Saturday, July 07, 2012

Susur Galur & sejarah penubuhan PAS

Susur Galur & sejarah penubuhan PAS
SEJARAH PENUBUHAN PAS
MENGIKUT satu fakta sejarah, PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 23 Ogos 1951. Bagaimanapun, ada fakta lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 (Warta Negara, 26 November 1951 dan Utusan Melayu 25 November 1951).
Walaupun di sini terdapat dua tarikh yang berbeza, namun bagi ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS, fakta kedua (24 November 1951) adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan.
Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31hb. Mei 1955 dengan Nombor Pendaftaran. 733 (Pulau Pinang).



PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah satu-satunya pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948.
Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.
Dalam usaha mereka menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kembali semula kepada Islam, pada tahun 1906 mereka telah berjaya menerbitkan sebuah majalah di Singapura yang diberi nama al-lmam. Selanjutnya pada tahun 1925 terbit pula akhbar Edaran Zaman di Pulau Pinang, majalah al-Ikhwan pada tahun 1926 dan Suara pada tahun 1928.
Dengan terbitnya akhbar dan majalah tersebut, golongan ini telah berjaya mencetuskan Revolusi lntelektual di kalangan masyarakat Melayu dan akhirnya bibit-bibit kesedaran yang ditanamkan itu telah mendorong masyarakat Melayu untuk menubuhkan beberapa kesatuan atau pertubuhan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun-tahun berikutnya.
Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob. la ditubuhkan pada Mei 1937. Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British.
Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941 – 1945.
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin al-Helmi – iaitu seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu. PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh.
Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah.
PKMM telah berjaya memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya.
Selain Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM.
MATA merupakan bahagian agama parti berkenaan. Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama.
Sebagai sebuah parti Islam pertama di negara ini, Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam serta mewujudkan sebuah negara Islam atau Darul Islam. Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO.
Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations.
Sungguhpun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.
Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah menggarap sebahagian besar dari ground work bagi melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS.
Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar dari bekas pucuk pimpinan pusatnya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif. Mereka antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi.
Besar kemungkinan juga Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini. Tambahan lagi ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa dengan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri).
Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan awal penubuhan PAS sebenarnya adalah ditimbulkan oleh sebahagian besar ahli-ahli agama di dalam UMNO semasa berlangsungnya Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth dengan penitia penajanya terdiri daripada:
Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan – Pengerusi
Ustaz Haji Ahmad Maliki – Setiausaha
Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah – Anggota
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah – Anggota
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein – Anggota
Tuan Haji Mansor J.P – Anggota
Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.
Penitia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu – iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Penitia ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadhi dan juga mufti.
Walaupun perhimpunan ulama dan orang perseorangan yang dianjurkan oleh Bahagian Agama UMNO itu pada mulanya berjaya menubuhkan Pertubuhan Ulama, tetapi atas inisiatif Ustaz Othman Hamzah, bekas Ahli Jawatankuasa Hizbul Muslimin yang mewakili Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol berjaya melahirkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) bagi menggantikan Pertubuhan Ulama Se-Malaya yang dicadangkan pada mulanya.
