Monday, March 25, 2013

Sifat Buruk Orang Melayu ~ " Malay Sketches", Frank Swettenham

Sifat Buruk Orang Melayu Menurut Pandangan Frank Swettenham a. Dalam karya yang terkenal, " Malay Sketches", Frank Swettenham telah memberi gambaran tentang orang Melayu di zamannya mengikut perspektif dan pengalaman peribadi beliau mungkin sejak tahun 1871, iaitu kali pertama beliau berada di Tanah Melayu. Pandangan Swettenham tentang orang Melayu ini menjadi bicara utama dalam bab pertama naskah beliau. Bab tersebut diberi tajuk "The Real Malay". Naskah "Malay Sketches" ini dihasilkan pada tahun 1895, maka boleh disimpulkan bahawa orang Melayu yang digambarkan dalam naskah ini adalah hasil pengalaman beliau hidup dalam alam melayu selama 24 tahun. b. Dalam membicarakan perihal orang melayu, Frank Swettenham tidak mengambil sikap populis dengan hanya menceritakan apa yang baik, sebaliknya beliau turut menyingkap sisi gelap masyarakat melayu pada zaman itu. Antara tabiat atau sifat buruk orang Melayu adalah seperti berikut: 1. Orang Melayu suka meminjam wang, tetapi liat untuk membayar balik. 2. Orang Melayu suka mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan mengumpat. 3. Suka mempercayai hal yang karut marut. 4. Orang Melayu suka berjudi, bersabung ayam dan perkara yang seumpamanya. 5. Tidak mudah menerima sebarang perubahan sampai bila-bila. 6. Orang Melayu adakalanya malas, malah perkara yang rutin juga dilalaikan. 7. Orang Melayu tidak menghargai masa. 8. Rumah orang Melayu kadang-kadang dilihat tidak kemas, malah kotor. 9. Orang Melayu suka berdendam, dan jika dendam itu tidak dapat dibalas pada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. 10. Orang Melayu suka mengamuk, lebih-lebih lagi wanita. 11. Walaupun orang Melayu suka berbudi, mereka sebenarnya mengharapkan balasan. 12. Orang Melayu suka berpuak-puak. 13. Orang Melayu amat menitik beratkan soal darjat serta keturunan, terutama dalam soal perkahwinan. KESIMPULAN: Sikap buruk ini walaupun tidak sedap dibaca, ianya harus menjadi pengajaran kerana inilah apa yang dilihat oleh orang luar. Akan tetapi mungkin telah ada di antara sikap buruk tersebut yang sudah pun terhakis dari masyarakat Melayu kini. Senarai "buruk" ini harus menjadi pengajaran bagi orang Melayu zaman mutakhir dalam meningkatkan sahsiah mereka agar dipandang tinggi, jangan terlalu dibuai oleh syair dan gurindam akan keindahan bangsa Melayu, tetapi harus tegar memperbaiki diri bila ditegur. والله أعلم بالصواب

Blog Archive