Friday, February 19, 2010

Mendedahkan Rahsia Jamaah

Respons Atas Komen-komen
Saya berterima kasih atas komen-komen yang diberikan oleh pengunjung blog saya dan beberapa blog lain yang membuat pautan kepada posting berkenaan. Khusus kepada mereka yang membuat komen bersetuju dan menyokong pandangan saya, diharapkan mereka dapat menyampaikan mesej seperti yang sewajarnya difahami oleh mereka yang dapat membaca apa yang tersirat di samping apa yang tersurat. Terima kasih dan syabas kepada mereka.

Saya terpanggil untuk memberikan respons, kerana sebahagian komen-komen berkenaan perlu diberikan jawapan dan penjelasan supaya tidak mengelirukan. Komen yang berupa kritikan peribadi tidak perlu saya jawab kerana saya percaya pengunjung blog ini boleh menilai sendiri apa yang saya tulis dalam posting berkenaan. Umpamanya ada yang mengatakan saya hendak menunjuk hebat, saya orang yang sudah pencen dalam jamaah dan sebagainya.

Sesetengah komen mengatakan posting berkenaan boleh membawa fitnah dan pecah belah di dalam jamaah kerana pandangan saya sebagai mantan anggota pimpinan jamaah didedahkan kepada umum, padahal saya boleh menyampaikannya melalui saluran dalaman. Bagi saya pendapat sedemikian lebih berupa andaian kerana pandangan yang saya berikan lebih bersifat tazkirah, bukan bersifat kritikan jauh sekali sebagai tohmahan. Apatah lagi pandangan tersebut diberikan setelah diketahui umum banyak suara yang kurang berpuas hati yang diluahkan terhadap keputusan Jawatankuasa Displin ke atas kes KS. Saya sendiri menerima panggilan telefon dan SMS yang menyatakan rasa terkejut mereka dengan penggantungan KS.

Saya tidak fikir dengan menyampaikan pandangan melalui blog semestinya boleh menimbulkan masalah kepada jamaah, selagi ianya tidak berupa fitnah atau tuduhan melulu ke atas mana-mana pihak dalam jamaah. Kepimpinan dan pendokong jamaah sudah lumrah mendengar pandangan bahkan kritikan terbuka dari ahli-ahli dari pelbagai peringkat terutamanya dalam setiap kali Muktamar Tahunan. Para perwakilan adakalanya mengkritik kepimpinan dengan pedasnya di khalayak ribuan yang hadir dan terbuka kepada media tanpa sebarang tapisan. Kalau realiti seperti ini boleh diterima, saya tak fikir menulis dalam blog dianggap boleh membawa pecah belah dan saya dengan mudah dituduh melakukan dosa besar. Memang agak aneh kalau yang mengkritik pimpinan secara terbuka dari kalangan anggota pimpinan sendiri, sedangkan saya tidak menduduki sebarang jawatan kepimpinan, bahkan setakat ini saya tidak lagi menjadi ahli Majlis Syura, kerana Majlis Syura belum terbentuk selepas pindaan perlembagaan parti yang terkini. Jadi saya hanya sebagai ahli biasa ketika membuat posting ini hingga kini.

Khusus respons kepada komen “Hamba”, didapati dari komen beliau mengenai displin ahli dalam parti, kelihatan bercanggah dengan sikap beliau sendiri. Dalam komen pertama beliau mengatakan, sebagai ahli kena terima dan patuh kepada keputusan parti, dan dalam konteks ini terima sahaja keputusan Jawatankuasa Displin tanpa mempersoalkannya. Akan tetapi dalam komen berikutnya beliau sendiri kelihatan mempersoalkan keputusan parti mengenai pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP (khasnya di Perak). Beliau juga mempersoalkan MOU PR yang didakwanya tidak disebut nama Allah. Bagi saya sekiranya beliau seorang ahli PAS, maka bererti beliau telah mempersoal/mempertikai keputusan kepimpinan. Bagaimanapun sekiranya beliau seorang ahli UMNO (hampir pasti pun), ianya tidak menjadi masalah.

