Saturday, January 11, 2014

Terbitnya HIKMAH


Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook. HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam. Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan. ------------------------ Nota (ditulis malam Jumaat 25 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan 1434, malam Nuzul Quran). Adapun penulisan di atas dibuat ketika HIKMAH sedang bersedia untuk mengadakan acara keduanya iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Selepas itu acara ketiga telah diadakan di Lumut, Perak 27 Jan 2013, keempat di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac diikuti kelima di Kuala Terengganu 5-8 Jun, kali pertama acara HIKMAH diadakan melebihi 1 hari. Selepas itu pengasas HIKMAH iaitu saudara Radzi Sapiee bercadang cuma akan membuat lagi acara pada hujung tahun. Itupun untuk memenuhi janji kerana Datuk Seri Ali Rustam pernah mengisytiharkan HIKMAH Melaka sebagai acara tahunan ketika beliau masih Ketua Menteri. Untuk makluman Radzi perlu berehat menanti penyembuhan kecederaan kaki yang agak teruk akibat jatuh tergelincir 23 April. Beliau juga ingin kembali pada satu usaha penulisan buku yang tergendala setahun lalu. Ternyata usaha yang tergendala mengandungi hikmah. Ia membawa Radzi untuk mengisi masa dengan hal lain lalu tanpa diduga lahirlah HIKMAH 12 Okt 2012. Namun di kala beliau masih merawat kecederaan yang dijangka memakan masa lagi 6 minggu untuk sembuh timbul permintaan baru yang membuat beliau rasa harus memenuhinya. Kini pihak kami sedang bersiap-sedia untuk mengadakan acara keenam di Shah Alam 7 September merangkap sambutan hari raya. Sambil itu ada pihak di utara meminta untuk menjadi penganjur acara ketujuh lalu kami mencadangkan agar ia dibuat minggu ketiga bulan Oktober. Pihak tersebut ingin menaja segala kos dan meminta agar ia diadakan selama 3 hari. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut... HIKMAH - Bagaimana ia bermula Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 Acara kedua HIKMAH di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 Nov 2012 Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013 Acara keempat HIKMAH di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013 Acara kelima HIKMAH di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu, 5-8 Jun 2013 Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013 Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013

Blog Archive