hias
Firman Allah Taala:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, supaya mereka mengenakan jilbab ke seluruh badannya, yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal; kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)
Di dalam surah al-Nur, ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa keliahtan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."
Di atas adalah di antara nash syar'I yang menjadi dasar berpakaian dalam Islam dan berhias (utk wanita).
Kemudian pada ayat lain Allah berfirman:
"…dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)
Ayat ini pula menceritakan tentang larangan bertabarruj sebagaimana orang jahiliah dahulu.
Baiklah, berdasarkan seluruh nash-nash mengenai aurat dan berhias, di hadapan kita sekarang ini ada beberapa persoalan yang perlu dipecahkan, antaranya ialah:
1) Batasan aurat - Anggota asas yang disepakati oleh para ulamak agar ditutup ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua telapak tangan.
2) Apakah muka termasuk aurat - Muka pula telah diperselisihkan di kalangan mereka, ada yang kata ia adalah aurat dan ada yang kata bukan aurat.
Kalau, kita pilih pendapat yang mengatakan bahawa muka adalah aurat… Habis cerita. Soal gincu, bedak, losyen dan celak dsbnya sudah tentu tak timbul. Ia nyata haram dipamerkan di hadapan lelaki ajnabi. Tetapi, bagaimana jika kita memilih bahawa muka itu bukan aurat - kebanyakkan kita memilih pendapat ini -, di mana kedudukan celak, gincu, bedak dan bla.. bla…bla…
Sekarang ini kita pilihlah kononnya bahawa muka itu bukan aurat… Tetapi, sebelum itu lebih baik kita bincangkan dahulu mengenai masalah tabarruj, yang sudah tentu berkaitan dengan soal muka bukan aurat.
Apa itu tabarruj yang di maksudkan di dalam firman Allah:
"…dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu (pertama)". (Al-Ahzab:33)
Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.
Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang- lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan bahawa tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat / mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikk annya yang sepatutnya wajib ditutup.
Tabarruj berasal dari kata BARAJUN, bererti luas. Dan ada yang mengatakan ia berasal dari kata BURJUN yang bererti tinggi.
Selesai mengenai erti tabarruj… Dan, lihat kembali ayat al-Quran: "….orang-orang jahiliyah dahulu."
Tabarruj yang dikaitkan dengan orang-orang jahiliyah dahulu. Siapakah mereka itu? Pada zaman mana orang-orang jahiliyah dahulu berada? Di dalam tafsir al-Qurthubi menyatakan beberapa pendapat mengenainya:
1. Iaitu masa antara Adam dan Nuh a.s., ini adalah pendapat al-Hakam bin Uyainah.
2. Ibnu Abbas berpendapat: Masa di antara Nuh dan Idris a.s.
3. Al-Kalbi: Masa di antara Nuh dan Ibrahim a.s.
4. Jamaah: Masa di antara Musa dan Isa a.s.
5. Abu Aliyah: Masa di antara Daud dan Sulaiman a.s.
6. Al-Sya'bi: Masa di antara Isa a.s. dan Muhamad s.a.w.
Namun semua pendapat itu tidak disandarkan dengan satu sumber yang kukuh dan sahih. Cuma yang pasti, semua mereka di atas bersepakat mengatakan bahawa jarak masa antaranya dan masa Nabi Muhamad dibangkitkan sebagai Rasul adalah jauh (jangkamasa yang begitu lama). Dan, apabila al-Quran menyebutkan "jahiliyah dahulu" - dahulu/lama/ pertama - bermaksud di sana ada yang dikatakan sebagai `jahiliah baru' atau `jahiliyah kedua'.
Bila masa jahiliyah kedua berada? Iaitu selepas jahiliyah pertama dan sedikit masa sebelum kebangkitan Nabi kita Muhamad s.a.w.
Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj? Buruk sangatkah mereka ini? Hodoh sangatkah perangai depa ni? Ya, gambarannya lebih kurang begini:
Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal pakaiannya - memakai baju dari lu'lu', atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.
Era jahiliyah kedua yang akan berhubung dengan era kebangkitan Muhamad sebagai rasul tidaklah sampai ke peringkat begitu teruk. Namun ada juga sedikit sebanyak tabarruj yang berlaku, hingga kadangkala sampai ke peringkat telanjang terus. Ini dapat dibuktikan melalui hadis riwayat Muslim, bagaimana kaum wanita zaman itu bertawaf dalam keadaan telanjang bulat.
Sekarang ini jelaslah sudah mengapa Allah mengaitkan al-jahiliyah al-`Ula (jahiliyah pertama/dahulu) dengan tabarruj. Dan, dengan penjelasan di atas tidaklah bermakna yang terlarang ialah bertabarruj seburuk orang-orang jahiliyah pertama, kalau kurang daripada itu tidak mengapa. Tak apalah kalau tabarruj sikit-sikit. Ini adalah fahaman yang salah, kerana Allah menyebutkan sifat-sifat tabarruj jahiliyah pertama adalah bertujuan memberi penjelasan realiti yang berlaku ketika itu, bukannya mahu mengaitkan pengecualian hukum selain daripada itu. Ia lebih berbentuk penjelasan tentang keji dan berlawanannya perbuatan itu dengan citarasa serta naluri kemanusiaan.
Perlu diingatkan bahawa maksud tabarruj yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat - berdasarkan kepada siapa dia berhadapan. Kalau di hadapan dengan lelaki asing, apa yang perlu ditutup. Jika tidak memenuhi kehendak ini, maka dia sudah tergolong di dalam perempuan yg bertabarruj. Begitulah seterusnya ketika di hadapan mahram, orang gaji dsbnya…
Ya, selesailah sudah penjelasan mengenai tabarruj. Saya harap ia mudah difahami dan tidak membosankan. Dan, kita teruskan lagi ke pembahasan selanjutnya. Kali ini mengenai berhias pula.
Mari kita lihat lagi firman Allah:
“Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka..” (al-Nur, ayat 31)
Sebagaimana yang telah disinggung di atas, bahawa para ulamak berselisih pendapat mengenai, apakah muka itu aurat atau bukan. Dan ayat di atas telah menjadi hujah kepada kedua-dua kelompok dengan penafsiran yang berbeda.
Kita ambil sedikit petikan ayat: “…..dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya.”
Terjemahan ayat : “kecuali yang biasa kelihatan padanya..” dapat juga diterjemahkan: “kecuali apa yang zahir” (illa ma zahara). Pada ayat ini Allah Taala melarang wanita mempamirkan perhiasan, kecuali apa yang zahir. Persoalannya di sini ialah, apa maksud perhiasan zahir yang boleh dipamirkan? Jadi, dapat difahami bahawa perhiasan ada dua:
1. Yang zahir/nyata
2. Yang tidak zahir/nyata (batin/dalaman/ tersembunyi)
Apakah perhiasan zahir? Apakah pula perhiasan yang tidak nyata? Para ulamak yang mengatakan muka itu adalah aurat, mereka menafsirkan bahawa perhiasan yang zahir itu ialah pakaian itu sendiri. Bila wanita berpakaian, bertudung dan menutup muka, maka itulah dia maksud perhiasan yang zahir. Perhiasan yang tidak nyata pula ialah, rantai leher, gelang, anting-anting dsbnya..
Manakala menurut ulamak yang berpendapat muka itu bukan aurat menafsirkan bahawa maksud perhiasan yang zahir yang boleh diperlihatkan di hadapan lelaki ialah celak dan cincin. Ada yang menambah telapak tangan. Ada yang tambah warna telapak tangan, iaitu pewarna yang dibubuh di telapak tangan (termasuk kuku). Dan, macam-macam lagilah.. tetapi di sekitar itulah. Perhiasan yang tersembunyi pula ialah rantai leher, anting-anting dsbnya.
