Sunday, November 03, 2013

TajDid


TajDid 1.1 Pengenalan Islam adalah sebuah agama yang suci dan sungguh ia adalah sebuah agama yang mendapat keredahan dari Allah SWT. Berikut terdapat beberapa ayat Al-quran yang menyebut tentang ‘Islam’, iaitu : ‘Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.’ (2:208) ‘Tidak ada paksaan dalam menganut agama (Islam), sesungguhnya telah jelas perbezaan antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barang siapa yang meninggalkan Taghut dan beriman kepada Allah, maka sungguh, dia telah berpegang teguh kepada tali yang sangat kuat dan tidak akan putus. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.’ (2:256) ‘Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam…’ (3:19) ‘..pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu..’ (5:3) Islam adalah agama yang telah diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan sejarah juga telah melakarkan pelbagai peristiwa suka duka bagaimana Rasulullah SAW membawa Islam itu dengan begitu teratur sekali sehingga suatu ketika dahulu Islam telah berjaya menjadi agama yang sangat dihormati oleh seluruh dunia apabila berjaya menguasai sehingga 2/3 daripada dunia. Walau bagaimanapun selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam telah menghadapi pelbagai masalah sehinggalah pada masa kini, umat Islam masih terus-terusan mendapat tentangan daripada agama yang lain. Sepertimana firman Allah SWT ; ‘dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka…’ (2:120) Jahanamnya dunia dan manusia hari ini sudah begitu ketara, sama seperti hancur leburnya manusia dan dunia di zaman jahiliah, zaman sebelum kedatangan Rasulullah SAW. Penyembahan berhala, pemujaan akal fikiran, pemujaan pemimpin dan pengabdian diri pada nafsu dan syaitan bukan sahaja dalam kalangan orang-orang kafir tetapi oleh umat Islam itu sendiri. Syariat Islam langsung tidak dipedulikan lagi malah dipersendakan sebagai ketinggalan zaman, kolot, dan tidak bertamadun. Sehinggakan ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang menjadi malu untuk mahu mengaku Islam. Pelbagai cara telah dilakukan dari serangan fizikal sehinggalah serangan mental. Namun Islam masih juga berdiri teguh di atas muka bumi ini. Jatuh bangunnya umat Islam dewasa ini mahupun pada zaman keterbelakang dahulu sebenarnya banyak disemarakkan oleh Kebangkitan Islam yang telah direalisasikan melalui gerakan-gerakan Islam yang telah dipelopori oleh tokoh-tokoh pejuang Islam yang terkenal. Justeru, hasil kerja ini akan mengupas secara terperinci berkenaan dengan pandangan para sarjana tentang ‘Gerakan Islam’ dan mengetahui secara menyeluruh tentang ciri-ciri yang terdapat di dalam sesebuah Gerakan Islam melalui beberapa contoh Gerakan Islam. 1.2 Konsep Kebangkitan Islam Menurut Dr. Yusuf al-Qarawi, beliau tidak dapat mengetahui secara jelas tentang dari mana sebenarnya asal perkataan Ash-Shahwah Al-Islamiyyah yang membawa maksud Kebangkitan Islam ini. Walau bagaimanapun sebagai pengenalannya kini akan disertakan definisi-definisi yang menyentuh secara langsung tentang konsep Kebangkitan Islam mengikut pandangan para Sarjana dunia Islam. Sebagai permulaannya, elok rasanya maksud Kebangkitan Islam itu kita lihat secara satu persatu melalui maksud yang terkandung di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga ; Kebangkitan bermaksud kebangunan, kesedaran yang membawa kemajuan. Manakala Islam pula bermaksud agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh itu Kebangkitan Islam boleh diertikan sebagai satu kesedaran untuk membangunkan agama Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. Kebangkitan Islam dan Gerakan Islam dilihat sebagai satu, oleh itu apabila kita membicarakan tentang Kebangkitan Islam, kita juga secara tidak langsung berbicara mengenai Gerakan Islam. Menurut Muhammad bin Abdul Wahab (1703-1797) iaitu pelopor Gerakan Wahabiyyah, beliau berpendapat bahawa Kebangkitan Islam adalah bangun untuk menghadapi dan menumpaskan penyelewengan yang berlaku akibat ajaran tasawuf dan Tarekat . Beliau menambah lagi tentang konsep kebangkitan Islam dicetuskan apabila wujudnya kegiatan golongan Sufi yang menurut beliau bukan sahaja mengandungi unsur-unsur bida’ah bahkan apa yang lebih penting ianya mengandungi unsur-unsur syirik. Dalam hal ini, beliau amat memandang serius terhadap permasalahan yang berkaitan dengan keruntuhan akhlak umat Islam ketika itu yang terlalu jauh terpesong. Oleh itu tidak ada cara lain lagi selain mengerakan satu gerakan Islam untuk menyelamatkan akidah umat Islam ketika itu. Menurut Al-Syahid Hasan Al-Banna (1906-1948) yang merupakan pemimpin pertama Gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin, beliau berpendapat bahawa sebuah pertubuhan yang dikatakan sebagai Gerakan Islam hendaklah mendukung ajaran Islam yang syumul. Sekiranya hanya bertujuan untuk satu-satu tujuan sahaja seperti dakwah semata-mata, ia bukanlah sebuah Gerakan Islam. Pada masa yang sama, fikrah kemasyarakatan harus juga diberi perhatian. Fikrah ini memperhatikan penyakit-penyakit masyarakat Islam, dan berusaha mencari jalan penyembuhan umat daripada penyakit tersebut. Beliau cuba menterjemahkan kosep Kebangkitan Islam atau Gerakan Islam secara menyeluruh bahawa sesuatu gerakan itu tidak seharusnya bergerak dalam satu-satu aspek sahaja tetapi sebaliknya haruslah bergerak mencakupi keseluruhan hidup dalam Islam, baharulah ia boleh dilihat sebagai kebangkitan Islam secara menyeluruh tanpa membelakangi asas Islam yang sebenar iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Seterusnya kita lihat pula pandangan dari Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengenai konsep gerakan Islam ini. Menurut beliau Gerakan Islam ialah satu gerakan yang membawa pengaruh yang amat besar terhadap kehidupan kaum muslimin yang akan membawa kepada pembaharuan(memperbaharui) rasa keyakinan dan percaya terhadap diri sendiri bahawa Islam mampu menjadi ‘Pengendali dunia’. Beliau cuba menjelaskan bahawa untuk mempastikan keberhasilan terhadap gerakan Islam maka umat Islam seharusnya menanamkan satu kepercayaan dalam diri bahawa hanya agama Islam sahajalah yang layak memimpin dunia ini dan tidak akan ada agama lain yang berhak ke atas pemerintahan dunia selain Islam. Keyakinan seumpama itu sebenarnya adalah kunci utama dalam usaha menegakkan semula agama Islam yang kelihatannya sudah berada jauh kebelakang. Menurut seorang Reformis iaitu Jamaluddin al-Afghani ( ) beliau menterjemahkan konsep kebangkitan Islam sebagai satu tindakan untuk mengembalikan semula kesucian dan martabat agama Islam sebagai agama yang tidak boleh dicampuradukan dengan nilai-nilai dan pemikiran penganutnya. Islam harus dinilai menurut prinsipnya sebagai petunjuk daripada Allah SWT, sedangkan ciptaan pemikiran manusia dan tradisinya tidak boleh dijadikan ukuran untuk menentang prinsip-prinsip Islam. Beliau cuba menjelaskan bahawa martabat dan kesucian Islam itu tidak seharusnya dipengaruhi oleh pemikiran kaum muslimin dalam apa juga hal kerana menurut beliau pemikiran manusia ini seringkali tersasar dan tidak mustahil akan melemahkan proses kebangkitan Islam itu nanti. Oleh itu, harus difahami bahawa Islam itu telah cukup sempurna dan tidak ada lagi yang harus dilakukan untuk menyempurnakannya melainkan mempertahankan kesuciannya dan gerakan Islam adalah platform yang terbaik. Kini kita melihat pula pandangan daripada seorang tokoh Islam yang terkenal di India dan merupakan pengasas Gerakan al-Jama’ah al-Islamiyyah iaitu Sayid Abul A’ala al-Maududi (1903-1979). Menurut pandangan beliau, Gerakan Tajdid ialah satu usaha untuk menghidupkan semula Islam dalam bentuknya yang murni, serta menyusun semula corak hidup dan masyarakat dengan nilai dan prinsip-prinsip Islam yang sebenar. Bagi beliau, terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat secara kritis untuk merealisasikan program Gerakan Tajdid ini – salah satu daripadanya ialah melaksanakan Ijtihad iaitu perlunya menggunakan akal dan fikiran atau pandangan untuk menjawab persoalan dengan lebih mudah. Sungguhpun begitu pandangan al-Maududi ini mempunyai perbezaan dengan apa yang dikemukakan oleh Jamaluddin al-Afghani sebelum ini. Walau bagaimanapun perbezaan pendapat antara sarjana tentang konsep kebangkitan Islam ini tidak harus dilihat dari sudut yang negatif kerana tidak mustahil mereka mempunyai agenda yang tersendiri sebagai usaha untuk menegakkan semula agama Islam di atas muka bumi ini. Seterusnya kita melihat pula pandangan daripada Muhammad bin Abdul Qadir al-Mubarak (1914-..) yang merupakan seorang tokoh pemikir Islam terkenal yang berasal dari Arab Saudi. Berbeza dengan pandangan para sarjana yang sebelum ini, beliau cuba menjelaskan konsep Kebangkitan Islam dengan memberikan penjelasan tentang hakikat Islam yang sebenarnya. Baginya Islam adalah Islam, dan bukanlah Ilmu Kalam, Ilmu Fikah dan Tasawuf. Malah Islam harus merangkumi ketiga-tiganya. Islam seharusnya difahami sebagaimana Islam difahami pada zaman Rasulullah SAW dan pada sahabatnya. Islam adalah sebagai sistem hidup dan gambaran yang menyeluruh bagi setiap yang wujud serta suatu dasar keimanan dan sistem amali yang terpancar berdasarkan gambaran keimanan tersebut. Beliau bermaksud mahu menjelaskan bahawa kebangkitan Islam itu harus berpaksikan ajaran agama Islam yang sebenarnya. Dengan terangkumnya hakikat Islam dalam gerakan Islam tersebut maka tidak akan ada lagi keraguan dalam usaha menegakkannya semula di tengah-tengah manusia yang sedang terumbang-ambing akibat pengaruh luar. Pandangan daripada Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat juga amat menarik untuk dimuatkan bersama dalam mengupas tentang pandangan beliau dalam memahami konsep Gerakan Islam ini. Menurut beliau, Gerakan Islam adalah kesinambungan perjuangan Islam yang dicetuskan oleh Rasulullah SAW. Selepas kewafatan baginda, ia telah diteruskan oleh para sahabat, kemudian oleh para anbia dan seterusnya berkembang biak sehingga ke hari ini. Ia juga merupakan satu kewajiban yang tidak akan ada titik hentinya kerana setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah SWT wajib menunaikan amanah untuk menegakan Islam di muka bumi ini. Bukan sekadar dalam soal ibadah, sebaliknya usaha menegakkan Islam ini harus digembeleng dalam semua bidang termasuk muamalat, cara hidup, ekonomi, politik dan sebagainya. Pandangan beliau ini amat mudah difahami kerana menurut beliau, memelihara mempertahankan, dan memperjuangkan agama Islam sudah menjadi satu kewajiban yang perlu ditanamkan dalam diri setiap umat Islam demi menjalankan amanah dari Allah SWT secara menyeluruh iaitu memenuhi segala tuntutan hidup manusia. 