Wednesday, May 23, 2012

pandangan ISMA

pandangan ISMA
Ini tulisan Saudara Hazizi dari ISMA :

Sampaikanlah Pandanganku Ini


1) Arahan agar umat Islam bersatu adalah sabit (bersumberkan) dengan nas al-Quran dalam lebih daripada satu ayat. Manakala hukum harus untuk kerjasama politik dengan organisasi kafir hanya bersumberkan “Istislah” / “Masolih Mursalah”. Orang yang belajar ilmu fekah dan usul fekah akan faham jurang perbezaan antara yang sabit dengan nas dengan yang sabit dengan “Istislah”.

2) Jika kerjasama itu memburukkan lagi perpecahan umat Islam sehingga dominasi politik orang Islam terhakis dan gerakan liberal Barat semakin mengukuhkan kedudukan, maka lenyaplah keharusan kerjasama itu kerana maslahat politik pada ketika itu sudah menjadi maslahat “malghiah” (dibatalkan oleh syarak) kerana bertentangan dengan nas al-Quran yang mengarahkan umat bersatu demi memelihara kekuatan.

3) Pada ketika itu, orang yang belajar ilmu fekah dan usul fekah semestinya faham bahawa tuntutan bersatu (wajib) adalah ganti kepada kerjasama dengan organisasi kafir itu. Adapun sikap membandingkan antara kerjasama UMNO dengan MCA dan kerjasama PAS dengan DAP, yang mana satu lebih baik, adalah mentaliti orang yang tak belajar fekah dan usul fekah, atau ia mentaliti orang yang belajar ilmu fekah dan usul fekah tetapi sengaja mengetepikannya kerana hawa nafsu politik.

4) Kaedah fekah mengatakan ما لا يدرك جله لا يترك كله , yang bermaksud “Apa yang tidak diperoleh kesemuanya maka tidak ditinggal kesemuanya”, maka kesatuan yang difikirkan hampir mustahil itu wajib diusahakan walaupun sedikit, hatta sekadar kerjasama. Tiada alasan untuk meninggalkan perkara yang wajib ini. Mentaliti menyalahkan pihak lain samalah seperti perangai Bani Israel yang banyak soal apabila diarahkan menyembelih lembu oleh Allah.

5) Isu ini adalah isu hukum syarak. Ia bukan isu logik minum arak dengan orang Islam dan minum teh dengan orang kafir. Analogi jahil syariah itu mampu memesongkan pemikiran anak muda yang tidak belajar fekah dan usul fekah, dan mereka itu ramai bilangannya. Sikap pandang ringan dan mudah-mudah mengeluarkan analogi yang bertentangan dengan hukum syarak adalah sikap yang merbahaya dan kurang beradab kepada syarak.

6) Kepada ulamak yang membisu dan tidak bersuara menerangkan hukum di atas, demi menjaga kepentingan politik, kedudukan, perniagaan atau hati kawan, saya berlepas diri daripada antum.

اللهم إني قد بلغت اللهم فاشهد

JAWAPAN BALAS DARI SEORANG STUDENT AL-AZHAR MESIR

1. Menyamakan penilaian usul fiqh dengan masalah fatwa semasa (tahalluf siasi) yang mana sudah ramai ulama muktabar dunia seperti Syeikh Dr Yusuf Al Qardhawi dan organisasi ilmu Islam seperti Azhar sudah lama mengharuskan kerjasama politik dengan bukan Islam terutama dalam usaha membersihkan pemerintahan negara dari kezaliman, penyelewengan dan ketidaktelusan. Salah seorang ulama kanan Al Azhar, Syeikh Dr Hasan Syafie di dalam khutbahnya di Masjid Azhar dengan jelas menyebut di dalam pemerintahan negara, muslim yang zalim dan korup lebih teruk dari si kafir yang adil.

2. Pemimpin NGO ini dengan jelas memfokuskan bahawa punca utama dominasi politik orang Islam terhakis disebabkan tiada kerjasama antara UMNO dan PAS. Di sini saya ingin bertanya, apa takrifannya dalam hal kerjasama ini? Kesatuan parti atau kesatuan dalam isu dan kepentingan umat Islam?

3. Jika ia membawa maksud kesatuan dalam bentuk isu, saya nak bertanya, siapakah yang menggagalkan 1001 peluang kerjasama demi kebaikan umat Islam? Saya menganggap pemimpin NGO ini tidak mengetahui akan hal ini. Maka, saya akan senaraikan sedikit untuk pengetahuannya.
Kegagalan perlaksanaan hudud di Kelantan sejak 1993 ia digubalkan sehingga sekarang. Di manakah sokongan UMNO di dalam hal ini?
Hak royalti petroleum untuk Kelantan dan Terengganu (1999-2004) ternafi sedangkan rakayt dua negeri ini majoriti adalah Melayu Islam.
Pernahkah UMNO berusaha sebagai ketua kerajaan untuk mendaulatkan Islam di dalam undang-undang negara dalam keadaan PAS telah berkali-kali berkata akan menyokong pindaan untuk mengangkat Islam sebagai teras kerajaan?
Peristiwa PAS ditendang keluar dari BN pada krisis 1976-1979 hanya kerana PAS mula mendapat sambutan dengan gerak kerja dakwah yang PAS lakukan semasa berada dalam kerajaan BN.
Siapakah yang menghina institusi Raja-raja Melayu yang mejadi payung kepada umat Islam di negara ini semasa krisis perlembagaan tahun 1993 di mana ketika itu raja Melayu dihina selepas UMNO kalah teruk terutama di Kelantan pada pilihan raya 1990.
Siapakah yang menyekat perjalanan dakwah yang dijalankan oleh ramai pendakwah, kemudian dilabelkan sebagai pembangkang. Hanya kerana dakwah yang disampaikan akan membuatkan rakyat sedar dari khayalan sekular, maka ia dihalang kerana menggugat UMNO walaupun memberi keuntungan kepada Islam?
PAs bersendirian dalam isu judi di Kelantan dengan diserang oleh MCA, MIC, Gerakan dan DAP. Dimanakah suara UMNO yang merupakan ketua kerajaan peringkat pusat.
Usaha PAS untuk menegakkan Islam. Siapakah yang menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap usaha PAS ini? PAS terpaksa mengambil jalan menukar pendekatan dengan mengubah slogan, kemudian siapa pula lidah bercabang mengatakan PAS sudah berubah dalam keadaan manusia inilah yang menghina perjuangan Islam PAS selama ini?
Golongan liberal bergerak bebas di dalam negara kita mengikut lunas undang-undang, memperjuangkan idealogi mereka dengan ruang yang diberikan oleh perlembagaan, pernah UMNO usaha untuk gubal undang-undang untuk menyekat mereka yang pastinya akan disokong oleh PAS?

