RAHSIA 12 – KETENANGAN MEMPERGARUHI KEUPAYAAN MENTAL
Posted: 16 Dec 2010 06:28 PM PST
RAHSIA 12 – KETENANGAN MEMPERGARUHI KEUPAYAAN MENTAL
Kuasa minda berada pada tahap mak simum apabila kita berada dalam keadaan tenang dan bebas dari ketegangan. Gelombang otak bergerak dalam kadar pusingan yang rendah. Pada tempo ini, prestasi kerja otak adalah cemerlang.
Kita sangat mudah mengingati sesuatu, berfikir dengan cekap dan pantas manakala idea-idea kreatif mengalir mencurah-curah.
coretan
Waktu pagi terutamanya pada hari cuti adalah contoh terbaik di mana gelombang fikiran adalah rendah. Fikiran anda begitu tenang, nyaman dan lapang. Anda tentu mengalami, pada waktu ini fikiran anda dalam keadaan segar, ingatan cukup baik serta otak sungguh lincah dan cergas.
Bahkan semasa anda mandi, mengosok baju atau mencukur misai, anda tentu diterjahi dengan pelbagai idea atau gagasan yang bermutu dan menarik sekali. Kedatangannya adalah secara mendadak dan sementara, tanpa terfikir terlebih dahulu.
Begitulah keadaannya apabila fikiran berada dalam gelombang ‘alpha’ iaitu gelombang yang bertekanan rendah dan bebas dari ketegangan dan tekanan; kuasa minda kita menjadi begitu bertenaga.
Di Bulgaria, Dr. Georgi Lozanoz mengasaskan kaedah ‘Pembelajaran Suggestopedia’. Melalui kaedah ini, pelajar-pelajar yang mengikuti kelas bahasa asing iaitu bahasa Sepanyol di institutnya mampu menghafal 1,000 perkataan baru pada setiap hari.
Dengan hanya belajar 10 hari sahaja, di mana setiap harinya 4 jam sahaja, mereka mampu belajar apa yang dapat dipelajari selama satu tahun di institut-institut bahasa lain. Kaedah ini sangat popular dan sedang berkembang pesat di Amerika Syarikat dan Eropah. Apakah rahsia kejayaan kaedah Suggestopedia ini?
Rahsia kejayaannya ialah KETENANGAN DAN KEREHATAN semasa belajar (tension-free). Kelasnya terdiri daripada 14 – 15 orang pelajar. Kerusi di dalam kelas adalah ‘kerusi malas’. Semasa sesi pembelajaran, muzik yang boleh membangkitkan ketenangan kepada jiwa dimainkan dengan sangat perlahan terutama muzik klasik oleh komposer-komposer baroque.
Muzik baroque sangat disukai kerana detakannya 60 kali seminit, sama dengan dengupan jantung manusia ketika berada dalam keadaan tenang dan rehat.
Selepas setiap 30 minit belajar, mereka berhenti rehat sambil mendengar muzik dan bersantai. Guru-guru adalah mesra. Tidak pernah marah, merungut, menyindir atau berleter apabila pelajar melakukan kesilapan.
Kaedah ini benar-benar berasaskan prinsip ‘tension-free’ iaitu bebas dari tekanan dan ketegangan serta penuh dengan istirehat dan ketenangan.
Eksperimen Dr. Lozanov mendapati ketenangan mempengaruhi daya ingatan dan kecerdasan fikiran. Apabila melakukan aktiviti istirehat, denyutan jantung berkurang 5 – 10 denyutan, tekanan darah menurun, gelombang beta menurun, ketegangan berkurang, dapat mengawal stress, membaiki kesihatan otak, tubuh badan serta emosi, pernafasan semakin perlahan, meningkatkan daya konsentrasi seterusnya meningkatkan kecerdasan dan ingatan.
Beberapa tahun lalu pula, dunia digemparkan dengan penemuan saintis bahawa pokok yang hidup dalam suasana muzik keras (Rock) lambat membesar berbanding pokok yang hidup dalam suasana muzik perlahan.