Dalam komen seterusnya, “Hamba” bertanyakan kenapa PAS sanggup membenarkan DAP bersama menyerang AMNO (yang tepatnya UMNO) yang sebangsa dengan PAS, walhal Nabi s.a.w. tidak pernah membenarkan sekutu Pakatan Rakyat Madinahnya bersama-sama menentang musyrikin Makkah yang sebangsa dengan Nabi. Pertanyaan tersebut cuba menggambarkan seolah-olah perjuangan Rasulullah s.a.w. berdasarkan kaum atau bangsa. Fahaman seperti ini amat berbahaya dan bercanggah sekali dengan ajaran Islam kerana Islam tidak berdasarkan bangsa, bahkan menentang fahaman asobiah (perkauman). Musuh Islam terutama golongan orientalis sering mendakwa bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang pemimpin agama yang memperjuangkan kebangsaan Arab bahkan menuduh kononnya ajaran Islam itu sendiri adalah warisan dari kepercayaan dan budaya bangsa Arab. Kalaupun “Hamba” terlalu bersemangat untuk menyokong UMNO janganlah cuba memesongkan ajaran Islam yang berdasarkan aqidah tauhid yang tidak ada kena mengena dengan satu-satu bangsa atau kaum.

Sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., bahkan juga para rasul sebelumnya yang diutus kepada satu-satu kaum tidak pernah menganggap golongan sebangsanya yang menentang para rasul itu sebagai satu “bangsa” dengan mereka yang beriman, kerana yang memisahkan mereka ialah aqidah perjuangan. Tidak berbangkit sama sekali kononnya Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan rakan sekutunya di Madinah untuk menyerang musyrikin Makkah yang sebangsa dengan baginda. Bukankah kaum Ansar yang terdiri dari bangsa Aus dan Khazraj sentiasa berganding bahu dengan kaum Muhajirin dari bangsa Quraisy dalam peperangan-peperangan menentang musyrikin Makkah sejak dari perang Badar hingga kempen pembukaan Makkah.

Berkenaan pertanyaan “Hamba” yang berbunyi: Adakah tercatat dalam sirah Nabi s.a.w. yang baginda pernah mengkhianati bangsa Arab kerana kuasa? Saya tegaskan sekali lagi, jangan cuba berhujah dengan fahaman perkauman untuk memesongkan sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w tidak boleh dikaitkan dengan pengkhianatan kepada bangsanya (Quraisy) kerana baginda memerangi kaum musyrikin Quraisy setelah berkuasa di Madinah, adalah semata-mata untuk menumbangkan kuasa jahiliyah/musyrikin yang menentang dakwah dan berusaha untuk menumbangkan kedaulatan Islam di Al-Madinah Al-Munawwarah.

Bersabit dengan dakwaan “Hamba” bahawa PAS berkempen lebih kepada memburukkan parti lawan dan bukannya mengajak orang beriman kepada Allah dan RasulNya, dakwaan tersebut sebenarnya tidak tepat dan boleh mengelirukan. Bagi saya kalau “Hamba” seorang penyokong PAS, tentu beliau sedia maklum bahawa PAS bukan semata-mata bergerak dengan ceramah/kempen, bahkan juga melaksanakan pelbagai aktiviti dakwah seperti kuliah-kuliah pengajian, usrah, liqa’ fiqr, dialog dan seumpamanya yang bertujuan untuk mengajak umat Islam khasnya untuk mendokong Islam dan menghayati ajarannya. Malangnya di negeri-negeri yang dikuasai UMNO/BN, gerakan dakwah dihalang, bahkan diugut dengan pelbagai tindakan. Di Selangor umpamanya semasa kerajaan UMNO/BN berkuasa terutama sekali semasa Khir Toyo menjadi Menteri Besar, kuliah-kuliah dan majlis-majlis ilmu di masjid dan surau-surau dikongkong dan ditekan dengan ganasnya. Alhamdulillah kini di negeri Selangor, masjid-masjid dan surau-surau dimakmurkan dengan majlis-majlis ilmu dan aktiviti dakwah dengan pelbagai program. Demikian juga di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat yang lain termasuk Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP. Berkenaan dengan kempen atau ceramah politik, tidak dinafikan ia berbentuk serangan dan pendedahan akan keburukan parti lawan khususnya UMNO yang memegang tampuk pemerintahan lebih separuh abad, yang berterusan menyerang perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam. Maka wajarlah serangan UMNO itu dibalas dengan serangan.

