Monday, September 02, 2013

Merdeheka


Advertise here Merdeheka Hishamuddin Rais 8:14PM Ogos 30 2013 Seorang menteri dari parti United Malays National Organisation mencadangkan digubal satu rang undang-undang untuk mewajibkan dan memaksa rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap bulan Ogos. Sang menteri ini sedang gelabah kerana orang ramai - rakyat Malaysia - langsung tak ambil pot tentang bulan Ogos. Bulan Ogos adalah bulan yang dipanggil oleh gerombolan ini bulan kemerdekaan. Kadang-kadang saya naik kasihan melihat gerombolan politikus dari United Malays National Organisation. Selalunya saya merasa gumbira dan ketawa melihat lawak kebangangan mereka. Saya juga bersedih kerana mereka buta sejarah. Kesedihan menjadi lawak kerana gerombolan politikus ini juga amat-amat buta politik. Bila tulisan ini disiarkan - hari malapetaka 31 Ogos - akan sampai tidak lama lagi. Ertinya empat hari lagi dalam istilah United Malays National Organisation kita akan menyambut merdeka. Tarikh 31 Ogos dalam naratif gerombolan difahami sebagai hari mereka dinobatkan untuk menjadi raja. Wahai para pembaca yang budiman, lihat di jalan raya. Buka mata dan pandang. Amati betul-betul. Di jalan raya tidak ada teksi. Tidak ada kereta persendirian. Tidak ada bas. Tidak ada van. Tidak ada bas sekolah. Tidak ada mat rempit. Tak ada kenderaan apa pun yang sedang mengkibarkan Jalur Gemilang. Pilu di hati ini menjadi bertambah lawak. Pada tahun ini lori bawa pasir pun tidak mengibarkan bendera. Selalunya lori pasir akan memasang bendera agar dilihat patriotik. Pasang bendera untuk menghindarkan dari ‘kena pau' oleh mata-mata yang sentiasa mencari kesalahan lori pasir. Kalau lori pasir pun sudah tidak mengibarkan dengan bendera ini maka jelas propaganda United Malays National Organisation sedang sakit tenat. Tetapi kenapa agaknya warga Malaysia enggan mengibarkan bendera yang dipanggil bendera Malaysia? Kita wajib menyingkap kembali sejarah negara bangsa, sejarah kelahiran Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia. Sejarah inilah yang selama ini telah dinyahkan oleh United Malays National Organisation. Tetapi dengan mewujudkan sistem maklumat Internet dari hari ke hari, warga Malaysia terutama anak-anak muda sedang menggali kembali sejarah yang selama ini cuba dikambus. Penipuan sejarah yang diciritkan oleh United Malays National Organisation kini terbongkar. Setiap kali bulan Ogos sampai United Malay National Organisation yang akan tercirit mulut mengakui bahawa ‘kemerdekaan' negara ini didapati dengan jalan damai. Merdeka Tanah Melayu dimenangi melalui berunding. Poorah. Yang berunding ialah Uniterd Malays National Organisation. Parti ini TIDAK pernah melawan dan tidak pernah menentang penjajah British. Buktinya cukup senang. Penjajah ialah musuh. Penjajah ialah orang jahat. Penjajah datang untuk mengambil tanah, minyak, kelapa, rempah, emas, balak dan, dan, dan. Penjajah menjadikan anak tanah jajahan sebagai hamba. Penjajah beli barangan tempatan dengan harga murah dan jual dengan harga mahal. Penjajah merampok dan menjarah tanah jajahan. Justeru dalam sejarah Asia, Afrika dan Amerika Latin, semua kuasa kolonial penjajah telah dilawan oleh anak watan. Indonesia melawan Belanda. Filipina melawan Sepanyol. Rakyat Vietnam bangun melawan Perancis dan kemudian Amerika. Burma melawan British. India melawan Bristish. Ramai nasionalis dari negara-negara ini ditangkap, dipenjara, dibunuh atau dibuang negeri kerana menentang penjajah. Sila tanya kepada ahli United Malays National Organisation siapakah pemimpin parti mereka yang telah melawan Bristih? Siapa pemimpin mereka yang telah ditangkap British atau yang telah dipenjara oleh British atau dibunuh British? Kalau ada pemimpin United Malays National Organisation sebesar tungau sekali pun yang bangun melawan British maka sejarah akan tabik hormat. Tetapi hakikatnya seekor pun tidak ada. United Malays National Organisation - yang namanya masih nama Inggeris - bukan parti nasionalis anti-British. Mereka adalah parti budak suruhan British. Parti ini adalah alat penjajah British. Justeru namanya masih lagi nama Inggeris. Naratif kemerdekaan yang diciritkan oleh United Malays National Organsiation bukan naratif perjuangan menentang British. Naratif mereka ialah ‘menentang orang yang menentang British'. Setiap bulan Ogos mereka akan tercirit dengan kesah bagaimana mereka menentang Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka akan tercirit dengan tohmahan menentang Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Mereka menentang Gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang bangun angkat senjata melawan penjajah. United Malays National Organisation menentang PKM, menentang PKMM, menentang Kesatuan Melayu Muda (KMM), menentang Hizbul Muslimin, menentang Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Nama-nama ini adalah parti dan kumpulan nasionalis yang telah bangun menentang penjajah British. Jelas United Malays National Organisation TIDAK