Maka PAS telah ditubuhkan secara rasmi hasil dari perhimpunan atau muktamar tersebut, yang antaranya turut disertai oleh:
Persatuan guru-guru agama dari Perlis.
Persatuan ulama dari Kedah.
Persatuan anak-anak Kalimantan Malaya (PERKAM) Perak.
Kelab Darul Ehsan dari Selangor.
Kelab Melayu Bagan dari Seberang Perai.
Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol, Perak.
Perikatan Melayu Bersatu dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Dan lain-lain badan kebajikan, kelab atau jamaah terutamanya dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Juga hadir sama beberapa orang Tuan Guru, wartawan, imam dan kadhi atas nama peribadi.
Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:
PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.
KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:
Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan – Yang Dipertua Agung
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah – Timbalan Yang Dipertua Agung
Tuan haji Hussin Che Dol – Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
Fakir Muhammad Nor – Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli – Naib Yang Dipertua Agung (Selatan)
Tuan Haji Ahmad Maliki – Setiausaha Agung
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein – Bendahari Agung
Ahli Jawatankuasa Agung pula terdiri daripada:
Tuan Haji Yahya Joned
Tuan Haji Uthman Talib
Tuan Haji Mohammad Nor
Tuan Haji Zabidi Ali
Tuan Haji Abdul Wahab
Tuan Haji Assaiya
Muhammad Mahzub
Tuan Haji Ahmad Nadur.
Jika dilihat kepada persatuan, peribadi dan jumlah yang hadir semasa perhimpunan atau muktamar penubuhan PAS itu, yang kebanyakannya terdiri dari tokoh-tokoh agama, maka secara tidak langsung menunjukkan bahawa elemen dan semangat perjuangan Islam telah tersemai bersama PAS semenjak awal penubuhannya lagi.
Elemen Islam dalam PAS ini lebih terserlah lagi apabila usaha yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung Pertamanya, Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menyetujui gagasan National Conference tajaan Dato’ Onn Jaafar (ramai yang berpendapat di sini bahawa Haji Ahmad Fuad mungkin terpengaruh dengan cara politik Dato’ Onn yang juga merupakan rakan karib beliau) tidak diterima oleh ahli dan penyokong-penyokong PAS.
Kegagalan Haji Ahmad Fuad mendapatkan sokongan ahli dan penyokong-penyokong PAS ini sekali lagi menunjukkan bahawa kesedaran mendalam mengenai politik Islam di kalangan ahli dan penyokongnya telah wujud walaupun PAS sendiri ketika itu masih berada pada tahap yang lemah.
Akhirnya, dalam satu Perhimpunan Khas pada September 1953, Haji Ahmad Fuad terpaksa mengambil jalan keluar dengan meninggalkan PAS bagi bersama-sama Dato’ Onn (menyertai Parti Negara).
Kesedaran Islam di kalangan ahli dan penyokong PAS inilah yang menjadikan satu ciri keistimewaan kepada perjuangan PAS walaupun sepanjang sejarah perjuangannya ramai di kalangan pemimpin atasnya meninggalkan parti, namun parti terus hidup, malah lebih kental dan subur.
Presiden-Presiden PAS
1951-1953 – Hj Ahmad Fuad bin Hassan
1953-1956 – Dr. Hj Abbas bin Hj Ilias (Memangku)
1956-1965 – Dr Burhanuddin bin Hj Mohd Noor (Al-Helmi)
1965-1966 – Tan Sri Mohd Asri Haji Muda (Memangku ketika Dr Burhanuddin ditahan di Bawah ISA)
1966-1969 – Dr Burhanuddin bin Hj Mohd Noor (Al-Helmi)
1969-1982 – Tan Sri Mohd Asri Haji Muda
1982-1989 – Tuan Guru Haji Yusuf Rawa
1989 – 2002 – Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor
2002 – Kini – Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
sumber:pemuda Pas wilayah persekutuan
SINOPSIS PERLEMBAGAAN PAS
Sinopsis Penubuhan
PARTI lslam Se-Malaysia atau ringkasnya disebut PAS adalah sebuah parti politik yang diluluskan pendaftarannya pada 31hb. Mei 1955 dengan Registration No. 733 (Penang). Pada awalnya ia didaftarkan atas nama Persatuan lslam Se-Malaya dengan rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52.
Tujuan
Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Dasar
Dengan itu, dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar.
Usaha
Bagi mencapai tujuan atau matlamat perjuangan tersebut, usaha-usaha yang dilakukan oleh PAS termasuklah:
1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan sunnah Rasulullah melalui dakwah, sama ada secara lisan, tulisan mahupun amalan.
2. Memperjuangkn lslam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke-lslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
