak PMRAM memiliki pejabat di ARMA.

“Tapak bangunan ini adalah diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.” (Peraturan tahun 1986, Fasal 1 Pendahuluan Ceraian 1.3)

“Anjung tingkat bawah asrama ini adalah dikhaskan sebagai pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.” (Fasal 1 Pendahuluan Ceraian 1.6)

“Dasar Pentadbiran Asrama ini diputuskan oleh sebuah jawatankuasa, terdiri daripada:- Pengarah JPM (Pengerusi), Penyelia Asrama (Setiausaha), Pegawai Kebajikan (I) JPM, Pegawai Kebajikan (II) JPM, Juruwati Asrama dan Tiga Orang Wakil PMRAM.” (Bab 2, ceraian 2.3)

Sebab Mengapa PMRAM Memohon Pejabat Di ARMA

Dokumen Peraturan-peraturan Asrama Rumah Melayu bagi tahun 1971 dan 1986 pada hakikatnya tetap legal dan tidak pernah dimansuhkan sama sekali sehingga hari ini. Tidak ada sebarang hitam-putih yang membatalkan secara sah dokumen persepakatan yang dimetrai pada tahun 1971 dan 1986 tersebut.

Kenyataan yang dibuat oleh Duta Besar Malaysia Ke Kaherah pada tahun 2000 dalam satu mesyuarat bertarikh 13 November 2000 antara Tuan Yang Terutama Dato' Duta dengan Badan Pengurus PMRAM dengan jelas mengakui ketidaksahan peraturan baru ARMA 1999 kerana dibuat tanpa pengetahuan PMRAM, seterusnya mengiktiraf peraturan terdahulu iaitu Peraturan ARMA 1971 dan 1986 sebagai peraturan yang masih diterima pakai.

Kandungan Peraturan-peraturan Asrama Rumah Melayu ini adalah satu persepahaman yang sah dan perlu untuk dijalankan kembali bagi menghormati persepakatan yang telahpun ditandatangi pada masa lalu.

Usaha PMRAM Dalam Memohon Pejabat Di ARMA

PMRAM pernah mengajukan permohonan untuk kembali beroperasi di Asrama Rumah Melayu Abasiah ini kepada mantan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh ketika beliau melawat Mesir pada Oktober 2004. Walau bagaimanapun sehingga ke hari ini, tiada sebarang jawapan balas terhadap permohonan PMRAM untuk beroperasi di Asrama Rumah Melayu Abbasiah.

PMRAM memohon jasa baik Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia bersempena kedatangan Yang Amat Berhormat Dato' Seri ke Republik Arab Mesir agar sudi mempertimbangkan dan meluluskan permohonan PMRAM untuk beroperasi semula di pejabat PMRAM yang asal di anjung Rumah Melayu Abasiah. PMRAM meyakini bahawa Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mempertimbangkan permohonan ini dengan sebaik-baiknya.



5. Menambah Produk Bacaan Ilmiah
Melalui matlamat kerajaan yang bercita-cita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang di dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, masalah utama yang dihadapi oleh negara adalah kurangnya bahan bacaan ilmiah di dalam pasaran. Ini terbukti daripada hasil kajian yang dilakukan terhadap mahasiswa dan pensyarah di IPTA menunjukkan bahawa seorang mahasiswa hanya membaca 2 buah buku setahun manakala 6 buah buku setahun di kalangan para pensyarah di universiti.
Beberapa punca utama di kenal pasti menjadi masalah kepada perkara ini, antaranya:-
Kos penerbitan buku di Malaysia adalah tinggi berbanding kos penerbitan buku di negara Timur Tengah.

Budaya dan amalan membaca amat kurang di kalangan rakyat.

Peruntukan yang terhad untuk menerbitkan buku di pasaran semasa.

