1. Umumnya, kemenangan hatrik yang diraih oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil mutaakhir ini selayaknya membuatkan ahli dan pemimpin mereka bergembira sebagaimana gembiranya ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat yang juga pernah mencipta hatrik dalam pilihanraya kecil sebelum ini. Secara agregat kini kedudukan Pakatan Rakyat 8 - 8 Barisan Nasional dari 16 kali pilihanraya kecil pasca pilihanraya umum 2008.
2. Namun saya tidak pasti apakah kegembiraan yang diraikan oleh Barisan Nasional hari ini benar - benar satu kegembiraan yang serupa dan sama dengan kegembiraan yang pernah diraikan oleh Pakatan Rakyat. Apa yang boleh saya sebutkan disini ialah kegembiraan yang dirasai oleh Pakatan Rakyat adalah dari pengorbanan ahli dan kesungguhan pemimpinnya yang berbalas dengan kemenangan yang dicapai sementara kegembiraan Barisan Nasional pula setelah mereka terpaksa melaburkan jutaan ringgit guna menaja projek - projek mee segera demi meraih undi.
3. Hari ini masih terasa bahang kesedihan yang melanda skuad Pakatan Rakyat terutamanya PAS dengan kekalahan berganda yang dialami. Namun rata - rata ahli serta pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat menatah bicara semangat untuk terus bangun memperbaiki kelemahan, membetulkan kesilapan dan melonjak prestasi sebagai persiapan gigih mendepani pilihanraya umum akan datang. Alhamdulillah, ahli, petugas dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak lemah semangat dan patah hati.
Firman Allah swt :
و كأين من نبي قاتل معه ربيون كثير فما وهنوا لما أصابهم في سبيل الله و ما ضعفوا و ما استكانوا و الله يحب الصابرين
و ما كان قولهم إلا أن قالوا ربنا اغفرلنا ذنوبنا و إسرافنا في أمرنا و ثبت أقدامنا وانصرنا على القوم الكافرين
فأتىهم الله ثواب الدنيا وحسن ثواب الأخرة و الله يحب المحسنين
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi [terdahulu] telah berperang [berjuang] dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan [ugama] Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk [kepada musuh] dan [ingatlah], Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.
dan tidaklah ada yang mereka ucapkan [semasa berjuang], selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami [dalam perjuangan]; dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang ingkar.
Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia [Kemenangan dan nama yang harum], dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya [Nikmat syurga yang tidak ada bandingannya]. dan [ingatlah], Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
Surah Aali Imran : 146 - 148
4. Memahami matlamat dan objektif perjuangan yang kita dokong, insyaallah kesedihan, kekecewaan, kepiluan, keresahan dan kemurungan tidak akan dihidapi oleh seorang pejuang. Sebaliknya kekalahan demi kekalahan yang dialami hanyalah mendorong seluruh ahli dan pimpinan parti bermuhasabah [ post mortem ], mua'ahadah [ memperbaharui ikrar ] dan mua'aqabah [menghitung diri].
5. Mengakui kesilapan dan kelemahan tidak menghilangkan bisa seorang pejuang sebagaimana tidak tawar bisa siular dek hanya kerana menyusur akar. Pejuang selayaknya bangkit dengan penuh motivasi untuk mengatur langkah berikutnya dengan optimis bahawa perjuangan Islam yang didokong ini tidak mempunyai istilah kalah di dalam kamus perjuangannya. Malah apa yang ada ialah samaada menang ataupun syahid.
6. Kepada rakan - rakan pemuda, suka saya tegaskan kepada semua EXCO Dewan Pemuda PAS Malaysia, negeri dan kawasan agar bangkit dan meletakkan diri kalian pada 5 elemen penting beraksi di medan perjuangan :
* Proaktif
* Agerasif
* Sensitif
* Responsif
* Kreatif
7. Kemenangan masih tidak berpihak kepada kita melalui persaingan pilihanraya antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional. Namun unjuran undi sokong bagi pihak PAS secara umumnya tidak merosot berbanding pencapaian sebelum. Tinggal lagi PAS masih tertinggal jauh dalam usaha menambah pemilih baru agar ia dimaktubkan di dalam daftar pemilih yang sah untuk membawa pulang kemenangan selesa. Dewan Pemuda PAS dan seluruh warganya disemua peringkat mesti memberi tumpuan serius dalam perkara ini.
8. Siri penerangan untuk menyalurkan risalah perjuangan mesti dipelbagai. Saya lihat secara umumnya PAS dan Pakatan Rakyat masih banyak bergantung kepada ceramah umum. Bahkan ruang capaian maklumat juga terhad. Sebagai contoh pimpinan PAS menyampai ceramah mengenai PAS kepada orang - orang PAS di dalam markaz PAS dan akhirnya risalah perjuangan dibawa tidak melepasi sempadan sendiri.
9. Selain memaksimakan penggunaan media baru, kita mesti melihat bagaimana sempadan daerah yang tidak dilingkungi jaringan cyber atau kelompok pengundi yang tidak tercapai oleh tangan mereka untuk menjelajah rangkaian website. Mereka banyak bergantung kepada maklumat televisyen, radio dan akhbar arus perdana. Selepas mengekalkan tradisi sarana penerangan parti, sayugianya PAS dan Pakatan Rakyat melalui sayap pemudanya meneroka kaedah dan formula penerangan yang lebih berkesan.
10. Akhirnya, saya naqal kembali bahawa perjuangan yang kita dokong dan ranjau yang kita lalui ini adalah suatu yang sangat sukar dan getir. Tidak mudah untuk sampai kedestinasi. Ramai yang kecundang, putus asa, kecewa dan berpaling tadah kerana jerih menekuni perjalanan yang terlalu jauh. Justeru itu, mereka yang menyertai perjuangan ini mesti bersedia fizikal, mental dan spiritual untuk menerima realiti atau tabiat perjuangan ini. Kesukaran untuk gapai kemenangan sememangnya telah diperakui oleh Allah swt : bermaksud :
Jika sekiranya perjuangan ini mudah mencapai kemenangan dan dekat destinasinya nescaya ramailah orang akan mengikut kamu [ wahai Muhammad ] akan tetapi perjuangan ini jauh perjalanannya dan sukar dirasakan oleh mereka [untuk mencapai kemenangan]
Surah at Taubah : Ayat 42
Namun Rasulullah saw menjanjikan kebahagiaan buat mereka yang istiqamah bersama perjuangan Islam ini biarpun sukar, dicaci nista dan dimaki hamun.
بدء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بدء فطوبى للغرباء
Islam bermula dalam keadaan asing. Kelak ia akan kembali asing sebagaimana ia bermula maka berbahagia bagi [ mereka yang tetap berpegang dengan Islam walaupun dianggap] orang yang asing.
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia