Tiga syarat untuk kebangkitan umat Islam

DALAM Quran ada jaminan daripada Allah bahawa orang-orang Islam adalah umat yang terbaik di sisi-Nya. Malah lebih baik daripada umat lain yang diberikan kitab-kitab terdahulu, iaitu orang-orang Nasrani dan Yahudi.
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab (Nasrani dan Yahudi) beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. - Ali Imran 3: 110 Lalu Allah berjanji bahawa umat lain tidak akan berjaya memudaratkan umat Islam, dan mereka akan kalah jika memerangi kita. Mereka (Ahli Kitab) sekali-kali tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, selain daripada gangguan-gangguan celaan saja, dan jika mereka berperang dengan kamu, pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah). Kemudian mereka tidak mendapat pertolongan. - Ali Imran 3: 111 Jaminan Allah ini telah disempurnakan kepada umat Islam pada zaman Rasulullah SAW sehingga Islam beroleh kemenangan demi kemenangan. Janji Allah itu juga berlaku kepada umat Islam pada zaman selepas Rasulullah selama lebih satu alaf sehingga ke abad ke -19. Islam juga berkembang sampai ke Eropah, tetapi akhirnya tewas dan ditindas sehingga sekarang. Di samping berkembang ke dua pertiga pelosok dunia, Islam juga menempa kecemerlangan dalam pelbagai bidang kehidupan dunia. Akhirnya, di samping tewas di medan peperangan, umat Islam juga ke belakang dalam bidang-bidang kemajuan duniawi yang dulu mereka pelopori. Pada hari ini, selalu sangat ditanya kenapa kenapa umat Islam jadi begini? Malah soalan yang sama terus berulang-ulang, sehingga sudah sampai ke peringkat menjemukan. Jemu kerana seolah-olah tiada jawapan yang tepat lantaran keadaan tidak juga berubah. Antara jawapan yang paling popular terhadap kedaifan umat Islam hari ini, ialah mereka tidak bersatu. Jika dipanjangkan persoalan tidak bersatu ini kepada semua orang Islam, mereka akan bersetuju termasuk yang sedang bergaduh dan berbunuh sesama sendiri. Anehnya umat Islam terus tidak bersatu dan semakin bergaduh, malah berbunuh sesama sendiri. Selain berbunuh sesama sendiri, mereka juga dibunuh oleh oleh tentera negara-negara 'Ahli Kitab'. Kenapa keadaan yang menimpa umat Islam sekarang amat berbeza daripada zaman Rasulullah. Pada zaman itu, tentera Ahli Kitab termasuk pasukan Rom yang paling kuat pada zaman tersebut juga tidak dapat menewaskan tentera Islam. Amat benar janji Allah sebagaimana ayat 111 Ali Imran itu. Oleh kerana ayat 111 itu adalah kesinambungan ayat 110, maka eloklah didalami kandungan ayat 110 itu. Firman Allah dalam ayat itu ialah ''Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. ''

Popular Posts