Thursday, November 21, 2013

Tiada siapa mahu bawa PAS keluar PR....jangan fitnah (21/11/13)


Sejarah PAS bekerjasama dengan parti-parti politik lain untuk menjatuhkan BN dan dahulunya Perikatan bukanlah sesuatu yang baru. Seawal Pilihanraya Umum 1959 iaitu yang pertama buat Malaya Merdeka PAS telah bekerjasama dengan Parti Negara pimpinan Allahyarham Dato Onn Jaafar sehingga membentuk kerajaan campuran di Negeri Terengganu. Malah dalam Dewan Rakyat ketika itu walaupun PAS memiliki lebih kerusi, dan Parti Negara hanya satu melalui Dato Onn di Kuala Trengganu, PAS dan parti-parti pembangkang lain telah memberi laluan kepada Dato Onn untuk menjadi Ketua bagi parti-parti pembangkang di dewan (ketika itu belum diwujudkan jawatan Ketua Pembangkang lagi). Begitulah seterusnya dalam PRU-PRU berikutnya sehingga ada Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Barisan Rakyat dan kini akhirnya Pakatan Rakyat. “Tahaluf Siyasi” bukanlah sesuatu yang baru dalam PAS dan ia terus diterima pakai. Benarkah ada kelompok dalam PAS mahukan PAS keluar dari Pakatan Rakyat sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak. Demi untuk meraih kemenangan dan menjatuhkan kumpulan tertentu maka apa sahaja alasan yang dikira panas dan boleh mendatangkan kerosakan maksima (walaupun fitnah), akan digunakan oleh mereka yang ketandusan akhlak demi mahu menang. Malang sungguh. Saya percaya bagi PAS dalam kontek suasana politik di Malaysia, “Tahaluf Siyasi” merupakan satu alat penting bagi menjana kemenangan ke arah merealisasikan cita-cita perjuangannya. Kerjasama dalam PR ternyata membawa hasil yang lumayan buat perjuangan PAS yang sebelum ini tidak dapat dikecapi apabila menggunakan “alat” lain. Lalu semua akur dan menerima bahawa ianya wajar dimanfaatkan. Ada yang mengatakan bahawa Ulamak dalam PAS menolak PR kerana itu ada resolusi dalam Multaqa Ulamak Se Malaysia di Kedah September lepas yang menyerus agar disemak semula hubungan PAS dalam PR.Ini bagi mereka yang punya niat jahat adalah bukti mengapa calon-calon Ulamak atau yang Pro Ulamak perlu ditolak dalam pemilihan Muktamar PAS kali ini. Kerana itu perlu “KEKAL” jangan “UBAH”. Benarkah begitu? Salah satu resolusi Multaqa berkenaan berbunyi: Multaqa Ulamak Se-Malaysia turut mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar'iyyah. Dimanakah pemahaman mereka sehingga membuat kesimpulan bahawa ada kelompok yang mahu membawa PAS keluar dari PR berdasarkan resolusi ini semata-mata? Kononnya "group" ulamak akan seret PAS keluar PR!? Ternyata bagi saya resolusi ini jelas menandakan bahawa Ulamak PAS mahu PAS terus kekal dalam PR dan memperkasakannya bukan sebaliknya. PAS sebagaimana DAP dan PKR sudah pasti mahukan kerjasama ini membawa untung dan manfaat buatnya. Lantaran itu bagi PAS untuk memastikan alat “PR” ini begitu maka ia perlu benar-benar menepati kepentingan PAS khasnya kepentingan Islam. (DAP pernah keluar dari Barisan Alternatif kerjasama PAS, DAP dan Semangat 46 apabila mereka lihat pakatan itu tidak menguntungkan mereka) Itulah yang mahu disuarakan oleh resolusi in yang telah diputarbelitkan oleh sesetengan pihak. Salahkah kita apabila mahu mempertahankan kepentingan Islam? Resolusi berkenaan jelas menyebut: “menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar'iyyah” bukankah perkara-perkara seumpama ini merupakan tugas dan tanggungjawab Majlis Syura dan Dewan Ulamak kita. Yakinlah PAS akan terus kekal di dalam PR kerana itu kita mahu pastikan kepentingan PAS sentiasa terpelihara di dalamnya. Bukankah syarat-syarat Tahaluf itu ada 3 iaitu: 1. Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip 2. Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan 3. Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka. Ternyata resolusi yang dimaksudkan cuba menekankan agar syarat-syarat ini terus terpelihara tidakkah begitu? Kedudukan PAS di dalam PR semakin kukuh dan Ulamak lah yang akan ke hadapan memastikannya begitu! Kita tidak mahu PAS sekali-kali terus mencair atau meluluhkan dasar dan prinsipnya semata-mata kerana mahu duduk dalam PR atau atas tekanan pihak tertentu. Dasar dan prinsip PAS perlu terus kekal dan diperkasakan. Dalam bahasa mudah, apabila kita berkawan kita mahu kawan-kawan menghormati dan menerima kita seadanya. Begitu juga sebagai balasannya kita akan beri hormat dan menerima kawan-kawan kita itu seadanya mereka. Sebelum ini tiada pihak pun yang membangkitkan isu ini, iaitu kepentingan memelihara kekuatan dalaman PAS. Keprihatinan Ulamak ternyata terkehadapan dalam memastikan PR terus relevan buat PAS. Kesimpulannya tiada pihak yang mahu bawa PAS keluar dari PR. Resolusi Multaqa Ulamak Se Malaysia ini adalah bukti betapa Dewan Ulamak dan Ulamak PAS mahu PAS terus kekal dalam PR dengan sendi dan kekuatannya terus terpelihara. Jangan jatuh dengan perangkap mereka yang mahu merosakkan kesatuan dan perpaduan dalam Jemaah. Selamat bermuktamar.