Thursday, May 16, 2013

Peranan guru


Peranan guru adalah untuk memakmurkan bumi Allah dengan cara mendidik manusia dengan akhlak yang baik dan mendidik manusia untuk memajukan muka bumi ini dengan pembangunan yang tidak merosakkan. Menurut Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Datuk Ustaz Abdu Bakar Chik, Hari Guru adalah hari kebanggaan buat semua kerana jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh para guru sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh guru yang paling agung, iaitu Nabi Muhammad SAW. "Hai Guru adalah merupakan hari kebanggaan untuk semua kerana peranan para guru, oleh itu pada hari yang mulia ini saya suka mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh negara, "RasuluLlah SAW adalah tokoh yang paling agung di kalangan para guru, yang mempunyai contoh terbaik untuk diikuti oleh semua manusia,"ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam, selepas majlis makan malam bersama bekas-bekas guru dalam meraikan sambutan Hari Guru yang disambut di seluruh negara pada hari ini, Khamis 16 Mei. [Lihat Video] Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali, Timbalan ketua dewan Ualamak PAS Terengganu Ustaz Abu Bakar Abdullah dan Pengerusi Lajnah Pendidikan yang juga Bendahari PAS terengganu, Cikgu M. Shukrimun Shamsuddin. Namun begitu, katanya, peranan sebagai pendidik itu sedang dilemahkan oleh sistem pendidikan sekarang dengan bidang tugas guru yang terlalu berat dan tidak menentu. Beliau berkata perlaksanaan sistem Peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) adalah diragui kerana prasarana yang lemah dan penglibatan maklumat yang begitu terperinci. "Bean tugas tidak menentu dan terlalu berat dalam Peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) menjadi suatu tanda tanya, sejauh mana keupayaan pihak kerajaan menanganinya dengan prasarana yang begitu lemah di semua peringkat dan juga dengan maklumat yang begitu 'detail' (terperinci), "orientasi terbaru ini akan melemahkan peranan guru sebagai pendidik dan melemahkan guru sebagai pembina akhlak pelajar dan melemahkan guru sebagai pembantu kepada masyarakat,"tegasnya. Beliau menambah, guru akan menjadi pekerja dan robot yang mesti melaksanakan tugas sedangkan matlamat guru yang lebih besar bukanlah semata-mata untuk mencapai kecemerlangan akademik. Justeru beliau menyeru supaya pihak-pihak yang berkenaan mengkaji semula sistem peperiksaan tersebut bagi memastikan peranan asas guru sebagai pembina syaksiah dan intelek terpelihara.