Thursday, February 14, 2013

PENGGUNAAN FEQH MUWAZANAH

PENGGUNAAN FEQH MUWAZANAH DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN. Membuat keputusan tidaklah semudah ungkapan atau arahan untuk mencapainya . Terkadang proses kajian dan perbincangan untuk membuat keputusan hanya berakhir dengan kebuntuan apabila ianya tidak berada di atas landasan atau manhaj membuat keputusan yang baik dan betul . Terutama keputusan yang melibatkan soal strategi dan gerakkerja amal Islami dalam Gerakan Islam . Tidak mudah kerana ia berhadapan dengan 1001 kemungkinan sementara harapan yang disandarkan dari keputusan tersebut sangat tinggi . Justeru itu , kita mesti benar - benar menguasai manhaj dan mekanisme membuat keputusan agar kita mampu meminimakan unsur kelemahan dan kekurangan dalam keputusan yang diambil , jauh sekali unsur kesilapan dan kesalahan dalam memuktamadkan sesuatu keputusan . Saya melihat antara mekanisme yang perlu dikuasai oleh para amilin Gerakan Islam khasnya para pemimpin ialah Feqh Muwazanah atau Kefahaman yang jelas , benar dan tepat dalam pertimbangan sebelum membuat keputusan . Peranan Feqh Muwazanah . Feqh Muwazanah [ Feqh Pertimbangan ] adalah satu makenisme yang sangat berkait rapat dengan Feqh al Awlawiyyat [ Feqh Keutamaan ] dalam kita mengambil sesuatu keputusan dan tindakan agar apa yang kita lakukan adalah suatu yang terbaik . Secara garis kasarnya , Feqh Muwazanah ialah : * Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemaslahatan dan manafaat dari berbagai kebaikan yang telah disyariatkan . * Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemudharatan , kerosakan dan kejahatan yang dilarang atau ditegah oleh Syariat . * Membuat pertimbangan antara maslahat ( kepentingan ) dan mudharat ( kerosakan ) , antara kebaikan dan keburukan apabila 2 perkara yang bertentangan ini bertemu antara satu sama lain . PERTIMBANGAN [ AT - TAWAZUN ] ANTARA MASLAHAH . Kita akan dapati Maslahah ( kepentingan / kebaikan ) yng telah ditetapkan oleh syara' tidak berada dalam satu kategori sahaja bahkan ia terbahagi kepada beberapa kategori : a ] Dhoruriyat - ضروريات Jika tidak memilikinya ( dhoruriyat ) nescaya kita tidak boleh menjalani kehidupan ini seperti agama , nyawa dan aqal . b ] Haajiyat - حاجيات Kita masih mampu hidup sekalipun tanpa memilikinya ( haajiyat ) tetapi kita akan mengalami kesukaran dan kesulitan hidup yang getir seperti rumah , kenderaan dan perkara seumpamanya. c ] Tahsiiniyat - تحسينيات Suatu yang menambah keselesaan , kesenangan dan kemewahan dalam hidup kita dan ia juga sering disebut sebagai pelengkap ( كماليات ) seperti kenderaan kedua , rumah kedua , perabot tambahan dan lain - lain . Keputusan yang kita hendak ambil ialah pastinya keputusan yang terbaik atau yang afdhal dan yang Aula . Maka pertimbangannya secara prinsip umum ialah mendahulukan Dhoruriyat ke atas Haajiyat demikian juga Tahsiiniyat . Begitu pula sewajarnya kita mendahulukan Haajiyat ke atas Tahsiiniyat dalam pertimbangan yang melibat perkara dalam 2 kategori tersebut . Dhoruriyat terbahagi kepada 5 : * Agama * Jiwa * Keturunan * Aqal * Harta Sebahagian Ulama' menambah perkara yang ke enam dalam senarai Dhoruriyat ini iaitu Maruah ( penghormatan ) . Proses membuat keputusan ialah mengambil pertimbangan dengan teliti dan meletakkan Agama sebagai perkara yang terpenting daripada senarai dhoruriyat dan ia mesti didahulukan berbanding Jiwa , keturunan , aqal dan harta . Pertimbangan teliti dan cermat ke arah menghasilkan keputusan yang baik dan wajar terhadap pelbagai maslahah ( kepentingan ) tersebut ialah dengan menggunakan kaedah berikut : 1. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang sudah pasti ke atas maslahah ( kepentingan ) dalam jangkaan atau masih diragui kedudukannya . 2. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang besar ke atas maslahah ( kepentingan ) yang kecil . 3. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) awam berbanding maslahah ( kepentingan ) individu . 4 . Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang banyak berbanding maslahah ( kepentingan ) yang sedikit . 5 . Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang berterusan dan berkesinambungan berbanding maslahah ( kepentingan ) yang sementara . 6. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) inti dan prinsip yang fundamental berbanding maslahah ( kepentingan ) yang bersifat luaran ( cabang ) dan tidak penting . 7. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) masa depan yang kuat , kukuh dan pasti berbanding maslahah ( kepentingan ) semasa yang lemah dan tidak pasti . Iktibar dari Hudaibiyah Sebagai contoh kita boleh melihat peristiwa Perjanjian Hudaibiyah bagaimana Nabi saw telah mengutamakan maslahah ( kepentingan ) prinsip dan masa depan berbanding maslahah ( kepentingan ) yang bersifat cabang dan semasa . Nabi saw. setuju memadam kalimah Bismillahirrahmanirrahim sebagaimana yang dituntut oleh Kafir Quraisy pada surat perjanjian lalu diganti dengan Bismikallahumma . Demikian juga Nabi saw. setuju memadam nama Baginda Muhammad Rasulullah lalu diganti kepada Muhammad bin Abdullah . Tindakan yang diambil oleh Nabi saw. adalah menafikan ( maslahah ) kepentingan semasa yang bukan sahaja membuatkan Nabi saw terpaksa menangguhkan umrah pada tahun itu ( walau telah berihram ) tetapi juga terpaksa berhadapan dengan bantahan dari para sahabat yang merasakan bahawa mereka ditewaskan oleh kuffar Quraisy secara diplomatik . Namun begitu , Nabi melihat maslahah ( kepentingan ) masa depan dengan mewujudkan perjanjian damai atau gencatan senjata dengan musuh yang membolehkan Islam bergerak dan berkembang pesat di era damai itu , lalu akhirnya membawa kepada kemenangan besar bagi ummat Islam iaitu Fathul Makkah ( pembukaan Kota Makkah ) PERTIMBANGAN [ AT - TAWAZUN ] ANTARA MUDHARAT Mudharat ( kerosakan ) juga mempunyai beberapa tahap . Mudharat ( kerosakan ) yang memusnahkan dhoruriyat seperti agama adalah tidak sama dengan mudharat ( kerosakan ) yang membinasakan Haajiyat dan Tahsiiniyat seperti rumah dan perabot . Demikianlah juga mudharat yang merosakkan harta dan jiwa tidak sama tahapnya dengan mudharat yang meruntuhkan agama dan aqidah ( walau dalam satu kategori iaitu dhoruriyat ) . Justeru itu , para Fuqaha' menetapkan beberapa kaedah untuk menangani persoalan ini : 1. Tiada bahaya ( tidak boleh mencetuskan bahaya ) dan tidak boleh membahayakan ( diri sendiri atau pihak lain ) 2. Suatu bahaya seboleh mungkin mestilah disingkirkan . 3. Suatu bahaya tidak boleh dihapuskan dengan bahaya yang serupa atau lebih . 4. Bahaya yang ringan jika dibanding dengan bahaya yang lain ( lebih berat ) mesti dipilih ( bahaya yang ringan ) dan boleh dilakukan . 5. Bahaya yang lebih ringan boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang lebih besar . 6. Bahaya yang bersifat khusus boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang sifatnya lebih umum dan luas . PERTIMBANGAN APABILA MASLAHAH DAN MUDHARAT BERTEMU Apabila dalam satu perkara mempunyai maslahah ( kepentingan ) dan mudharat ( kerosakan ) secara serentak . Ada bahaya dan dalam masa yang sama ada manafaat . Keadaan ini sangat - sangat memerlukan kita menimbangnya dengan teliti , tekun dan cermat sebelum membuat keputusan . Situasi seperti ini menuntut kita mengambil keputusan berasaskan pertimbangan yang lebih berat dan lebih banyak dengan mengabaikan yang lebih ringan dan sedikit . Contohnya arak . Kita terpaksa mengabaikan sedikit manafaat yang terkandung didalamnya berbanding mudharat yang lebih besar dan banyak padanya . Firman Allah swt : يسئلونك عن الخمر و الميسر قل فيهما إثم كبير و منافع للناس و إثمهما أكبر من نفعهما Mereka bertanya kepadamu