Kitab-kitab tafsir berikut ada menjelaskan pendapat-pendapat berkenaan:
1. Jami’ul Bayan – Al-Thabari
2. Ahkamul Quran – AL-Jashas
3. Al-Wajiz fi Tafsiril Quran al-Aziz – Al-Wahidi
4. Ma’alimatut Tanzil – AL-Baghawi
5. Tafsir al-Kasyaf – Al-Zamakhsyari
6. Ahkamul Quran – Ibnul Arabi
7. Al-Muharrir al-Wajiz – Ibnu Athiyah
8. Zadul Masir Fi Ilmit Tafsir – Ibnul Jauzi
9. Al-Tafsir al-Kabir – Al-Fakhrur Razi
10. Al-Jami’ li Ahkamil Quran – Al-Qurthubi
11. Tafsir al-Baidhawi
12. Lubabut Ta’wil Fi Maanit Tanzil – Al-Khazin
Dan banyak lagi……
Pembahasannya lebih kurang sama dalam menafsirkan `perhiasan yang zahir’. Berikut ini adalah apa yang tersebut di dalam Zadul Masir fi Ilmit Tafsir oleh Ibnul Jauzi:
Maksud `perhiasan yang zahir/apa yang biasa dilihat’, terdapat tujuh pendapat, iaitu:
1. Ia bermaksud pakaian. Ini adalah riwayat dari Abu Ahwash dari Ibnu Mas’ud.
2. Bererti telapak tangan, cincin dan muka - Dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas
3. Bererti celak dan cincin – Juga dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas.
4. Bererti gelang, cincin dan celak – Al-Misywar bin Mukhrimah.
5. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – Pendapat dari Mujahid.
6. Bererti cincin dan gelang – Dari al-Hasan.
7. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – dari al-Dhahhak.
Itulah pendapat mereka tentang maksud perhiasan zahir yang biasa dilihat. Berdasarkan pendapat Ibnu Abbas, Al-Misywar bin Mukhrimah, Mujahid, dan al-Dhahhak dan al-Hasan dapat kita simpulkan bahawa yang boleh dipamerkan ialah perhiasan yang tidak mungkin diselindung yang memang biasa dipakai oleh para wanita. Kalau perhiasan di muka apa lagi kalau bukan celak. Kalau di telapak tangan apa lagi kalau bukan cincin. Cuma ada beberapa ulamak yang mengatakan bahawa muka itu sendiri adalah perhiasan. Dan telapak tangan itu sendiri adalah perhiasan. Jadi, mereka tidak memasukkan celak dan cincin sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan.
Mereka yang memasukkan celak dan pewarna telapak tangan sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan di hadapan lelaki ajnabi tidaklah dihadkan terhadap dua perkara itu sahaja. Ia disebutkan hanyalah sebagai wakil dari perhiasan-perhiasan lain yang biasa digunakan pada muka atau telapak tangan. Ia berdasarkan adat, tradisi dan kebiasaan satu-satu kelompok masyarakat. Berikut ini adalah antara perhiasan yang ada dan biasa digunakan oleh para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w atau tradisi arab dahulu:
1. Khidhab – Pewarna untuk tangan
2. Shufrah – Pewarna kuning untuk wajah
3. Kalkun – Pewarna untuk memerahkan wajah
4. Isfidaj – Pewarna putih untuk wanita berhias.
5. Celak – Berhias pada mata
(Nanti akan disertakan dalil tentang kewujudan perhiasan ini)
Zaman kita ini sudah tentu yang biasa digunakan sebagai perhiasan muka ialah gincu, bedak, losyen dan juga celak. Jadi, bila celak dan segala macam di atas itu boleh, mengapa tidak gincu? Sebab yang dibenarkan bukanlah diri celak itu secara khusus tetapi sesuatu yang lebih umum iaitu – perhiasan yang biasa dilihat, yang biasa digunakan pada muka. Dan gincu serta bedak adalah termasuk di bawah keumuman ini.
