Friday, December 21, 2018
Tuesday, October 30, 2018
Kisah Ashabul Kahfi
.
Kisah Ashabul Kahfi (أصحاب الكهف) merupakan suatu kisah
benar mengenai 7 orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua. Di dalam
Al-Quran, dari ayat 9 hingga 26; Surah Al-Kahfi, diceritakan kisah beberapa orang
pemuda beriman yang telah melarikan diri ke sebuah gua dan bagaimana Allah سبحانه وتعالى tidurkan mereka selama 309
tahun.
Jika difikir secara logik
akal, maka kisah dan cerita tentang Ashabul Kahfi termasuk
suatu kejadian pelik, luar biasa dan menakjubkan. Tiada manusia yang dapat
menjelaskan bagaimana ada orang yang boleh tidur sehingga ratusan tahun tanpa
makan dan minum. Namun bagi orang yang beriman dan meyakini Allah سبحانه وتعالى bahawa tiada yang mustahil
jika Allah سبحانه وتعالى mengkehendakinya demikian.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman;
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ
وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا ﴿٩
“Adakah kamu menyangka (wahai
Muhammad), bahawa kisah ‘Ashabul Kahfi’ (penghuni gua) dan ‘Ar-Raqiim’ termasuk
antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan?” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 9)
.
.
Dimanakah
Terletaknya Gua Ashabul Kahfi
.
Telah menjadi perdebatan
daripada zaman berzaman mengenai gua dan tempat persembunyian Ashabul
Kahfi. Banyak tempat mendakwa dimana berlakunya kisah ini seperti di Gua di
Jabal Qassiyyun, Syria dan Gua di Ephesus (Tarsus), Turki. Namun Gua
Ashabul Kahfi (Kahf Ahlil Kahf)yang terletak di Abu Alanda,
kira-kira 7 km dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah yang
lebih menepati ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.
Kawasan ini suatu ketika
dahulu dikenali sebagai ‘Ar-Raqim’ kerana terdapat kesan tapak
arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut.
Perkataan ‘Ar-Raqim’ juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli
Tafsir menafsirkan ‘Ar-Raqim’ sebagai nama anjing dan ada
menyatakannya sebagai batu bersurat.
Walau bagaimanapun,
Allah سبحانه وتعالى tidak menunjuk dan
menyatakan dengan jelas di mana tempat sebenar mereka bersembunyi. Sebab utamanya
adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi umat Islam kerana Allah سبحانه وتعالى hanya mahu hamba-Nya
mengambil iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah mereka.
.
Namun begitu berdasarkan
ayat 17 surah al-Kahfi, dapat kita
ketahui kedudukan sebenar pintu gua yang menjadi tempat persembunyian
ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara. Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ
عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ
وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِۗ مَن يَهْدِ اللَّـهُ
فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا ﴿١٧
“Dan kamu akan melihat
matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia
terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam
tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang
membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah,
maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya
maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 17)
.
.
Kisah
Pembuktian
.
Ashabul Kahfi bukanlah
kisah epik jenaka, dongeng atau suatu cerita rekaan manusia. Sejarah kejadian
tersebut sebenarnya mempunyai hubungan erat dengan kegelisahan Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu semasa ditanya oleh
beberapa orang Yahudi untuk membuktikannya bahawa Baginda memang seorang Nabi
Utusan Allah سبحانه وتعالى.
.
Orang-orang Yahudi bertanya
Rasulullah ﷺ, “Wahai
Muhammad! Tolong ceritakan kepada kami tentang kisah 7 pemuda yang rela
mengasingkan diri untuk mempertahankan keyakinannya kepada Allah سبحانه وتعالى. Jika
engkau sanggup menceritakan dengan benar, maka kami juga akan mengikuti
ajaranmu dan menjadi sebahagian daripada orang Islam.”
Lalu Nabi Muhammad ﷺ memohon pertolongan pada
Allah سبحانه وتعالى dan selepas 15 hari
kemudian baginda mendapat wahyu tentang penjelasan kisah Ashabul Kahfi atau
cerita mengenai 7 pemuda yang ditanyakan oleh orang Yahudi tersebut. Penjelasan
mengenai kisah Ashabul Kahfi ini terdpat pada Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga
26, di dalam kitab suci Al-Quran.
.
.
.
