Monday, March 28, 2016

Petua Untuk Memujuk Hati Wanita Yang Suka Buat Perangai


Petua Untuk Memujuk Hati Wanita Yang Suka Buat Perangai
Wanita mempunyai perangai unik di dalam perhubungan iaitu gemar merajuk dan ‘membuat perangai’. Sikap ini bukan sahaja melanda wanita di usia lingkungan 20-an yang boleh disifatkan sebagai kurang matang, tetapi juga wujud di kalangan wanita yang berusia 30 dan ke atas.
Kenapa Wanita mudah ‘membuat perangai’?
1. Wanita merasakan apabila merajuk, mereka comel
2. Wanita merasakan apabila membuat perangai mereka akan mendapat perhatian yang lebih daripada lelaki
3. Wanita merasakan apabila lelaki tahu mereka tidak puas hati, mereka menang dan lelaki akan mengalah kepada tuntutan dan ugutan mereka
Tetapi kebanyakan wanita yang melakukan sikap keanak-anakkan ini tidak perasan bahawa dengan berperangai begitu akan menimbulkan reaksi dan emosi yang negatif di pihak lelaki. Kaum lelaki adalah insan yang ringkas.
Mereka lebih sukakan sesuatu yang terus terang. Berteka-teki untuk meneka mengapa wajah isteriku tiba-tiba mencuka atau memikirkan apakah salah mereka, akan menambahkan tekanan yang tidak memperbaiki perhubungan.
1. Lelaki akan berasa serba salah dan sering tidak begitu tahu apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan.
2. Lelaki akan mencari jalan untuk tidak berkata benar hanya untuk melepaskan diri daripada mengalami episod ‘buat perangai’.
3. Lelaki akan bosan dengan sikap begitu dan lama-lama akan bosan dengan perhubungan yang sering mengundang duka, berbanding ceria.
Senario merajuk dan buat perangai ini tidak akan muncul di awal-awal perhubungan. Hanya selepas pasangan mengakui perasaan cinta masing-masing dan sudah tidak ada ragu-ragu bahawa lelaki itu dia punya, wanita akan mula ‘menduga’ dengan merajuk dan menuntut perhatian menggunakan cara merajuk dan membuat perangai.
Sebagai contoh, teman lelaki terlupa telefon kerana sedang bermesyuarat. Oleh kerana tidak sabar, teman wanita mendail telefon bimbit berkali-kali dan tiada jawapan. Apabila teman lelaki menjelaskan kedudukannya yang berada di dalam bilik mesyuarat, teman wanitanya tidak akan menerima secara terus tetapi akan menyukarkan lelaki tersebut dengan soalan-soalan yang berbentuk tuduhan yang akan berakhir dengan teman wanita merajuk tidak tentu pasal.
Bagi mereka yang sudah berumahtangga, isteri sering cenderung untuk curiga apabila suami keluar berjumpa rakan-rakan. Maka SMS pun bertalu-talu dihantar bertanyakan bila suami nak balik walaupun dia baru sahaja keluar 10 minit. Apabila 15 minit tidak balik, telefon pula dengan alasan anak menangis, kepala pening dan sebagainya untuk membuatkan suami balik cepat.
Untuk mengikis sikap ini daripada terus bermaharajalela dalam perhubungan, orang lelaki atau suami perlu tegas membimbing isteri. Bukanlah lelaki atau suami tidak boleh memanjakan isteri, atau kaum wanita langsung tidak boleh buat perangai dalam perhubungan, tetapi biarlah munasabah dan jangan kerap berlaku
Lelaki harus tegas dalam perkara ini. Memanglah sayang teman wanita dan isteri, tetapi jangan sampai isteri yang menjadi nakhoda dalam kapal rumahtangga. Apabila merajuk itu tidak kena pada tempatnya, jangan dilayani. Sikap manusia terbentuk kerana kebiasaan atau “conditioning”.
Apabila merajuk dan dilayan (positif), orang yang merajuk akan melakukannya lagi, kerana ‘habuan’ yang diterimanya berpihak kepada apa yang dia mahu. Apabila kerap tidak dilayan tatkala merajuk kerana perkara-perkara remeh, sikap itu akan cuba diubah kerana dia tidak mendapat ‘habuan’ yang dikehendakinya. Justeru, untuk menyelesaikan masalah ini, jangan dilayan apabila teman wanita atau isteri merajuk atau buat perangai kerana perkara yang tidak munasabah
Namun begitu, jangan melakukan petua ini tanpa menerangkan terlebih dahulu kepada teman wanita dan isteri. Jelaskan kepada dia kenapa anda tidak melayan apabila dia buat perangai. Amat penting sekali untuk anda memastikan bahawa anda tidak melayan dia apabila dia merajuk tidak tentu hala. Pun begitu, kita perlu diingat bahawa apabila merajuknya bertempat, jangan lupa pujuk.
Bagi kaum wanita pula, merajuk sesekali itu mungkin comel tetapi kalau kerap sekali, memualkan. Perhubungan yang sihat ialah apabila masalah atau ketidakpuasan hati dapat diselesaikan dengan interaksi dan komunikasi antara pasangan. Cakap terus terang dengan teman lelaki atau suami apa yang menyakitkan hati anda, dan cuba untuk menyelesaikannya. Tinggalkan ‘buat perangai’ dan merajuk ini kepada budak belasan tahun yang baru untuk bertatih bercinta
Like