Pengertian konsep hikmah
Oleh: MOHD. YUSSOF ABAS
SOALAN: Apakah maksud hikmah yang sangat ditekankan dalam agama dan bagaimana konsepnya? Allah mengatakan sesiapa yang diberi hikmah maka dia telah dikurniakan kebaikan yang banyak, tetapi sesetengah orang mengatakan hikmah itu bijaksana, apa pendapat tuan?
– Mohd. Harun, Perumahan Awam, Pusing, Perak.
JAWAPAN: Kalau kita tinjau dari segi terjemahan dan bahasanya, hikmah itu ialah sebagaimana yang ditafsirkan iaitu bijaksana atau tindakan yang menarik. Sebab itu Allah s.w.t. memerintahkan kita supaya menyeru kepada jalan- Nya dengan menggunakan hikmah, sebagaimana firman- Nya yang bermaksud: Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik. (an-Nahl: 125). Dari sini dapatlah difahami bahawa hikmah itu ialah sesuatu yang sangat menarik dan menawan, ertinya kita disuruh mengguna pendekatan yang boleh mempesonakan dalam urusan dakwah atau sebagaimana yang dikatakan dakwah bilhal (teladan). Tetapi amat dikesali ramai umat Islam yang tidak berpuas hati kalau mereka tidak dapat menggunakan cara mereka yang penuh dengan perasaan dan kebencian terhadap orang lain dan mereka meninggalkan langkah pertama ini (dakwah bilhal).
Ini amat dikesali kerana mereka jauh sekali menggunakan tingkatan yang kedua, cara yang dianjurkan oleh agama iaitu pengajaran yang baik dan menarik. Tetapi jika kita membaca al-Quran kita akan dapati firman Allah yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya Kami kurniakan Luqman itu akan hikmah iaitu (menjelaskan erti hikmah) bersyukurlah kepada Allah dan sesiapa yang bersyukur itu sesungguhnya mensyukuri dirinya sendiri. (Luqman: 12)
kemas
Ini adalah kerana pendekatan syukur yang diambil itu sebenarnya akan kembali kepada dirinya sendiri, bukan kepada orang lain, begitu juga sebaliknya. Sebab itu Nabi ada bersabda yang bermaksud: Jangan kamu mencerca bapa kamu. Lalu ada sahabat yang bertanya, siapa pula yang sanggup mencerca bapanya sendiri? Jawab baginda: Iaitu bila ada sesiapa di antara kamu mula mencerca dan mencela bapa kepada saudaranya, maka bapanya pula akan menjadi bahan cercaan saudaranya pula, itulah erti seseorang itu mencerca bapanya sendiri. (Maksud hadis).
Sebagai contoh, seorang ibu bapa yang berhikmah itu dapat mendidik anaknya menjadi manusia yang baik, cemerlang, dan gemilang. Ini kerana pendekatan dalam pendidikannya adalah cara yang penuh hikmah, matang, dan bijak. Umpamanya, dia selalu menyanjungi anaknya dengan pujian dan kata-kata semangat, dan nasihat yang baik, dan pantang mereka menggunakan kata-kata yang buruk dan keji terhadap anaknya sendiri. Kita selalu mendengar mereka (ibu bapa) berkata “anak bertuah” bila terlampau ingin memarahi anaknya.
Demikian juga pemimpin yang berhikmah akan menggunakan cara yang penuh berhikmah dalam membuat sesuatu keputusan, sekalipun ada yang tidak berpuas hati dengannya, seperti perjanjian yang diambil oleh Rasulullah semasa Perjanjian Hudaibiah dulu, sehingga Umar datang bertanyakan Baginda dengan katanya: “Apakah engkau bukan Nabi?” Jawab Baginda: “Ya! Memang saya adalah Nabi yang diutuskan.” Kata Umar lagi, kenapa kita menerima syarat mereka yang berat sebelah dan menguntungkan mereka itu? Jawab Baginda lagi: “Aku yakin bahawa Allah tidak akan mengecewakan aku.” Jadi tahulah Umar bahawa keputusan yang diambil adalah mendapat restu daripada Allah, sebab itu Umar pun diam dan menerima keputusan yang dibuat sekalipun tidak dapat memenuhi perasaannya tetapi ternyata perjanjian itu banyak menguntungkan umat Islam selepas itu.
Begitu juga contoh negara kita berbanding sebuah negara di Timur Tengah. Kita hampir setengah abad dalam keharmonian, aman bahagia, sedangkan negara tertentu sudah melebihi setengah abad, sehingga kini dalam penderitaan dan kacau-bilau. Ini kerana mungkin pendekatan yang diambil oleh orang tua-tua kita agak lebih berhikmah dan bijaksana sedangkan pendekatan mereka kurang menepati cara yang berhikmah. Allah telah memberi jaminan bahawa mereka yang dikurniakan hikmah itu pasti akan beroleh kebaikan yang banyak dan berlipat ganda.
Oleh itu bertindaklah mengikut cara yang penuh hikmah iaitu pendekatan kasih sayang, sanjungan, dan berbaik-baik, berharmoni serta berterima kasih kepada mereka yang berjasa kepada kita, terutama yang menjadikan atau melahirkan dan juga mendidik kita. Sebab itu Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Siapa yang tidak tahu mensyukuri manusia lain pasti dia tidak akan mensyukuri Tuhannya. Dan sabdanya lagi yang bermaksud: Siapa yang tidak pernah mengasihi, dia tidak akan dikasihi orang. (Maksud hadis). Demikian juga firman Allah yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kejahatan dia akan dibalas dengannya (kejahatan) juga. Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Balasan perbuatan jahat itu ialah kejahatan yang sama sedangkan mereka yang berlapang dada memaafkan (kesalahan orang) dan berbuat baik (kepadanya) maka pahalanya tetap dalam jaminan Allah, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang zalim. (as-Syura: 40). Wallahualam.