Sebagaimana yang telah
dikisahkan turun-temurun. Pada asalnya penduduk sebuah negeri itu beriman
kepada Allah سبحانه وتعالى dan beribadat
mengEsakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama
Diqyanus (Decius).
Raja kufur dari Rom ini,
memerintah secara kejam dan kuku besi. Sesiapa yang menentang keinginan raja,
maka samalah seperti ingin mengakhiri hidupnya lebih awal. Dia memaksa rakyat
di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah سبحانه وتعالى serta bertukar kepada
agama kufur dan menyembah batu berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut
dengan ancaman dan seksaan raja tersebut terpaksa akur dengan arahan yang zalim
itu.
.
Dalam pada itu terdapat
sekumpulan pemuda beriman enggan tunduk dengan tekanan Raja Diqyanus yang kafir.
Di tengah-tengah kekufuran raja, bangsa dan kaum mereka, kesemua tujuh pemuda
tersebut secara sembunyi-sembunyi tetap beriman kepada Allah سبحانه وتعالى. Mereka teguh
mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin
terancam dengan berbuat demikian.
.
Pengesahan keberimanan
pemuda-pemuda ini dinyatakan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam
firmanNya;
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّۚ
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣
“Kami ceritakan kepadamu
(wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu
adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada
mereka hidayah petunjuk.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 13)
.
Kepercayaan dan keyakinan 7
pemuda ini terus bertahan sehingga kemudiannya sampai ke pengetahuan raja dan
akhirnya mereka dipanggil mengadap Raja Diqyanus.
Di hadapan raja yang zalim
itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat, petah berhujah mempertahankan
iman dan prinsip aqidah yang mereka yakini. Pemuda-pemuda tersebut mengakui
bahawa hanya ada satu Tuhan yang layak disembah dan diminta pertolongan. DIA-lah
Allah سبحانه وتعالى yang Esa, Yang Maha
Menguasai alam beserta isinya yang kekal abadi dan tidak akan ada sebarang
kekurangan, DIA-lah tempat kita meminta pertolongan dalam susah atau senang,
suka mahupun duka.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman dan menceritakan
peristiwa mereka berhujjah;
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا
فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ
إِلَـٰهًاۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾ هَـٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا
مِن دُونِهِ آلِهَةًۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍۖ فَمَنْ
أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّـهِ كَذِبًا ﴿١٥
“Dan Kami telah meneguhkan
hati mereka sewaktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata
(membentangkan dan menegaskan tauhid): “Tuhan kami adalah Tuhan (yang
mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan
menyembah Tuhan selain Dia, sesungguhnya jika kami menyembah yang
lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang amat jauh
dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan
(untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang
(tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang
yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah سبحانه وتعالى?” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 14-15)
.
Raja Decius dan
pengikut-pengikutnya terkejut dan gagal menjawabnya. Walaupun tidak mampu
membalas hujah-hujah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman tersebut, raja yang
kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad daripada agama mereka.
Raja Diqyanus menggunakan
kekuasaan yang ada padanya untuk mengancam dan memaksa para pemuda meninggalkan
agama mereka, jika dalam tempoh 2 hari para pemuda tersebut gagal membuat
demikian dan tidak mahu mengubah keyakinan mereka dengan segera, maka mereka
akan dimurtadkan secara paksa atau akan dijatuhi hukum mati.
.
Ramai ‘mufassirin’ (ahli
tafsir) generasi salaf dan ‘khalaf’ (generasi awal Islam dan generasi yang
terkemudiannya) yang menyebutkan, para pemuda tersebut terdiri daripada
anak-anak raja Rom dan orang-orang terhormat mereka yang bersatu kerana iman.
Mereka tidak takut dengan ancaman itu dan telah bertekad untuk saling
bantu-membantu dan mempertahankan keimanan mereka hingga titisan darah
terakhir. Bagi mereka lebih baik mati menggenggam iman daripada mengikuti jejak
raja yang menyekutukan Allah سبحانه وتعالى.
.
Oleh kerana sayangkan
aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda tersebut bermesyuarat sesama sendiri
untuk mencari satu keputusan muktamad. Kumpulan pemuda itu akhirnya membuat
kesepakatan untuk bersembunyi.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman ;
وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا
يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّـهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم
مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا ﴿١٦
“Dan oleh kerana kamu telah
mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain
Allah سبحانه وتعالى, maka pergilah kamu
berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada
kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan
memberi bantuan yang berguna.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 16)
.