pernah menentang British. Tidak ada naratif melawan untuk mendapatkan Merdeka. Parti ini telah bangun menentang orang yang menentang British. Ini sejarah jahat United Malays National Organisation. Jelas, tugas parti ini ialah menjadi budak suruhan British untuk menentang kaum nasionalis yang bermandi darah mengangkat senjata melawan British. Inilah naratif bulan Ogos yang mereka gembar gemburkan sebagai ‘bulan kemerdekaan'. Tarikh 31 Ogos ialah hari malapetaka. Pada tahun 1957 - di hari malapetaka - British telah meninggalkan kuasa dan memberikan Tanah Melayu ini untuk diperintah oleh United Malays National Organisation dan konco-konconya. Semenjak dari tarikh ini Tanah Melayu dan kemudian Malaysia tidak sudah-sudah terus ditimpa oleh malapetaka. Setelah memahami babak babak sejarah ini maka kita akan sedar kenapa rakyat Malaysia - anak semua bangsa - enggan mengibarkan bendera yang kini telah dikenali sebagai Jalur Gemilang. Bendera ini adalah ciplakan. Kita tidak perlu pergi belajar ke Oxford atau Sorbonne untuk memahami fakta ciplakan ini. Malah anak mahasiswa dari Universiti Sintok pun dapat memahami bahawa Jalur Gemilang ini diciplak dari Star-Spangled Banner - bendera Amerika Syarikat. Kebencian dan keengganan anak semua bangsa untuk mengibarkan Jalur Gemilang ini semakin menjadi-jadi hinggakan perlu satu rang undang-undang. Kenapa ini berlaku? Biar saya terangkan kenapa ini terjadi. Bulan Ogos tahun 2013 adalah tanda penolakan yang amat jelas terhadap Jalur Gemilang - simbol milik United Malays National Organisation ini. Ini terjadi kerana kurang lebih tiga 3 bulan dahulu rakyat Malaysia telah ditipu oleh United Malays National Organisation. Dalam PRU13 yang baru selesai United Malays National Organsiation telah menang dan kembali berkuasa. Menang dan kembali berkuasa dengan jalan tipu. Penipuan ini cukup jelas dan disedari oleh orang ramai. Terbukti bahawa rakyat Malaysia - anak semua bangsa - dalam PRU13 telah menolak United Malays National Organisation dan konco-konco. Tetapi dengan licik dan penuh perancangan yang disusun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya - gerombolan yang telah ditolak oleh rakyat ini kembali berkuasa. Ini menyebabkan orang ramai bertambah marah dan benci kepada Jalur Gemilang yang menjadi simbol United Malays National Organisation. Apa yang saya tulis ini bukan untuk bacaan satu kumpulan minoriti. Apa yang saya tulis ini bukan sentimen kumpulan kecil. Apa yang saya lakar ialah suara dan tuntutan 52 peratus warga Malaysia - anak semua bangsa. Apabila Anwar Ibrahim bercakap, apabila Hadi Awang bersuara atau apabila Lim Kit Siang mengeluarkan pandangan - itu adalah suara dan pandangan 52 peratus warga Malaysia. Orang ramai - 52 peraus warga Malaysia - merasa ditipu dalam PRU13. Orang ramai - 52 peratus - yakin kemenangan mereka telah dirampas. Orang ramai tahu bahawa kuasa United Malays National Organisation ini adalah hasil dari penipuan yang dirancang. Maka tanda awal yang dapat mereka nyatakan tiga bulan kemudian ialah mereka tidak ambil pot tentang Jalur Gemilang. Rasa muak dan mual terhadap kerenah United Malays National Organisation ini belum selesai. Kemarahan orang ramai kerana kemenangan mereka dirampas tidak akan terhenti. Rasa muak, benci dan marah ini sedang dikongsi oleh 52 peratus warga Malaysia. Rasa kemarahan ini sedang membara. Justeru para menteri dan para politikus dari United Malays National Organisation dan konco-konconya wajib sedar bahawa mereka berkuasa kerana penipuan. Suara mereka bukan suara majoriti. Para aparacik parti dan para pegawai kerajaan wajib sedar bahawa kerajaan hari ini adakah kerajaan haram yang ditubuhkan melalui penipuan. Bagaimana pula dengan lagu Negaraku yang kini dimainkan dalam panggung wayang? Para penonton akan dipaksa mendengar lagu ini. Ini juga menjadi berita heboh bulan Ogos. Sebenarnya lagu Negaraku ini sama seperti Jalur Gemilang. Lagu yang dipangggil lagu kebangsaan ini adalah hasil ciplakan. Lagu asal La Rosalie dari Perancis, menjadi Memula Moon, menjadi lagu Terang Bulan di Indonesia dan diciplak untuk menjadi lagu Negaraku. La Rosalie, Memula Moon, Terang Bulan atau Negaraku akan dipaksakan kepada penonton panggung wayang. Ini akan menjadi lawak seram. Tidak ada sesiapa yang memiliki harga diri dan tahu sejarah asal usul lagu ini akan bangun hormat pada lagu ini. Lagu Negaraku adalah hasil ciplakan. Tidak perlu ditutup lagi sejarah ini. Segala yang diciplak lambat laun akan diketahui umum. Lambat laun akan dihumbankan. Tidak dapat tidak Malaysia hari ini memerlukan satu bendera yang memiliki motif wataniah untuk melambangkan sejarah pejuangan anak bangsa. Bukan bendera ciplakan dari bendera Amerika. Malaysia juga memerlukan lagu kebangsaan yang menjiwai tempo dan naluri sejarah bangsa. Malaysia dengan politik baru akan menghumbankan ke dalam tong sampah sejarah semua yang diciplak. Melahirkan ini adalah tugas anak muda yang telah diberikan oleh sejarah. http://www.malaysiakini.com/columns/239850