Wednesday, November 03, 2010
Majlis Hi-Tea buat julung-julung kalinya berjaya dilaksanakan
KAHERAH, 1 November 2010 – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) buat julung kalinya telah berjaya melaksanakan satu majlis yang amat bermakna buat graduan-graduan Al-Azhar iaitu Majlis Hi-Tea bersama masyaikh Al-Azhar. Bertempat di Dewan Kristal, City Mall dengan penyertaan seramai 189 orang graduan Al-Azhar dari Malaysia, Brunei dan Singapura. Majlis tersebut selamat dijalankan dengan lancar seperti mana yang dirancang. Majlis yang gilang gemilang ini telah dihadiri oleh empat orang masyaikh Al-Azhar iaitu Fadhilah As-Sheikh Ad-Duktur ‘Umar Abdullah Kamil, Fadhilah As-Sheikh Al-‘Alim Al-‘Allamah Muhammad Ibrahim Abdul Baith Al-Kittani, Fadhilah As-Sheikh Ad-Duktur Jamal Farouk Jibril Mahmud, dan Fadhilah As-Sheikh Ad-Duktur Usamah As-Sayyid Mahmud Al-Azhari.
Bermula dengan bacaan ayat suci Al-Quran Al-Karim yang diperdengarkan oleh Saudara Muhammad Salman bin Muhammad Ali Rejab mahasiswa Maahad Qiraat Kampus Shoubra. Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh pengarah Program Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri Ke-2 Saudara Muhammad Yusuf bin A. Kadir dan disusuli dengan ucapan aluan oleh Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime. Di dalam ucapan presiden beliau memberitahu objektif utama diadakan seperti itu diadakan adalah untuk graduan-graduan Al-Azhar mendengar kalam-kalam taujihat daripada masyaikh-masyaikh Al-Azhar sebelum pulang ke tanah air untuk menabur bakti dan jasa kepada masyarakat.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan kalam taujihat dan juga nasihat dari Fadhilah As-Sheikh Ad-Duktur ‘Umar Abdullah Kamil. Beliau menitik beratkan kepada semua graduan dan semua yang hadir agar menumpukan terhadap penguasaan bahasa arab terutamanya masyarakat yang bukan bercakap dengan bahasa arab. Fadhilah Ad-Duktur menyarankan supaya belajar untuk mendalami ilmu bahasa arab ini dari pelbagai cara, antara cara yang disebutkan oleh beliau ialah perbanyakkan pembacaan kitab-kitab arab, surat-surat kabar, laman-laman web di ruang internet. Tidak dilupakan beliau menyarankan untuk menguasai kemahiran mendengar, ini adalah kerana ia merupakan salah satu cara untuk mendapat ilmu. Beliau setelah selesai menyampaikan nasihat dan taujihat kepada graduan telah berangkat pulang.
Kemudian majlis telah diteruskan dengan ucapan masyaikh yang hadir. Bermula dengan ucapan oleh Fadhilah As-Sheikh Usamah As-Sayyid Mahmud Al-Azhari, kemudian disusuli dengan ucapan oleh Fadhilah As-Sheikh Ad-Duktur Jamal Farouk Jibril Mahmud. Taujihat dan nasihat dari masyaikh berakhir dengan ucapan oleh Fadhilah As-Sheikh Al-‘Alim Al-‘Allamah Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith Al-Kittani.
Akhirnya, tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua graduan iaitu sesi penyampaian sijil dan cenderahati kepada graduan-graduan yang menyertai majlis pada malam itu. Dimulai dengan penyampaian kepada mahasiswa-mahasiswa kemudian disusuli dengan mahasiswi-mahasiswi dan akhir sekali penyampaian kepada mahasiswa dan mahasiswi cemerlang. Mahasiswa yang menerima anugerah mahasiswa cemerlang ialah Saudara Abdul Hadi bin Abdul Rahman dari Negeri Perak, manakala mahasiswi pula disandang oleh Saudari Rabiatul Hazirah binti Ramli Mahasiswa dari Negeri Kedah. Kemudian majlis menjemput sekali lagi Fadhilah As-Sheikh Al-‘Alim Al-‘Allamah Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith Al-Kittani untuk membacakan doa.
Sebelum menamatkan majlis para hadirin dihidangkan dengan jamuan makan malam sambil dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid PMRAM iaitu Kumpulan Al-Wadi. Bertepatan jam 11.00 malam majlis telah selamat dijalankan dan para peserta bersurai.
-
Pengalaman mengerjakan amalan Puasa di Bumi Mesir Di sini penulis akan menyorot sedikit tentang pengalaman dan suasana dalam kedua-dua buah ...
-
Contoh Penulisan Impak dan Refleksi Penulisan impak dan refleksi kadang kala agak merumitkan disebabkan ketandusan idea. Biasanya k...