Mengapa harus bersedih

Mengapa harus bersedih

Saudara dan saudari, Allah benar akan janjinya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala. Kalai kita akur – banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah berikan kepada kita. Firman Allah:-


“Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya.” (Ibrahim 14: 34).

Mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang disekitarmu. Apa yang kurang? Tidak ada apa yang kurang, saudara. Rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup.

Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari kurnianya, mengapa harus berdukacita? Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik? Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Tidak mustahil.

Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah. Firman Allah:

“Jangan takut, jangan berdukacita.” (Al-”Ankabut 29: 33)

Saudara. Kadang-kadang manusia berasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa. Masalah keluarga yang banyak. Masalah anak, isteri, suami, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu dan sebagainya. Maka dia bersedih, dia berdukacita. Jiwa tertekan.

Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah? Hidup bermakna kita berhadapan dengan masalah. Orang yang tidak mahu berhadapan dengan masalah tidak layak untuk hidup di atas muka bumi ini. Masalah yang besar yang tetap akan kita hadapi ialah hasutan dan godaan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.

Mungkin kita merasakan bahawa masalah anak yang terlalu tertekan. Anak kita nakal, anak kita degil, anak kita tidak mendengar cakap, anak kita suka melawan dan sebagainya. Saudara, bukankah itu mengajak kita untuk berusaha berjihad untuk mendidiknya? Dan setiap didikan kita kepada anak akan diberikan pahala oleh Allah S.W.T.

Ya, katakanlah anak kita degil, anak kita suka melawan, anak kita tidak dengar cakap. Lantas kita berusaha untuk mendidiknya, mengajarnya, mengasuhnya dengan cara yang paling baik. Kita beroleh pahala dari Allah S.W.T.

Apakah ada masalah yang lebih besar di dunia ini selain daripada masalah berdepan dengan hasutan syaitan dan juga iblis? Syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan kejahatan, syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan maksiat. Itu masalah yang besar. Sebab itu mujahadatun-nafs – melawan nafsu, melawan syaitan, melawan iblis, itu adalah asas kepada perjuangan jihad manusia di muka bumi ini.

Iblis telah bersumpah dengan Allah S.W.T bahawa dia akan mengganggu bani Adam, dia akan menggoda bani Adam, dia akan menyesatkan bani Adam. Mereka akan berusaha untuk melakukan itu secara berterusan. Sejak daripada kita kecil sehingga dewasa dan hinggalah kita kembali kepada Allah SWT. Ini masalah yang perlu kita hadapi. Adapun selain daripada itu anggaplah ia asam garam kehidupan.

Masalah yang kita lalui mematangkan jiwa kita, mematangkan akal kita, mematangkan peribadi kita. Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah, dia menjadi manusia yang tenang, kerana dia rasa lapang dengan segala penyelesaian yang dia hadapi.

Saudara. Yakinlah dengan sebarang masalah diserahkan kepada Allah. Kita setakat berusaha, Allah jua yang menentukan segalanya.

(Dr. Badrul Amin Bahron, Jangan Bersedih: Zikir Munajat & Tazkirah, 2006, Wholesale-Mart Business Point Sdn. Bhd, Kuala Lumpur; ms.27-29)

Popular Posts