Saturday, February 09, 2013

“ BUDAYA KESESATAN”

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia “ BUDAYA KESESATAN” (8 Februari 2013 / 27 Rabiulawal 1434H Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “ BUDAYA KESESATAN. ”
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Budaya menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Ada yang mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin bermaksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”, digunakan pada zaman Rom Kuno kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka ianya telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala. Berdasarkan kepada pandangan tokoh-tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu, mimbar ingin menegaskan bahawa pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari terserbut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, kita sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah. Ingatlah, agama Islam tidak sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semulajadi manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu semata-mata. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar antaranya, ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang semakin lemah dan kekaburan kita didalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Janganlah hanya kerana mengejar cinta, kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119: Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. ” Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15: Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar. ”. Ayat ini jelas mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya daripada syahwat. ” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Mimbar ingin menyatakan bahawa keindahan dalam menzahirkan kasih sayang melalui ikatan yang sah perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat. FirmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 207: Bermaksud: “Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. ” Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak khususnya kepada pihak media agar mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam, jangan kita terjebak dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi akidah, syariah dan tamadun manusia. Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran. Inilah masanya, semua umat Islam perlu sedar dan bersatu menolak Sambutan Valentine’s Day kerana ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam dan bukannya menyerahkan tanggugjawab ini hanya kepada pihak pemerintah semata-mata.Yakin dan percayalah, jika semua umat Islam bersatu hati dan memainkan peranan masing – masing, segala budaya maksiat dan songsang ini pasti dapat kita hentikan. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian terutama kepada ibu-bapa marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dengan menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran, senantiasa memerhati gerak geri anak-anak samaada dari segi tingkah lakunya dan pergaulan hariannya. Cuba kita bayangkan, apakah akibatnya kepada institusi keluarga dan masa depan negara jika masih ada lagi ibu bapa yang leka dan sanggup membiarkan anak mereka terus bergelumang dalam maksiat dan pergaulan bebas?. Oleh itu, marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita dengan menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya serta mematuhi segala perintah dan larangan yang telah ditetapkan, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita diberkati dan diredhai-Nya. Marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96: Maksudnya: “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. ”