3. Memupuk dan memperkuatkan ukhwah lslamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup lslam.
5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara untuk membela kepentingan umat lslam dan rakyat seluruhnya.
6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.
8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran lslam.
9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat lslam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu serta badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
11. Melakukan apa-apa juga usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.
Hukum atau Panduan Perjuangan
Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta ljmak dan Qias yang terang dan menjadi asas panduan dalam perjuangan.
Dengan tertakluk kepada hukum tertinggi tersebut, segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar.
Akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan Muktamar atau Mesyuarat PAS.
Majlis Syura Ulama
Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukkan itu dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukkan dalam hukum tertinggi PAS dan tidak berlawanan pula dengan dasar PAS, maka sebuah majlis yang dinamakan Majlis Syura Ulama ditubuhkan.
Majlis Syura Ulama berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS yang tidak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.
Majlis ini juga berkuasa melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang terdapat pada fasal 75 Perlembagaan parti.
Keahlian
Mengenai ahli PAS, hanya terdapat satu jenis sahaja keahlian di dalam PAS, iaitu dinamakan Ahli PAS. Untuk menjadi ahli PAS, seseorang itu mestilah Warganegara Malaysia, beragama lslam, akil baligh menurut hukum syarak, menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS dan peraturan, arahan-arahan serta keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa.
Seseorang pelajar universiti atau kolej universiti tidak boleh menjadi ahli PAS tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Naib Canselor universiti berkenaan.
Permohonan menjadi ahli PAS hendaklah dibuat melalui Setiausaha Cawangan di mana ia berkehendak masuk menjadi ahli atau jika ada sesuatu sebab yang munasabah, maka permohonan bolehlah dilakukan terus kepada Setiausaha Kawasan ataupun Setiausaha Agung PAS.
Hak Ahli
Seseorang ahli PAS boleh berhenti atau diberhentikan daripada menjadi ahli apabila memohon atau mengisytiharkan diri keluar daripada PAS, dipecat atau menyertai mana-mana parti politik yang lain.
Semua ahli PAS berhak memilih atau dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti dan boleh dicadang untuk mewakili parti, berhak mengundi dan diundi dalam parti mengikut ketentuan-ketentuan yang terdapat di dalam Perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya, berhak menghadiri perhimpunan-perhimpunan dan rapat-rapat parti, berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti serta berhak mendapat apa-apa gelaran yang ditetapkan oleh parti mengikut yang diputuskan oleh Muktamar Tahunan parti apabila dan pada bila-bila masa ada usul yang demikian.
Kewajipan Ahli
Semua ahli-ahli PAS hendaklah taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran lslam yang menjadi dasar PAS, taat dan patuh kepada Perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya, taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah parti, melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh parti sedaya upaya yang boleh, menjaga dengan cermat segala rahsia-rahsia parti, mengamal akhlak lslam, mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti dan menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan lslam bagi diri di dalam negara ini.
Antara kewajipan-kewajipan ahli kepada parti selain daripada yang disebutkan tadi termasuklah menunaikan yuran dan lain-lain menurut keputusan parti dari masa ke semasa, melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus, menghadiri mana-mana kursus, tamrin, atau perhimpunan parti sebagaimana yang ditetap dan diarahkan, memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum lslam, memperkuat kedudukan dan menjaga kehormatan parti sama ada di dalam atau di luar negeri. Pada amnya semua ahli hendaklah melaksanakan kehendak-kehendak Perlembagaan parti.
sumber:dppwp
Posted by Afifzahrah at 10:13 AM No comments:
TUESDAY, JULY 3, 2012
Mengenali Ikhwan selepas kemenangan Dr Morsi
Mengenali Ikhwan selepas kemenangan Dr Morsi
9:55 AM DRS. KHALIL IDHAM LIM