4. Terlalu banyak lagi yang tak larat saya nak nukilkan. Kesatuan umat Islam boleh dicapai dalam isu-isu begini, saya rasa ISMA pun bersetuju akan ini. Tetapi kenapa ISMA membutakan mata memekakkan telinga dari memahami realiti dan keadaan sebenar apa yang berlaku.

5. Masalah perpecahan orang Islam sama sekali tidak berkaitan dengan tidak bersatunya PAS dan UMNO dalam kerjasama politik. Ini kerana perpaduan umat Islam tetap boleh tercapai dengan kerjsama isu dan kepentingan umat Islam. Tetapi, dengan jelas dapat dibuktikan setiap peluang kerjasama yang terhidang dikhianati oleh UMNO. Ini yang saya nampak ISMA seakan menyembunyikan realiti dan melonggokkan kesalahan ini kepada PAS hanya kerana PAS berkerjasama dengan DAP.

6. Pemimpin ISMA ini menggunakan modal hujah usul fiqhnya untuk menghentam kerjasama PAS dengan DAP (walaupun salah tempat dan premisnya). Saya pula nampak seakan-akan mafhum mukhalafahnya mesti kerjasama dengan UMNO yang zalim dan korup dan menghukumkan kerjasama dengan kafir walaupun adil sebagai haram. Siapa ajar wajib kerjasama dengan muslim yang zalim hanya kerana dia muslim dan haram kerjasama dengan kafir yang bersih dari penyelewengan hanya kerana ia kafir? Ini satu kecelaruan istinbat hukum yang parah dan boleh mengelirukan masyarakat.

7. ISMA ibarat pengulas sukan yang pandai bercakap itu ini terhadap pemain, marah jika terlepas bola, apa yang dibuat pemain bertentangan dengan pendapatnya habis dibidas. Tapi nak bertanya kepada pengulas ini, pernah jumpa pemain-pemain PAS dan bertanya kenapa pemain itu buat begitu? Pernah rasa turun bermain sendiri dan merasa sepak terajang UMNO terhadap PAS?

8. ISMA berteori dengan langsung tidak memijak realiti. Langsung tidak menyedari atau buat-buat tak sedar bahawa laungan kerjasama yang UMNO lafazkan adalah demi untuk kesinambungan kuasanya, bukan demi agama. Jika demi agama, sudah lama kerjasama boleh dilakukan, sudah banyak perkara yang sudah dilakukan. Tapi, apa yang berlaku adalah apabila sesuatu itu kelihatan tidak memihak kepada UMNO, perkara itu akan dicantas walaupun ia memberi kebaikan kepada Islam.

9. Pemimpin itu berkata jangan jadi macam Bani Israel dengan menunding jari pada orang lain. Saya nak bawa satu analogi. Andaikata kita berniaga dengan seorang muslim sebagai rakan kongsi, tetapi dia mengkhianati kita. Kemudian kita bertukar kepada rakan kongsi yang lebih bersih dan tidak khianat tetapi ia orang kafir. Apabila orang bertanya kenapa kita tak kerjasama dengan si muslim itu tadi, kita kata padanya bahawa dia seorang yang kourp dan khianat. Kemudian kita pula diminta jangan jadi seperti Bani Israel yang sering menunding jari kepada orang lain. Patut ke?

10. Inilah yang melanda ISMA iaitu sindrom tak reti nak faham, hanya pandai berteori. Tengok sendiri apa yang pemimpin ISMA katakan sebulan dua ini. Perkara yang sudah diputuskan lama oleh ulama muktabar berkenaan tahalluf siasi ini, yang juga telah dipersepakati oleh ulama di dalam PAS, ISMA tak pernah hormati. Tidak pernah dengar ISMA pergi berjumpa dengan ulama PAS dan bertanya. Yang berlaku, main fikir-fikir sendiri, buat hukum sendiri kemudian ulas di buletin dan artikel. Bila kita pertikaikan, depa minta kita lapang dada. Hangpa dok ulas ikut suka, sikit habuk pun tak rujuk ualam dalam PAS itu lapang dada ke? Anggap diri sahaja betul, PAS dihentam setiap hari, UMNO yang jelas-jelas zalim dan korup langsung tak dijentik, itu lapang dada?

11. Diharapkan ISMA dapat berubah daripada terus-menerus tidak menghormati PAS. Ingin menilik politik, mestilah memakai kacamata siasah syariah yang telah ulama gariskan. Jika kanta kebangsaan dan 'teori kosong' yang jadi sandaran, jangan marah jika ada yang mengatakan ISMA kita sudah menjadi alat. ISMA boleh nafikan, tetapi tindakan pemimpinnya membenarkannya!

Blog Archive