Akhirnya mereka memutuskan
untuk lari bersembunyi dan berlindung ke suatu tempat tersorok di kawasan
pendalaman. Berangkatlah mereka bertujuh ke kawasan pergunungan bernama Nikhayus.
Di situ terdapat sebuah gua untuk dijadikannya tempat bersembunyi dan di pintu
gua itulah mereka berdoa sebelum memasukinya.
Allah سبحانه وتعالى berfirman pada ayat 10,
Surah Al-Kahfi;
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا
“(Ingatkanlah peristiwa)
ketika sekumpulan pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa:
.
Menurut para ulama’ Ashabul
kahfi (penghuni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, terdiri daripada
tujuh orang pemuda bernama;
1. Tamlikha
(تمليخا)
2. Maksalmina
(مكسلمينا)
3. Marthunus
(مرطونس)
4. Nainunus
(نينونس)
5. Saryunus
(ساريونس)
6. Zunuwanus
(ذونوانس)
7. Falyastathyunus
(فليستطيونس)
.
Dan semasa dalam perjalanan
ke gua itu, ketujuh-tujuh mereka telah ditemani oleh seekor anjing bernama
Qithmir (قطمير).
Diriwayatkan juga bahawa Qitmir adalah anjing milik Tamlikha iaitu salah seorang
daripada tujuh orang pemuda tersebut.
Anjing itu turut
bersama-sama dengan mereka berlindung dan bersembunyi di dalam gua tersebut.
Oleh kerana keletihan, ketujuh pemuda ini tertidur sementara si anjing berada
di sekitar pintu gua.
.
Keesokan harinya raja
memerintahkan agar segera membawa para pemuda untuk dihukum mati, tetapi arahan
raja kejam ini menemui kegagalan kerana para pemuda telah menghilangkan diri
dan sukar ditemui. Seluruh rakyat dikerahkan untuk mencari para pemuda yang
dianggap menderhaka itu.
.
.
Pencarian
.
Pencarian pun bermula,
mereka diburu oleh para pembantu setia raja. Mereka bukan sahaja diburu oleh
tentera Rom bahkan turut diberi tekanan oleh penduduk tempatan yang berpegang
kuat terhadap agama nenek moyang mereka. Sesiapa di kalangan mereka yang mampu
mencari dan membawa pemuda-pemuda tersebut ke hadapan, raja telah berjanji
untuk memberikan hadiah dan kenaikan pangkat.
Ada sekumpulan pencari dan
pegawai kerajaan yang akhirnya menemui sebuah gua di kawasan pedalaman. Tetapi
oleh kerana gua itu dianggap sangat menggerunkan, mereka takut untuk
memasukinya.
FirmanNya lagi;
وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ
بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا
وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“…dan anjing
mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua. Dan jika
kamu melihat mereka, tentulah kamu akan berpaling melarikan (diri)
dari mereka, dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi
rasa gerun takut kepada mereka.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 18)
.
Demi menyenangkan hati
raja, para pegawai kerajaan melaporkan bahawa mereka telah menyusuri semua
tempat di negeri tersebut dan telah menutup sebuah gua dengan tujuan sekiranya
para pemuda tersebut berada di dalam, maka mereka tidak akan boleh keluar dan
akan mati kelaparan.
Itulah batas logik manusia yang
mempunyai kuasa dan merasa paling hebat berbanding dengan yang lain, padahal
kita semua mengetahui bahawa terdapat suatu kekuatan yang tidak mungkin boleh
ditakluki oleh kuasa akal dan fikir manusia. Dialah Allah سبحانه وتعالى yang tak akan membiarkan
orang-orang membuat kerosakan dan penderitaan kepada hamba-hamba yang
dikasihiNya.
.
.
Jasad
Terpelihara
.
Sementara itu di dalam gua,
kesemua tujuh pemuda tersebut diberi ketenangan dan keselamatan oleh Allah سبحانه وتعالى. Mereka telah ditidurkan
oleh Allah سبحانه وتعالى dengan nyenyaknya dalam
gua tersebut untuk sekian lama.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman tentang mereka
di dalam gua;
فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ
سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١
“Lalu Kami tidurkan mereka
dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 11).
.
