Tuesday, September 09, 2014

PAS berhak tentukan sikap politiknya


Pengamatan Pak Shukur yang matang.. jom baca dan kongsikan.. WARTAWAN VETERAN MENULIS.... PAS berhak tentukan sikap politiknya ABD SHUKUR HARUN | 07 September 2014. WALAUPUN PAS berada dalam Pakatan Rakyat dan melalui persepakatan dalam Pakatan ketika mengambil langkah politik tertentu, tetapi tentu ada garis pemisah yang menentukan di mana hak parti komponen Pakatan dalam menentukan sikap politiknya dan di mana bukan haknya. Pelanggaran hak ini sudah tentu akan merosakkan keutuhan Pakatan, kalau benar-benar semua pihak mahu memelihara keutuhan Pakatan Rakyat. Dalam hal ini adalah wajar dan adil apabila Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini merasa kesal kerana, katanya, sejak mutakhir ini banyak berlaku di mana pihak lain cuba mencampuri urusan dalaman PAS khususnya dalam isu Menteri Besar Selangor. Lalu beliau mengingatkan semua parti dalam Pakatan Rakyat untuk saling menghormati antara satu sama lain dengan masing-masing tidak terlalu mencampuri urusan parti lain dan jangan melampaui sempadan parti. Menurut pendapat saya, ‘sempadan’ di sini ialah berupa garis pemisah, walaupun mungkin begitu halus, tetapi ia tetap sebagai garis pemisah, yang menentukan hak dan bukan hak sesuatu parti dalam komponen parti Pakatan dalam menentukan langkah politiknya sendiri. Pihak manapun yang melanggar garis pemisah dalam menentukan hak politik sesuatu parti dalam komponen bermakna mengundang risiko besar dalam memeliharan keutuhan Pakatan Rakyat sendiri. Saya sangat memahami keluhan Naib Presiden PAS itu terutamanya dalam situasi krisis politik yang melanda Selangor sekarang ini di mana pelbagai tuduhan, andaian dan prasangka dari pebagai pihak tertentu, termasuk media massa yang lebih banyak ‘mengkritik’ PAS dalam soal menentukan bakal calon Menteri Besar Selangor. Hinggakan ada pihak yang menganggap PAS konon sudah besar kepala, tidak berguna diajak berkawan, angkuh, tidak mengikut keputusan mesyuarat Pakatan dan pelbagai lagi, tuduhan yang tidak benar sama sekali. Bagi pengkritik PAS dan kononnya atas nama pelbagai penganalisis poiltik, pandangan mereka terhadap PAS bukan saja tidak seimbang, penuh dengan prejudis, tiada fakta yang jelas bahkan memandang rendah PAS yang sudah 60 tahun memberi sumbangan dalam arena politik dan demorasi Maysia, jauh sebelum wujud PKR dan DAP. Dalam isu krisis Menteri Besar Selangor, seingat saya, sejak mula Langkah Kajang dicetuskan oleh PKR, tidak pernah ada pemberitahuan yang jelas kepada PAS mengapa Langkah Kajang itu diadakan. Yang diketahui semua pihak, secara umumnya, ialah menerusi laporan media bahawa tujuannya ialah hendak menggantikan Tan Sri Abdul Khaid Ibrahim di mana sebab terperinci tidak diketahui. Hinggalah krisis itu berlarutan sampai sekarang di mana PAS digambarkan kononnya tidak sehaluan dalam menenurukan calon MB Selangor dan pelbagai tuduhan serta andaian lagi untuk mengkambinghitamkan PAS. Bagaimanapun sebagai parti Islam ia terus bersabar dan bersabar. Tetapi apabila melihat terlalu banyak pelanggaran terhadap hak politik PAS dan memalingkan kesalahan kepada PAS semata-mata kerana kebuntuan krisis politik di Selangor ini, saya kira sangat adil PAS mempertahankan maruahnya. Maka itu, Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini merasa kesal kerana, katanya, sejak mutakhir ini banyak berlaku di mana pihak lain cuba mencampuri urusan dalaman PAS khususnya dalam isu Menteri Besar Selangor. Lalu beliau mengingatkan semua parti dalam Pakatan Rakyat untuk saling menghormati antara satu sama lain dengan masing-masing tidak terlalu mencampuri urusan parti lain dan jangan melampaui sempadan parti. "Memang ada benda yang kita bersetuju dan ada benda kita tidak bersetuju. Itu hak parti masing-masing dan kita perlu hormat," katanya kepada Harakahdaily lalu beliau mengambil contoh dalam isu hudud di mana DAP tidak bersetuju dengan PAS dalam isu tersebut. Namun, katanya, PAS menghormati perbezaan pandangan dengan DAP itu dengan menganggap itu hak parti itu. Katanya, PAS menghormati pendirian mereka (DAP) dan kita tidak mengkritik mereka. Beliau mengulas beberapa kenyataan dari rakan pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat yang seolah-olah tidak menghormati perbezaan pendapat dari PAS. Malah kata beliau, terdapat kenyataan seperti mengkritik PAS dan cuba mengajar PAS dalam membuat keputusan khususnya dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu. Bagaimanapun Tuan Ibrahim menasihatkan seluruh ahli PAS agar bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan parti. Di antara tuduhan pemimpin PKR baru-baru ini ialah datang dari Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengenai kononya PAS menawarkan jawatan perdana menteri kepada Tengku Razaleigh sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya umum ke-13 lalu. Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang lalu menjawab dengan berkata, PKR dan DAPlah terlebih dulu memujuk Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyertai parti mereka, namun ditolak ahli Parlimen Umno itu. “Yang mula-mula berjumpa Tengku Razaleigh, ialah PKR. Bukan kita. PKR jumpa dulu, ajak Tengku Razaleigh masuk PKR. Lepas itu, DAP berjumpa Tengku Razaleigh, ajak Tengku Razaleigh masuk DAP. Tengku Razaleigh 'dok terliur' (tidak berminat) belaka nak masuk dua-dua parti ini," kata Hadi dalam sesi dialog beliau dengan pemimpin dan ahli PAS di Terengganu pada Khamis. Ini pertama kali pertama Presiden PAS menjawab dakwaan pemimpin PKR itu. Klip video dialog yang dikhaskannya untuk ahli dan pemimpin PAS di Terengganu tersebut kini disebarluaskan melalui laman sosial termasuk Facebook. Beliau berkata, selepas rakan dalam PR bertemu dengan Tengku Razaleigh, dan mereka gagal, mereka meminta pemimpin PAS pula memujuk Ku Li supaya masuk PAS. "Kita pun pujuklah dia masuk PAS. Dia tak nak masuk PAS juga, dia nak duduk dalam Barisan Nasional. Itulah ceritanya, yang berlaku dan itulah hakikat yang sebenarnya," kata beliau dalam taklimat di dalam dewan terbuka bersebelahan Masjid Rusila. Rafizi mendedahkan perkara itu pada forum berkenaan krisis Menteri Besar Selangor di Kuala Lumpur awal Jun lalu. - HARAKAHDAILY 7/9/2014

Blog Archive