Kebebasan beragama
SOALAN: Apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan beragama menurut pandangan Islam? Tidakkah kejahatan itu dimurkai Allah? Sedangkan menurut ilmu akidah setiap yang berlaku itu dengan kehendak daripada Allah, adakah Allah mengehendaki yang buruk dan keji pula?
– Zainal Abidin, Kuching, Sarawak.
JAWAPAN: Inilah jalan petunjuk Islam yang amat telus, lurus dan saksama sehingga sukar untuk kita memahaminya dengan akal tanpa ada petunjuk dan nur hidayah daripada Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: Siapa yang hendak beriman boleh beriman dan siapa yang hendak menzalimi diri sendiri dengan kufur, bolehlah dia kufur dan ini bererti dia menzalimi diri sendiri. (surah al-Kahfi: 29). Ini adalah kerana kebebasan untuk membuat pilihan telah diberikan sepenuhnya kepada manusia. Demikian juga dengan firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kesesatan. (surah al-Baqarah: 256)
Dalam hal ini Allah sangat murka terhadap mereka yang cuba menggunakan kekerasan dalam agama sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: Adakah kamu sanggup memaksa manusia supaya mereka beriman (semuanya). (surah Yunus: 99). Ini adalah untuk mereka yang di luar agama, manakala kepada mereka yang sudah berada di dalam agama-Nya juga tidak dipaksa-Nya melainkan sekadar kemampuannya sahaja.
Allah berfirman yang bermaksud: Allah tidak mempertanggungjawabkan sesiapa melainkan sekadar kebolehan dan kemampuannya, bagi seseorang itu apa yang diusahakannya dan ke atasnya (balasan) apa yang diusahakannya (daripada kesalahan dan kejahatan). (surah al-Baqarah: 286).
Dalam perkara ini Allah sendiri tidak suka memaksa sesiapa untuk beriman kepada-Nya kerana mereka yang dipaksa itu, tentulah melakukan sesuatu itu tanpa kerelaan hatinya, dan pastilah Allah tidak akan menerima keimanan atau amalan yang tidak ikhlas kepada-Nya.
Inilah sebabnya Allah tidak membenarkan untuk memaksa sesiapa pun dalam urusan agama-Nya yang maha suci, sedangkan Dia mampu melakukan sesuatu itu mengikut kehendak-Nya. Selain itu, Dia juga bebas melakukan apa saja dalam kerajaan-Nya tanpa ada sesiapa yang dapat menghalang-Nya. Seperti firman-Nya yang bermaksud: Apa jua jenis rahmat yang dibuka Allah kepada manusia, maka tidak ada sesiapa yang dapat menahannya, dan apa jua yang dipegang-Nya, maka tidak ada sesiapa yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) bahawa Dialah yang Maha Mulia lagi bijaksana. (surah Fatir: 2).
Dan firmannya lagi yang bermaksud: Apa sahaja yang dikenakan (dikurniakan) dikau dengan kebaikan maka ianya daripada Allah, dan apa sahaja yang menimpamu daripada kejahatan, maka ianya daripada dirimu sendiri. (surah an-Nisa: 79).
Sabda Nabi dalam doanya yang bermaksud: Tuhanku, tidak ada sesiapa yang dapat menghalangi-Mu, bagi apa yang Engkau kurniakan, dan tiada sesiapa yang dapat memberi segala apa yang Engkau tahan dan halangkan, dan di tangan-Mulah segala kebaikan. Engkau Maha Berkuasa atas segala-galanya.
Apa yang kita tahu bahawa sesuatu itu (buruk atau baik) tidak akan berlaku melainkan dengan pilihan dan kehendak-Nya, tetapi yang buruk dan keji itu tidak boleh (haram) dinisbahkan (dibangsakan) kepada-Nya. Apa lagi di tempat terbuka, selain daripada tempat belajar dan mengajar. Sedangkan yang baik itu boleh dibangsakan kepada-Nya, seperti firman di atas tadi. Inilah adab yang diajar oleh agama, sedangkan segala sesuatu itu datang daripada-Nya.
Seperti firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa segala sesuatu itu datang daripada Allah s.w.t, maka kenapalah mereka itu payah untuk memahami percakapan (pengajaran dan nasihat). (surah an-Nisa’: 78). Ini kerana sesuatu yang berlaku itu tidak akan keluar daripada batas keadilan-Nya semata-mata.
Ini semua disebabkan tidak ada kezaliman dalam kamus ketuhanan, yang mana ia (kezaliman) adalah sesuatu yang mustahil dan pasti tidak boleh berlaku, kerana maha suci (mustahil) Allah bersifat dengan kezaliman, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) semua yang ada di langit dan di bumi adalah untuk Allah s.w.t. Dia telah menetapkan ke atas diri-Nya rahmat. (surah al-An’am: 12).
Sebab itulah baginda ada bersabda dalam hadis kudsi yang bermaksud: Allah berfirman, wahai hamba-Ku! Sesungguhnya, Aku haramkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku haramkannya di antara kamu, maka jangan kamu menzalimi sesama kamu. (Riwayat Muslim).
Sebab itu jangan ada sesiapa beranggapan bahawa Tuhan akan menzalimi hamba-Nya. Sekiranya terpaksa menyeksa mereka yang menderhakai- Nya, atau mencuba sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan bermacam-macam bala bencana, lantaran sesuatu itu akan berlaku dengan keadilan dan rahmatnya semata-mata, kerana kebesaran dan kebebasan-Nya yang mutlak, tanpa boleh dipersoalkannya lagi. Demikianlah keagungan Allah . Inilah fahaman yang selamat dan boleh diterima. Wallahualam.