Masjid Sempam Baru - Penulis bertafakur mencari kekuatan minda, bermunajat bermujahadah membasahi lidah dengan zikir memohon kehidupan dalam keredhaan Allah
(Dideklamasi sebagai suara latar video klip Majlis Wacana Kecemerlangan Akademik JAIP 2007)
(Deklamator 1)
Ingatkah berzaman lalu?
Jerih moyangmu melontar ingatan,
untuk kau anak cucu,
yang hatinya selalu alpa memegang janji,
untuk menopang madrasah suci yang
moyangmu dirikan tiang serinya.
Untuk terus kautegakkan pasak akidahmu,
rabung syari'atmu dan
mimbarnya jadikanlah tapak-tapak pencuci akhlak.
Madrasah ini sejak usulnya,
menampan panas carik mentari
dari zaman ke zaman
dan menepis jarum halus dari Barat ke Timur.
Pada ketika alpanya diri,
Perlukah kaugamit jari-jemarimu?
dari satu simpang ke satu simpang,
mencari ihsan dan bantuan,
kerana tiada upayamu,
menangkis hujan turun merobek bumbung syariatmu,
menggugat pasak aqidah madrasahmu,
dan mereput patah gelegar mimbar akhlakmu.
Sedang baru semalam kau disepuh,
celupan kudrat kudrat Tuhanmu,
yang sepatutnya sudah mengakarumbi membenih keberanian,
mengibas hujan yang rembes membasah,
bangsamu.
(Deklamator 2)
Sempam Baru - Perkampungan Melayu Lereng Bukit di pinggir bandar Raub. Penulis mendapat secubit ilham menghasilkan karya berjudul' Menggarap Semangat Adikara'
Seharusnya sudah lama kausedari,
Moyangmu telah lama ditelan bumi.
Jasadnya tidak lagi terpacak menugal nasihat
tentang khasiat penyubur iman,
tentang hikmat damai teduhan syariat.
Dan kau yang ditinggalkan,
mesti menjadi lebih upaya.
Bukan secukup memeluk tiang seri
atas hasrat menyatakan diri ada di situ.
Malah kautambahlah selasar ilmumu.
Luaskan taman halaqahmu.
Riuhkan gelanggang zikrullah,
dengan ratib tinggalan nabi.
Dan darjat anak didikmu kaulontar setingginya,
dengan tenaga hirupan ilmu,
yang kaucucur dari salur-salur pendapat baru,
berupa rencah kekuatan zaman,
sehingga jadilah meeka mujaddid,
yang mampu memahat hukum-hukum baru,
mengukuh syariat agama ini.
Demikian anak-anak ini yang mengerti.
Pastikan ia menerjah jalur-jalur lebar.
Membentu seri pelangi tujuh warna,
mewajah roman-roman seni,
dan mencatat gurisan nilai diri.
Merdekalah engkau di bawah payung Ilahi
dengan akal bertunjang tawheed,
dengan gerak sebebas pahlawan,
menyusun sempadan baru.
sebuah dunia serasi zamanmu.
Raub
Januari 2007
sajak ini diambil daripada FaceBook Cikgu Mohd Hassanuddin Bin Mohd Isa selaku pengetua Maahad as-Sultan Ahmad Shah Ad-dini Bandar Pusat Jengka (Maahdsas) utk dimuatkan dalam blog afifzahrah untuk tatapan,ilmu pengetahuan,sebaran dan dakwah..
Semoga pembacaanini diambil iktibar. Moga Allah memberikan kekuatan untuk penulis ini terus berkarya sekaligus berdakwah..
arena Hikmah
afifzahrah