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

Ramai kalangan yang terpegun dengan kemenangan mengejut calon Presiden dari Ikhwan Muslimin, Dr. Mohamed Morsi dalam pilihanraya Presiden Mesir yang berlangsung baru-baru ini, namun siapakh sebenarnya Ikhwan Muslimin?




(Penulis dengan anak pengasas Ikwanul Muslimin, Saiful Islam)

Beliau dicalonkan bertanding di bawah parti politik yang baru ditubuh oleh Ikhwan, Freedom and Justice Party (FJP) atau ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ sebaik sahaja selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada awal tahun lepas.

Begitu juga berapa bulan lepas apabila calon-calon FJP telah memenangi lebih dari 40 peratus kerusi parlimen yang dipertandingkan serta memenangi lebih 60 peratus kerusi ‘Majlis Syura’ yang dipertandingkan bagi meneliti penggubalan perlembagaan baru Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Akan tetapi, pihak tentera SCAF telah bertindak membubarkan kedua-dua institusi ini beberapa minggu lepas setelah Mahkamah Perlembagaan Mesir mengambil keputusan membatalkan keputusan pilihanraya yang telah dijalankan itu.

Namun, ramai yang masih tidak memahami akan dasar dan liku-liku perjuangan yang telah dilalui oleh Ikhwan Muslimin ini sendiri. Ada yang menuduh ia sebagai sebuah ‘pegerakan yang radikal dan extremis, ada yang melebelkan ia sebagai ‘pertubuhan haram yang amat bahaya’ dan ada juga yang menggangap ia sebagai ‘pergerakan agama yang sesat’.

Bagi menanggapi persoalan ini, berikut adalah rumusan pandangan seorang pimpinan Ikhwan Muslimin, Saiful Islam Hassan al-Banna yang juga merupakan putera sulung pengasas pergerakan ini, Hassan Al-Banna sewaktu penulis sempat menziarahi beliau di kota Kairo baru-baru ini.

1. SEJARAH AWAL IKHWAN MUSLIMIN

Nama Ikhwan Muslimin amat sinonim dengan pemimpin-pemimpin agung seperti Hassan Al Banna, Syed Qutb, Omar Telmisani, Mehdi Akiff serta pimpinan gerakan Islam yang lain. Ia mempunyai sejarah serta pengaruh yang amat besar di Mesir serta seluruh rantau Arab.

Sejak ia mula ditubuhkan oleh Hassan Al Banna pada tahun 1927 Ikhwan telah berkembang di seluruh pelusuk dunia dengan pemikiran ‘tajdid’ atau perubahan terutamanya selepas kejatuhan kerajaan Islam Othmaniah. Pemikiran serta pengaruh yang di bawa oleh Hassan Al Banna telah menggerakkan satu cetusan kebangkitan baru di kalangan masyarakat Arab di rantau tersebut pada waktu itu.


2. CABARAN YANG DI HADAPI

Aliran pemikiran serta pendekatan yang di bawa oleh Hassan Al Banna telah mendapat tentangan hebat dari kalangan pemimpin-pemimpin kebanyakan negara Arab sehingga pergerakan ini telah di haramkan dari bergerak aktif di kabanyakan negara. Malah Ikhwan Muslimin telah di tuduh sebagai sebuah pertubuhan ‘bahaya’ yang mahu merampas kuasa secara kekerasan dan membawa pendekatan yang militan.

Ramai pimpinan mereka yang di bunuh dengan kejam termasuk pengasasnya Hasan Al Banna. Sebahagian yang lain pula dikenakan hukuman penjara di serata negara Arab pada waktu itu. Walaupun mereka di uji dengan cabaran yang besar ini, pengaruh Ikhwan Muslimin tetap berkembang sehingga sekarang ke seluruh pelusuk dunia.

3. IKHWAN DAN DEMOKRASI

Kini Ikhwan Muslimin dipimpin oleh Dr. Mohamed Al-Badie' yang merupakan seorang tokoh gerakan Islam yang tidak asing lagi di benua Arab dan dunia Islam. Di bawah pimpinan beliau, Ikhwan telah mengambil pendekatan politik yang bersifat ‘engagement’ atau berdailog dan bergerak aktif secara terbuka dalam kancah demokrasi di serata dunia Islam.

