Tuesday, December 25, 2012

NILAI & AKHLAK .. UNTUK KEBANGKITAN MASYARAKAT

NILAI & AKHLAK .. UNTUK KEBANGKITAN MASYARAKAT ::: Surat dari : Dr. Muhammad Badi`, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin. الحمد لله حمدًا كثيرًا مباركًا فيه، والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله وعلى آله وصحبه وسلم، وبعد.. Islam adalah agama Allah dan agama kesemua Nabi dan Rasul. Ia akan terus menjadi penyelamat sebenar buat manusia. Islam telah menghadapi pelbagai cabaran besar sejak beberapa tahun dahulu. Antara sokongan yang paling penting dalam merealisasikan kebangkitan ialah : Nilai dan akhlak yang termaktub didalam jiwa, lalu ia menggerakkan tubuh badan. Maka nilai dan akhlak itu akan bercakap dengan amal kerja, dan terjadilah cita-cita besar yang diinginkan, yang dahulunya hanya satu angan-angan.
Asas-asas gambaran praktikalnya telah ditunjukkan oleh didikan Rasulullah saw kepada para sahabatnya. Rasulullah menanamkan akhlak dalam jiwa mereka, lalu terbukalah dunia (dibawah pemerintahan Islam). Mereka itu adalah teladan yang terbaik di atas muka bumi ini. Nabi saw mengajar mereka dengan katanya : “Bahawasanya aku ini diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”[Hadis sahih direkod oleh Malik] Begitu juga apa yang kita temui bahawa Al-Quran dan As-Sunnah Nabawiah telah menekankan berulang kali akan kepentingan praktikal amali atas kesinambungan iman da kepercayaan. Iman itu di aplikasi dalam alam realiti manusia. Ini diajar dengan jelas dalam petikan kata-kata sahabat: “Iman adalah apa yang mendiami dalam hati, dan dibenarkan dengan amalan” Para ulama telah mendefinasikan akhlak dengan : “Kumpulan perkara-perkara mulia dan tingkah laku yang diungkapkan”. Dengan itu, pembinaan kebangkitan dalam erti kata sebenar mestilah membangkitkan sokongan akhlak yang sebenar, sepertimana yang diajarkan Islam kepada kita. Pembinaan kebangkitan atas asas kebendaan semata-mata hanya akan merosakkan dan tidak menguatkan. Ia akan membawa faktor-faktor kemusnahan. Tiada bukti dari sejarah silam dan hari ini yang mengatakan pembinaan kebangkitan atas asas kebendaan semata-mata akan menguatkan daya kebangkitan. Tiada bukti dan hujah sejarah. Apa yang kita lihat berlaku pada hari ini dalam masyarakat kita, masyarakat arab dan masyarakat Islam. Berlakunya pelbagai cabaran, pertembungan dan permasalahan yang menghendaki kita untuk menimbang semula untuk kembali kepada jalan yang benar. Kembali membina semula apa yang telah dirosakkan oleh sistem zalim yang telah berlarutan dalam beberapa tahun ini. Jalan yang dibina itu hendaklah menepati kaedah nabawi yang mulia. Kebebasan Islam telah menjamin kebebasan sejak dari awal lagi. Kebebasan inilah yang membentuk kemodenan-kemodenan. Islam telah memberikan kebebasan akal dan jiwa sebelum membebaskan tubuh badan. Lantas, terbitlah kemampuan yang berpotensi dari jiwa untuk pembinaan dan kebangkitan yang sebenar. Allah Taala telah menciptakan manusia pada asalnya sebagai bebas merdeka. Amirul Mukminin Umar bin AlKhattab pernah berkata : “Sejak bila kamu (dibenar) memperhambakan manusia, sedang mereka dilahirkan ibu mereka dalam keadaan merdeka?”