Thursday, June 21, 2012

perlembagaan PAS

BAB YANG PERTAMA: NAMA DAN PEJABAT YANG DIDAFTARKAN
Fasal 1. Nama Nama Pertubuhan ini ialah 'Parti Islam Se Malaysia ringkasnya disebut 'PAS' sahaja.

Fasal 2. Pejabat yang didaftarkan Pejabat Agung PAS yang didaftarkan pada masa ini ialah:

Pejabat Agung PAS,No. 318-A, Jalan Raja Laut,50350 Kuala Lumpur.

Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia (PAS) (Pindaan 2011)



-------------------------
Markaz Tarbiyah PAS Pusat,Lot 2549/3, Lorong Haji Hassan,Off Jalan Batu Geliga,Taman Melewar, 68100 Batu Caves,Selangor Darul Ehsan.

BAB YANG KEDUA: DASAR DAN SERUAN
Fasal 3. Dasar Dasar PAS ialah ISLAM

Fasal 4. Seruan Seruan PAS ialah ALLAHUAKBAR


BAB YANG KETIGA: TUJUAN, USAHA, HUKUM DAN KEKUASAAN
Fasal 5. Tujuan PAS ialah:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya bilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.



BAB YANG KETIGA: TUJUAN, USAHA, HUKUM DAN KEKUASAAN (Sambungan)
Fasal 6. Usaha-Usaha:

(1) Menyeru umat manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari'ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

(3) Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

(4) Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memehami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

(5) Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

(6) Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama mana ianya mujstahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

(7) Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Qura'an.

(8) Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

(9) Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

(10) Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjalinkan hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

(11) Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

BAB YANG KETIGA: TUJUAN, USAHA, HUKUM DAN KEKUASAAN (Sambungan 1)
Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, degan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

(2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan muktamar atau mesyuaratAgung PAS.

FASAL 8. Majlis Syura ‘Ulamak(1) Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan "Majlis Syura 'Ulamak" dan diberi kepadanya kuasa-kuasa seperti berikut:

(a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam 8Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.

(c) Mendengar dan memutuskan semua rayuan semula tatatertib yang dikemukakan oleh ahli PAS mengikut Fasal 83 Perlembagaan ini.[ Pindaan 2009 ]