Thursday, January 19, 2017

PEMBANGUNAN J.B.
17 Jan 2017

1. Saya tidak tahu samada benar atau tidak cabaran yang dilontarkan oleh DYMM Sutan Johor terhadap saya berkenaan pembangunan JB.

2. Mungkin hanya akhbar The Star yang mentafsirkan apa yang dititah DYMM Tuanku sebagai melontarkan cabaran terhadap saya.

3. Tetapi selagi DYMM Tuanku tidak menafikan mencabar saya, saya akan anggap laporan The Star sebagai benar.

4. Saya mengaku bahawa saya berada di dalam keadaan yang agak lemah. Sementara sesiapa sahaja boleh berkata apa-apa terhadap saya, dan saya mengambil sikap terbuka terhadap kebebasan mereka berbuat demikian, saya harap di dalam menjawab terhadap cabaran DYMM Tuanku, saya tidak akan dipenjara tanpa bicara. Jika perbicaraan dapat diadakan, silalah tangkap saya.

5. Apakah yang telah diperkatakan oleh saya? Tidak lebih daripada apa yang dilaporkan Bloomberg di dalam akhbar. Tetapi saya boleh terima kenapa laporan Bloomberg tidak akan dicabar atau dinafikan.

6. Apakah yang diperkata oleh Bloomberg di dalam laporannya pada 22hb November lepas? Ia mengatakan yang sebuah syarikat dari China akan membangunkan Forest City yang akan memuatkan 700,000 penduduk. Ianya juga melapor bahawa orang Cina dari China diterbangkan untuk melihat pameran model sebesar manusia (bergambar) dan mereka ini sudah, malahan akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City.

7. Saya tidak fikir ramai Melayu atau Cina Johor telah beli atau akan beli apartment ini. Malaysia tidak mempunyai penduduk yang begitu ramai untuk membeli kesemua hartanah ini.

8. Bloomberg, di dalam laporan yang sama turut menyatakan tentang 60 pembangunan lain yang mirip Forest City, dan ini juga sedang dijual kepada rakyat tanah besar China.

9. Melihat kembali pada tahun 1819, apabila Sutan Johor, Sultan Ali tidak mahu memajak Singapura kepada British, Temenggung telah menandatangani pajakan tersebut. Lihatlah Singapura hari ini. Sebahagian daripada Johor kini adalah negara asing – memanglah ia dibangun dengan mudah, tetapi ia tetap negara asing.

10. Lebih sejuta rakyat asing akan tinggal di Forest City JB dan 60 pembangunan lain disekitarnya. Semua tempat baru ini tidak akan menjadi negara asing tetapi akan mengandungi peratus orang asing yang tinggi. Jika mereka tinggal untuk satu tempoh yang lama yang ditetapkan, mereka layak untuk menjadi rakyat Malaysia.

11. Ya, saya yang mempromosi Pelaburan Langsung Asing (FDI – Foreign Direct Investment). Tetapi ianya bukan bertujuan membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjualnya kepada rakyat asing, yang akan tinggal di sana.

12. FDI ialah berkenaan pelaburan di dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia akan membina bangunan dan rakyat akan bekerja di dalam industri-industri tersebut. Mereka akan mempelajari kemahiran dan akan memulakan perniagaan pengeluaran barangan mereka sendiri.

13. Kontraktor Malaysia berkebolehan membina pelbagai jenis bangunan dan memajukan tanah. Kita tidak perlu orang asing untuk ini. Lihatlah Malaysia hari ini. Sembilan puluh peratus atau lebih daripada bangunan baru ini dan pembangunan lain dibuat oleh syarikat Malaysia. Majoriti pembeli juga rakyat Malaysia dan mereka juga bermastautin di situ.

14. Tetapi apabila rakyat asing beli tanah, tidak terdapat aliran masuk wang pun. Kebanyakan sumber kewangan dipinjam dari dalam negara. Dan mereka juga boleh berniaga dengan menggunakan bank mereka sendiri.

15. Apa sahaja pendapatan syarikat asing ini perolehi akan dihantar pulang dan menyebabkan pengaliran keluar wang. Apabila diperkenalkan skim di mana pembeli boleh beli hartanah di negara China dan mendapat satu unit rumah pangsa atau rumah secara percuma di Malaysia, tidak akan ada keuntungan yang dibuat di Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak akan mendapat hasil cukai.

16. Benarkanlah semua transaksi dibuat dengan telus. Terbitkanlah semua dokumen berkaitan pelaburan, jumlah pekerja asing, negara asal mereka, pembeli, bank yang menyediakan pinjaman serta kesemua penghantaran balik wang keluar. Keluarkanlah ini dengan jujur. Jangan berselindung. Janganlah pulak disuruh seseorang yang bernama Tunku Aziz untuk mengesahkannya. Mungkin dia ini pada satu masa mengetuai Transparency International, tetapi dia menerima tanpa belah bagi rompakan dan rasuah yang terjadi dalam 1MDB.

17. Jadi biarlah Transparency International yang benar-benar “International” memeriksa dokumentasi rasmi yang dikeluarkan. Biarkan rakyat meneliti dokumen tersebut untuk buktikan kesahihannya.

18. Pandang ke Timur bukan bermakna mengajak negara-negara di Timur membeli tanah di Malaysia, membangun dan menjual kepada rakyat dari negara-negara mereka. Ya, kita menggalakkan orang asing untuk jadikan Malaysia rumah kedua mereka (Malaysia My Second Home). Tetapi jumlah mereka ini sedikit. Dasar Pandang ke Timur bukan untuk membenarkan migrasi secara besar-besaran melibatkan ratusan ribu. Ianya adalah untuk rakyat Malaysia mempelajari bagaimana negara-negara di Timur ini membangun dan memajukan negara mereka.

19. Mudah sekali untuk menuduh saya ini racist, atau bersikap perkauman. Sebelum ini pun saya pernah digelar Malay ultra.

20. Label atau panggilan serta usaha untuk memburukkan imej ini lebih menunjukkan kegagalan untuk mematahkan apa yang saya buat atau katakan.

21. Ia mencerminkan ketiadaan asas untuk hujah bagi melawan hujah saya.

22. Ini adalah negara berbilang kaum. Rakyat berlainan keturunan, bahasa, agama, budaya dan pencapaian ekonomi telah tinggal dengan aman.

23. Di banyak negara, hanya kerana perbezaan interpretasi yang sedikit pada agama yang dianuti bersama menyebabkan pergaduhan dan peperangan. Tetapi Malaysia stabil dan aman.

24. Ianya stabil dan aman kerana kita terima keadaan sesama kita. Selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri, tidak terdapat pergaduhan kaum yang serius. Konflik ada. Tetapi tanpa keganasan. Dan negara dapat dibangun.

25. Jika saya amalkan perkauman, zaman saya akan terlihat ketidaktentuan dan kemuduran di negara ini.

26. Sesiapa boleh pertikai apa yang saya katakan. Itu hak demokratik sesiapa.

27. Saya cabar The Star untuk siarkan apa yang saya katakan ini secara keseluruhan. Tanda ketakutan Kerajaan terhadap kebenaran boleh digambarkan dengan sejauhmana media arus perdana dikawal.

28. Saya terima jika penulisan ini tidak disiarkan sama sekali kerana kita hidup di dalam sebuah negara kleptocratic di mana kebenaran merupakan satu bala, hanya boleh dibisik tetapi tidak boleh diperkatakan secara terus terang.

29. Saya rakyat Malaysia yang dilahirkan di Kedah.

30. Malaysia adalah rumah saya dan objek kesetiaan saya. Jika saya harus dituduh sebagai penderhaka kerana apa yang saya perkatakan, tuduhlah.

Dr Mahathir bin Mohamad
16 January 2017

P/s: Di dalam kes Hong Kong and Macau, Pondicherry, Goa dan lain-lain wilayah Peranchis dan Portugis di India, sebaik sahaja penjajah melepaskan empayar mereka, tempat-tempat ini terus dilepaskan dan dipulangkan semula kepada negara asal. Demikian juga semua tanah jajahan dikembalikan kepada pemilik asal wilayah-wilayah ini.

Surat asal yang disunting telah disiarkan di dalam akhbar The Star bertarikh Jan 17, 2017, di ruangan surat

Saturday, January 07, 2017

Anti rasuaH

Pada suatu malam, ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz berada di ruang kerjanya, memeriksa catatan keluar masuk dana Baitul Mal terdengar ketukan pintu .
Ruang kerja diterangi lampu minyak sekadarnya, hanya cukup terang untuk membaca berdekatannya tetapi tidak terlalu terang untuk bercermin di kaca . Khalifah tidak pernah bercermin kecuali kepada keteladanan Rasullulah dan para sahabat Nabi .

"Siapa di luar?" tanya Khalifah tanpa membuka pintu .

"Saya , Ayah," terdengar suara seorang pemuda .

"Ada keperluan apa?" tanya Khalifah .

"Saya disuruh ibu untuk membicarakan tentang beberapa masalah."

"Masalah apa?"

"Buka pintu dulu,Ayah . Izinkan saya masuk," jawab anaknya mendesak ingin masuk .

"Terangkan dulu apa masalahnya? Soal keluarga, soal masyarakat, atau soal negara? tanya Khalifah masih tetap tidak membukakan pintu untuk anaknya .

"Tentu sahaja urusan keluarga kita , Ayah," jawab anaknya kehairana melihat sikap ayahnya .

"Kalau begitu tunggu sebentar," sahut Khalifah dari dalam .

Khalifah Umar bin Abdul Aziz kemudian bangun dari tempat duduknya mendekati satu-satunya lampu minyak di bilik itu, dan kemudian meniupnya sehingga padam . Ruang kerja itu berubah gelap gelita . Lalu Khalifah membuka pintu dan anaknya disuruh masuk .

Pemuda itu semakin hairan melihat tingkah laku ayahnya . Knapa berbicara dalam ruangan yang gelap seperti ini? Apakah ayahnya sudah bingung atau berubah ingatan? Apakah terlalu keras ,
tindakannya menjadi aneh di luar kebiasaan orang waras ?
Dengan agak sangsi dan sedikit takut pemuda itu bertanya ingin tahu kepada ayahnya .

"Ayah, di ruang ini cuma ada satu lampu, mengapa ayah padamkan? Apakah kita akan berbincang dalam gelap?"

"Benar , kalu kita berbicara di dalam bilik ini, kita akan berbicara dalam keadaan gelap," jawab Khalifah .

Mengapa, Ayah?

"Apakah kau tahu bilik apa ini?"

"Bilik kerja Ayah .

"Siapakah Ayahmu?"

"Amirul Mukminin , Khalifah seorang pemimpin negara," jawab anak muda itu semakin tidak mengerti . Bahkan dia menjadi semakin curiga ayahnya telah mabuk kekuasaan sehingga hilang akal sihatnya .

Itulah jawapannya. Kerana ayahmu seorang pemimpin , maka kita akan berbicara tanpa lampu penerang di ruang ini."

"Mengapa?"

"Yang akan kita bicarakan adalah masalah keluarga, sedangkan lampu itu minyaknya dibeli dengan wang negara, wang rakyat . Aku tidak mahu urusan keluarga hingga merugikan milik rakyat, kepunyaan negara . Ruang ini adalah bilik kerja untuk kepentingan rakyat dan negara . Tidakkah kau tahu bahawa kekuasaan adalah amanah yang akan diminta pertangungjawab oleh Allah kelak di Hari Pembalasan?"

Mendengar penjelaan ayahnya, barulah pemuda itu mengerti tentang apa yang dilakukan oleh ayahnya . Yang tidak mahu merugikan rakyat dan negara kerana urusan peribadinya.

Friday, January 06, 2017

AL-AZHAR: SUASANA IMTIHAN YANG DIRINDUI

HE ONLY ONE IN AL-AZHAR , EGYPT CAIRO.
AL-AZHAR: SUASANA IMTIHAN YANG DIRINDUI
Musim imtihan di Al-Azhar adalah waktu yang paling saya rindui. Sekian lama berada di sini, saya menyaksikan pelbagai memori indah yang boleh dijadikan teladan, pengajaran dan tak kurang juga ada yang mencuit hati.
* * *
Antara perkara yang boleh kita dapati sewaktu imtihan berlangsung:
1. PARA MASYAIKH YANG SALING MEMULIAKAN
Dua orang syekh, amid kuliah atau siapa-siapa orang besar yang datang dalam dewan imtihan pasti mereka semua saling memuliakan antara satu sama lain.
Pernah sekali berlaku depan mata, seorang syeikh (syekh alim yang saya kenal) sedang duduk di kerusi menjaga imtihan, tiba-tiba hadir seorang syekh(2) ke tempat tersebut, syekh (1) tadi terus bangun dan menjemput Syekh (2) duduk di kerusinya, selepas bertolak-tolak tak mahu duduk akhirnya syekh ke-2 itu pun duduk dan syekh pertama berdiri.
Selang 10 minit, datang seorang lagi syekh (3) ke tempat tersebut dengan berpakaian jubah gelap kemas, berbadan tegap, berwibawa.. lalu syekh ke 2 tadi bingkas bangun mencari kerusi lain (jauh juga beliau cari) untuk diberikan pada syekh ke tiga yang baru sampai tadi. Selepas diberikan kerusi, bertarik-tolak masing-masing diminta duduk akhirnya syekh ke 3 duduk di kerusi tersebut.
Selang 15 minit kemudian, amid kuliah kami hadir juga ke tempat tersebut! Ke tiga-tiga syekh tersebut bangun beri kehormatan pada amid kuliah dan menjemput beliau duduk. Oleh kerana beliau tak mahu duduk, syeikh ke 3 tadi bangun cari kerusi lain dan kebetulan ada kerusi separuh buruk dan berhabuk ada berdekatan tempat mereka. Syekh tersebut ambil dan lap kerusi tersebut dengan jubahnya yang warna blue black itu! Memang terzahir tebalnya habuk tersebut bila lihat pada jubahnya... tersentuh sebentar hati bila.melihat situasi tersebut.
.
2. JUAL AIR MASA IMTIHAN
Ini antara perkara yang paling menarik ketika imtihan sedang berlangsung. Sedang menjawab exam, tiba-tiba masuk seorang pakcik lingkungan 30-40an ditangannya terdapat satu talam syai (tea o) untuk dijual pada pelajar. "Aiz syai?" (Nak tea o?).
Kita sedang pening kepala fikir jawapan jadi tenang seketika selepas pekena syai panas apatah lagi di musim sejuk begini.
Belum lagi yang datang jual air kotak, air gas, snek dan lain-lain makanan ringan. Bayangkan pakcik ini menjaja hampir diseluruh kawasan yang ada pelajar study! Talam tersebut semestinya berat kerana penuh barang di atasnya.
Kalau musim panas akan ada seorang yang kerjanya pusing bawa jug atau botol air berserta 3 gelas untuk bagi minum pada pelajar yang sedang jawab exam. Yang pastinya air tersebut sejuk dan lega jika diminum, tak tahulah dia ambil air mana.
Seperti biasa akan ada seorang syekh yang murah hati belanja syai kepada semua pegawai peperiksaan dalam dewan besar tu.
.
3. PEGAWAI PEPERIKSAAN MEROKOK, CAKAP KUAT DENGAN HP, BERGADUH DENGAN STUDENT
Bayangkan, kita sibuk memerah otak dan mengharapkan suasana tenang untuk mencari dan mendapatkan jawapan tiba-tiba bunyi satu telefon yang sangat kuat. Terkejut semua orang! Dengan selambanya pegawai tersebut jawab panggilan dan tanpa rasa bersalah cakap dengan kuat tepi kami2 yang sedang jawab exam ni.
Bangun seorang pelajar tegur, dan seperti yang sudah diagak berlakulah pergaduhan berskala kecil. Dan akhirnya pegawai tersebut diminta keluar.
Belum lagi kira yang merokok depan muka kami, ataupun yang merokok tapi tak buka tingkap. Akhirnya kena marah dengan syekh, dan seperti biasa gaduh sedikit, keluar dalil kemudian perokok tersebut diminta keluar.
.
4. NAK PERGI TANDAS PEGAWAI PEPERIKSAAN CEK DAN IKUT MENGALAHKAN IMEGRESEN
Pernah belaku seorang pelajar Africa masuk tandas diikuti belakangnya pegawai peperiksaan. Sebelum masuk tandas, disuruh tangan angkat ke atas, di cek dari hujung jari, dalam jaket, seluar, celah peha, dalam poket serupa macam polis imegresen buat! Semua barang dalam baju dan seluar wajib dikeluarkan. Kerana dikhuatiri meniru atau baca nota dalam tandas.
Selepas keluar tandas, kebetulan tandas sebelah adalah kawan Africa tersebut. Lalu mereka saling menyapa borak-borak dalam bahasa mereka. Pegawai periksa macam sangsi dengan Africa tersebut. Terus dia tanya pada mereka berdua "kamu kenal dia? Kamu berdua cakap pasal apa tadi" macam biasa, gaduh dan kalut sikit dalam tandas kemudian bersurai. :)
.
5. PELAJAR TULIS NOTA ATAS MEJA
Ini yang biasa berlaku, masuk dewan awal tulis atas meja. Esok duduk tempat lain, masuk awal tulis lagi dan begitulah seterusnya dan akhirnya naik tahun.
Saya yang duduk di belakang beliau hanya memerhatikan sahaja tindakannya dari hari pertama hingga hari terakhir peperiksaan. Dari awal masuk imtihan hingga tamat waktu.
Dan kini beliau naik tahun meninggal kami (yang tidak meniru ini). Kami berpegang dengan kejujuran dan keyakinan.
.
6. LAST MINIT TUKAR ARAHAN SOALAN
Ini juga jarang dan kadangkala selalu berlaku. Lagi setengah jam tamat imtihan tiba-tiba pensyarah memaklumkan bahawa dari setiap soalan besar itu perlu jawab DUA SOALAN SAHAJA.
Terkejut kami semua. Kenapa tidak dimaklumkan awal. Dalam kertas soalan pun tidak dinyatakan supaya hanya perlu pilih 2 soalan sahaja. Dari soalan besar. Arahan pula dikeluarkan by mulut macam tu sahaja.
Nak padam takut nanti dikata tak jawab. Kalau dibiarkan sahaja takut Dr. ingat kami sengaja jawab lebih. Akhirnya semua buat pilihan sendiri nak tinggal atau padam.
Bila dengar kejutan ini, kami terkejut tapi buat biasa sahaja. Berita last minit ini memang biasa. Belum tanya kuliah Medic yang tiba-tiba dimaklumkan 5 minit lagi ada imtihan.
* * *
Kalau diikutkan banyak lagi kenangan yang mencuit hati yang boleh diambil ibrah bersama tapi tidak mampu saya syarahkan semua.
Antaranya:
● Musim imtihan ialah musim bertemu syekh. Ramai syekh2 besar turun. Waktu inilah peluang nak bersalaman dengan syekh. Yang peliknya, masa jumpa syekh besar ni tak ramai yang nak salam, tapi dalam muhadharah besar baru kalut berebut nak salam.
● Kertas soalan tak siap lagi. Siap lepas 5 minit kemudian, panas lagi lepas photostat.
● Belum tamat waktu exam sudah diminta keluar. Biasanya paper Bahasa Inggeris. Kerana penjaga peperiksaan tahu orang Malaysia ni power BI confirm lulus MUMTAZ. Jadi tak sampai sejam sudah dipaksa keluar!
● Dah tulis semua jawapan atas kertas jawapan, tiba-tiba di tukar kertas jawapan kerana dituduh meniru. Alasannya atas kertas soalan kita 'ada tulisan'! Sedangkan kita tulis awal2 supaya tak lupa sementara tunggu dapat soalan.
● Jawab exam bawah garaj. Kalau musin sejuk memang tangan bergetar kebas, kertas jadi lembab basah sebab udara sejuk. Kalau musim panas, masa jawab peluh menitik, angin panas bertiup sekali dengan habuk debu semua naik atas kepala. Lepas exam muka berminyak campur debu.
● Masjid al-Azhar penuh pelajar yang sibuk study dengan pelbagai gaya. Ada berdiri, jalan, baring, meniarap, berjalan, senyap, bising dan lain2.
* * *
Semua pengalaman di atas berlaku di Kuliah Banin di Darrasah, Hussin. Mungkin ada yang sempat saya alami sendiri dan ada yang rakan saya sendiri mengalaminya atau mungkin ada banyak lagi pengalaman menarik yang bakal kami lalui. Pengalaman di Kuliah Banat, Kuliah Perubatan Azhat pastinya menarik juga.Boleh dikongsi di ruang komen.
Sayangnya tiada gambar yang boleh dijadikan tatapan buat teman-teman. Sekiranya kalian ada pengalaman atau gambar menarik sudilah berkongsi diruang komen.
Tujuan saya menulis bukan bertujuan untuk buka kelompongan yang berlaku dalam sistem peperiksaan al-Azhar. Tapi inilah realiti uang berlaku sepanjang kami jawab exam. Ianya merupakan hiburan dan ujian buat kami semasa imtihan.
Ujian dalam ujian.
Buat mahasiswa baru, selamat bertemu dengan pengalaman di atas!
Bittaufiq ma3an-nagah wan-nikah!

Thursday, January 05, 2017

Product Knowledge

Oleh : Nasrudin bin Hassan
https://telegram.me/nasrudinhassan

1. Seseorang tidak akan berubah melainkan setelah ada maklumat . Kita tidak akan membeli satu barang melainkan setelah kita mengetahui khasiat dan kebaikannya. Ini menggambarkan betapa pentingnya penerangan dalam suatu hal untuk meyakinkan seseorang bagi mendapat sesuatu .

2. Menyampaikan ceramah , kuliah atau apa jua bentuk penerangan, ia umpama hendak menjual sesuatu produk kepada orang lain , produk yang baik dan berkualiti sekalipun , kalau tidak diterangkan dengan teknik dan strategi yang berkesan pasti tidak ada pembelinya , malahan produk yang tidak berkualiti pula , kalau disampaikan, dipromosi dan dikempen dengan hebat dan baik pasti akan menarik orang ramai untuk membelinya.

3. Orang yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk ialah jurujual itu sendiri . Bagi menarik orang ramai membeli produk tersebut , jurujual akan menggunakan kepetahan bercakap , penampilan dirinya yang kemas , bahasa yang cukup menawan dan berbagai – bagai aksi lagi , disertai pula dengan demontrasi barangan . Sudah pasti cara ini akan menarik minat orang ramai membelinya .

4. Begitulah para pendakwah , produk yang kita hendak pasarkan ialah Islam dan PAS sebagai wadah atau platform perjuangan . Produk yang akan kita pasarkan ini memerlukan teknik , taktik dan strategi yang sesuai dengan suasana setempat , situasi semasa , budaya dan sebagainya . Inilah hikmah atau kebijaksanaan dalam dakwah.

ادْعُ Ø¥ِÙ„َÙ‰ٰ سَبِيلِ رَبِّÙƒَ بِالْØ­ِÙƒْÙ…َØ©ِ ÙˆَالْÙ…َÙˆْعِظَØ©ِ الْØ­َسَÙ†َØ©ِ ÙˆَجَادِÙ„ْÙ‡ُÙ… بِالَّتِÙŠ Ù‡ِÙŠَ Ø£َØ­ْسَÙ†ُ Ø¥ِÙ†َّ رَبَّÙƒَ Ù‡ُÙˆَ Ø£َعْÙ„َÙ…ُ بِÙ…َÙ† ضَÙ„َّ عَÙ† سَبِيلِÙ‡ِ ÙˆَÙ‡ُÙˆَ Ø£َعْÙ„َÙ…ُ بِالْÙ…ُÙ‡ْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Surah An Nahl : 125

Sekian.
2 January 2017
3 Rabiul Akhir 1438
Bandar Kuantan.