Monday, January 23, 2012

m e s i r

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,


1.MESIR adalah negara yang menyimpan seribu satu sejarah.Rakyatnya yang mesra dan negaranya yang banyak menyimpan sejarah ketamadunan yang gemilang,sangat menarik untuk dikaji.

2.Banyak kesan-kesan sejarah yang dapat kita saksikan di Mesir antaranya setesen keretapi Mesir yang beroperasi sejak 1850 an!!

3.Semasa bergelar pelajar baru di Mesir,seorang hamba Allah pernah memberikan nasihat, bahawa jika kita rajin di Mesir, kita boleh pelajari pelbagai bidang .

4.Antara perkara yang boleh kita pelajari dari MESIR adalah jatuh bangun sebuah ketamadunan atau peradaban yang hebat.Mereka pernah bangun kemudian tersungkur di tengah-tengah kejayaan kerana tangan anak-anak bangsa sendiri yang silap membuat percaturan.

5.Ditakdirkan ALLAH,saya sangat memang minat dengan subjek sejarah sejak di bangku sekolah. Sejak bergelar pelajar baru sampai sekarang,saya tidak pernah berhenti mengkaji sejarah Mesir terutamanya sejarah modennya yang gemilang.

6.Tanggal 25 Januari 2011,kita telah menyaksikan detik bersejarah di Mesir apabila negara mereka mengalami revolusi.

7.Setelah lebih 6 bulan sistem yang hampir berumur 60 tahun itu jatuh,akhirnya mereka kembali hidup dengan kebebasan.Itu pun sebenarnya hanya merupakan satu permulaan dan satu percubaan, adalah terlalu awal untuk menganggap ianya sebagai kejayaan.

PILIHANRAYA MESIR

8.Tanggal 28 November 2011 hingga awal Januari 2012,rakyat Mesir keluar beramai-ramai mengundi dengan bebas yang mana ianya adalah julung-julung kalinya sejak 60 tahun.Sistem demokrasi yang dikecapi sebelum revolusi tentera 1952 telah mula dapat dinikmati oleh mereka setelah hilang dengan jangka masa yang lama.

9.Pilihanraya pertama mereka adalah pilihanraya parlimen atau dewan rakyat.Dewan berkenaan sangat penting kerana disitulah tempat wakil-wakil rakyat membahaskan isu-isu negara,rang undang-undang tertentu seterusnya menggubal undang-undang mahupun perlembagaan.

10.Tanggal 23 Januari 2012 atau 2 hari sebelum genap setahun revolusi pemuda 25 januari,dewan rakyat Mesir memulakan sidang pertamanya dengan perlantikan yang dipertua dewan rakyat atau speaker dewan.Kemudian,ianya akan disusuli dengan upacara angkat sumpah oleh ahli-ahli dewan rakyat.

SEJARAH PARLIMEN MESIR

11.Jika dilihat dari segi sejarah parlimen Mesir,ianya adalah merupakan sesuatu yang sangat menarik untuk dibincangkan.Ini adalah kerana,MESIR telah mencipta sejarah sebagai negara timur tengah dan afrika yang paling awal membentuk parlimennya yang tersendiri.

12.Bermula pada tahun 1866,KHEDYU ISMAIL telah mengasaskan dewan rakyat pertama yang diberi nama MAJLIS SYURA AN NUWAB yang diwakili oleh 75 orang.Bayangkan,ketika itu,di mana Malaysia? Kita masih dijajah!! Harta kita masih dicuri penjajah.

13.Mesir telah mula mengenali hidup demokrasi sejak dari tarikh tersebut bahkan sejak sebelum tahun 1829 lagi atau 1805 - 1829.Walaubagaimana pun, Majlis Syura yang mewakili rakyat Mesir telah dibubarkan oleh Muhammad Ali Basha pada tahun 1829.

14.Dalam sejarah MESIR,zaman pemerintahan KHIDYU ISMAIL adalah merupakan zaman yang paling gemilang hingga memberikan kesan pada hari ini.Selain mengasaskan parlimen,baginda juga telah meneruskan perancangan pemerintah sebelumnya SAID BASHA menggali terusan suez.Pada tahun 1869,pembukaan terusan suez dilakukan dengan upacara penuh gilang gemilang yang turut dihadiri oleh raja-raja, permaisuri dan pemerintah dari seluruh pelusuk dunia.Lukisan gambaran perasmian tersebut masih dapat dilihat di hotel SHEPARD.