Wahai Muhammad mengenai Khamar ( arak ) dan judi , katakanlah : pada keduanya ada dosa ( kemudharatan ) yang besar dan manafaat bagi manusia dan dosa ( kemudharatan ) pada keduanya lebih banyak dari manafaat keduanya . Surah al Baqarah : 219 Sebaliknya jikalau dalam satu perkara itu terdapat manafaat yang banyak dan lebih besar maka perkara itu boleh dilakukan sementara kerosakan kecil yang ada padanya boleh diabaikan . Antara kaedah penting dalam menangani perkara ini ialah : 1. Menolak mudharat ( kerosakan ) mestilah didahulukan ke atas pengambilan manafaat . درء المفاسد على جلب المصالح Kaedah ini disempurnakan oleh kaedah yang lain : 1. Kerosakan yang kecil dimaafkan untuk mendapatkan kemaslahatan yang lebih besar . 2. Kerosakan yang bersifat sementara dimaafkan demi kemaslahatan yang sifatnya berterusan / berkesinambungan . 3. Kemaslahatan yang sudah pasti tidak boleh ditinggalkan hanya kerana ada kerosakan yang baru dijangka wujudnya . Penutup Sesungguhnya Feqh Muwazanah ini mempunyai erti yang sangat besar dan penting , khususnya dalam masaalah siasah syari'yah kerana ia merupakan landaan pembinaan ummah yang pemeringkatannya juga boleh dilihat sebagai Feqh al Aulawiyat . Sewaktu kita membuat keputusan dalam menetapkan gerakkerja jamaah sebagai contoh , seringkali kita berdepan dengan dilemma antara dua perkara dimana kedua - duanya dilihat baik atau paling baik seperti menentukan calon dalam pilihanraya . Feqh Muwazanah memainkan peranan besar dalam perkara ini . Tatkala sukar membuat keputusan , terkadang kita terpaksa mendahulukan perkara baik tanpa risiko berbanding perkara yang paling baik tetapi mempunyai risiko . Begitu juga disaat berat kita buat keputusan , feqh Muwazanah menetapkan cara kita membuat keputusan seperti kita terperangkap antara dua situasi " kalau berjuang mungkin kita mati tetapi kalau tidak berjuang agama pula mungkin mati " maka pertimbangannya ialah dibaca sekali dengan Feqh Aulawiyat bahawa kita kita mesti mendahulukan Agama berbanding Jiwa kita . lalu wajib kita kita turun berjuang walau risikonya mengorbankan nyawa . LAMPIRAN : BAGAIMANA MENGENAL PASTI MASLAHAT DAN MUDHARAT Nota : 1 Asasnya , kemaslahatan yang perlu dipelihara ialah kemaslahatan akhirat demikian juga kemaslahatan dunia menurut urutannya . Bertolak dari nokhtah itu , kita boleh mengenal pasti kemaslahatan dan kemudharatan ini melalui : a. Ketetapan Agama ( Nas Naqli ) b. Fungsi Aqal Fikiran ( Nas Aqli ) c. atau kedua - duanya sekali . Pendapat Imam Izzudin Abdus Salam dalam kitabnya : Qawai'd al Ahkam Masholih al Imam seperti berikut : " Kebanyakan kemaslahatan dunia dan kerosakannya dapat diketahui dengan aqal sekaligus menjadi bahagian terbesar dari syariah kerana telah diketahui bahawa sebelum ajaran agama diturunkan , orang yang beraqal telah mengetahui bahawa usaha mereka untuk mencapai suatu kebaikan dan menghindar terjadinya suatu kerosakan pada diri manusia menurut pandangannya suatu yang terpuji dan baik ." Nota 2 : " Mendahulukan sesuatu kemaslahatan yang diterima kuat ( rajih ) atas kemaslahatan yang tidak diterima ( marjuh ) juga merupakan suatu yang terpuji dan baik . Sementara penolakan terhadap kerosakan yang dianggap pasti berbanding penolakan ke atas perkara yang dianggap belum pasti juga merupakan suatu yang baik . " Nota 3 : Konsep asal yang diambil dalam membuat pertimbangan ( tawazun ) : Tindakan yang menghasilkan kemaslahatan yang baik merupakan perbuatan yang paling mulia sedang perbuatan yang menghasilkan kerosakan merupakan amalan atau tindakan yang paling hina . Nota 4 : a.] Kemaslahatan mempunyai 3 bahagian : - Wajib - Sunat - Mubah ( harus ) b.] Kemudharatan mempunyai 2 bahagian : - Haram - Makruh Sekian , semoga keputusan dibuat adalah yang terbaik : Salam Perjuangan dari saya. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi

Blog Archive