Tuesday, April 05, 2011

PASANGAN LAGI!

Memilih pasangan hidup bukanlah satu perkara mudah. Pemilihan pasangan bukan seperti memilih ikan kembung di pasar. Pemilihannya perlu teliti dan cukup berhati-hati.
Namun begitu, begitu, bukan semua orang yang berhati-hati memilih pasangan itu berjaya memperoleh apa yang dihajatinya. Ada sahaja halangan dan rintangan yang menidakkan pemilihannya. Ada disebabkan kerenah pasangannya itu sendiri. Ada juga disebabkan kerenah keluarganya. Ada juga disebabkan pada saat-saat akhir hatinya menjadi tawar untuk meneruskan usaha pemilihan Ada yang akhirnya ingin mengambil keputusan untuk menyendiri sehingga satu tempoh tertentu. Tidak perlu serius berfikir tentang itu kerana visi kehidupan untuk menjadi insane cemerlang itu lebih utama daripada segalanya.
Ada orang yang berjaya mendapatkan pasangan yang menjadi pilihannya. Ada yang hidup cukup bahagia beranak pinak. Ada yang bahagia seketika dan kemudian kehidupan berkeluarganya penuh huru hara. Ada yang kekal dan ada yang mengambil jalan pintas, bercerai sahaja.
Memilih suami atau memilih isteri adalah hak setiap orangnya. Namun dalam banyak kitab fiqh Islam cuma menyebut pihak lelaki seharusnya membuat pilihan bijak untuk memilih seorang gadis sebagai pasangan hidupnya. Al-Qur’an dan Hadis Rasulullah s.a.w. memberi anjuran untuk lelaki memilih pasangannya.

1. Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan musyrik kecuali jika mereka beriman. Sesungguhnya hamba sahaya yang beriman lebih baik dari perempuan musyrik, meskipun dia menakjubkan kamu dan jangan kamu kahwinkan (perempuan muslim) dengan laki-laki musyrik, kecuali jika mereka beriman.
[Al-Baqarah: 221]


2. Pilihlah tempat air mani kamu, dan nikahilah orang-orang yang sekufu
(HR Ibnu Majah, Daruquthni dan Imam Al-Hakim dari Aisyah r.a.)

3. Dari Ibnu Adi dan Ibn Asakir dari Aisyah, “ Pilihlah untuk tempat mani kamu, sesungguhnya kaum wanita itu akan melahirkan anak menyerupai saudara laki-lakinya atau saudara perempuannya.

4. Carilah wanita-wanita yang jauh (kerabatnya) dan janganlah engkau memilih yang dekat hubungannya.

Ada banyak anjuran Rasulullah s.a.w. agar lelaki Muslim membuat pilihan. Pilihlah wanita yang teguh agamanya. Itulah kesimpulan paling mudah untuk pemuda Islam membuat pilihan. Kemudian baharu dinilai keturunannya, kekayaannya dan akhirnya kecantikannya.

Mengapa sedemikian banyak anjuran agar pemuda Islam membuat pilihan? Tidak perlu diragui lagi bahawa untuk membina kehidupan yang baik itu memerlukan perancangan yang sangat teliti. Sementelahan lagi, memang diakui agar sukar untuk mencari muslimah yang sangat sempurna.

Lelaki yang sempurna itu banyak, sedangkan perempuan yang sempurna itu tidak ada kecuali Aisyah isteri Fir’aun, Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhamad.
[HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Ahmad dari Abu Musa al-Asy’ari

Kiranya pemuda Islam punyai banyak dorongan untuk memilih pasangannya, apakah pemudi Islam tidak perlu untuk membuat pemilihan? Adakah memadai sahaja untuk tunduk dan menerima setiap pinangan yang datang? Jika itu tindakan yang akan dibuat oleh pemudi Islam, adakah mereka yakin mereka bahagia dalam sejarah kehidupan berumahtangga mereka?

Pemudi Islam itulah yang sangat perlu membuat pilihan. Bukankah kehidupan berumahtangga itu satu alam yang cukup panjang untuk seorang wanita. Dan kerana itu mereka harus benar-benar yakin keupayaan pemuda yang akan menjadi suaminya.


Pilihlah tempat air mani kamu, dan nikahilah orang-orang yang sekufu
(HR Ibnu Majah, Daruquthni dan Imam Al-Hakim dari Aisyah r.a.)

