Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan ini ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan ahli serta kepimpinan Saadat Partisi di atas kepulangan Almarhum Dr Necmettin Erbakan ke rahmatullah pada hari ini 27 Februari 2011 bersamaan dengan 24 Rabiul Awal 1432 Hijriah.
Sesungguhnya Allah SWT telah memanggil Almarhum pulang ke tempat asal yang dijanjikan oleh Nya, walaupun kehilangannya akan dirasai oleh seluruh penyokong dan pendokong gerakan Islam di serata pelusuk dunia. Beliau adalah seorang mujahid, ahli akademik, ilmua ulung dalam bidang teknologi, jurutera, mantan perdana menteri, pemimpin parti, bapa dan mentor kepada ramai pimpinan gerakan Islam di dunia ini, termasuklah pimpinan PAS sendiri.
Kepimpinan beliau terserlah, di saat dunia Islam berdepan dengan pelbagai kemelut sejak puluhan tahun ini, termasuklah pergolakan di Asia Barat dalam isu Perang Teluk, Afghanistan, dan gerakan pembaharuan dalam dunia Islam yang dilaksanakan oleh beliau sepanjang tempoh singkat Almarhum menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 1996 - 1997.
Tentunya kehilangan beliau dari persada politik antarabangsa akan dirasai, terutamanya kepada PAS yang sentiasa menjadi tetamu Almarhum dalam pelbagai seminar dan diskusi ekonomi dan dunia Islam yang dianjurkan oleh Almarhum setiap tahun.
Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan ruh Almarhum di kalangan para nabi, siddiqin, syuhada dan sholihin.
AL FAATIHAH.
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
24 Rabiul Awal 1432 H / 27 Februari 2011 M