Begitu juga dengan perwarna kuku, ia termasuk di bawah perhiasan yang boleh dipamerkan tetapi hendaklah dari bahan yang tidak menghalang air. Kerana jika air terhalang dari sampai ke kuku akan mengakibatkan wuduk tidak sah.
Berikut ini adalah sebahagian dalil kewujudan perhiasan di atas:
Dari Zainab binti Abu Salamah, dia berkata: Ketika datang berita kematian Abu Sufian dari Syam, Ummu Habibah meminta diberikan wangi-wangian berwarna kuning pada hari yang ketiga. Lalu dia mengusapkannya pada kedua pipinnya dan kedua lengannya. Dia berkata: Sesungguhnya aku benar-benar tidak memerlukan ini, kalaulah bukan kerana aku pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari kemudian untuk berkabung atas mayat lebih dari tiga hari, kecuali atas suami, maka dia berkabung atasnya empat bulan sepuluh hari. (HR Bukhari Muslim)
Wangi-wangian di dalam hadis bermaksud pewarna yang menyerlah warnanya dan tersembunyi baunya (tidak menyerlah dan menyemarak). Adakalanya ia disapukan di muka untuk memperelok warna muka atau pada telapak tangan.
Wajib berhias setelah tamat tempoh 3 hari berkabung kerana kematian, kecuali kematian suami yang tempoh perkabungan adalah selama 4 bulan 10 hari. Berhias di sini adalah untuk keluar dari tempoh perkabungan.
Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbai’ah kepadanya, tetapi perempuan itu tidak ber –ikhtidab, sehingga baginda tidak mahu membai’ahnya melainkan setelah ber-ikhtidab (HR Abu Daud)
Ikhtidab ialah sejenis pewarna yang biasa digunakan pada telapak tangan pada zaman itu.
Dari Abu Hurairah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Wangi-wangian lelaki adalah apa yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Dan perhiasan wanita ialah apa yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya (HR al-Tarmizi)
Dari Imran bin Husin, bahawa Nabi Allah s.a.w. bersabda: “… ingatlah bahawa wangi-wangian lelaki adalah bau tanpa warna. (HR Abu Daud)
Dari Ummu Athiyah, dia berkata: Adalah kami dilarang untuk berkabung terhadap seorang mayat lebih dari tiga hari, kecuali terhadap suami, maka empat bulan sepuluh hari. Kami tidak boleh bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian bercelup. (HR Bukhari Muslim)
Apabila kita menerima hujah yang mengatakan bahawa perhiasan yang zahir atau yang biasa dilihat itu adalah celak, gincu, bedak dan segala suku-sakatnya, maka perlu kita ketahui juga batas-batas yang perlu dipelihara. Iaitu:
1. Memelihara niat dan tujuan berhias. Tidak bertujuan untuk menarik pandangan dan perhatian lelaki ajnabi.
2. Dari segi praktiknya hendaklah bertepatan dengan niatnya. Iaitu tidak berhias secara berlebih-lebihan hingga atau yang dapat menarik perhatian serta menggugah perasaan lelaki ajnabi. Seperti bercelak dengan cara dan gaya yang dapat menarik perhatian. Atau bergincu dengan warna yang begitu menyerlah – merah menyala-nyala. Atau berbedak dengan bedak yang berwarna warni. Di tambah dengan keharuman yang menyemarak. Atau memanjangkan kuku. Atau sebagainya.
3. Tidak dari bahan yang mengeluarkan bau wangi dan harum menyemarak serta tersebar. Boleh dari bahan yang wangi tetapi yang tersembunyi baunya.