1.3 Ciri-ciri Gerakan Islam Gerakan Islam mempunyai ciri-ciri yang penting dan sangat menarik untuk dibincangkan. Secara keseluruhannya terdapat tiga ciri utama yang boleh menggambarkan segenap barisan gerakan Islam tersebut iatu sesebuah Gerakan Islam itu haruslah dipimpin oleh seorang yang disebut sebagai Mujadid, gerakan tersebut haruslah berpaksikan dua sumber yang paling utama iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, dan harus juga memegang dua prinsip utama iaitu Amal Makruf Nahi Mungkar. Ciri-ciri yang akan dibincangkan ini nanti akan membawa anda semua mengenali secara dekat melalui beberapa contoh Gerakan Islam seperti Gerakan Wahabiyyah, Gerakan Ikhwan al-Muslimin, Gerakan Jamia’at al-Islamiyyah, Gerakan Muhammadiyyah, dan juga Gerakan HAMAS. 1.3.1 Dipimpin oleh Seorang Mujaddid Ciri utama yang harus dikenal pasti dalam sesebuah Gerakan Islam ialah setiap satunya semestinya mempunyai seorang pemimpin yang dikenali sebagai Mujaddid . Mujaddid merupakan perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud pembaharu atau orang yang membuat pembaharuan atau membawa pembaharuan (reformer). Mujaddid yang dimaksudkan ialah seorang pemimpin atau tokoh muslim yang bertaqwa yang lahir pada setiap awal kurun dan kepimpinannya mampu menghidupkan kembali semangat Islam dan membawa kepada pengaruh yang sangat besar kepada dunia. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Islam sentiasa menerima tekanan dan ditindas oleh musuh-musuhnya dan sejarah telah mencatatkan bahawa memang ada seseorang atau segolongan yang akan mempertahankannya. Tetapi amat mengharukan kerana ianya tidaklah sekuat mana, kerana serangan-serangan yang lebih kuat itu maka Islam dan umatnya menjadi lemah dan lebih lemah lagi pada penghujung setiap kurun. Oleh itu dengan Rahmat dan izin Allah SWT, setiap awal kurun maka akan lahir ke dunia seorang yang akan memimpin umat Islam, untuk menghidupkan Islam di tengah-tengah masyarakat. Kelahiran Mujaddid ini digambarkan melalui Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abu Dawud yang bermaksud ; ‘Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini pada setiap hujung seratus tahun, seseorang yang akan memperbaharui agamanya (Islam)’ Kedatangannya bukanlah membawa agama baharu kerana apa yang dibawa olehnya ialah apa-apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, akan tetapi kerana waktu kedatangannya itu agama Allah sudah begitu asing pada masyarakat Islam sendiri, maka ramai yang menyangka bahawa ajarannya adalah ajaran yang baharu. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kedatangannya bertujuan untuk menerangkan kembali agama Islam yang ketika itu telah semakin asing, menghidupkan kembali sunnah Rasulullah SAW yang telah semakin dilupakan oleh umatnya sendiri, menguatkan jiwa taqwa yang yang hampir-hampir mati, menyuburkan kembali semangat beragama yang telah luntur, dan menghubungkan kembali rasa kasinh sayang dan persaudaraan yang hampir putus sesama Islam. Kini marilah sama-sama kita melihat apakah ciri-ciri seorang Mujaddid itu sehingga melayakkan beliau digelar Mujaddid. Para Mujaddid ini adalah golongan ulama’ yang terpilih dalam kalangan ulama-ulama yang begitu ramai pada zamannya. Kelebihan Mujaddid dari ulama-ulama yang lain pada zamannya bolehlah dikatakan seperti