Pendekatan terbuka dan telus yang di ambil ini telah membuahkan hasil yang amat positif. Mereka terlibat secara langsung dalam sistem demokrasi dan pilihanraya Mesir sejak beberapa siri pilihanraya yang telah di adakan walaupun kedudukan Ikhwan Muslimin di Mesir waktu pemerintahan Anwar Sadat dan Hosni Mubarak berstatuskan ‘haram’.

Calon-calon Ikhwan Muslimin telah masuk bertanding sebagai calon bebas dan juga menumpang di atas tiket parti lain. Uniknya, ia telah menang besar dalam setiap pilihanraya umum yang diadakan di Mesir walaupun telah berlaku banyak penipuan.

4. PENDEKATAN POLITIK IKHWAN

Menurut Saiful Islam, Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman dan merubah sebarang bentuk penyelewengan dan salah-guna kuasa yang berlaku di sana. Bagi Ikhwan agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin akan terus berjuang serta komited kepada penglibatan secara demokratik walaupun ianya masih banyak kepincangannya. Beliau juga memberi jaminan bahawa Ikhwan tetap mengambil sikap untuk terus berdialog dengan mana-mana pihak termasuk tentera SCAF serta kuasa Barat seperti Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan sekutunya.

5. DASAR UTAMA IKHWAN

Ikhwan Muslimin juga turut menggariskan empat polisi penting bagi berhadapan dengan cabaran semasa. Pertamanya, penegasan penglibatan politik parti politk yang diasaskan oleh Ikhwan melalui sistem demokrasi dan menyuarakan setiap pandangan rakyat di Parlimen Mesir.

Bagi Saiful Islam, parti-parti politik, badan-badan NGO serta individu-individu sepatutnya dilibatkan dalam membincangkan masa depan negara secara telus.

Keduanya, beliau juga menegaskan bahawa sistem kuasa mutlak hanya kepada sebuah parti dan individu sahaja tidak sesuai lagi dengan peredaran zaman globalisasi yang lebih terbuka ini. Ikhwan komited kepada sebuah negara berlandaskan ‘Civil State’ dan bukannya sebuah negara berlandaskan ‘theocracy’.

Ketiganya, Ikhwan Muslimin juga berpendirian agar dilaksanakan segera reformasi politik dan perubahan perlembagaan terutamanya bagi menghapuskan segala bentuk perundangan yang bertentangan dengan norma-norma demokrasi dan kebebasan.

Yang keempat, beliau menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin mempunyai misi untuk melakukan reformasi politik, sosial, budaya dan ekonomi. Reformasi ini hanya akan berlaku sekiranya ada ketelusan dalam sistem pemerintahan.

6. KEMENANGAN DR. MOHAMED MORSI

Saiful Islam menegaskan bahawa kejayaan calon Ikhwan Dr. Mohamed Morsi memenangi pilihanraya Presiden Mesir serta menang majoriti kerusi Parlimen tidak sepatutnya menakutkan mana-mana pihak. Ikhwan menghormati hak semua agama serta mana-mana parti politik. Sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang tidak telus di sesebuah negara akan membawa kepada salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan yang mengakibatkan kehancuran negara tersebut.



Beliau juga menyatakan bahawa Ikhwan tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali meletakkan agenda reformasi politik dan pendemokrasian sebagai agenda utama. Bagi Ikhwan, tuntutan demokrasi dan kebebasan serta ketelusan pilihanraya adalah merupakan langkah pertama ke arah reformasi yang lebih besar bagi mewujudkan masa depan negara yang lebih positif selepas kejayaan Dr. Morsi sebagai Presiden.

Sebagai akhirnya, Saiful Islam turut menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin akan terus berperanan kepada mewujudkan sebuah Masyarakat Madani serta bersifat terbuka dan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mencapai perubahan dan reformasi kearah mewujudkan keadilan dan kebebasan dan kepada seluruh rakyat dan negara.

-------------------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui e-mail: syedazmans@yahoo.co.uk,Twittter: @syedazman