Wanitalah juga perlu tahu siapakah lelaki selayaknya untuk dia menerima mani seseorang lelaki. Kerana dari situlah bermulanya satu kehidupan untuk satu generasi. Jika dia menerima mani daripada seorang lelaki pendayus dan penagih dadah, tentu sekali generasi yang dilahirkan bukanlah generasi yang berkualiti. Zahirnya memiliki anak tetapi tidak membawa apa-apa erti dalam kehidupan. Anak yang diinginkan mendinginkan mata lalu mencucuk mata. Anak yang diinginkan menyejukkan hati tetapi membahangkan perasaan dan menghancurkan hati.

Dengan itu, seperti juga seorang pemuda, seorang gadis juga perlu meneliti ketinggian agama lelaki pilihannya, kesihatan tubuh badannya, kemuliaan keturunannya dan keupayaan kewangannya sebelum si gadis bersetuju untuk menikahinya. Namun yang sangat utama daripada setiap kategori itu itu ialah agama si lelaki itu. Apalah sangat upayanya menilai tingginya agama seseorang kecuali ukuran zahir. Seorang lelaki yang menyempurnakan solat adalah lelaki yang baik. Akan menjadi lebih baik jika lelaki itu menyempurnakan solatnya dalam berjemaah. Terlebih baik jika lelaki itu menyempurnakan solat berjamaah dan segala solat sunat yang dilakukan oleh baginda s.a.w. Teramat baik daripada penghayatan solatnya itu, lelaki itu menampilkan budi bahasa yang luhur, kesusilaan yang luhur dan tampil kebijaksanaan dan hemah dalam percakapannya. Lahir sifat peribadinya yang penyabar, penyayang dan punya visi hidup yang jelas.

Memang setiap orang menginginkan pasangan yang terbaik, tetapi apakah setakat berhajat kepada kebaikan sedangkan diri sendiri tidak mahu berusaha menjadi insan yang terbaik. Bukankah di hujung hadis itu disebut sebanding (kufu) sebagai syarat membahagiakan sesebuah rumahtangga. Kufu dalam keIslaman, kufu dalam keimanan, kufu dalam akhlak, kufu dalam pemikiran, kufu dalam tindakan. Dan juga dalam hal ini, Allah menyebut dengan jelas persoalan yang sama.

Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki yang buruk dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk, sedangkan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.
(An-Nur: 26

Pemuda dan pemudi muslim harus berusaha membaiki diri. Jadilah insan yang soleh dengan melaksanakan titah perintah Allah, menjaga kehormatan diri dan membanyakkan doa mohon kesejahteraan diri. Sebagai manusia, setiap sesuatu ada takdirnya

Sesungguhnya Allah menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)
[Al-Qamar:49]

Berusaha untuk mendapatkan jodoh yang baik. Janganlah berputus asa untuk mendapatkan rahmat Allah kerana rahmat Allah itu amat luas dan mulia.

Kejarlah apa yang mendatangkan manfaat untukmu dan mintalah bantuan kepada Allah. Janganlah menyerah dan berkata,” Seandainya aku melakukan begini pasti akan jadi begini tetapi katakanlah Allah sudah mentakdirkan dan apa yang Dia kehendaki pasti akan dilakukannya (HR Abu Hurairah).

Allah dengan kebesaran-Nya menjadikan manusia berpasangan sepanjang kehidupan. Allah dengan kebesaran-Nya menjadi manusia keseorangan sepanjang perjalanan. Allah dengan kebesaran-Nya menjadikan manusia beranak pinak. Ada anak yang sempat menghadapi ibu bapanya nazak sakratulmaut. Ada anak-anak yang pergi dahulu untuk menunggu ibu bapanya di pintu Syurga. Allah dengan kebesaran-Nya memberi peringatan yang sangat jelas kepada manusia.

Harta dan anak-anak itu perhiasan penghidupan dunia, tetapi amal-amal soleh yang tinggal (buahnya) itu lebih baik di sisi Tuhanmu tentang ganjarannya dan tentang harapannya
(Al-Kahfi:46)
Maha Suci Allah yang menjadikan segala sesuatu dan mentakdir baik buruk setiap kehidupan hamba-Nya.