Friday, August 15, 2008

Perjuangan Nasionalisme Mesir


E-card NasyidFM Here



Pengaruh Perjuangan Nasionalisme Mesir ke atas Perjuangan Pra Kemerdekaan Tanah Melayu.

Sempena Bulan Ogos ini, Malaysia akan menyambut bulan kemerdekaan dan pada tahun ini Malysia akan menyambut bulan kemerdekaan yang kali-ke51, maka eloklah diceritakan sedikit sinopsis hakiki tentang perjuangan-perjuangan orang yang dahulu samaada pejuang-pejunangnya disebutkan dalam lipatan sejarah mahupun tidak.Walaupun ada segelintir nama yang tidak disebutkan ini telah memberikan satu sumbangan yang besar dalam menuntut kemerdekaan di tanah air kita Tanah melayu.
Perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah sebelum perang dunia kedua berlaku di setiap negara terjajah di seluruh dunia. Mesir yang berada di bawah pengaruh penjajahan Inggeris turut menerima gelombang yang sama bahkan telah mencetus satu arus perjuangan yang besar dan mendapat perhatian daripada gerakan-gerakan tuntutan kemerdekaan di seluruh dunia. Gelombang besar itu telah sampai ke Tanah Melayu dan ia dibawa oleh beberapa orang tokoh besar seperti Dr.Burhanuddin al-Helmi dan Ustaz Abu Bakar al-Bakir. Mereka berdua adalah antara tokoh Melayu yang membawa pengaruh perjuangan kemerdekaan dari Timur Tengah khususnya dari Mesir, mereka bergerak secara aktif di atas nama Islam dan perjuangan jihad menentang penjajahan Eropah. Kajian ini akan menyorot kembali gagasan dan sumbangan perjuangan tokoh-tokoh Mesir yang telah mempengaruhi pemikiran tokoh-tokoh Melayu serta perjuangan mereka untuk membebaskan tanahair daripada penjajahan Barat.

Pendahuluan

Golongan agama didapati terlibat secara aktif dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu sebelum perang dunia kedua. Mereka ini mendapat pengaruh daripada perjuangan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam di Mesir secara khususnya. Semangat perjuangan ini ditiup melalui pendidikan madrasah dan penerbitan majalah-majalah. Pada awal kemunculan mereka di Tanah Melayu, kumpulan ini yang mendapat jolokan sebagai Kaum Muda telah menerima tentangan yang hebat daripada orang-orang Melayu sendiri terutama ulama tradisional atau dikenali dengan Kaum Tua, namun akhirnya perjuangan ini telah menggerakkan satu gelombang perjuangan yang besar serta telah mempengaruhi perjuangan kemerdekaan negara daripada penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Kajian ini akan memfokuskan kepada hubungan perjuangan yang dimulakan oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh dengan tokoh-tokoh penggerak di Malaya seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Abu Bakar al-Bakir serta membentangkan usaha mereka kearah sebuah negara Malaya yang merdeka di Tanah Melayu.


Perjuangan Menentang Penjajah di Mesir.

Gerakan menentang penjajahan di Mesir telah dimulakan oleh Jamaluddin al-Afghani. Beliau adalah seorang Afghanistan yang berketurunan Rasulullah melalui Hussain bin Ali bin Abi Talib ,

Beliau yang telah berpengalaman berdepan dengan Inggeris di Afghanistan dan India di antara tahun 1864-1869, telah meniup semangat perjuangan untuk membebaskan negara daripada cengkaman barat. Jamaluddin yang dibuang daripada India telah merantau ke Mesir pada tahun 1870 dan menetap di Kaherah. Beliau telah diterima baik oleh pemimpin Mesir iaitu al-Khidiwi dan Riyad Basha. Al-Afghani telah diberi ruang untuk bergerak untuk kerja-kerja dakwah dan islah. Dari sinilah Al-Afghani telah menjalin hubungan yang rapat dengan tokoh-tokoh Mesir termasuk yang paling masyhur ialah Muhammad Abduh .