Cadangan Penyelesaian:
Justeru, adalah menjadi harapan pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) agar kerajaan mempertimbangkan hasrat kami melahirkan modal insan yang sentiasa mengamalkan budaya pembacaan semenjak dari peringkat sekolah. Oleh yang demikian, beberapa cadangan daripada peringkat kami adalah:-
Mencadangkan agar kerajaan menambahkan peruntukan khusus untuk penerbitan buku di Malaysia.

Mewujudkan Akademi Penerbitan Buku Malaysia yang berfungsi sebagai badan utama yang mengeluarkan bahan bacaan ilmiah secara percuma melalui peruntukan yang besar oleh kerajaan.

Memperuntukkan “waktu khas” untuk aktiviti membaca di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Memperbanyakkan nilai penghargaan kepada semua rakyat melalui Penganugerahan Tokoh Nilam yang mewakili setiap negeri bukan hanya berpusat di peringkat persekutuan.

Demi untuk mempertingkatkan tahap keilmuan para mahasiswa Malaysia di Mesir, PMRAM mencadangkan kepada pihak kerajaan Malaysia untuk membina sebuah Perpustakaan Mega Malaysia di Mesir untuk kegunaan mahasiswa yang mengandungi buku-buku ilmiah dari Malaysia, Mesir dan negara-negara lain. Sekiranya cadangan ini diterima, ini akan menaikkan imej Malaysia di mata dunia.


6. Meningkatkan Kebajikan Golongan Saudara Baru
Golongan saudara baru ataupun muallaf merupakan satu golongan yang amat diberi perhatian oleh Islam. Maka segala usaha dan kebajikan yang dapat membantu golongan ini untuk menjalani satu kehidupan baru perlu dipandang serius.
Ini kerana kita sering melihat ada di kalangan mereka yang disisih oleh keluarga mereka sendiri dan menghadapi masalah kewangan selain kekurangan bimbingan agama dan sosial sehingga ada yang bertindak kembali semula ke agama asal akibat tertekan dan bebanan yang dirasai.
Sikap sebahagian masyarakat Islam pula amat dikesali kerana tidak ramai yang mengambil berat tentang hal ini. Tambahan pula, agensi yang terlibat secara khusus seperti PERKIM amatlah sedikit walaupun urusan ini adalah melibat soal agama yang penting.

Cadangan Penyelesaian:
Oleh yang demikian, PMRAM mencadangkan beberapa perkara penting demi meningkatkan kebajikan golongan ini. Cadangan-cadangan tersebut ialah:
Memperkasakan fungsi PERKIM yang ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman dengan meningkatkan fasiliti yang ada seperti dewan pengajian, bangunan pejabat, asrama untuk saudara baru dan sebagainya.

Menambah bilangan guru agama yang mempunyai pengkhususan dalam mendidik dan membimbing golongan saudara baru.

Menambah bilangan kaunselor yang berpengalaman dalam memahami dan menyelesaikan masalah mereka.

Meningkatkan kebajikan berbentuk kewangan seperti sumbangan bulanan, jumlah wang zakat yang mencukupi dan galakan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka seperti membuka peluang pekerjaan bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan.

Menghantar individu yang cemerlang dalam pendidikan agama untuk belajar di Timur Tengah seperti di Mesir untuk meningkatkan pengetahuan Islam di peringkat lebih tinggi.

Mewujudkan satu kementerian khusus untuk menjaga kebajikan saudara baru sebagaimana wujudnya Kementerian Pelancongan yang berperanan untuk meningkatkan tahap pelancongan di Malaysia.


7. Membasmi Masalah Sosial

Seperti yang telah kita maklumi, masalah gejala sosial di kalangan remaja di Malaysia kian membarah. Sebagai tanda kebersamaan PMRAM dengan pihak kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini, berikut disertakan beberapa cadangan dengan harapan cadangan ini dapat dilaksanakan:

Mengehadkan kebebasan hiburan di dalam media percetakan dan eletronik. Pihak kerajaan Malaysia disarankan untuk mengadakan pemerkasaan jawatankuasa penapisan media percetakan dan eletronik di samping menguatkuasa etika hiburan di dalam dua saluran tersebut.