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh “Hamba” mengenai Perjanjian Hudaibiyah, nampaknya tak habis-habis hujahnya berkisar sekitar asobiah kaum yang cuba dilabelkannya ke atas perjuangan Rasulullah s.a.w. Dalam konteks Hudaibiyah, memanglah Rasulullah s.a.w. membuat perjanjian damai dengan kaum Quraisy Makkah yang bermusuhan dan memerangi Islam. Ketika itu merekalah musuh utama Islam dan yang paling awal menentang Islam sebelum kaum lain. Apatah lagi bangsa Quraisy berkuasa memerintah di Makkah. Maka Perjanjian Hudaibiyah diutamakan oleh Rasulullah s.a.w. apabila kaum Quraisy bersedia untuk berdamai kerana dengan demikian ruang dakwah terbuka luas untuk baginda bergerak dengan bebasnya. Ia tidak kena mengena langsung dengan sebab bangsa atau kaum. Mengenai sebab mengapa PAS tidak membuat “perjanjian damai” (berpakat menubuh kerajaan) dengan UMNO, padahal PAS berlawan dengan UMNO, kepimpinan PAS sering menegaskan bahawa pengalaman PAS bersama dengan UMNO dalam kerajaan campuran dengan Perikatan yang kemudiannya membentuk BN (1973-1978) sudah cukup menjadi pengajaran buat PAS menolak tawaran untuk bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan selepas PRU 12 yang lalu. Ini belum lagi diambil kira amalan UMNO mengenepikan ulama’-ulama’ UMNO sendiri samada dalam kepimpinan parti mahupun dalam pentadbiran kerajaan.

Adapun mengenai sebab kesediaan PAS berpakat dengan DAP membentuk kerajaan PR (khasnya di Perak) yang saya kaitkan dengan iktibar Perjanjian Hudaibiyah itu, adalah bertujuan bagi melaksanakan dakwah kepada bukan Islam melalui saluran politik dengan mendekati DAP yang juga sebelumnya memusuhi PAS yang memperjuangkan Islam. PAS melihat DAP/bukan Muslim menentang perjuangan PAS sebahagiannya disebabkan oleh propaganda UMNO yang menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap PAS dan sekaligus terhadap Islam. Hakikat ini didedahkan sendiri oleh pimpinan DAP secara terbuka bahawa mereka dahulunya memusuhi PAS dan takut kepada Islam kerana UMNO selama tidak kurang dari 50 tahun, menakut-nakutkan orang bukan Islam sekiranya PAS berkuasa memerintah, hak-hak mereka akan terlucut dan mereka tidak bebas mengamalkan kepercayaan mereka. Kini semenjak PAS bersama DAP dan PKR dalam PR, ternyata tembok pemisah di antara PAS dengan orang bukan Islam sudah dapat dirobohkan dan mesej Islam semakin mudah disampaikan kepada mereka. Bahkan ternyata ruang dakwah lebih terbuka dengan luas seperti yang disaksikan di Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP sendiri.