Inggeris yang menjadi penasihat kepada pemerintahan Turki Uthmaniyyah di Mesir telah memaksa Khidiwi Ismail meletak jawatan dan memberikan kepada Tawfiq Basha. Menyedari pengaruh Inggeris yang mula menular masuk dalam pemerintahan Mesir, al-Afghani telah menggerakkan pengikutnya dengan menubuh Parti Kebangsaaan (Hizb al-Watani), walau bagaimanapun gerakan Al-Afghani akhirnya telah dilihat oleh pemerintah Mesir yang berkecenderungan Inggeris sebagai mengancam keselamatan negara. Tuduhan yang dilemparkan kepadanya ialah mengetuai pertubuhan sulit untuk merosakkan agama dan dan dunia. Pada tahun 1879, al-Afghani telah dihalau keluar dari Mesir dan menuju ke India namun di sana beliau telah ditahan dan dibebaskan kembali apabila Inggeris menduduki bumi Mesir dan mengusai pemerintahannya .

Al-khidiwi Tawfiq telah merestui kehadiran Inggeris secara rasmi untuk menduduki Mesir sebagai membendung pengaruh yang dibawa oleh pengikut-pengikut al-Afghani yang dipimpin oleh Muhammad Abduh. Pada tahun 1880 Muhammad Abduh yang telah dipecat daripada jawatan sebagai pensyarah di Dar al-ulum akibat daripada peristiwa di atas telah dipanggil oleh Riyad Basha untuk bertugas dengan al-Akhbar al-Waqi’ al-Misriyyah . Beliau telah mengambil kesempatan ini untuk menyebarkan pemikiran perjuangan pembebasan khususnya daripada pengaruh Barat dan akhirnya telah membawa kepada pengharaman akhbar dan pemberontak al-Urabi pada tahun 1982. Ramai dikalangan pemimpin dan penulis telah ditangkap dan buang daerah. Termasuk Muhammad Abduh, beliau telah dipenjara selama 3 bulan dan dibuang ke Beirut.

Dari Beirut Muhammad Abduh telah berhijrah ke Paris dan bertemu dengan gurunya di sana, Mereka bersama menerbitkan majalah al-Urwat al-Wusqa pada tahun 1884, gerakan ini berjalan secara rahsia tetapi meluas bukan sahaja di Mesir bahkan di seluruh dunia. Majalah al-Urwat al-Wusqa telah berusaha menanam sifat perjuangan dan pembebasan daripada penjajahan Barat, tempias perjuangan inilah yang telah meresap masuk ke dalam jiwa anak-anak muda Melayu di Mesir atau di tanah Melayu.



Pengaruh Ke atas Pejuang-Pejuang Kemerdekaan Melayu.

Kajian ini hanya akan menumpukan kepada perjuang kemerdekaan yang membawa pengaruh perjuangan nasionalis Mesir. Gerakan ini telah dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi. Mereka telah mendapat ransangan dan tiupan roh perjuangan ini daripada tokoh nasionalis Mesir seperti al-Afghani, Abduh dan Rashid Rida. Walaupun Dr. Burhanuddin dan Abu Bakar al-Bakir tidak menerima pengaruh ini secara langsung daripada al- Afghani, Abduh dan Rashid Ridha, ia meresap ke dalam pemikiran mereka melalui tiga faktor iaitu madrasah yang menempatkan guru-guru yang berkelulusan Timur Tengah, terbitan majalah seperti al-Imam, al-Ikhwan, Pengasuh dan lain-lain serta penglibatan mereka dengan aktiviti luar negara seperti penyertaannya dalam demonstrasi di Palestin.

Pertama: Peranan Madrasah.

Pengaruh perjuangan menentang penjajahan ini meresap masuk melalui pendidikan yang diterima oleh kedua-dua tokoh semasa menuntut di madrasah-madrasah yang dipelopori oleh tokoh-tokoh pembaharuan seperti Syeikh Tahir Jalaluddin (1869-1956) dan Syed Syeikh Al-Hadi (1862-1934) yang yang membawa idealisme perjuangan dari Mesir contohnya Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang, Madrasah Iddrisyyah di Kuala Kangsar, Madrasah al-Rahmaniyyah di Gunong Semanggol dan Madrasah Dairat al-Ma’arif di Seberang Prai.