Kerajaan Malaysia perlu untuk meningkatkan kuota keterlibatan program yang berbentuk agama di dalam dua media yang telah disebutkan. Penerapan pendidikan agama di kalangan remaja khususnya melalui media sangat dinanti-nantikan oleh ibu bapa. Cadangan ini sangat penting bagi menyediakan modal insan yang telah digarapkan oleh kerajaan Malaysia di bawah era pimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sukatan mata pelajaran di sekolah-sekolah perlu diperbaharui pendekatannya agar lebih kontemporari dan mesra dengan cara mengaitkan pembelajaran agama dengan permasalahan sekitar. Perkara ini penting demi meningkatkan pemahaman pelajar terhadap teori yang telah dipelajari, seterusnya menjamin kemampuan mereka dalam mencerna ilmu melalui praktikal. Dengan usaha ini, mereka dapat memperbaiki kualiti hidup agar lebih baik seterusnya jauh dari gejala sosial yang merosakkan.

Memupuk kesedaran nilai-nilai murni di segenap lapisan masyarakat dengan memanfaatkan semua pendekatan yang ada. Dengan usaha ini, masyarakat awam akan mempunyai sensitiviti yang tinggi. Kekuatan yang diharapkan ini sekiranya berjaya untuk diwujudkan, ia akan dapat memelihara remaja-remaja daripada terjebak ke dalam masalah sosial.

Memperbanyakkan program-program kesedaran agama dengan cara mendekati golongan remaja yang terlibat dengan gejala sosial.

Mewujudkan penyelarasan kelas-kelas agama sesi petang bagi para pelajar sekolah rendah. Ini adalah bertujuan untuk memastikan pembinaan modal insan yang terbaik mampu untuk dicapai dan direalisasikan. Sehingga ke hari ini, belum ada penguatkuasaan secara menyeluruh yang mewajibkan seluruh pelajar sekolah rendah yang beragama Islam untuk mengikuti kelas-kelas agama sesi petang.



8. Meluaskan Jaringan Sektor Pekerjaan Di Kalangan Graduan Pengajian Islam
Kementerian Pembangunan Sumber Manusia memainkan peranan utama di dalam perkembangan sektor pekerjaan di kalangan mahasiswa. Kajian dan sumber terbaru yang diperoleh mendapati bahawa seramai 60,000 orang mahasiswa masih menganggur. Masalah ini lebih meruncing apabila graduan pengajian Islam sering terpinggir dan kurang mendapat keprihatinan yang serius.
Dalam perkembangan yang lain, kerajaan telah membuka perkembangan yang luas kepada graduan pengajian Islam melalui program j-Qaf. Justeru, peluang ini wajar diperkembangkan lagi agar semua graduan pengajian Islam mampu untuk meluaskan jaringan untuk berada di dalam sektor pekerjaan awam dan swasta pada hari ini.
Cadangan Penyelesaian:
Adalah menjadi harapan pihak PMRAM agar kerajaan mengambil perhatian serius di dalam masalah ini dengan beberapa cadangan-cadangan berikut di bawah :-
Menambahkan peluang pekerjaan (jawatan khas) kepada graduan pengajian Islam di semua sektor dan kementerian. Contoh : Pegawai Tadbir Agama (Sukan) di Kementerian Belia dan Sukan, Pegawai Tadbir Agama (Teknologi dan Pembangunan Insan) di Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

Mewujudkan jurulatih-jurulatih tambahan di kalangan graduan pengajian Islam di semua Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) agar belia yang lahir adalah golongan yang memahami prinsip-prinsip Islam.

Memberi peluang mahasiswa graduan pengajian Islam dilatih khusus dan menjalani praktikal selama 3 atau 6 bulan sebelum berkhidmat di sektor awam dan swasta agar mereka mampu berkhidmat dengan cemerlang.



