Valentine Day - Satu saranan ke arah kebejatan pergaulan yang tidak Syarie
Menjelang 14 Februari setiap tahun, masyarakat di seluruh dunia terutamanya remaja-remaja dan pasangan-pasangan kekasih akan meraikan Valentine's Day ataupun Hari Kekasih. Perayaan ini dikenali sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat dan waktu yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang paling dicintai atau dikasihi. Jika difikirkan secara logikalnya, perayaan ini amat baik dan bermakna. Namun begitu, adakah ianya dibenarkan oleh Islam?? Oleh itu, cuba kita lihat kepada sejarah permulaan Valentine's Day ini dahulu.
SEJARAH PERMULAAN VALENTINE'S DAY
Terdapat banyak pendapat mengenai asal -usul Valentine's Day ini antaranya ialah :-
1) Pendapat pertama menyatakan Valentine's Day bermula semasa pemerintahan Empayar Rom iaitu dengan menetap 14 Februari sebagai hari cuti untuk memperingati Dewi Juno (Dewi Cinta) iaitu ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mengambil kertas di dalam bekas tersebut dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung. Dan jika sesuai, mereka akan meneruskan hubungan mereka sehingga ke alam perkahwinan.
2) Pendapat kedua menyatakan, pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 M). Pada malam itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret yang akhirnya dihukum mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.
3) Pendapat ketiga menyatakan Valentine Day's diambil dari nama seorang Paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.
4) Pendapat keempat pula menyatakan di dalam bahasa Perancis-Normandia terdapat kata Galentine yang berasal dari kata Galant yang bererti cinta. Persamaan kata "Galentine" dan "Valentine" telah memberi idea kepada orang-orang Eropah bahawa sebaiknya pada tanggal 14 Februari digunakan untuk mencari pasangan.
Mesej Bergambar
Terdapat banyak lagi pendapat-pendapat mengenai sejarah bermulanya Valentine's Day ini. Kita tidak tahu yang manakah yang paling benar. Namun begitu, jika dilihat kepada sejarah yang dinukilkan di atas, sambutan Valentine's Day ini berhubung rapat dengan sejarah, tradisi, kepercayaan ritual dalam ajaran Kristian.
Sebagai kesimpulannya, budaya dan amalan merayakan Valentine's Day adalah dilarang oleh Islam. Ini kerana ia berkait dengan kepercayaan ritual orang-orang Kristian dan bercanggah dengan syarak. Sebagai seorang Muslim tanyalah pada diri kita sendiri, apakah kita akan mengikuti dan mencontohi begitu sahaja sesuatu yang jelas bukan bersumber daripada Islam?? Tepuk dada tanyalah iman.
Wallahua'lam..
-AL FAQIR ILALLAH-
Mesej Bergambar