Dr. Burhanuddin al-Helmi yang menuntut di sekolah ini telah mendapat didikan secara langsung daripada tokoh-tokoh di atas dan guru-guru lain di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyyah seperti Syeikh Abu Bakar al-Shafie, Haji Arshad Sibawaih (seorang guru nahu yang progresif) dan Ashiran Ya’kub ( seorang tokoh kaum muda yang turut meniup semangat perjuangan menentang penjajah ). Mereka ini adalah pembawa pemikiran perjuangan tokoh-tokoh Mesir di atas. Manakala Ustaz Abu Bakar al-Bakir pula mendapat pendidikan di Madrasah al-Rahmaniyah Gunong Semanggol dan tamat pada tahun 1024. Beliau yang dilahirkan di sini pada tahun 1907 dan telah meneruskan pengajian di Madrasah Daira al-Ma’arif Kepala Batas Seberang Prai pada tahun 1924 dan berpindah ke Madrasah al-Iddrisiyyah,Kuala Kangsar pada tahun 1929. Dengan bakat kepimpinan yang ada beliau sering dijemput untuk menjadi pengerusi majlis-majlis syarahan dan juga dilantik menjadi ketua pelajar di madrasah pengajiannya. Pada tahun 1934 dengan bantuan Ustaz Abdullah Pak Ahim beliau telah menubuh Al-Ihya’ al-Syarif di Gunong semanggol sebagai pusat pengajian ilmu dan penyebaran idealogi perjuangan .

Kedua: Media Massa

Selain itu media massa juga memainkan peranan yang penting dalam mempopularkan perjuangan Muhammad Abduh dan Jamaluddin al-Afghani di Tanah Melayu.Majalah al-Imam contohnya, telah menyebarkan kesedaran di kalangan anak-anak muda Melayu. Penerbitannya di Singapore yang bermula pada tahun 1906, telah menyalurkan pemikiran perjuangan dan meniup semangat penentangan terhadap penjajahan Barat, contohnya makalah tulisan Syed Syeikh al-Hadi yang bertajuk Menuntut Ketinggian Anak-Anak Melayu pada keluaran Julai 1907 yang menyentuh tentang kemunduran orang-orang Melayu berpunca daripada hilang keyakinan diri dan terlalu merasa rendah diri, mudah menyerah kalah kepada bangsa-bangsa asing, bertengkar sesama sendiri, malas bekerja, pentingkan diri sendiri dan tidak mampu untuk bersatu demi kebaikan. Syed al-Hadi mengemukakan orang Cina sebagai contoh dalam tulisan ini, katanya, orang-orang Cina yang berhijrah ke mari telah menjadi kaya-raya, terpelajar dan mempunyai kehidupan sosial yang baik, sepatutnya orang Islam mengambil teladan daripada mereka .
Majalah al-Imam yang yang dibantu oleh tokoh-tokoh seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Muhammad Bin Salim al-Kalili dan Haji Abbad Muhammad Toha juga banyak memuatkan tulisan-tulisan Muhammad Abduh dan Rashid Rida, seperti kupasan tafsir yang pernah tersiar dalam majalah al-Manar dan beberapa hukum-hukum feqah yang dibahaskan oleh Muhammad Abduh dan dan para ulama lain .