Dari penemuan ini dapat disimpulkan bahawa suasana persekitaran mempengaruhi bukan sahaja terhadap perkembangan otak manusia bahkan terhadap tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Suasana persekitaran yang penuh dengan ketegangan boleh melambatkan perkembangan fisiologi, emosi dan akal.
Ketenangan jiwa ialah ‘pokok’ kesihatan rohani dan jasmani. Manakala ketegangan, kebimbangan dan kegelisahan adalah ‘pokok’ segala penyakit rohani dan jasmani termasuk kelembabpan dan kelumpuhan fikiran.
Antara penyakit yang kerap melanda orang yang selalu mengalami stress dan tension ialah sakit perut, sakit kepala, kekejangan otot, kerosakan gigi, lemah urat saraf, lemah pancaindera penglihatan dan pendengaran, wajah muram dan cepat tua, PELUPA, KELEMAHAN DALAM BERFIKIR dan LEMAH DAYA PENUMPUAN.
Pada peringkat yang lebih kronik ia kana menyebabkan lelah, darah tinggi, kencing manis, mati pucuk, sakit pinggang, lemah jantung, lumpuh, kanser dan penyakit-penyakit jiwa.
Semasa mengalami ketegangan seperti marah, cemas, gelisah dan sedih; pernafasan menjadi semakin kuat dan tekanan darah bertambah tinggi. Ini menyebabkan banyak darah dipam dengan kuat ke arah jantung, urat saraf dan otot-otot.
Manakala darah kurang mengalir ke tempat-tempat yang sepatutnya iaitu perut dan usus. Akibatnya proses-proses di usus terhenti.
Limpa mengecut sambil melepaskan darah-darah yang ada padanya. Zat-zat gula pula yang belum diolah dan tersimpan di dalam hati yang berbentuk lemak haiwan dialirkan ke pembuluh darah. Ini pula menyebabkan kadar gula di dalam darah menjadi berlebihan.
Semua proses ini berlaku kesan dari utusan dan isyarat marah, sedih dan gelisah yang sampai ke otak. Selanjutnya hormon-hormon adrenalin dihasilkan dengan banyaknya. Ini semua menimbulkan kelemahan-kelemahan biologi, fizikal dan mental.
Jadi untuk mendapat memori yang baik dan minda yang cergas, anda perlulah menjadi seorang yang berjiwa tenang dan jauh dari keluh-kesah. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh membantu mengekalkan ketenangan jiwa :-
- Selalu bersolat dengan khusyuk.
- Sentiasa berwudhu’ terutamanya semasa tension.
- Berzikir, beristighfar, berselawat dan membaca Al-Quran.
- Berpuasa dan bersolat sunat.
- Beribadah di tengah malam seperti bertahajjud dan membaca Al-Quran.
- Tidur yang mencukupi.
- Suasana dan kediaman yang teratur.
- Menyaksikan keindahan alam, berkelah, melancong dan bersiar-siar.
- Menziarahi sahabat-sahabat lama kerana ia boleh mengingatkan pengalaman lampau yang mengembirakan.
- Elok pergaulan dengan keluarga, jiran-jiran dan orang ramai.
- Melangsaikan semua hutang.
- Atasi segera masalah-masalah yang merungsingkan hati.
- Lakukan hobi dan perkara-perkara yang diminati.
- Lakukan senaman atau gerak badan sekitar 30 minit setiap hari. Semakin tegang perasaan, semakin banyak gerak badan diperlukan untuk melepaskan ketegangan tersebut.
- Elakkan hiburan yang haram dan melalaikan serta pergaulan bebas kerana ia membawa kepada kekosongan jiwa dan keserabutan fikiran.
- Banyak makan makanan berkarbohidrat seperti nasi, roti, buah-buahan dan sayur-sayuran sewaktu menghadapai tekanan(stress). Ia mengandungi kimia serotonin yang boleh mengurangkan stress dan menghasilkan ketenangan.
- Percaya kepada Qadha’ dan Qadar iaitu segala perkara yang berlaku yang telah ditentukan oleh Allah, sama ada baik atau buruk yang mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu.
***********************************