Petua Untuk Menghilangkan Rasa Sunyi di Hati

Petua Untuk Menghilangkan Rasa Sunyi di Hati
Apabila bersendirian, hati sering dilanda sunyi dan sayu, bahkan tidak keruan jadinya. Sepi barangkali menghantui diri apabila terkenangkan seseorang yang pernah menghuni di hati. Khusus untuk kekasih, isteri atau suami yang baru ditinggalkan atau yang masih membujang, kesepian itu sering mengundang perasaan bukan-bukan. Puas melakukan sesuatu diharap mampu melupakan hal menyakitkan, pedih yang masih bersisa di ulu hati dan seribu satu gelodak di jiwa ada kalanya membuatkan diri hilang fokus dalam pelbagai perkara. Jika anda masih sukar menepis rasa sepi, cuba kaji diri untuk melakukan perkara berikut:
a. Maha Pencipta - Kembalilah kepada Pencipta. Mohonlah petunjuk daripada-Nya supaya perkara lalu itu dapat mematangkan diri. Kita juga lebih berhati-hati dalam menjalani hidup ini dengan lebih tabah dan kuat. Ingatlah setiap kejadian yang Tuhan cipta mesti bersebab dan jadikan ia sebagai kayu pengukur keimanan kita terhadap-Nya.
b. Perbaiki Diri - Jangan sesekali anda berubah kerana ingin memenuhi tuntutan bekas kekasih, tetapi apa yang wajar dilakukan adalah memperbaiki diri daripada pelbagai aspek misalnya kerjaya dan kewangan serta bina keyakinan diri yang mantap demi masa depan lebih stabil. Ketahuilah apabila anda sudah takluki semua perkara yang dinyatakan dengan keadaan yang baik, di situ juga anda mungkin akan mudah dikelilingi ramai teman wanita atau lelaki yang suka mengambil kesempatan ke atas diri anda.
c. Bercuti - Semasa berpasangan, percutian biasanya perkara yang agak merumitkan. Untuk bercuti bersama, terdapat pelbagai perkara yang perlu diambil kira seperti cuti tahunan, pakaian pasangan, perbelanjaan dan destinasi. Semua ini harus menepati cita rasa anda, pasangan dan anak. Lazimnya, hanya beberapa hari saja dalam setahun yang sesuai untuk anda berdua atau anak. Namun, ketahuilah ketika anda berseorangan, bila-bila masa saja anda boleh pergi bercuti tanpa perlu merujuk sesiapa.
d. Jumpa Kawan - Seperti kebanyakan lelaki atau wanita, apabila bercinta mereka akan meninggalkan kawan rapat. Bukan lupa, tetapi tidak cukup masa sebenarnya. Sekarang waktu paling sesuai untuk anda mengambil peluang ini menggamit kembali saat bebas ketika bersama mereka. Sudah pasti anda tidak akan dikecewakan malah anda juga akan mendapat layanan mesra daripada mereka kerana mereka sudah lama tidak bersua muka dengan anda.
e. Bersenam - Ketika bercinta, tengok wayang, membeli-belah, jalan-jalan, minum dan makan malam itu antara sebahagian besar yang memenuhi diari kehidupan lalu. Namun, ketahuilah perkara yang lepas mungkin tidak akan sama dengan perkara yang sedang anda alami ketika ini. Apa kata anda lakukan senaman? Ketahuilah ini masanya anda membuang toksik dan lemak yang sudah lama terkumpul di dalam badan. Aktiviti riadah juga memungkinkan anda berpeluang bertemu dengan wanita atau lelaki yang lebih baik.

Popular Posts