.Kebebasan itu telah wujud pada diri manusia sebelum mereka baligh dan dipertanggungjawabkan lagi, supaya mereka mampu memilih setelah itu, bukan sebelumnya. Sepertimana manusia diberikan hak kemahuan, kehendak, dan pilihan supaya mereka dapat menilainya. Islam datang dan mengistiharkan kebebasan diri manusia di zaman manusia ketika itu diperhambakan. Hamba dari segi pemikiran, politik, masyarakat, agama, dan ekonomi. Islam datang dan memperkenalkan kebebasan: Kebebasan pegangan akidah, kebebasan berfikir, kebebasan berkata-kata (bersuara) dan kebebasan mengkritik. Kata Allah : “Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekelian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” [Yunus: 99] Islam menjamin kebebasan berfikir, kebebesan ilmu, kebebasan berpandangan, bersuara, dan mengkritik. Juga kebebasan pegangan akidah dan slogan-slogan amalan agama bagi pengikut risalah samawi. Diizinkan kebebasan ini bagi membangunkan kebangkitan yang sebenar. Demikian juga, Islam mengakui kebebasan bertindak selagimana tidak menyakiti orang lain. Ini bertepatan dengan kaedah umum dalam Islam : “Tidak mudarat dan memudaratkan”. Justeru, apa jua kebebasan yang membawa kepada kemudaratan diri atau orang lain adalah dihalang. Terikat dalam kaedah ini, bahawa kebebasan anda berakhir apabila bermulanya kebebasan orang lain. Ini bagi memperluaskan keamanan dan memberi peluang pembinaan kecemerlangan dalam erti kata sebenar. Kesatuan Kekuatan kita adalah pada kesatuan dan perpaduan kita. Manakala kelemahan kita adalah pada pepecahan kita. Allah berkata : “Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” [Ali Imraan : 103] Antara keistimewaan paling besar dalam umat ini adalah; ia merupakan sebuah umat yang bersatu. Kata Allah : “Dan sesungguhnya agama Islam ini adalah agama kamu – agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaku” [Al-Mukminun : 52] Hendaklah kita bersatu padu bagi membina negara ini dan memberikan kebaikan terbaik atas permasalahan peribadi. Ini bertujuan kembali membina apa yang telah dihancurkan oleh si zalim. Allah telah menghancurkan mereka untuk kita. Perpecahan dan perselisihan tidak akan memberi manfaat kepada kita, melainkan memberi manfaat kepada musuh kita. Hendaklah kita berpegang teguh dengan kata Allah : “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantah; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bersabar.” [Al-Anfaal : 46] Adab Berdebat Tujuan berdebat ialah untuk mencapai kebenaran, bukannya untuk memenangkan pendapat. Kebenaran itu adalah objektif yang dikehendaki dan tinggalan yang diingini. Antara kata-kata popular Imam Asy-Syafie, beliau pernah berkata : “Aku tidak pernah berdebat melainkan aku tidak peduli; samada Allah menjelaskan kebenaran itu dari lidahku, atau lidahnya” Berdialog dengan buruk dan tidak berdebat gaya terbaik akan menyempitkan dada, memecahkan hati-hati, serta menaburkan tenaga dan usaha. Apabila telah jelas kebenaran dari pihak lawan, dan kuat pula buktinya, hendaklah pendebat mengikutinya dan mengakui kesalahannya. Bahkan lagi, hendaklah dia berterima kasih kerana telah mendapat penjelasan kebenaran dari pihak lawannya. Kebenaran itu hendaklah diikuti, manakala kebatilan hendaklah dijauhi. Jangan sesekali dia fanatik dengan pandangannya dan berkeras pula memenangkan pandangan tersebut sekalipun ia salah. Allah telah memberi amaran kepada kita dengan kataNya: “Dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentangnya). [Al-Israa`: 53] Fiqh Berbeza Pendapat Al-Quran telah mengakui wujudnya perbezaan pendapat. “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisih.” [Hud: 118] Ayat tersebut menjelaskan bahawa atas kehendak Allah, maka Dia menjadikan manusia itu berselisih. Wajiblah bagi kita menjadikan perselisihan itu sebagai titik mula pembinaan bukan pilihan kehancuran. Kita hendaklah menjadikan perselisihan yang