kelebihan Rasul dari para Nabi. Hal ini kerana Mujaddid berperanan sebagai benteng kebenaran, dan juga pedang serta perisai umat Islam di zaman itu. Oleh kerana itu Allah SWT telah mengurniakan beberapa kelebihan dan keutamaan kepada seorang Mujaddid jika dibandingkan dengan para ulama yang lain. Antara kelebihannya ialah mempunyai sifat berani yang luar biasa, paling menonjol sifat taqwanya, sangat zuhud terhadap dunia, mempunyai kepetahan bicara dan mempunyai ketajaman mata penanya serta mempunyai pandangan yang jauh, membawa hujah yang sukar untuk dipatahkan oleh pihak musuh, mempunyai pengikut yang agak ramai, dan kepimpinannya memberikan kesan kepada jiwa dan fikiran setiap masyarakat. Seterusnya kita akan menyorot secara ringkas latar belakang para Mujaddid yang telah berjaya membawa pembaharuan terhadap agama Islam bersama-sama gerakan Islam yang telah menjadi saksi perjuangannya. Dalam sejarah Islam, perjuangan untuk menegakkan kemurnian Islam telah dipelopori oleh Khalifah Umar Abdul Aziz (717-720 H). Menurut Abul a’la al-Maududi dan juga Abul Hasan al-Nadwi, Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan Mujaddid Islam yang pertama setelah umat Islam dipengaruhi oleh pemikiran dan cara hidup asing dan telah menyimpang daripada landasan Islam yang sebenarnya. Selepas Khalifah Umar Abdul Aziz, terdapat pula tokoh-tokoh empat Imam Mazhab khususnya Imam Ahmad Hanbal (780-855 H). demikian juga terdapat nama-nama seperti Abul Hassan al-Asyari (873-935 H) dan Abu Hamid al-Ghazali (1058-111 H). nama-nama yang disebutkan di atas ini merupakan tokoh-tokoh gerakan tajdid pada zaman kerajaan Bani Umayyah dan Bani Abbassiyyah. Muhammad bin Abdul Wahab merupakan salah seorang reformis. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Abdul Wahab al-Musyrifi al-Tamimi al-Nejedi yang telah lahir pada tahun 1703 Masihi di kampung Ainah berdekatan dengan Riyad. Beliau telah mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri dalam ilmu fiqh Hanbali, tafsir dan Hadith. Istimewanya beliau ini ialah beliau telah berjaya menghafaz Al-Quran dalam usia yang sangat muda iaitu ketika berusia 10 tahun. Demi cintanya kepada ilmu agama maka beliau telah berhijrah ke seluruh tanah Iraq seperti berkunjung ke Baghdad, Basrah, dan Mausul yang mana disetiap bandar Iraq tersebut beliau bertemu dengan para Syikeh, Ulama dan mengambil ilmu daripada mereka. Muhammad bin Abdul Wahab ini adalah pengasas kepada Gerakan Wahabiyyah yang telah banyak membawa kepada perubahan dan mengembalikan Islam ke jalan yang sebenarnya semasa zamannya. Oleh itu selayaknya beliau ini digelar sebagai Mujaddid. Seterusnya Al-Syahid Hasan Al-Banna yang turut digelar sebagai seorang Mujaddid pada zamannya. Imam Hasan al-Banna adalah anak sulung dalam keluarganya. Beliau telah dilahirkan di Muhmudiyah iaitu salah satu wilayah Buhariah di Delta Nil pada 14 Oktober 1906 bersamaan dengan 25 Syaaban 1324 H. Beliau telah terdidik dalam suasana keluarga keislaman. Pada waktu pagi beliau pergi ke sekolah seperti kanak-kanak yang lain, pada sebelah petang pula beliau akan mengikuti ayahnya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna membuat dan membaiki jam. Kemudian pada waktu malamnya , beliau menggunakan waktu lapangnya untuk mengulang kaji pelajaran. Sementara itu pada waktu subuh beliau membaca serta mengulang-ulang hafazan Al-quran bagi memperkukuhkan lagi hafazannya. Dengan pembahagian masa yang sistematik ini maka tidak hairanlah setelah dewasa Hasan