15.Dengan sistem politiknya yang kemas memalui sistem parlimen dan raja yang memerintah, terusan suez memberikan sumbangan yang paling besar dalam membangunkan negara Mesir walaupun konsesinya dimiliki oleh bangsa asing akan tetapi, kemasukan dan pulangan kepada negara ketika itu sangat memberangsakan sehingga POUND MESIR adalah merupakan wang yang paling mahal di dunia sebelum kekayaan itu dikikis oleh percaturan yang salah oleh bangsa sendiri.

16.Pada awal kurun ke 20 atau 1909,Mesir telah mula mengenali 3 parti iaitu parti kebangsaan yang diketuai oleh Mustafa Kamil,Parti Ummat dan parti ISLAH.Tidak lama selepas itu pula,pada tahun 1919 atau selepas revolusi 1919 yang menghalau penjajah Inggeris yang datang sejak 1882, MESIR menerima kemunculan sebuah parti baru bernama AL WAFDU yang kemudiannya mencorakkan kehidupan politik berparti yang segar sehinggalah 1952.

17.Kehidupan politik berparti tersebut dimandulkan oleh revolusi tentera 1952 dengan menggulingkan raja dan membuang baginda ke ITALI.Semasa dinasti Muhammad Ali Basha (1805 - 1952),Mesir adalah sebuah negara yang besar yang bernama AL MAMLAKAH AL MASRIYYAH AL 'UZMA atau THE GREAT KINGDOM OF EGYPT manakala rajanya pula bergelar THE KING OF EGYTP AND SUDAN. Sayangnya, selepas revolusi 1952, Mesir telah kehilangan 1/3 petanya dengan keluarnya SUDAN dari Mesir.

18.Kesan keluarnya SUDAN ini dapat dirasai hingga hari ini apabila suku NUBIA yang menguasai selatan Mesir dan mempunyai budaya serta bahasanya sendiri hari ini terpisah di dua negara,selatan Mesir dan Utara Sudan.

19.Kulitnya gelap bahasanya berbeza dengan bahasa arab dialek Mesir adalah merupakan identiti utama orang suku NUBIA.Apabila mereka bersua sesama mereka,akan terdengarlah bahasa-bahasa asing yang menyebabkan anda berfikir hingga pecah kepala untuk memahami maksud perbualan mereka.Mungkin mereka jarang ditemui di Kaherah tapi pengalaman saya yang rajin berjalan ini pernah menjejaki mereka yang kemudiannya menjadi rakan kenalan.

20.Revolusi tentera 1952 bukan sahaja menggulingkan rajanya,bahkan turut merencatkan sistem politik negara apabila membekukan kehidupan berparti dengan membentuk kesatuan sosialis.

21.Walaupun kehidupan berparti mula dibenarkan semula oleh Presiden Anwar Sadat pada tahun 1976,ianya adalah hanya sebagai melepaskan batuk di tangga kerana Anwar Sadat telah menubuhkan parti kebangsaan demokratik atau National Democratic Party (NDP) yang diketuai oleh beliau sendiri sehinggalah beliau mati ditembak yang kemudiannya,beralih kepimpinan kepada Presiden Hosni Mubarak pada Oktober 1981 hingga diharamkan pada pertengahan tahun 2011 selepas revolusi pemuda 25 Januari 2011.Parti tersebut sebenarnya TELAH MEMONOPOLI POLITIK MESIR selama lebih 30 tahun.

KEHIDUPAN POLITIK BARU

22.Kini,setelah 60 tahun kehidupan,Mesir sedang berusaha kembali ke zaman kegemilangannya sebelum revolusi 1952.Pilihanraya parlimen adalah satu permulaan kearah kebebasan itu.

23.Pelbagai kumpulan dan aliran menubuhkan parti politik.Kempen demi kempen, slogan demi slogan, manifesto demi manisfeto diwar-warkan dan dihidangkan untuk tatapan rakyat yang menjadi pemutus di peti-peti undi.

24.Antara aliran yang terkenal ialah aliran ISLAMIS,SEKULAR,LIBERAL bahkan ada juga aliran KOMUNIS yang bergerak atas nama parti komunis rakyat Mesir!! Walaubagaimana pun, tiga aliran utama tersebut adalah kumpulan popular selepas revolusi 25 januari.

25.Antara 3 kumpulan dan aliran berkenaan,aliran ISLAMIS adalah merupakan pilihan utama rakyat Mesir. Terdapat DUA parti utama yang paling popular mewakili parti Islamis, PARTI KEADILAN dan KEBEBASAN (FJP) dengan pakatannya yang merupakan sayap politik Ikhwan Muslimin dan PARTI AN NUR yang beraliran SALAFI.