mambantu (Ikhtilaf Tanawwu`) yang membina pandangan, bukannya perselisihan menentang (Ikhtilaf Tudhad) yang menyelerakkan kesungguhan dan kemampuan. Hendaklah kita menghormati orang lain, serta janganlah berburuk sangka. Jangan juga kita mengumpat dan mencari-cari kesalahan orang lain. Hendaklah kita berkomunikasi dengan positif, insaf, terbuka, dan berkomunikasi yang terbaik dengannya. Negara kita menghendaki dari kita kesungguhguhan total untuk melakukan pembinaan yang telah diruntuhkan dari kita. Bagaimana kita dapat membinanya sekiranya kesungguhan kita masih berselerak dan hati-hati kita masih berpecah belah, setiap orang mencari-cari kesalahan dan kekurangan saudaranya untuk menjatuhkannya. Hendaklah kita meletakkan diri pada tempat saudara kita kerana iman itu tidak akan menjadi sempurna melainkan jika kita mengasihi saudara kita sepertimana kita mencintai diri sendiri. Keadilan Mengembalikan keadilan merupakan asas penting Islam yang membangunkan kebangkitan, memajukan masyarakat, serta merealisasikan kebahagiaan individu dan kumpulan. “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang dari melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangannya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” [An-Nahl: 90] Ibnu Qayyim berkata : “Sesungguhnya Allah swt mengutuskan rasul-RasulNya, menurunkan kitab-kitabNya, bagi memberi keadilan kepada manusia. Ia adalah kebenaran yang mendirikan bumi dan langit. Apabila kamu melihat tanda-tanda keadilan dimana saja sekalipun, maka ianya adalah syariat Allah dan agamanya.” Keadilan itu hendaklah diberikan kepada orang yang menyokong dan orang yang menentang. Kata Allah “Dan janganlah sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa.” [Al-Maidah: 8] Masyarakat hendaklah merealisasikan keadilan di muka bumi, dan membina seluruh kehidupannya atas asas dan kaedah-kaedah keadilan sehingga ia mampu untuk hidup dengan kehidupan yang bebas mulia. Setiap individu pula gembira berada dalam naungan kebebasannya, bagi mencipta, melahirkan, dan menyebarkan kebaikan untuk semua. Menghormati Kehendak rakyat Revolusi ‘Musim Bunga’ Tanah Arab telah mengakhirkan penghambaan dan autokrasi dalam negara dan rakyat. Autokrasi itu mencuri kekayaan negara dan memalsukan kehendak rakyat. Zaman “Firaun berkata : Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar”[Al-Mukmin: 29] Telah berakhir. Pandangan rakyat kini diangkat tinggi sehingga mereka menjadi ketua akan keputusannya. Imam kita, Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah melakarkan batasan bagi pembinaan kebangkitan dan menjulang rakyatnya. Beliau berkata: “Sesungguhnya pembentukan masyarakat, pendidikan rakyat, realisasi cita-cita, dan kemenangan prinsip.. menagih dari masyarakat akan kekuatan besar yang meliputi beberapa perkara: (1) Kemahuan yang kuat, yang tidak terpukul oleh kelemahan (2) Keteguhan yang tidak dikalahkan oleh pengkhianatan (3) Pengorbanan yang murni, yang tidak dihalangi oleh sifat tamak dan kedekut (4) Mengenali prinsip dan meyakininya serta menghargainya, terlindung dari kesalahan di dalamnya, tidak ada penyimpangan dan tawar-menawar serta penipuan padanya” Tumpahnya darah syuhadak membuktikan kehendak rakyat, lantas membangkitlah pohon kebebasan. Janganlah kita memperkecilkan kehendak rakyat, tetapi hendaklah kita memberi jalan padanya, dan bergerak dengan suasananya. Dan janganlah cuba memutar belitkan keadaan- sekalipun dia merasa mampu untuk menghadapi masyarakat. Persaingan dalam cara kebangkitan di negara