Selain itu majalah al-Ikhwan (1926) turut memainkan peranan yang utama dalam menanam kesedaran Islam dan semangat perjuangan. Dalam keluaran pertama sebagai contoh, penulisnya Syed Syeikh al-Hadi dengan kerjasama Syeikh Tahir Jalaluddin menyeru umat Islam ke arah kemajuan dan mengajak umat Islam memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan. Mesej yang tersembunyi daripada tulisan tersebut adalah umat Islam Melayu mesti keluar daripada kemiskinan dan belenggu penjajahan. Pada tahun 1934 muncul pula Majalah al-Hikmah yang dikendalikan oleh para pelajar Universiti Al-Azhar. Majalah al-Hikmah kelihatan lebih lantang menyuarakan persoalan politik secara langsung, Majalah ini yang dikeluarkan di Mesir adalah lebih bebas untuk bersuara tentang nasib orang-orang Melayu. Hasil daripada kemunculan majalah-majalah seperti di atas telah menimbulkan kesedaran dan telah menanam perasaan benci di kalangan orang Melayu terhadap penjajahan Barat. Majalah ini juga telah menjadi sumber aspirasi kepada pejuang-pejuang kemerdekaan di Tanah Melayu, khususnya mereka yang berjiwa Islam.

Ketiga: Pengaruh Luar

Hasil pergaulan dan pengaruh pemikiran guru-gurunya itu, mereka telah menyambung idea pembaharuan dan menyuntik semangat kebebasan dan kemerdekaan kepada pengikut dan orang Melayu pada masa itu. Dr. Burhanuddin juga mendapat tempias semangat perjuangan kemerdekaan daripada tokoh-tokoh seperti Muhammad Ali Jinnah, khususnya ketika menuntut di Perubatan Homeophaty Islamaeliah Medical Collage Secudrabab pada tahun 1939. Dr. Burhanuddin juga melawat Palestin ketika dalam pengajiannya di India pada tahun 1938, ketika kemuncak penentangan penyerahan bumi Palestin ke tangan Yahudi dan di sinilah beliau menimba idea Abduh dan Jamaluddin al-Afghani secara lebih dekat. Tidak terdapat catatan yang menjelaskan tentang hubungan Dr. Burhanuddin al-Helmi dengan tokoh-tokoh pejuang di Palestin , namun begitu pemergiannya ke Palestin untuk menyertai tunjuk perasaan kaum Muslim menunjukkan keperihatinan beliau terhadap perjuangan menentang penjajahan dan sudah pastinya beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pejuang-pejuang kemerdekaan Palestin. Perlu disebutkan juga bahawa Muhammad Abduh pernah tinggal di Beirut pada sekitar tahun 1882-1889 kerana dibuang daerah. Beirut adalah tidak berjauhan dengan bumi Palestine, sudah pastilah pengaruh Abduh sangat kuat di bumi ini, oleh itu pemergian Dr. Burhanuddin al-Helmi ke sini memberi justifikasi yang kukuh bahawa beliau turut menerima angin perjuangan dari tokoh-tokoh seperti Muhammad Abduh dah Jamaluddin al-Afghani.


Peranan Dr.Burhanuddin dan Abu Bakar al-Bakir dalam Politik tanahair

Sekembali beliau ke Tanah Air pada tahun 1939, Dr. Burhanuddin al-Hilmi bergiat aktif dalam pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan akhirnya dilantik menjadi persiden pada ketika itu. Beliau telah mengambil Islam sebagai dasar perjuangannya dengan pengaruh beberapa individu di kalangan pelajar dari al-Ihya’ al-Sharif, Gunung Semanggol, Perak. Masalah ekonomi dan pendidikan di kalangan orang-orang Melayu yang semakin meruncing pada ketika itu, telah menjadi alasan penting kepada al-Ihya’ dan KMM untuk menyedarkan umat Melayu agar mereka menjadikan Islam sebagai teras dalam usaha menganalisis kembali perjalanan ekonomi ke arah yang lebih baik.