PERANAN PARLIMEN BARU

26.Keputusan penuh pilihanraya parlimen bagi dewan rakyat telah pun diumumkan pada 21 Januari.Sayap parti Ikhwan Muslimin atau FJP mendapat 47 peratus manakala parti An Nur Salafi pula mendapat 25 peratus.Persoalannya mengapa parti Islamis mendapat tempat sedangkan parti aliran liberal seperti parti AL WAFDU lebih lama bertapak di Mesir iaitu sejak 1919 !!

27.Berdasarkan bacaan saya dari sumber bertulis media di Mesir,punca utamanya adalah kerana aliran ISLAMIS ikhwan muslimin dan salafi adalah tempat akar umbi mendapat simpati dan tempat mengadu nasib.


28.Ini dibuktikan dengan isu - isu yang dibangkitkan oleh Ikhwan Muslimin selama ini terutama sekali ketika menang lebih 70 buah kerusi di parlimen Mesir tahun 2005 - 2010.Suara-suara vokal mereka menyebabkan rakyat meletakkan harapan yang tinggi untuk pembinaan sebuah negara Mesir baru.

29.Kini,parlimen mesir mempunyai tugas baru yang amat penting.Ianya adalah perkara-perkara yang sedang diperhatikan oleh masyarakat dunia.

30.Pertama,ahli-ahli dewan rakyat tersebut akan mula memperbahaskan SISTEM PEMERINTAHAN yang akan diguna pakai sama ada terus menggunakan sistem republik presiden seperti yang termaktub dalam perlembagaan sementara ini atau beralih kepada sistem republik parlimen yang mana presiden hanya sebagai ketua acara rasmi negara sahaja dan tidak mempunyai kuasa eksekutif.

31.sebenarnya Perbbahsan perkara ini telah mula dibicarakan sejak selepas revolusi 25 januari lagi akan tetapi,kata pemutusnya adalah selepas terbentuknya perlembagaan.

32.Apabila bercakap soal perlembagaan,ianya adalah merupakan perkara yang berjalan seiiringan dengan penetapan sistem pemerintahan negara Mesir.Ini adalah kerana,tugas utama parlimen sekarang adalah membahaskan perlembagaan yang bakal digubal dan menetapkan JAWATANKUASA PENGGUBAL BERENAAN.Sudah pasti,ianya adalah merupakan perbahasan yang sangat panas kerana perlembagaan adalah merupakan ibu kepada undang-undang lainnya kelak.


33.Sistem pendidikan pula adalah merupakan satu perkara yang paling utama untuk memastikan kelangsungan sebuah perubahan dan melahirkan generasi yang meneruskan perjuangan.Isu-isu berkaitan pendidikan akan menjadi perbahasan hangat kelak.

34.Untuk pembangunan ekonomi sebuah negara baru MESIR pula,ianya adalah merupakan satu perkara yang sangat utama dan menjadi perbahasan panas kelak.Kadar pengangguran yang tinggi,pembasmian kemiskinan tegar bandar dan luar bandar serta penerokaan kawasan-kawasan baru yang berpotensi adalah topik yang akan memanaskan KUBAH PARLIMEN MESIR dan persekitaran politiknya kelak.

35.Apabila bercakap tentang pembangunan ekonomi Mesir,RAKYAT MALAYSIA perlu berbangga menjadi rakyat Malaysia di Mesir.Ini adalah kerana,MALAYSIA merupakan negara yang telah menjadi sebutan dan MODEL PEMBANGUNAN EKONOMI sejak selepas revolusi 25 Januari walaupun ketika sebelum revolusi,nama Malaysia sering disebut oleh KORAN-KORAN mereka.

36.FIGURE bernama MUHAMMED MAHATIR (cara sebutan rakyat Mesir untuk nama Tun Dr Mahathir Mohammad) adalah merupakan nama yang dibangga-banggakan saat ini di Mesir hingga beliau dijemput datang ke Mesir untuk berkongsi dengan kerajaan peralihan bahkan bersama rakyat Mesir tentang pengalaman pembangunan ekonomi Malaysia melalui siaran langsung temubual di salah sebuah rancangan TV utama rakyat Mesir.
BERBANGGALAH KERANA KITA RAKYAT MALAYSIA.....

37.Persoalannya,bagaimana malaysia dijadikan modul pembangunan ekonomi berkenaan? Ianya akan dihuraikan dalam entri seterusnya.
Kaherah,12.40 pagi,
Bersebelahan bahan-bahan rujukan tesis MASTER,
MADINAT NASR
MESIR

dipetik:-
http://ezoegypt.blogspot.com/2012/01/parlimen-mesirantara-sejarah-dan.html

Blog Archive