kita, melaksanakan program yang berfaedah, dan kesalingan kita untu membantu kemajuan merupakan persaingan yang mulia. Jauh dari perlawanan yang keji yang hanya menyempitkan dada, dan menghentikan kemajuan. Hendaklah kita memandang (kehendak) Allah kemudian rakyat kita dari diri kita sendiri bagi menjelaskan praktikal cinta kita kepada mereka. Ia dilihat dari tindakan praktikal dalam kebangkitan yang sebenar yang mengembalikan hak kedudukan antara masyarakat. Semua rakyat diseluruh penjuru dunia telah bersepakat untuk berganti kepada pemerintahan demokrasi atas undian, barangsiapa yang mengajak pada selain dari itu, maka dia tidak bersetuju dengan dirinya sendiri. Kehendak rakyat adalah yang mendominasi. Ianya kekal dan sangat kuat dengan izin Allah. Ia diatas segala kekuatan dan pemerintahan. Maka semua orang hendaklah menghormatinya dan janganlah memperkecilkannya bagi kemajuan negara untuk masyarakat. Awas Dengan Khabar Angin Awas dengan khabar angin. Ianya senjata yang membawa maut. Ia digunakan oleh musuh untuk menentang. Dulunya ia digunakan ketika perang. Malangnya, kini ia digunakan oleh orang yang saling bersaing dalam politik antara mereka tanpa mengetahui akan bahayanya terhadap negara dan rakyat. Mereka terlupa akan kata Allah : “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” [Qaaf: 18] “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [Al-Israa: 36] Sebahagian dari media bacaan, tontonan, dan yang didengar tidak memberikan kebenaran. Lantas ia membantu mewujudkan kekeliruan dan keraguan. Ia cenderung kepada satu individu atau kelompok. Lalu tersebarlah kabar angin, cerita tidak benar, dan analisis salah. Ia dinyatakan seolah-olah ia satu kebenaran (sedangkan ia tidak). Sesungguhnya kabar angina hanya menghancurkan, tidak membina. Tidak mungkin terjadi kebangkitan atas sokongan kaedah kabar angin. Jadikanlah kaedah kita sepertimana kata Allah : “Wahai orang yang beriman, apabila datang kepada kamu satu berita maka selidiklah terlebih dahulu kebenarannya. Supaya kamu tidak menimpakan satu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” [Al-hujurat : 6] Maka awasilah khabar angin dan bahaya menyebarkannya atau memberi saham dalam menyebarkannya. “Cukuplah dikatakan seorang itu sebagai pendusta apabila dia berbicara tentang apa sahaja yang dia dengar” – Hadis Sahih dalam rekod Muslim. Wahai umat Islam.. wahai manusia keseluruhannya.. Sesungguhnya umat kita sekarang ini dalam peringkat kebangkitan. Ia menagih dari kita semua untuk bersatu padu dengan kekuatan dan kesungguhan. Kita bergerak secara bersama dalam satu arah yang sama bagi pembinaan negara kita, kebangkitannya, dan kesatuannya. Hendaklah kita memperbanyakkan kerja baik bagi merealisasikan kemajuan yang sebenar. Ini tidak akan berhasil melainkan dengan penampilan akhlak dan nilai yang telah ditanamkan Islam dalam jiwa. Akhlak yang dianggap penyelamat umat manusia jika ia dilaksanakan dalam diri dan kehidupan kita sekarang ini. Kata Allah : “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantah.; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bersabar.” [Al-Anfaal: 46] (وصلى اللهم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.. _____________________ Allah Maha Besar, dan bagi Allah segala bentuk pujian. Kaherah, 22 Muharram 1434H. Bersamaan 6 Disember 2012 Penterjemah : Syihabudin Ahmad Sumber asal berbahasa Arab : http://www.facebook.com/photo.php?fbid=415756975163022&set=a.392330860838967.87974.384587744946612&type=1&relevant_count=1

Blog Archive