Allah سبحانه وتعالى ingin menzahirkan
bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka
Allah سبحانه وتعالى telah mentakdirkan
pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang sangat lama iaitu selama 309
tahun: tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli kitab / Tahun Masihi) dan tambah
sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu / Tahun Hijrah).
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ
مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا ﴿٢٥
“Dan mereka telah tinggal
tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan
hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi
309 tahun).” (Surah Al-Kahfi; Ayat 25)
.
Walaupun mereka tidur amat
lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah سبحانه وتعالى, badan dan jasad mereka
tidak hancur atau rosak. Dengan kuasaNya juga, kedudukan gua tempat
persembunyian ketujuh-tujuh pemuda yang berada di sebelah utara secara tidak
langsung telah memelihara pencahayaan, pengudaraan dan kesegaran tubuh mereka
sepanjang 3 abad itu.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت
تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ
الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِۗ مَن
يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا
مُّرْشِدًا ﴿١٧
“Dan kamu akan melihat
matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia
terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam
tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang
membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah,
maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya
maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 17)
.
Allah سبحانه وتعالى sengaja memberi ilham
kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut sedangkan
mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah سبحانه وتعالى telah
menetapkan aturannya. Bahkan Allah سبحانه وتعالى
menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu, nescaya
kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. Maha Suci Allah Yang Maha
Bijaksana.
FirmanNya lagi;
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ
رُقُودٌۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِۖ وَكَلْبُهُم
بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ
مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“Dan engkau sangka mereka
sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke
sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah),
sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika
kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan
melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan
terhadap mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 18)
.
.
Kebangkitan
.
Masa terus berlalu, zaman
pun telah berganti dari beberapa generasi. Kini kerajaan yang dahulu dipimpin
oleh raja kejam dan musyrik telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju dan
bebas dalam menjalani keyakinan agama masing-masing.
Apabila sampai tempoh yang
ditetapkan Allah سبحانه وتعالى (300 + 9 tahun), mereka
pun dibangunkan. Pemuda-pemuda tersebut telah terjaga kerana perut mereka
terasa lapar, dan ketika bangun mereka saling bertanya tentang berapa lama
mereka tertidur. Para pemuda menyangka mereka hanya tertidur dalam masa sehari
atau separuh hari sahaja, tanpa menyedari bahawa mereka telah tidur dalam
jangka masa yang amat lama di dalam gua.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ
قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۚ
“Berkatalah salah seorang di
antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)”. Mereka menjawab:
“Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari…..” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 19)
.
Atas rasa lapar itu, lalu
sebahagian daripada mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke
bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih pemuda
bernama Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri
dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.
Firman Allah سبحانه وتعالى menceritakan cadangan
sebahagian dari mereka itu;
وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا
بَيْنَهُمْۚ قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْۖ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا
أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۚ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا
أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا
أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا
يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا ﴿١٩﴾ إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ
يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا
﴿٢٠
“Maka suruhlah salah seorang
di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak kamu ini, dan hendaklah
dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka
hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah
lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun.
Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan
melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika
demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 19-20)
.
Lihatlah betapa bersihnya
hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang cemas dan sukar serta
kelaparan, mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota
mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih lagi halal.
Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah سبحانه وتعالى.
Walaupun Allah سبحانه وتعالى menyatakan dalam ayat di
atas bahawa para pemuda tadi amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan
diketahui orang lain kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih
lagi raja kafir yang dahulu, namun Allah سبحانه وتعالى telah
mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang
lain bagi menunjukkan akan keagungan kekuasaan dan kehebatanNya.
.
Semasa pemuda-pemuda
Ashabul Kahfi itu dibangkitkan Allah سبحانه وتعالى selepas
tidur selama 309 tahun, suasana negeri telah banyak berubah. Kebetulan Raja dan
pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah سبحانه وتعالى, begitu juga dengan
kebanyakan rakyatnya.
Namun masih terdapat
segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu dan mempertikaikan
tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu bagaimana Allah سبحانه وتعالى boleh menghidupkan orang
yang telah mati? Apatah lagi yang telah beribu malah berjuta tahun lamanya
dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah سبحانه وتعالى
membangkitkan Ashabul Kahfi pada
zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih
lagi ragu-ragu.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ
لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّـهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا
إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ
“Dan demikianlah Kami
dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahawa janji
Allah سبحانه وتعالى menghidupkan
orang mati adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan
padanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)
.