Penutup
Besarlah harapan kami selaku kepimpinan mahasiswa Malaysia yang berada di bumi Mesir ini agar mendapat perhatian yang serius daripada Y.A.B. Dato' Seri melalui cadangan yang diberikan untuk sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan mahasiswa dan rakyat Malaysia amnya mencapai cita-cita dan merealisasikan Wawasan 2020 yang menjadi hasrat kerajaan Malaysia.


Hairul Nizam Mat Husain,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2007.


s.k.
- Yang Berhormat Dato' Haji Mustapa bin Mohamad
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

- Tuan Yang Terutama Datuk Hj Zainal Abidin bin Abdul Kadir
Duta Besar Malaysia ke Kaherah.

- Prof. Madya Dr. Jamil bin Hasyim
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Thursday, November 22, 2007

Secantik bunga, seindah pantai & secantik wanita

Mulianya menjadi seorang wanita ......




Sering sekali kita mendengar di kalangan masyarakat kita kata-kata bahawa wanita itu
mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Kita tidak pasti dari mana kata-kata ini diambil.
Yang pastinya Al-Qur'an dan As-Sunnah tidak menetapkan begitu. Kata-kata ini seolah-olah menggambarkan bahawa wanita itu kurang 80 peratus akalnya berbanding lelaki padahal ini bukan hakikatnya. Wanita juga seolah-olah begitu kuat bernafsu berbanding lelaki dari kata-kata ini. Jika benar kata-kata ini tentulah wanita yang merogol lelaki dan bukan sebaliknya.Memang terdapat hadith Nabi saw yang sahih yang menyebut tentang kekurangan akal wanita berbanding lelaki. Nabi saw bersabda dalam hadith dari Abi Sa'eed Al-Khudriyy r.a yang menceritakan : Nabi saw keluar pada hari `Iid Al-Adha atau Al-Fitr** ke tempat solat.Kemudian baginda lalu di hadapan para wanita lalu berkata: Wahai kaum wanita, bersedekahlah kerana sesungguhnya aku melihat bahawa kebanyakan ahli neraka adalah dari kalangan kamu (wanita). Maka para wanita itu bertanya: "Mengapa wahai Rasul Allah," Nabi saw berkata: "Kamu suka melaknat dan kamu kufur (tidak berterima kasih) kepada suamimu. Aku tidak pernah melihat sesiapa yang lebih kurang akalnya dan agamanya berbanding kamu. Seorang lelaki yang waras boleh dipesongkan oleh kamu." Maka para wanita itu bertanya: "Apakah kekurangan akal kami dan agama kami wahai Rasul Allah ?"Nabi saw bersabda: "Bukankah kesaksian wanita itu menyamai separuh kesaksian lelaki ?"Maka para wanita itu menjawab: "Ya" Lalu Nabi saw menyambung lagi: "Maka itulah kekurangan akalnya. (Dan) bukankah bila wanita itu datang haidh dia tidak solat dan tidak berpuasa?""Para wanita menjawab: "Ya." Maka Nabi saw berkata: Maka itulah kekurangan agamanya."
[Sahih Al-Bukhari, Kitaab Al-Haidh]



Imam Ibn Hajar yang mensyarahkan hadith ini menyebut bahawa terdapat juga wanita yang
lebih pandai berbanding lelaki dan perkara ini kita semua sedia maklum akan kebenarannya.
Malah Allah swt merakamkan kisah pemerintah Saba' yang merupakan seorang wanita yang
bijaksana dalam Suurah An-Naml ayat 22 hingga 44. Para isteri Nabi saw juga adalah tokoh-tokoh yang bijaksana dan mahir dalam hukum-hakam agama. Mereka itu mengajar para
sahabat Nabi saw dari kalangan lelaki dan nasihat-nasihat mereka sering diambil oleh Nabi saw dalam pelbagai problematika kehidupan

secantik bunga seindah wanita

Mulianya menjadi seorang wanita ......