Bagi mencapai dan memenuhi hasrat di atas, dan juga matlamat untuk mencapai kemerdekaan sepenuhnya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan sebaik sahaja Perang Dunia Kedua tamat. Ia ditubuhkan pada 17hb. Oktober 1945, di Ipoh, Perak, di bawah pimpinan Mukhtarudin Luso , Burhanuddin al-Hilmi dan Ishak Hj. Muhammad. Pertubuhan ini adalah lanjutan daripada perjuangan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Ia adalah pertubuhan yang terbesar selepas Perang Dunia Kedua, disertai oleh pelbagai peringkat masyarakat bukan sahaja di kalangan kaum belia lelaki tetapi juga wanita yang datang dari kalangan kaum tani, buruh dan juga tentera. Kongres pertama diadakan pada 30hb. November hingga 3hb. Disember 1945, di Ipoh. Kongres ini telah menetapkan beberapa dasar utama, iaitu; pertama: Menuntut supaya Malaya berkerajaan sendiri berdasarkan demokrasi, bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa rasmi dan mengadakan satu rupa bangsa (kerakyatan yang tunggal) di Tanah Melayu. Kedua: Menuntut kemerdekaan penuh yang berdasarkan demokrasi. Ketiga: Malaya pada akhirnya hendaklah bergabung dengan Indonesia.

Sebagai titik tolak kepada perjuangan ini, PKMM telah membentuk lima buah dasar utama sebagai asas perjuangan mereka. Dasar-dasar tersebut ialah: Ketuhanan yang Maha Esa, kebangsaan, kedaulatan rakyat, persaudaraan sejagat dan keadilan masyarakat.

Melihat kepada asas-asas yang dibentuk itu, `aqidah Islamiyyah telah dijadikan sebagai dasar perjuangan. Melalui asas yang teguh ini, pelbagai strategi telah diatur bagi mencapai hasrat yang dicita-citakan. Permasalahan ekonomi dan politik menjadi fokus utama. Antara tindakan yang telah dibuat ialah, menubuhkan Majlis Agama Islam Tertinggi dan melancarkan Kongres Ekonomi di Gunung Semanggol. Tindakan ini merupakan usaha awal yang dilakukan oleh PKMM untuk memperjuangkan Islam melalui wadah politik dan ekonomi.

Penglibatan pelbagai pertubuhan seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se Malaysia (BATAS) ke dalam PKMM telah menjadikan pertubuhan ini semakin besar dan sekaligus menyebabkan penggabungan al-Ihya’ al-Sharif dengan PKMM. Dalam pada itu pula, rombakan jawatankuasa telah berlaku yang membabitkan pertukaran presiden dari Dr. Burhanuddin kepada Ishak Haji Muhammad. Sementara Dr. Burhanuddin di lantik sebagai penasihat Agung kepada PKMM.

Beliau juga bergabung tenaga dengan Ustaz Abu Bakar al-Bakir di Ma`had Ihya` al-Sharif dan menganjurkan Persidangan Ekonomi-Agama Se-Malaya, pada 22-24hb. Mac 1947. Hasilnya, tertubuhlah Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS) dan Majlis Agama Tertinggi Se Malaya (MATA). Pertukaran ini telah menimbulkan sedikit sebanyak keraguan di pihak al-Ihya’. Mereka tidak yakin kepimpinan baru PKMM boleh memperjuangkan cita-cita mereka. Dalam pada itu pula, Dr. Burhanuddin sendiri secara sedar atau tidak telah mengisyaratkan harapan akan lahir satu bentuk parti yang berlandaskan Islam.

Ekoran daripada itu, pada 14hb. Mac 1948, satu persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) telah diadakan. Agenda utama dalam persidangan ini ialah penubuhan sebuah parti politik Islam. Para hadirin dibangkitkan oleh pidato-pidato yang bersemangat dari beberapa orang tokoh seperti Abrab Tamimi, Sayid Abu Bakar al-Attas, Dr. Burhanuddin dan Tengku Osman di mana kandungan ucapan mereka berkisar kepada kehendak perjuangan Islam yang berpandu kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, menyebabkan idea penubuhan Hizb al-Muslimin mudah diterima oleh para perwakilan yang hadir.

Sehubungan dengan itu, tertubuhlah Hizb al-Muslimin dengan cogankata: “Islam boleh berperanan dan menjadi ejen perubah masyarakat”. Ma`had Ihya' al-Sharif, telah dipilih sebagai markas pergerakan. Tujuan asasi parti ini ialah berusaha mencapai kemerdekaan bangsa Melayu, membentuk masyarakat berdasarkan kehendak syariat Islam, menjadikan Tanah Melayu sebagai Dar al-Islam, mengawal golongan kiri Melayu supaya tidak lari dari agama, bangsa dan tanahair, menginsafi umat Islam Melayu dalam berpolitik dan mengikat orang-orang Islam dalam satu wadah perjuangan.