Pendedahan ini berlaku
semasa orang ramai bertelagah sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula
orang mati. Allah سبحانه وتعالى telah mendedahkan perihal
pemuda-pemuda Ashabul Kahfi semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak
membeli makanan.
Pemuda yang keluar menuju
ke pasar mencari makanan. Dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampai ke
kota. Dia berasa hairan melihat keadaan kota tersebut dan penduduknya yang
berubah sama sekali, tidak seperti ketika ditinggalkan dahulu.
.
Dalam terpinga-pinga itu,
akhirnya sampai juga dia ke pasar dan menemui salah seorang penjaja makanan.
Namun penjual hairan dan pelik dengan wang yang digunakan oleh pemuda ini.
Penduduk kota yang telah kehairanan melihat keadaan dia dan mereka semakin syak
apabila melihat wang perak yang dibawanya ialah wang yang sudah berzaman tidak
digunakan lagi.
Dia telah disyaki menjumpai
harta karun lalu dipanggil penguasa pasar yang sangat bijak. Dalam
perbualannya, maka terbuktilah kepada orang ramai bahawa pemuda itu adalah
pemuda yang lari dari kepungan raja pada tiga abad yang silam. Mereka
mengetahui akan peristiwa itu, daripada cerita yang masyhur dan telah disedia
maklum oleh orang ramai. Larinya pemuda-pemuda itu kerana tidak rela menjual
agama mereka kepada raja yang zalim dan memaksa mereka untuk menyembah batu.
.
Lalu salah seorang di
antara mereka berkata kepada pemuda tersebut: “Janganlah
kamu khuatir kepada raja ganas yang kamu katakan tadi. Raja itu sudah mati 300
tahun yang lalu. Raja yang memerintah sekarang ini adalah seorang raja mukmin
yang soleh juga baik hati. Raja kami yang sekarang ini orangnya
beriman seperti mana yang kamu imani.”
Barulah pemuda itu sedar
dan insaf akan apa yang sebenarnya sudah terjadi. Dengan ketenangan yang amat
jelas serta dengan alasan dan bukti-bukti yang cukup terang, maka terbuktilah
bahawa mereka berada dalam gua bukan semalam atau setengah hari tetapi sudah
tiga abad lamanya.
.
Orang ramai kemudiannya
membawa pemuda tersebut mengadap raja beriman yang mengambil berat hal agama
itu. Betapa terkejutnya raja ketika pemuda menceritakan siapa dia sebenarnya,
raja memeluk pemuda dengan juraian air mata yang tak terhingga. Seketika
suasana istana menjadi sangat hening dan terharu oleh kehadiran pemuda yang
luar biasa tersebut.
Raja yang soleh ini
kemudian menjelaskan kepada pemuda itu bahawa raja kejam Diqyanus telah mati
309 tahun yang lalu. Selepas mendengar kisah menakjubkan itu, raja lalu
mengajak para pembesarnya dan semua orang yang hadir berangkat ke Gua Ashabul
Kahfi bersama wakil pemuda itu, untuk menjemput dan bertemu dengan kesemua
pemuda tersebut, apalagi mereka sedang menunggu dengan kelaparan dalam gua, di
samping ingin mengetahui keadaan di gua dan untuk mendengar kisah sebenar
mereka.
.
Setelah mereka keluar dari
gua itu, mereka disambut raja dan penduduk negeri. Raja membawa mereka ke dalam
istana dan diberinya tempat di istana yang indah itu. Tidak lama kemudian
walaupun raja berkali-kali meminta agar para pemuda ini tetap tinggal di
istana, tapi kumpulan pemuda tersebut menolak dengan baik dan tetap memilih
untuk kembali ke gua semula.
Para pemuda tadi lalu
berkata kepada raja: “Kami ini sudah tidak mengharap hidup
yang lebih panjang lagi kerana kami sudah melepasi beberapa keturunan dan
kesemuanya telah meninggal dunia, malah negeri dan binaan besar yang dahulu pun
sudah runtuh semuanya; yang kami lihat sekarang ini adalah serba baru. Kami pun
puas hati melihat raja dan penduduk yang hidup di negeri ini sudah sama-sama
beriman kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Di hadapan orang ramai,
para pemuda ini menyarankan supaya mereka hendaklah sentiasa beriman kepada
Allah سبحانه وتعالى, jangan sesekali tunduk
kepada sesiapa yang mengajak pada jalan kesesatan dan kemusyrikan.
