Tuesday, February 17, 2015

KETIKA HATI MERINDUI TOK GURU


KETIKA HATI MERINDUI TOK GURU Beberapa hari sudah berlalu dengan pemergian Ayahanda Tok Guru. Tarikh 12 Febuari 2015 tidak dapat aku lupakan. Tok Guru telah menemui Allah ketika aku berforum memperingati perjuangan Al-Syahid Imam Hasan Al-Banna. Al-Syahid telah menemui Allah setelah ditembak berkali-kali pada tarikh tersebut. Ayahanda Tok Guru ditakdirkan pergi buat selamanya juga pada tarikh syahidnya Imam Hasan Al-Banna. Bagiku, beliau mendapat ganjaran syahid yang sentiasa diimpikannya melalui doa yang ikhlas dipanjatkan kehadrat Allah sepanjang masa. Allah telah anugerah kematiannya sebagai syahid sekalipun beliau meninggal dunia dipembaringan. Hari ini kerinduan datang membuak-buak di sanubariku ekoran suaranya seolah-olah menyapa dicuping telingaku. Aku terkenang ketika Ayahanda Tok Guru membetulkan uslub bahasa pada syair arab yang pernah aku coret buatnya suatu ketika dahulu. Aku tersengih dengan penambahan tulisannya yang mencuit perasaanku. Manakan tidak, daripada Penyair Hasan Ibnu Thabit, Saidina Ali, Imam Syafie, Ayahanda Tok Guru juga mengingati bait gurindam Majnun terhadap Lailanya. Hari ini, sekali lagi ku utuskan kerinduanku melalui syair khas buatnya yang akan aku khazanahkan dalam Diwanku buat selamanya : شيخ العلامة ترحلت وإنني مشتاق # بفيض دمع العين من الأحزان Tok Guru, dikau telah pergi dan diriku amat merindui - Mengalir air mataku sedih mengenang akan pemergian لكن أطمئن قلبي حين رأيتك في المنام # لما أرى فيك من تقوى وإيمان Tetapi, hatiku tetap tenang apabila bermimpikan dirimu - Dengan ku saksikan bekalanmu adalah takwa dan iman يا أيها العالم الممدوح في خلق # بين الأحبة ومن كل إنسان Wahai Ulama yang dipuji pada akhlaknya - Di kalangan para pencinta bahkan sekalian manusia كم كان علمك ذا نفع وذا أثر # على مريديك من شيب وشبان Betapa luasnya ilmumu yang sangat memberi manfaat dan berkesan - Kepada penuntutmu di kalangan golongan veteran dan anakmuda وكم انتفع الناس وقد انتفعوا # بعلمك العميق في شرح وتبيان Betapa ramai manusia mempelajari denganmu lalu mengambil faedah - Dengan ilmumu yang mendalam pada huraian dan keterangan يا أيها العالم كم في الناس مقولات # أثنى عليك عظيم القدر والشان Wahai Ulama yang rata-rata manusia pada percakapan mereka - Menyanjung tinggi akan hebatnya kelebihan serta kedudukanmu ففي الدعوة قد جددت أسلوبها # لتخدم الناس من كل شيخ وفتيان Dalam kancah dakwah dikau terlalu banyak mentajdid uslubnya - Untuk bergelumang bersama manusia sama ada peringkat tua mahupun muda وكم تفانيت في التأليف مجتهدا # في نشر علم به إعلاء الأوطان Betapa engkau bersungguh-sungguh berkecimpung dalam penulisan - Demi untuk menyebarluaskan ilmu yang dengannya mengangkat martabat Negeri juga Negara شيخ العلامة قد كنت بدرا نيرا # في علم فقه وتوحيد لا سيما القرآن Tok Guru, sesungguhnya dirimu umpama bulan mengambang yang menyinari - Dalam menguasai ilmu fiqh, akidah apatah lagi ilmu berkaitan Al-Quran فكنت جوهرة في العصر نادرة # في كل عملك يرفع كل بنيان Engkaulah permata yang terlalu sukar dicari pada zaman ini – Dengan segala kerja buatmu meneguhkan keseluruhan binaan شيخ العلامة افتقدتك بعد رحيلك # به أحس بحزن وكأني في حيران Tok Guru, ku tersangat merasai akan kehilangan setelah permergianmu - Dengan pemergianmu ku bersedih dan seolah-olah ku hilang segala punca يا إلهي رحماك بعبد العزيز أعد له # طيب المقامة في جنات عدنان Wahai Tuhanku, kurniakanlah rahmat-Mu berpanjangan keatas Tok Guru Nik Abdul Aziz dan tempatkanlah beliau - Di sebaik-baik tempat di Syurga-Mu yang kekal abadi واجعل محبيه دوما في ذكر ودعاء # مزودين بصبر ثم بسلوان Campakkanlah ke dalam hati seluruh pencintanya untuk sentiasa mengutus zikir dan doa - Dan seterusnya dibekalkan mereka dengan kesabaran juga ketenangan Anakandamu; Asri Ed-Diwanie 27 Rabiul Akhir 1436

Blog Archive