Bagi menggerakkan pertubuhan ini, sebuah jawatankuasa telah dibentuk, terdiri daripada Ustaz Abu Bakar al-Bakir sebagai Ketua Umum, Haji Arifin bin Haji Alias sebagai Ketua Satu dan Daud Jamil sebagai Ketua Dua. Bagaimanapun hayat Hizb al-Muslimin tidak lama, apabila Inggeris bertindak mengharamkan pertubuhan tersebut bersama dengan pertubuhan-pertubuhan lain di seluruh Semenanjung (termasuk Singapura) kecuali UMNO.

Kegiatan Hizb al-Muslimin mula terhenti apabila berlakunya penangkapan ke atas tiga orang pemimpin utamanya, Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Ustaz Abrab Tamimi dan Abdul Rauf bin Nur. Ustaz Abu Bakar al-Bakir menjawat jawatan sebagai Ketua Umum Hizb al-Muslimin, Yang Dipertua Persatuan al-Ihya’, Mudir al-Ihya’, Ketua Lembaga Pendidikan Rakyat Malaya (LEPIR) dan juga guru al-Ihya’. Ustaz Abrab Tamimi pula menjawat jawatan sebagai Ketua Propaganda Hizb al-Muslimin, Setiausaha Jawatankuasa Perancang Universiti Rakyat dan Pelajaran, Nazir sekolah-sekolah dalam Pusat Pentadbiran Sekolah-sekolah Rakyat Malaya dan juga sebagai guru al-Ihya’. Manakala Ustaz Abdul Rauf Nur pula, seorang lulusan dari al-Ihya’ dan ditugaskan memegang jawatan sebagai Ketua Propaganda Hizb al-Muslimin, Bahagian Semanggol dan Selinsing, merangkap khatib di Masjid Gunung Semanggol dan guru al-Ihya’. Penangkapan ketiga-tiga tokoh ini, bererti berakhirlah kegiatan Hizb al-Muslimin.

Pengharaman ini ada hubungkaitnya dengan ucapan Dato’ Onn yang melabelkan Hizb al-Muslimin sebagai berdamping rapat dengan komunis. Sikap Dato’ Onn ini telah digambarkan dalam ucapannya:

Saya tidak melarang tetapi saya tidak sudi membenarkan (orang UMNO ke sidang Gunung Semanggol)…. Bahaya dari gunung itu masih ada lagi dan ditambah pula satu merbahaya lagi (Hizb al-Muslimin) yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya (pergerakan Hizb al-Muslimin) supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah.


Berikutan tindakan Inggeris mengharamkan semua badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan politik yang ada di Semenanjung Tanah Melayu (termasuk Singapura), telah mendorong UMNO mengambil inisiatif menubuhkan sebuah badan kebajikan yang diberi nama Pertubuhan Ulama Malaysia. Pertubuhan ini bernaung di bawah UMNO

Setelah berada beberapa ketika bersama UMNO di bawah Biro Agamanya, timbul perasaan curiga dan tidak puas hati di kalangan ulama, kerana segala permasalahan agama tidak dirujuk kepada mereka contohnya, isu loteri yang dicadangkan oleh Kesatuan Melayu Kedah dan telah disokong oleh Perikatan Melayu Perak, cawangan Selama bagi tujuan menambahkan sumber kewangan UMNO. Cadangan ini telah mendapat bantahan keras dari kalangan tokoh-tokoh agama dalam UMNO, namun begitu sistem tersebut telah diterima pakai dan berjalan seperti biasa. Akhirnya pada 1951 Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan di mana ia adalah serpihan sayap ulama dalam UMNO.