Soal dendam PAS kepada UMNO seperti yang ditimbulkan oleh “Hamba”, ianya langsung tidak berbangkit. PAS menentang UMNO kerana perjuangannya menentang perjuangan Islam yang didokong PAS. Di sini tidak timbul soal dendam berdendam kecuali individu-individu tertentu, tapi bukanlah kerana ajaran PAS. Kepimpinan PAS dari pelbagai peringkat menunjukkan amalan dan pergaulan yang tidak bermusuh dengan orang-orang UMNO. Sebagai contohnya, bila berlaku kematian orang UMNO atau penyokongnya, pemimpin PAS atau penyokong-penyokong PAS hadir menyembahyangkan jenazah mereka, bahkan tidak jarang pula yang mengimamkan solat jenazah orang UMNO. Begitu juga orang PAS menghadiri majlis-majlis kenduri-kendara orang UMNO jika mereka dijemput. Saya sendiri berkali-kali pernah mengimamkan solat jenazah orang UMNO atau membaca doa selamat di majlis kenduri orang UMNO (yang menjemput saya). Namun yang jarang berlaku ialah pemimpin atau orang-orang PAS hadir di majlis-majlis ilmu anjuran UMNO kerana mereka jarang dijemput, apalagi untuk memberi ceramah. Tambahan pula UMNO sendiri pun jarang-jarang menganjurkan majlis-majlis ilmu (kuliah/pengajian) kecuali sempena hari-hari sambutan Islam.

Akhir sekali mengenai pertanyaan “Hamba”: Adakah Rasulullah s.a.w. pernah selepas peperangan, lalu hasil rampasan perang yang berupa kuasa diagihkan kepada puak musyrikin yang bersekutu dengan Nabi? Pertanyaan tersebut menunjukkan “Hamba” tidak faham erti “rampasan perang” yang disebut dalam istilah Islam sebagai al-ghanimah, al-fayi’ dan al-anfal. Ianya bermaksud hartabenda samada haiwan, tunggangan atau apa-apa juga harta milik musuh yang ditinggalkan setelah kalah dalam pertempuran atau yang ditinggalkan apabila mereka berundur sebelum pertempuran. Ia sama sekali tidak dimaksudkan dengan kuasa pemerintahan. Kuasa pemerintahan bukan sesuatu yang boleh dimiliki seperti hartabenda, bahkan ianya adalah amanah Allah S.W.T. Dalam konteks demokrasi berparlimen seperti yang diamalkan dalam sistem pemerintahan negara kita, kuasa diperoleh melalui kemenangan dalam pilihanraya. Parti-parti yang memenangi pilihanraya mendapat mandat rakyat untuk memerintah. Maka kuasa memerintah tidak boleh dijadikan seperti hartabenda yang boleh dimiliki, bahkan tidak boleh dirampas oleh mana-mana pihak. Perbuatan merampas kuasa yang diberi rakyat adalah perbuatan yang zalim seperti yang dilakukan oleh UMNO di bawah pimpinan Najib yang merampas kuasa pemerintahan kerajaan PR di Perak. Dalam konteks ini PAS bersama DAP dan PKR dalam PR cuba sedaya upaya mengambil iktibar dari sirah Rasulullah s.a.w. yang membentuk pemerintahan Islam di Madinah untuk melaksanakan keadilan dan melindungi hak-hak rakyat pelbagai kaum dan agama bagi melaksanakan tuntutan Islam sebagai satu-satunya agama Allah yang menjamin keadilan dan kesejahteraan selaras dengan perutusan Islam sebagai agama rahmatan lil ‘alamin.

Respons saya lebih tertumpu kepada ulasan “Hamba” kerana beliau cuba membawa kefahaman yang menyeleweng dengan menggunakan hujah-hujah yang begitu mengelirukan. “Hamba” cuba mentafsirkan sendiri peristiwa sirah Rasulullah s.a.w. terutama Perjanjian Hudaibiyah, Piagam Madinah (beliau ungkapkan sebagai Pakatan Rakyat Madinah), dan fat-hu Makkah (pembukaan Makkah) yang kesemuanya ditekankan kepada isu kaum atau bangsa. Untuk cuba meyakinkan kefahaman yang menyeleweng itu, “Hamba” menuduh saya kononnya menukilkan Perjanjian Hudaibiyah secara tidak jujur. Dengan penjelasan ini saya harap terpenuhlah hasrat sahabat-sahabat yang meminta saya memberi respons atas ulasan-ulasan mereka yang berkenaan kepada posting saya bersabit peristiwa Hatib bin Abi Balta‘ah yang dihubungkan dengan Jawatankuasa Displin PAS.