Petua Untuk Membina Keyakinan Diri Untuk Berniaga


Petua Untuk Membina Keyakinan Diri Untuk Berniaga 1. Jelas dengan tujuan menjadi usahawan. Matlamat perlu jelas dan terang. Tak kisah samada anda mahu jadi jutawan, mahu jadi taikun hartanah, mahu jadi juara trading, mahu jadi jutawan senyap, atau mahu membina empayar jenama anda sendiri atau apa-apa sahaja. Yang pentingnya ia perlu jelas sejelas kristal. 2. Terima kenyataan bahawa semua yang anda akan lakukan adalah satu proses. Menjadi orang yang lebih baik daripada apa yang anda ada sekarang merupakan satu proses. Tak ada orang hari ini mula berniaga, keesokan harinya terus pandai dan berjaya. Bersedialah menghadapi laluan proses yang naik dan turun, tenang dan ribut dan berbagai rencam lagi. Fokus untuk belajar dari apa saja yang bakal dilalui sehingga matlamat tercapai. 3. Bakar jambatan. Ingat bahawa sekali anda merentasi jambatan ke seberang sana, jambatan tersebut perlulah dibakar untuk diri anda. Tiada lagi 'patah balik', buang perkataan itu terus daripada kamus. Pandang ke depan dan berikan tumpuan pada matlamat. 4. Tetapkan matlamat yang berpadanan. Matlamat mesti sesuai dan mampu untuk dilaksanakan berdasarkan apa yang anda rasa logik. Memang tidak mustahil untuk sasarkan kejayaan mengalahkan Ananda Krishnan, tetapi kalahkan terlebih dulu taukeh kedai runcit di kampung anda. 5. Jangkakan cemuhan. Terima kenyataan bukan semua orang akan terima kita dan apa yang akan kita buat. Malah jumlah mereka yang menghina atau menolak jauh lebih besar daripada yang menerima baik usaha kita. 6. Korbankan ego diri anda seadanya. banyak orang akan berkata, aku memang begitu atau begini, memang semua orang kata begitu dan mustahil untuk berubah. Manusia sentiasa boleh berubah asalkan ada usaha. Malah perwatakan, sifat dan lain-lain lagi mampu diubah dengan usaha dan keazaman. Sesuaikan diri dengan keadaan dan sanggup berubah perlu untuk menempa kejayaan. 7. Jiwa biar dipertengahan. Jangan terlalu rendah diri sampai orang terus tak yakin dan jangan terlalu tinggi diri sampai pandang rendah keupayaan orang lain. Seimbangkan kekuatan jiwa dan beri perhatian pada cara anda berkomunikasi dengan diri anda sendiri. 8. Terima pujian ala kadar. Bila anda dipuji jangan berbangga dan jangan pula terlalu merendah sampai orang meluat. Berada di pertengahan memberikan ruang untuk anda meningkatkan lagi usaha dan membuatkan orang lebih selesa. 9. Berhati-hati dengan orang yang mampu pengaruhi diri. Mula pilih dengan siapa anda habiskan masa dan minta nasihat. Contohnya, jangan minta nasihat atau galakan daripada kawan yang makan gaji sedangkan anda mahu jadi usahawan. 10. Bangun semula bila tersembam. Perkara biasa apabila perkongsian cita-cita menjadi usahawan dengan orang lain disambut dengan ejekan atau penolakan yang teruk. Begitu juga cubaan memulakan sesuatu transaksi berniaga berakhir dengan kegagalan teruk. Relak, tenang dan cari pengajaran di sebalik runtuhan impian tersebut. —

Popular Posts