Meneliti kepada tujuan dan matlamat penubuhan Hizb al-Muslimin pada tahun 1948 itu jelas menunjukkan ia dipengaruhi oleh pemikiran Timur Tengah, melalui majalah al-`Urwah al-Wuthqa yang banyak menyentuh tentang isu-isu penjajahan. Hujah ini diperkuatkan lagi dengan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa guru-guru yang mengajar di al-Ihya’ al- Sharif kebanyakkannya datang dari Timur Tengah (Hijaz dan Mesir). Kebangkitan ulama 1940an ini jelas menyahut inspirasi majalah al-`Urwah al-Wuthqa yang berusaha menyedarkan masyarakat di seluruh Dunia Islam akan bahaya kolonialisme.

.
Kesimpulan

Perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu yang dipimpin oleh golongan berpendidikan Islam iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Ustaz Abu Bakar al-Bakir banyak dipengaruhi oleh perjuangan di Timur Tengah di bawah pimpinan Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh. Sungguhpun mereka tidak bertemu secara langsung , pengaruh tersebut mengalir melalui sistem pembelajaran di madrasah-madrasah, khususnya Madrsah al-Masyhur al-Islamiyyah yang ditubuhkan oleh Syed Syeikh al-Hadi dan dibantu oleh Syeikh Tahir Jalaluddin. Selain itu juga pengaruh perjuangan al-Afghani dan Abduh tersebar melalui tulisan-tulisan yang dimuat dalam majalah-majalah tulisan jawi seperti Al-Imam, Al-Ikhwan dan Al-Hikmah. Hasil gabungan sistem pembelajaran dan sebaran maklumat daripada majalah-majalah serta semangat perjuangan nasionalisme yang bertiup kencang di seluruh negara terjajah seperti India, Indonesia dan lain-lain telah menghidupkan perjuangan mereka bagi menuntut kemerdekaan daripada Inggeris di Tanah Melayu. Walaupun kemerdekaan negara tidak berhasil di tangan mereka namun sumbangan mereka ke arah kemerdekaan patut diberi pujian dan sokongan.

" Selamat Hari kemerdekaan untuk Malaysia Kali ke-51 untuk semua rakyat Malysia"

& "Sedekahkan Al-Fatihah buat semua pejuang-pejuang yang selama ini berjuang untuk kemerdekaan tanah air kita yang tercinta..Tanpa mereka dahulu, tiadalah nikmat kemerdekaan yang kita kecapi dan hidup bahagia aman dan makmur seperti hari ini...Ingatlah Mencintai negara adalah sebahagian daripada Iman-Hadis Nabi"
Wallhua'lam..

Rujukan:

Al-Saidi, Abdul muta’al, t.th. Al-Mujahidun fi Islam min qarni al-Awwal ila rabi; al-‘ayar, dar al-Hamami, Kaherah,

Vatikoistic, P.j. 1980, The history of Egypt from Muhammad Ali to Sadat, Ed.2 London,

Muhammad ‘imarah, 1986, al-‘mal al-Kamilah lil Imam al-Syeikh Muhammad Abduh, Kaherah.

Saliha Hj. Hasan, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Biografi tokoh pilihan Malaysia, Univeriti Malaya, Kuala Lumpur, 1997,

Nabir bin Haji Abdullah, Maahad II Ihya’ al-Syarif Gunung Semanggol 1934-1959, Jabatan Sejarah, UKM, Kuala Lumpur,

Hamka 1963, Ajahku, Jajamurni, Jakarta, cet.Ke-3,

Abu Bakar Hamzah 1981, Al-Imam its role in Malay society 1906-1908. Kuala Lumpur, Media Cendikiawan Sdn. Bhd.

Ahmad Azam, Merdeka dengan perlembagaan, Pustaka Semenanjung, Penang, 1955, hlm. 26-27.

Nabir bin Haji Abdullah, Ustaz Abu Bakar al-bakair dalam kenangan. Malaysia in History 14 (2) : 23-36.

Ibnu Hasyim,1993 1950-2000 Sejarah Kebangkitan dan Masa Depan PAS kuasai Malaysia?. Kuala Lumpur. GG Edar.

Sekadar Gambar Hiasan