al-Banna telah berjaya menjadi seorang cendikiawan dan pejuang Islam yang terhebat pada zamannya. Imam Hasan al-Banna telah menjalani kehidupan yang penuh cabaran semenjak kecil sehinggalah beliau menemui ajal. Keseluruhan hidupnya ditumpukan kepada perjuangan Islam dan menjaga kebajikan orang-orang Islam. Tokoh Islam yang luar biasa ini telah syahid di tembak pada 12 Februari 1949 di Kaherah ketika berusia 43 tahun. Dalam usianya yang singkat itu, beliau telah berjaya melancarkan satu gerakan Islam yang benar-benar mempengaruhi seluruh dunia Islam yang mana gerakan tersebut telah berjaya menegakkan semula kebenaran dan kekuatan Islam. Berikut dipetik perbualan beliau bersama seorang wartawan yang terdapat dalam buku Al-Syahid Hasan Al-Banna : Pengasas Ikhwan Muslimin, Seorang wartawan bertanya kepada Imam Hasan al-Banna tentang dirinya dan meminta beliau memperkenalkan dirinya sendiri kepada orang ramai. Beliau menjawab seperti berikut : Aku ialah pengembara yang mencari kebenaran, Aku ialah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Aku ialah seorang warganegara yamg mengimpikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni. Aku hanyalah seorang yang memahami rahsia hidup. Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah SWT Tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-NYA. Inilah yang diperintahkan kepadaku dan Aku adalah salah seorang yang menyerahkan diri. Seterusnya kita akan berkenalan pula dengan seorang sarjana dan tokoh Islam yang terkenal dalam abad ke-20 M di India, beliau digelar Mujaddid iaitu tidak lain ialah Abul A’la al-Maududi. Abu al-A’la al-Maududi dilahirkan pada 25 September 1903 di Aurangabad, Hyderabad-Deccan, India. Beliau beketurunan Khwajah Qutbuddin Maududi Chishti. Beliau juga berketurunan Maudud yang dikatakan sebagai salah seorang perawi Hadis Rasulullah SAW yang datang ke India bersama-sama dengan Muhammad bin Qassim. Kewibawan al-Maududi sebagai ulama bertambah kukuh dan bersinar dengan penglibatannya secara aktif dalam politik dan pergerakan Islam. Keunggulan al-Maududi bukan sahaja kerana kemampuannya menghasilkan karya-karya yang ulung tetapi juga disebabkan keunggulan peribadi beliau yang benar-benar menepati ciri-ciri ulama islam dalam ertikata yang sebenarnya. Keistimewaan al-Maududi sebagai ulama mengatasi kebanyakan ulama sebelum, semasa dan selepasnya terletak pada kejayaannya yang bukan sahaja banyak mengeluarkan teori atau pemikiran tetapi juga beliau sendiri telah melaksanakan segala apa yang difikirkan olehnya itu dalam kehidupannya. Oleh itu tidak hairanlah jika sekiranya beliau mencapai kejayaan dalam membawa perubahan masyarakat khususnya dalam bidang politik dan pergerakan Islam. Berikut ingin diselitkan kata-kata agung al-Maududi ketika dipenjarakan dan hampir-hampir dijatuhkan hukuman bunuh kerana dikatakan telah mengecam negara dalam buku Beberapa Aspek Pemikiran Al-Maududi ; ‘ Jika Allah menghendaki, Aku menerima takdir ini dengan gembira sekali. Tetapi jika bukan dengan kehendak-NYA yang Aku akan mati sekarang, ketahuilah bahawa walau apa pun mereka lakukan, mereka tidak akan dapat memberikan sebarang kesan ke atasku.’ 1.3.2 Bersumberkan Al-Quran dan As-sunnah Rasulullah SAW. 3.1 Contoh-contoh Gerakan Islam Kini kita akan melihat dengan lebih terperinci tentang beberapa contoh Gerakan Islam yang telah berjaya merealisasikan kebangkitan Islam dalam tahun-tahun yang kebelakang tetapi sehingga kini telah berkembang dalam keadaan yang sangat luar biasa walaupun mungkin mendapat begitu banyak kesulitan dan tetangan daripada musuh-musuh Islam yang seringkali mencari-cari lubuk kelemahan Islam untuk menjatuhkan malah menghapuskan Islam dari dunia ini. Sungguhpun begitu, impian itu tidak akan sesekali menjadi kenyataan selagi mana Islam masih berada dalam Keredhaan Allah SWT. 3.1.1 Gerakan Wahabbi Gerakan Wahabbi telah diasaskan oleh Syikeh Muhammad bin Abdul Wahab (1703-1791M). sebelum bercerita panjang lebar tentang Gerakan Wahabbi ini, eloklah sekiranya kita mengetahui serba sedikit tentang latar belakang Syikeh Abdul Wahab yang telah menjadi pengasas Wahabiyah ini. Pada tahun 1730 M, bekiau mengikuti ayahnya yang bekerja sebagai Hakim di Harimala. Di Harimala-lah buat pertama kali beliau menjalankan dakwahnya secara terang-terangan namun terpaksa meninggalkan tempat tersebut apabila penduduk di situ tidak mahu menerima dakwahnya. Tentangan daripada penduduk Harimala sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan dakwahnya. Maka beliau kembali ke kampung halamannya di Ainah dan memaparkan dakwahnya kepada Amir Uthman bin Muammar. Hubungan baik antara keduanya telah berjaya terjalin. Bersamanya, Muhammad Abdul Wahab telah menghancurkan kubur, kubah-kubah dan membantunya merejam penzina wanita yang datang kepadanya dan mengakui perbuatannya. Walau bagaimanapun keakraban antara Amir Uthman dengan Abdul Wahab ini telah sedaya-upaya ditegah oleh Amir Ahsa (meminta supaya Abdul Wahab menghentikan dakwahnya). Sungguhpun begitu Abdul Wahab tidak sesekali berputus asa lalu beliau telah menuju pula ke Dariyah. Di sana beliau telah bertemu dengan Amir Muhammad bin Saud yang merupakan seorang raja. Kedatangan Abdul Wahab disambut baik oleh beliau dan telah berjanji untuk menyokong dan melindungi beliau sepanjang keberadaan beliau di sana. Gerakan Wahabbi ini merupakan perintis gerakan pembaharuan yang lahir di zaman keterbelakangan yang mana pemikiran di dunia Islam ketika itu sedang mengalami kebekuan, dan gerakan ini mahu mengajak seluruh umat Islam supaya kembali kepada ideologi Islam yang sebenar dan kembali kepada sumber rujukannya yang asli dan membersihkan pemahaman tauhid yang telah bercampur dengan jenis-jenis kesyirikan. Gerakan ini dilihat begitu aktif membenteras bida’ah dan khurafat yang ketika itu sedang berleluasa disebabkan kejahilan seperti menziarah kubur atau makam para sahabat dan meminta-minta supaya hajat mereka dipenuhi. Amalan bida’ah seumpama ini amat ditegah keras oleh Abdul Wahab. Sama juga dalam hal menentang penyelewengan tarekat-tarekat sufi yang memasukan anasir-anasir luar ke dalam agama yang tidak ditemui sebelum ini. Menurut Abdul Wahab, antara amalan-amalan golongan sufi yang berunsurkan syirik ialah seperti tawasul dan Wasilah, iaitu mencari keampunan Tuhan dan berkat dengan mengunjungi kuburan para wali dan keramat. Akidah Gerakan Wahabiyah ini telah tersebar melalui kerajaan Arab Saudi di negara Nejad sebelum masuk ke Riyad pada tahun 1901. Seterusnya telah berkembang dengan sangat pesat sehingga tersebar di tanah suci Mekkah dan Madinah. Keberhasilan dakwah ini tersebar keluar daripada tanah Arab telah dimungkinkan oleh para jemaah Haji yang datang ke Mekkah Gerakan Wahabbi ini kemudiannya telah banyak mempengaruhi tokoh-tokoh gerakan pembaharuan di dunia Islam setelah itu seperti Al-Mahdiyah, Sanusiyah, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh di Mesir dan tokoh-tokoh gerakan lain di benua India. 3.1.2 Gerakan Muhammadiyah