.
Tidak lama kemudian selepas
mereka memberi ucapan selamat tinggal kepada raja dan rakyatnya yang beriman
itu. Para pemuda lalu sama-sama bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah سبحانه وتعالى agar menurunkan rahmatNya
dan agar Allah سبحانه وتعالى mengizinkan mereka pulang
ke rahmatullah. Sejurus selepas mengucapkan doa itu mereka merebahkan badan di
tempat pembaringan lalu menghembuskan nafas mereka yang terakhir dengan tenang
dan tenteram. Termaklumlah bahawa Allah سبحانه وتعالى telah
mengambil roh pemuda-pemuda itu dan kembali kepadaNya untuk selama-lamanya.
Keadaan dan kejadian itu,
menjadi asas yang amat kuat bagi mereka untuk tetap beriman dan tunduk kepada
Allah سبحانه وتعالى, Tuhan yang Maha Kuasa.
Mereka makin percaya bahawa janji Allah سبحانه وتعالى itu
benar belaka dan Hari Qiamat serta akhirat itupun benar semuanya.
.
Sepeninggalan para pemuda
itu, orang ramai lalu berbincang bagaimana cara untuk memberi penghormatan
sewajarnya agar mereka sentiasa dapat memperingati pemuda-pemuda suci itu. Ada
yang mencadangkan supaya didirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan.
Manakala Raja mencadangkan agar sebuah masjid (rumah ibadat) dibinakan di sisi
gua itu supaya dari dalam masjid itu orang ramai dapat sama-sama menyembah dan
membesarkan nama Allah dan sentiasa insaf akan kebesaran Allah سبحانه وتعالى.
.
Hal ini diceritakan Allah سبحانه وتعالى dengan firmanNya;
فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِم بُنْيَانًاۖ
رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ
لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا ﴿٢١
“Setelah itu maka (sebahagian
dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka,
Allah سبحانه وتعالى jualah yang
mengetahui akan hal ehwal mereka”.
Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya
kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 21)
.
.
Penutup
.
Allah سبحانه وتعالى menerangkan kisah Ashab al-Kahfi ini
bukanlah sesuatu yang ganjil dan menghairankan jika dibandingkan dengan
ayat-ayat lain. Banyak lagi kejadian lain seumpamanya yang menunjukkan
kekuasaan Allah سبحانه وتعالى, Yang Maha Kuasa mengatur
alam menurut kehendak-Nya tanpa ada yang mampu menandinginya seperti penciptaan
langit dan bumi serta segala yang ada di alam ini lebih mengagumkan lagi.
Sepertimana dikatakan Prof.
Hamka; Maksud ayat al-Kahfi ini adalah apakah engkau menyangka atau manusia
menyangka bahawa manusia yang dicipta Allah tertidur beratus tahun di dalam gua
yang sunyi terpencil itu sudah sebahagian daripada kuasa Allah سبحانه وتعالى? Padahal banyak lagi
takdir Allah سبحانه وتعالى di dalam alam ini yang
lebih menakjubkan dan lebih ganjil.
Pada hakikatnya, kisah yang
penuh pengajaran ini masih belum cukup untuk menarik perhatian umum. Justeru
marilah kita melakukan amal kebaikan dan menjadikan kehidupan sebagai suatu
cita-cita luhur bagi meraih kebaikan dunia atau akhirat. Insya‘Allah…
.
.
والله أعلم بالصواب
WAllah سبحانه وتعالىu A’lam Bish
Shawab
(Hanya Allah سبحانه وتعالى Maha Mengetahui apa yang
benar)
.
.
Artikel Berkaitan:
Fadhilat Doa Ashabul Kahfi (Klik Di Sini)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
Pengalaman mengerjakan amalan Puasa di Bumi Mesir Di sini penulis akan menyorot sedikit tentang pengalaman dan suasana dalam kedua-dua buah ...
-
Contoh Penulisan Impak dan Refleksi Penulisan impak dan refleksi kadang kala agak merumitkan disebabkan ketandusan idea. Biasanya k...