Sering sekali kita mendengar di kalangan masyarakat kita kata-kata bahawa wanita itu
mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Kita tidak pasti dari mana kata-kata ini diambil.
Yang pastinya Al-Qur'an dan As-Sunnah tidak menetapkan begitu. Kata-kata ini seolah-olah menggambarkan bahawa wanita itu kurang 80 peratus akalnya berbanding lelaki padahal ini bukan hakikatnya. Wanita juga seolah-olah begitu kuat bernafsu berbanding lelaki dari kata-kata ini. Jika benar kata-kata ini tentulah wanita yang merogol lelaki dan bukan sebaliknya.Memang terdapat hadith Nabi saw yang sahih yang menyebut tentang kekurangan akal wanita berbanding lelaki. Nabi saw bersabda dalam hadith dari Abi Sa'eed Al-Khudriyy r.a yang menceritakan : Nabi saw keluar pada hari `Iid Al-Adha atau Al-Fitr** ke tempat solat.Kemudian baginda lalu di hadapan para wanita lalu berkata: Wahai kaum wanita, bersedekahlah kerana sesungguhnya aku melihat bahawa kebanyakan ahli neraka adalah dari kalangan kamu (wanita). Maka para wanita itu bertanya: "Mengapa wahai Rasul Allah," Nabi saw berkata: "Kamu suka melaknat dan kamu kufur (tidak berterima kasih) kepada suamimu. Aku tidak pernah melihat sesiapa yang lebih kurang akalnya dan agamanya berbanding kamu. Seorang lelaki yang waras boleh dipesongkan oleh kamu." Maka para wanita itu bertanya: "Apakah kekurangan akal kami dan agama kami wahai Rasul Allah ?"Nabi saw bersabda: "Bukankah kesaksian wanita itu menyamai separuh kesaksian lelaki ?"Maka para wanita itu menjawab: "Ya" Lalu Nabi saw menyambung lagi: "Maka itulah kekurangan akalnya. (Dan) bukankah bila wanita itu datang haidh dia tidak solat dan tidak berpuasa?""Para wanita menjawab: "Ya." Maka Nabi saw berkata: Maka itulah kekurangan agamanya."
[Sahih Al-Bukhari, Kitaab Al-Haidh]



Imam Ibn Hajar yang mensyarahkan hadith ini menyebut bahawa terdapat juga wanita yang
lebih pandai berbanding lelaki dan perkara ini kita semua sedia maklum akan kebenarannya.
Malah Allah swt merakamkan kisah pemerintah Saba' yang merupakan seorang wanita yang
bijaksana dalam Suurah An-Naml ayat 22 hingga 44. Para isteri Nabi saw juga adalah tokoh-tokoh yang bijaksana dan mahir dalam hukum-hakam agama. Mereka itu mengajar para
sahabat Nabi saw dari kalangan lelaki dan nasihat-nasihat mereka sering diambil oleh Nabi saw dalam pelbagai problematika kehidupan..

Wednesday, November 07, 2007

Smart Cirle

TUJUH PANDUAN UNTUK NAQIB


Adaptasi (ringkasan dan penyesuaian) daripada tulisan Ummu Azmi, "Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya" dalam majalah Ummi, Julai 1990, 34-35.


Panduan 1: Kenali Ahli Usrah. Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai dengan peribadi tertentu.

Panduan 2: Rancang Program Pengisian. Naqib mesti merancang program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.

Panduan 3: Segarkan Usrah dengan Suasana Perbincangan. Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

Panduan 4: Bertindak sebagai Pemimpin Tempat Bernaung. Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, dalam atau luar usrah. Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.

Panduan 5: Berikan Kerja kepada Ahli. Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih banyak orang dan sentiasa membina hubungan dengan naqib.

Panduan 6: Pelbagaikan Kesan Sampingan. Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:
6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.

6.2 Penyelesaian Masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.
6.3 Permainan. Adakan "permainan" yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.
6.4 Berkhemah dan Berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.

Panduan 7: Sediakan Laporan Penilaian. Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen itu, langkah penambahbaikan boleh dirancang dan dilaksanakan.

Catatan :
"Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya."