Saturday, May 23, 2009

Apa Motif Faisal Tehrani?

Faisal Tehrani


Baca tulisan Faisal Tehrani di sini. Saya petik sebahagiannya seperti berikut.

“Tidak ramai yang tahu Fatimah melawan apa atau siapa? Begitu sekali sejarawan menutup cerita, begitu pendek dan begitu sedikit perenggan mengenainya. Begitu bersungguh ulama’ dan pendakwah menutup dan menyorokkan perlawanan Fatimah. Begitu ramai orang akan memesongkan. Sehingga anda (kita) semua tidak mengenal Fatimah dan apa kualitinya sebagai seorang wanita dan ibu. Ustaz-ustaz hanya sanggup dan berani mengatakan Fatimah anak kesayangan Rasulullah saw. Setakat itu sahaja.

Inilah perlawanan Fatimah az Zahra:

Urwah bin Zubair melaporkan ‘Fatimah marah lalu dia meninggalkan Abu Bakar, tidak henti-hentinya dia menjauhi Abu Bakar sehingga dia meninggal dunia.

(Musnad Imam Ahmad, hadis nombor 25, bab musnad Abu Bakar as-Siddiq r.a. Hadis yang dikutip merupakan hadis yang panjang berstatus sahih. Hadis yang sama dengan matan berbeza turut dimuatkan iaitu hadis nombor 9 dan 14. Musnad Imam Ahmad tidak syak lagi adalah rujukan valid umat Islam.)”

Ada beberapa mulahazah yang saya ingin berikan kepada kiriman Faisal ini.

Pertama:

Hadis yang ditampilkan oleh Faisal bukan sekadar ada di dalam Musnad Ahmad, tetapi disebutkan juga oleh al-Bukhari di dalam kitab ‘Fardh al-Khumus’, hadis bil 2862. Disebutkan juga oleh al-Baihaqi di dalam as-Sunan al-Kubra muka surat 301. Hadis tersebut tidaklah terlalu panjang, dua atau tiga kali ganda hadis 'setiap amal dengan niat sahaja'.

Mengikut versi al-Bukhari, hadis tersebut bermaksud begini.

Bahawasanya Aisyah Ummul Mukminin, mengkhabarkan kepada Urwah bin az-Zubair, bahawasanya Fatimah, puteri Rasulullah saw meminta kepada Abu Bakar selepas wafatnya Rasulullah saw supaya dibahagikan juga kepadanya haknya terhadap harta yang ditinggalkan oleh Rasulullah daripada Fai’ (harta yang diperolehi oleh Nabi saw tanpa melalui peperangan). Lalu Abu Bakar berkata kepadanya, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda, “Kami (Harta kami) tidak diwarisi. Apa yang kami tinggalkan menjadi sedekah”. Fatimah marah lalu dia meninggalkan Abu Bakar. Dia meninggalkannya sehingga dia wafat. Dia hidup selepas wafatnya Rasulullah saw selama enam bulan…”

Kedua:

Faisal menggunakan istilah 'melawan' iaitu 'Fatimah melawan'. Difahami bahawa Fatimah 'melawan Abu Bakar' kerana selepas itu ditampilkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad itu.

Ungkapan 'melawan' Faisal boleh difahami dengan maksud 'membenci, memusuhi, tidak menyukai atau tidak merestui'.

sedutan drpd:-
http://bongkarsauh.blogspot.com

Ungkapan itu boleh difahami begitu kerana diperkuatkan oleh frasa sebelumnya iaitu 'ulama’ dan ustaz menutup cerita mengenai Fatimah melawan'. Ulama’ hanya menceritakan Fatimah adalah putri Nabi saw sahaja. Ada juga ulama’ yang turut memesongkannya.

Frasa yang mengungkapkan Asiah melawan Firaun, Maryam melawan masyarakat tidak bermoral dan Khadijah melawan musuh Rasulullah saw turut mendorong pembaca untuk memahami bahawa Fatimah juga 'melawan' Abu Bakar.

Ketiga:

Hadis tersebut tidak akan dapat difahami dengan tepat tanpa membaca syarahnya. Membaca lafaz zahirnya sahaja memungkinkan kita berburuk sangka terhadap Fatimah dan Abu Bakar Mari kita ikuti perkataan Ibnu Hajar yang mensyarahkan hadis al-Bukhari.

Ibnu Hajar berkata, dalam riwayat Ma’mar, “Fatimah meninggalkan Abu Bakar dan dia tidak bercakap dengannya sehingga dia wafat”. Umar bin Syabbah mendapati, dalam versi lain riwayat Ma’mar berbunyi begini, “Fatimah tidak bercakap dengannya mengenai harta itu lagi”. Begitu juga at-Tirmizi menaqalkan daripada sebahagian gurunya, bahawasanya makna ucapan Fatimah kepada Abu Bakar dan Umar, “Aku tidak akan bercakap dengan kamu berdua”, ialah, “tidak akan bercakap mengenai harta warisan itu lagi”. As-Syasyi mengikut jejak Ma’mar dengan berkata, ungkapan ‘marah’ bermaksud, “Fatimah tidak mahu bercakap lagi (mengenai harta itu)”.

(Baca Fathul Bari Li Ibni Hajar, juzuk 9, ms 345, versi komputer Maktabah Syamilah).

Keempat:

Dapat difahami daripada penjelasan Ibnu Hajar bahawa Fatimah tidak bercakap dan meninggalkan Abu Bakar bukan membawa maksud ‘melawan’ (membenci, memusuhi, tidak meredhai, tidak menyukai atau tidak merestui).

Fatimah tidak melawan Abu Bakar seoerti Asiah melawan Firaun dan selainnya seperti yang disebutkan Faisal. Dia tidak bercakap dengan Abu Bakar dalam isu harta itu sahaja kerana Fatimah memahami benar maksud sabda ayahandanya seperti yang disebutkan Abu Bakar itu.

Maksudnya, tiada masalah langsung antara Abu Bakar dengan Fatimah. Dia bercakap dalam perkara lain. Tidak bercakap dalam isu harta itu tidak bermakna tidak bercakap langsung dan 'melawan'. Dia tidak membenci apatah lagi memusuhi Abu Bakar.

Fatimah mengenali Abu Bakar sebagaimana Abu Bakar juga mengenalinya. Mereka berdua adalah orang yang sangat hampir dengan Nabi. Mustahil, seorang putri Rasul boleh ‘melawan’ Abu Bakar, seorang kekasih Rasul. Mustahil juga Abu Bakar sesukah hatinya tidak memberikan harta itu kepada Fatimah jika itu dibenarkan oleh Rasulullah saw.

Tidak timbul langsung 'melawan' atau Fatimah melawan Abu Bakar sehingga tidak bercakap dengannya sampai dia wafat.

Kelima:

Saya meragui motif Faisal membawa kisah Fatimah ‘melawan’ Abu Bakar selepas kisah Asiah melawan Firaun. Adakah Faisal bertujuan menanam kebencian umum terhadap Abu Bakar kerana Fatimah adalah isteri kepada Ali bin Abi Talib?

Mengapa Fatimah dan Abu Bakar yang dipilih? Apa lebihnya Fatimah kepada Faisal dan apa kurangnya pula Abu Bakar kepadanya?

Fatimah memang hebat dan Abu Bakar juga hebat. Jika kita ingin menghebatkan Ali bin Abi Talib dan mereka yang berkaitan dengannya, janganlah kita menjatuh dan melekehkan para sahabat yang lain.

Samada Ali atau Abu Bakar, Umar atau Uthman, mereka semuanya hebat dan yang tidak hebatnya ialah KITA SEMUA.