Gurauan Yang Dituntut Oleh Islam
SELAIN mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh lidah manusia ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-olok dan berjenaka.
bingkisan
Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan sebagai ‘al-mizah’. Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud;
“Jangan engkau bantahi saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia.”
(Hidayatus Salikin: 170). Menurut Imam al-Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada banyak tertawa.
Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh ‘menanggalkan’ hati. Paling dahsyat, menurut beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan derhaka. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; “Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakannya tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun.” Imam Ghazali menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata untuk menimbulkan gelak ketawa.
Kata-kata gurau senda sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini kerana dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita yang ganjil dan tidak masuk akal dan kebanyakannya cerita dusta. Inilah puncanya orang yang membuat kelakar boleh hilang malu. Pada hakikatnya malu senjata orang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang beriman.
Yang paling mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah atau separuh lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain. Rasulullah bersabda bermaksud; “Malu adalah cabang daripada iman.” Dalam sabda lain, baginda menyatakan; “Malu dan iman seganding. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka terangkatlah kedua-duanya.” Dapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hilang perasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya.
Namun begitu, bergurau ala kadar dibolehkan. Bagi sesetengah orang yang tidak tahan bergurau mungkin menimbulkan persengketaan atau perkelahian. Maka ini bertentangan dengan kehendak Islam. Firman Allah bermaksud; “Sesungguhnya orang beriman itu adalah
bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-duanya.” (al-Hujurat: 11). Justeru, elakkanlah bergurau, bersenda melampaui batas perasaan atau pemikiran rasional supaya ukhuwah sesama kita tetap terpelihara.
sumber : email
Banyak membaca selawat adalah penyebab yang kuat untuk terang hati dan menambahkan daya ingatan. Abu Hurairah r.a. berkata,
“Siapa takutkan kelupaan dirinya, maka hendaklah dia memperbanyakkan membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.”
Rasullullah s.a.w. sendiri pun pernah bersabda,
“Selawat kepadaku itu adalah nur di dalam hati, nur di dalam kubur dan nur di Titian As-Sirat.”