Ya, pokoknya bersoleklah secara sopan, bersahaja dan kemas serta menampilkan ciri-ciri wanita yang baik. Tidak kelihatan seperti wanita yang mahu memikat lelaki atau ciri-ciri wanita fasiq dsbnya. Seperti kita lihat ramai wanita hari ini yang bersolek mengenakan gincu, bedak dan segala macam… Melebihi dari sekadar yang dibenarkan oleh syarak. Mereka ini berhias begini hanya diluar rumah sahaja, sedangkan ketika bersama suami keadaan adalah sebaliknya.
Lebih baik lagi jika diniatkan solekan itu sekadar untuk mengelakkan diri dari kusut masai, berserabut dan tidak terurus. Berginculah sekadar mahu mengelakkan diri dari kelihatan lesu, tak bermaya dan tidak cergas. Berbedak atau berlosyenlah sekadarnya sahaja dengan tujuan mahu menjaga kesihatan kulit muka dsbnya.
Ya.. Kalau bersolek itu tidak boleh, silakan saja. Pergilah ke pejabat atau mengajar ke sekolah, dan jangan bersolek samasekali. Pergilah dalam keadaan kusut masai dengan muka seperti orang yang belum mandi. Kelihatan lesu. Pakaian pula tidak bergosok. Berkedut sana dan sini. Baju bergosok, haram katanya. Ditambah lagi dengan bau peluh yang kurang enak dan menyengat hidung. Pakai wangian walaupun yang baunya tersembunyi utk menghindarkan dari bau peluh, juga haram katanya. Ya.. silakan saja..
>>Sudah tentu para wanita muslimah dapat menggambarkan bagaimana cara hendak menghindarkan keadaan di atas. Dan.. Kalau sudah dapat menggambarkannya, itulah dia solekkan yang dibenarkan oleh syarak ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Sekadar mahu mengelakkan diri dari kusut masai dan nampak tidak terurus.
Saudara yang bertanya berkata: Bagaimana kaedah terbaik untuk menangani masalah tersebut terutama masalah lipstik yang seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada wanita?
Jawab: Bukan sekadar lipstik, malahan umumnya wanita memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolek. Sebab sudah memang naluri semulajadi mereka sukakan begitu. Syeikh Athiyah Saqar mengatakan: “Memperelok /menghias diri oleh seseorang manusia secara umumnya mempunyai kepentingan/ kebaikan. Dan secara khususnya, menghias diri bagi seorang wanita mengandungi mara bahaya. Kecantikan adalah satu perkara yang disukai oleh jiwa/naluri. Ia mempunyai tempat di dalam agama, di mana ia dituntut secara syarak dengan kadar yang dapat membawa kepada tujuan yang baik darinya, serta terhindar dari perkara-perkara yang diharamkan dari sudut cara, tujuan dan maksud.”
Kesimpulan
1. Sebahagian ulamak mengatakan muka itu adalah aurat. Sebahagiannya mengatakan muka bukan aurat.
2. Tabarruj jahiliyah yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat di hadapan meraka yang haram melihatnya.
3. Kebanyakkan ulamak menyatakan bahawa maksud firman Allah: “…kecuali apa yang biasa dilihat.” Adalah sebagai celak dan cincin. Ada yang menambah dengan gelang tangan dan pewarna tangan.
4. Bersolek pada muka dan telapak tangan (termasuk kuku) adalah dibenarkan tetapi dalam batasan-batasan umum yang telah ditetapkan syarak.
Sekian adanya. Wallhu a’lam
Rujukan
1. Al-Quran
2. Ahsanul Kalam – Syeikh Athiyah Sqar
3. Al-Hijab – Al-Maududi
4. Tahrir al-Mar’ah Fi Ashri al-Risalah – Prof. Abdul Halim Muhamad Abu Syuqqah
5. Fatawa Mu’asharah 1 – AL-Qardhawi
6. Fatawa Mu’asharah 2 – AL-Qardhawi
moga mendapat manfaat drpd pembacaannya..